Announcements

Baca Petikan: ‘IBU KOOL BAPA HEBAT’

Ibu Kool Bapa Hebat 2015 FINAL_CO

 

ISI KANDUNGAN

 

PENGENALAN

 

BACA PETIKAN

 

SINOPSIS

 

KOMEN PEMBACA

 

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

 

ISI KANDUNGAN

 

Penghargaan

 

Pengenalan

 

LANGKAH PERTAMA

Apakah Rahsia untuk menjadi Ibu Kool Bapa Hebat?

 

LANGKAH KEDUA

Tunaikan Hak Anda Sebagai Insan Terlebih Dahulu

 

LANGKAH KETIGA

Mengapa Mendidik Anak Anda Begitu Rupa?

 

LANGKAH KEEMPAT

Pastikan Anak Berasa Istimewa

 

LANGKAH KELIMA

Bina Sistem Sokongan Anda

 

LANGKAH KEENAM

Bersikap Positif Setiap Masa

 

LANGKAH KETUJUH

Relakan Dia Pergi Bila Tiba Masanya

 

[Go back to Top of Page]

 

…………………………………………………………………………………………………………….. 

 

PENGENALAN

 

Sebelum bergelar seorang ibu, saya ingatkan membesarkan anak itu mudah. Apa tidaknya, saban hari malah sejak sekian lama, ribuan manusia melangkah ke alam keibubapaan, justeru tiada apa perlu digusarkan. Itulah sebabnya, sebelum kelahiran anak sulung, saya langsung tidak kisah untuk menimba ilmu mengenai keibubapaan.

Bagaimanapun selepas kelahiran anak pertama, secara spontan saya menjadi kalut. Pelbagai nasihat yang saya terima daripada kaum-kerabat dan rakan-taulan. “Anak, semasa kecil memanglah susah sedikit,” kata mereka. “Bila dah besar, senanglah nanti.” Namun, telahan ini tidak dapat membantu mengatasi kekalutan yang saya alami. Ketika itu, hati saya sering bertanya: “Apakah aku sudah bersedia menjadi ibu?” Pelbagai usaha saya lakukan namun semuanya tidak menjadi.

Sehinggalah suatu hari, saya mula menjinakkan diri dengan buku-buku yang menitikberatkan perihal penjagaan anak. Sesetengahnya memang membantu saya merasa lebih yakin menjalankan peranan sebagai seorang ibu, khususnya bahan-bahan yang ditulis oleh pakar psikologi kanak-kanak. Barulah saya sedar bahawa usaha mendidik anak merupakan satu kemahiran yang wajib dipelajari sekiranya kita mahu menjadi ibu atau bapa yang berjaya! Kesedaran ini sekaligus melenyapkan tanggapan awal saya bahawa kemahiran mendidik anak adalah sesuatu yang berlaku secara spontan atau semulajadi sebaik saja kita bergelar ibu atau bapa.

Namun, tiada satu pun bahan bacaan yang saya rujuk memberikan jawapan untuk soalan yang sering bermain di minda saya: Apakah yang membuatkan seorang ibu atau bapa paling bahagia? Apakah yang dilakukan oleh ibubapa bahagia yang tidak dilakukan oleh ibubapa lain?

Itulah yang mendorong saya memerhatikan ramai keluarga di sekeliling saya dan hasilnya saya simpulkan sebagai:

Ibubapa yang paling bahagia adalah ibubapa yang berjaya menjalin hubungan erat dengan anak mereka. Mereka mengimbangkan hak diri mereka sebagai insan dengan hak anak mereka sehinggakan hubungan itu menjadi mesra sepanjang hayat.

 

Nyata telahan saya ini tepat. Sebaik sahaja saya mengubah fokus, hubungan saya dengan anak-anak ketara menjadi lebih mesra walaupun tidak berlaku dengan sekelip mata. Maklumlah, setiap perubahan itu mengambil masa. Sebagai ibu kepada lima orang anak lelaki dan seorang anak perempuan, saya cukup menyedari bahawa mendidik anak semestinya penuh dengan rasa suka dan duka. Tetapi, ikhlas saya katakan, di antara saya dan anak-anak kini wujud satu kemesraan yang tidak pernah saya mimpikan sebelum ini.

Mengapakah aspek perhubungan itu begitu penting?

Apabila anda berjaya memupuk hubungan erat lagi mesra dengan anak anda, dia akan merasakan dirinya istimewa. Ini adalah satu perasaan yang tidak mungkin dilakukan oleh orang lain. Anak anda berasa dihargai dan dihormati. Dia akan lebih mendengar kata, yakin dengan diri sendiri dan emosinya stabil. Dia mudah menerima teguran dan akhlaknya senang dilentur. Inilah anak yang cerah masa hadapannya! Bukankah ini anak yang diinginkan oleh setiap ibu dan bapa?

Saya menulis buku ini kerana saya yakin setiap ibu dan bapa mampu menikmati kebahagiaan sekaligus merasa puas dengan peranan tersebut. Sekiranya hubungan anda dan anak anda kini dingin seperti yang pernah saya alami suatu ketika dahulu, sekiranya anda mengharapkan hubungan yang lebih baik dengan anak anda, buku ini adalah pilihan tepat untuk anda.

Meskipun begitu, kejayaan anda ada syaratnya!

Pertama, sedarilah bahawa cara anda dididik semasa kecil dulu banyak mempengaruhi cara anda mendidik anak anda kini.

Kedua, anda sendiri perlu berubah. Umpamanya, mengubah nada suara supaya menjadi lebih lunak atau menahan diri daripada menyuarakan pandangan yang kurang menyenangkan sekiranya anak anda melakukan kesalahan. Atau anda mungkin perlu menimbang semula gaya hidup dan profesion anda sekarang. Kalaulah sejak dulu saya tahu segala yang termuat di dalam buku ini, sudah tentu pengalaman awal saya sebagai ibu lebih menyeronokkan. Pastinya saya lebih yakin memainkan peranan sebagai ibu!

Adakah anda bukan ibu atau bapa kandung kepada anak yang dididik? Adakah anda kini menanti untuk menimang cahayamata pertama? Atau anda merupakan ibu atau bapa angkat atau ibubapa tiri, datuk atau nenek, atau guru yang sering berinteraksi dengan anak-anak didik di bawah jagaan anda? Atau takdir menentukan anda menjadi ibu atau bapa untuk adik-adik yang masih kecil berikutan kematian mengejut ibubapa anda? Tidak kira apa jua situasi anda, kesemua prinsip yang saya paparkan dalam buku ini tetap boleh digunakan. Buku ini saya tujukan khas untuk santapan minda anda. Peranan mendidik memang mencabar. Tetapi, inilah pengalaman yang bakal mematangkan diri anda sekiranya anda bersedia menerima cabaran ini dengan sikap positif. Membesarkan anak bukan sesuatu yang mudah dan tiada masalah. Tetapi seperti yang saya nyatakan di penghujung buku ini, jika dilakukan dengan sebaiknya, anda pasti meraih kejayaan.

Kesemua kisah yang saya paparkan di dalam buku ini adalah kisah benar, kecuali satu. Untuk mengenal pasti kisah rekaan saya, sila baca halaman xxx.

Jamilah Samian

Kuala Lumpur

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

BACA PETIKAN

 

Langkah Pertama

 

Apakah Rahsia untuk menjadi Ibu Kool Bapa Hebat?

 

Ingatkah anda saat pertama bergelar ibu atau bapa?

Bagi saya, ianya bermula suatu petang, seminggu sebelum saya dijadualkan bersalin. Saya sedang berbaring di atas katil apabila terdengar bunyi ‘pop’ perlahan yang datang dari dalam perut saya. Tiba-tiba saya terasa diri saya ibarat paip bocor dan dengan sekelip mata, katil menjadi basah. Saya dan Fakhri bergegas meninggalkan rumah dan sampai di hospital setengah jam selepas itu.

“Air ketuban awak dah pecah,” kata bidan yang memeriksa saya. “Tapi pintu rahim awak baru terbuka 3 sentimeter.”

“Encik baliklah dulu,” katanya kepada suami saya. “Jangan risau. Kami akan jaga isteri encik.”

“Biarlah saya tunggu,” balas Fakhri.

“Encik nak tunggu dalam bilik bersalin?” tanya bidan itu lagi.

“Yalah.”

“Encik dah minta kebenaran daripada doktor?”

Fakhri menggelengkan kepalanya.

“Hari tu ada seorang bapa yang  pengsan dalam bilik bersalin,” sambung bidan itu lagi.  “Dia tak tahan tengok darah. Selepas itu, kami hanya benarkan bapa-bapa masuk atas kebenaran doktor.”

“Jadi, awak tak benarkan saya masuk ke dalam bilik bersalin?” tanya Fakhri, seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya.

“Encik pulanglah dulu,” kata bidan itu sambil merapikan uniformnya yang putih bersih. “Isteri encik tidak akan bersalin malam ini. Saya rasa paling cepat dia bersalin pun esok pagi ataupun mungkin lewat daripada itu. Anak sulung selalunya memang begitu. Kami akan telefon encik bila tiba masanya nanti.”

Setengah jam setelah dimasukkan ke dalam wad, saya mula berasa sakit. Ketika itu, saya tidak menyangka bahawa keperitan yang saya alami, disulami dengan perasaan gembira dan debaran itu sebenarnya persiapan mengharungi kehidupan bersama anak-anak, kehidupan yang adakalanya bergelora, yang tidak sunyi daripada pasang surutnya. Pada mulanya, kesakitan itu datang setiap sepuluh minit. Kemudian, setiap lima minit, dan akhirnya setiap dua minit. Tetapi bidan tadi kata belum tiba masanya untukku bersalin, saya cuba mententeramkan diri. Saya memutuskan untuk tidak memanggil bidan walaupun terasa sakit yang amat sangat.

Tiba-tiba bidan itu muncul di muka pintu. “Eh, bayi dah nak keluar!” Nada suaranya benar-benar cemas. “Puan tak boleh bersalin atas katil yang sempit ni!” Keadaan serta-merta menjadi kelam-kabut. Dia memanggil jururawat lain untuk membantunya. Seorang jururawat bergegas masuk menyorong kerusi roda. Saya dipapah dan didudukkan di atasnya lantas ditolak ke bilik bersalin yang jaraknya hanya tiga pintu daripada bilik saya. Segalanya berlaku seakan mimpi. Pintu kamar bersalin dibuka dan ditutup dengan pantas, doktor dan jururawat mula memakai sarung tangan, lampu menyuluh terang ke arah katil dan alat-alat pembedahan yang bersih berkilauan kelihatan di setiap ceruk bilik bersalin tersebut. Kedengaran jelas suara doktor menyuruh saya meneran, berhenti, kemudian meneran lagi.  Sepuluh minit kemudian, bayi sulung saya selamat dilahirkan.

“Kami tak dapat hubungi suami puan,” kata bidan itu semasa menemani saya ke bilik. “Dah banyak kali saya telefon rumah puan.” Pada masa itu, telefon bimbit masih jarang digunakan. Sejurus kemudian, kedengaran bunyi orang berlari ke arah bilik saya. Suami saya meluru masuk ke dalam bilik.

“Saya menunggu di luar tadi!” kata Fakhri tercungap-cungap. Rambutnya kelihatan agak kusut masai. “Saya dah agak, pasti tak lama.”

Seorang jururawat tampil masuk mendukung bayi kami. “Ini dia bayi puan,” ujarnya tersenyum.  Suami saya membelai pipi halus bayi yang sedang lena itu.

Beberapa jam kemudian, setelah suami saya meninggalkan hospital untuk pulang ke rumah, saya merenung anak sulung saya dengan perasaan bercampur-baur. Untuk pertama kalinya, kami bersendirian. Saya perhatikan kulitnya yang kemerahan. Rambutnya hitam lebat dan menjangkau ke hujung telinga. Kuku jarinya panjang. Jari-jemarinya menggenggam erat ibu jari saya.

Beratnya hanya 2.27kg tetapi dia kelihatan agak tembam. Mungkin pipinya yang bulat  membuatkan dia kelihatan berisi. Perlahan-lahan dia membuka matanya yang berwarna coklat dan mula memerhatikan keadaan sekeliling. Lama saya merenung insan kecil yang dibalut selimut di dalam dakapan saya itu. Tiba-tiba perasaan curiga dan sangsi melanda jiwa saya.   Sayalah yang melahirkan bayi ini ke dunia. Tetapi, adakah saya bersedia menjaga, mendidik dan mengasihinya dengan sempurna?

Hari demi hari, saya menumpukan sepenuh perhatian ke atas bayi yang baru mahu mengenal dunia itu. Setiap kali dia menangis agak lama, saya pasti panik. Itulah juga kali pertama saya mendengar perkataan kembung. Oleh kerana saya kekok untuk memandikannya sendiri, saya hanya mengelapnya dua kali sehari.

Akibatnya, apabila ibu saya tiba untuk membantu, badan anak saya yang belum pernah dimandikan sepenuhnya selama dua minggu dalam cuaca panas, dipenuhi ruam. Lampin pakaibuang harganya mahal ketika itu, jadi saya memilih lampin biasa. Selama dua minggu, saya tertanya-tanya samada pin penyemat lampin patut disematkan di bahagian bawah lampin atau di atasnya. Atau patutkah pin itu disematkan ke kiri atau ke kanan lampin? Tidak terlintas di fikiran saya bahawa perkara remeh-temeh sebegitu tidak penting!

Bulan-bulan awal saya menimang cahaya mata pertama ibarat pepatah: Tidur tak nyenyak, makan tak kenyang. Bayi kecil itu seperti tahu bila saya memerlukan sedikit masa untuk berehat. Sebaik sahaja saya mahu melelapkan mata atau menyentuh buku untuk dibaca, dia akan mula meragam. Dia akan merengek perlahan diikuti dengan tangisan nyaring jika tidak diendahkan.

Namun, dalam diri ini sentiasa ada keinginan yang kuat untuk melindunginya setiap saat dan waktu. Keinginan inilah mendorong saya bangun tengah malam untuk memastikan dia selamat dan selesa dibuai mimpi di sisi saya. Mungkin ini yang dikatakan naluri keibuan. Di tengah-tengah kesibukan menukar lampin, memberinya makan dan minum yang mencukupi, bersengkang mata menjaganya ketika ia sakit,  perasaan sayang mula berakar umbi. Ketika saya mengubati lututnya yang luka dan memerhatikannya merangkak ke kabinet dapur untuk bermain dengan perkakas dapur, perasaan kasih terhadapnya semakin mendalam.

Mungkinkah anda seperti saya – menjejakkan kaki ke dunia keibubapaan tanpa pengetahuan yang mencukupi? Saya dan suami berkahwin tidak lama selepas kami menamatkan pengajian di universiti. Seterusnya, saya diterima bekerja di sebuah syarikat swasta dan mula menghabiskan banyak masa di pejabat. Masa lapang saya dipenuhi dengan membaca. Anehnya, walaupun saya begitu minat membaca, saya tidak pernah terfikir untuk membaca buku berkaitan keibubapaan.

Malah, saya bukan sekadar minat membaca. Saya menganggap buku-buku sebagai sesuatu yang perlu dihargai dan dihormati. Saya gemar melihat buku-buku yang tersusun rapi. Setiap kali saya memegang sebuah buku baru dan menyelak halaman-halamannya, perasaan kagum akan menyelinap ke dalam sanubari saya. Ahh…baunya yang harum … tiada apa yang dapat menandingi keistimewaan sebuah buku baru! Tetapi saya tidak pernah meminjam atau membeli sebarang  buku berkaitan dengan kekeluargaan walaupun saya amat menggemari buku! Saya juga tidak pernah menghadiri sebarang kursus mengenai perkara ini. Jauh sekali menghadiri ceramah atau menyertai kumpulan yang membincangkan persoalan ini!

Namun, seperti yang dipaparkan di atas, apa yang penting bukanlah berapa banyak yang anda tahu sebelum menjadi ibu atau bapa, tetapi sejauh mana anda sanggup menimba ilmu sepanjang hayat anda sebagai ibu atau bapa. Dalam proses penjagaan anak, tiada salahnya jika anda bermula daripada kosong. Alam penjagaan anak-anak adalah alam yang penuh dengan cabaran, onak dan duri laksana merentasi pengembaraan menaiki roller coaster.

Segalanya bermula apabila anda menaiki roller coaster, mengenakan tali pinggang keselamatan dan berbisik, “Tibalah masanya!” Roller coaster memecut ke hadapan, mendaki puncak dan menuruni lembah…menggerunkan! Debaran berbaur takut kesemuanya mendadak datang serentak.

Anda menjerit ketakutan, begitu juga dengan penumpang lain yang berada di atas roller coaster tersebut. Masing-masing berpaut kepada pemegang di hadapan mereka sambil melalui perjalanan yang mulanya menakutkan, seterusnya menyeronokkan, dan kembali menakutkan itu. Di suatu ketika, anda berada nun tinggi di udara. Beberapa saat kemudian, terasa nyawa seakan melayang apabila roller coaster tiba-tiba menjunam ke bawah, seolah-olah mahu menghempas anda ke bumi. Seterusnya anda dibawa lagi ke atas, mendaki puncak yang lebih tinggi dan sekali lagi anda menuruni lembah yang curam pada kelajuan 60 batu sejam, melalui jalan berliku dengan jurang berbahaya menanti di setiap selekoh.

Membesarkan anak juga begitu, adakalanya menyeronokkan. Terasa seronok apabila anak anda melakukan sesuatu yang membanggakan. Ia membuatkan anda yakin telah mendidiknya dengan betul. Tetapi, jika anak anda membuat kesilapan atau melakukan sesuatu di luar dugaan, anda pasti terasa sebaliknya. Jika anda berasa letih dan inginkan sedikit waktu rehat, lupakanlah, kerana tiada “waktu rehat” dalam mendidik anak. Anak anda perlukan jagaan sehingga dewasa!

Membandingkan penjagaan anak dengan perjalanan roller coaster mungkin kurang tepat.     Perjalanan roller coaster boleh dilihat puncak dan lembahnya. Anda pasti di mana cerun yang curam dan bila anda akan menjunam ke bawah. Perjalanan yang bakal ditempuh jelas kelihatan. Anda tahu ketinggian dan kecuraman lereng yang akan diharungi. Anda tahu bila perjalanan itu akan berakhir.

Tidak seperti dunia penjagaan anak.

Membaca kaedah membesarkan anak dan melalui kehidupan bersama mereka adalah dua perkara yang amat berbeza. Meskipun anda berpengalaman menjaga anak orang lain, sebagai ibu atau bapa yang pertama kali menimang cahaya mata, anda akan menyedari bahawa menjaga anak sendiri tidak sama dengan menjaga anak orang lain!

“Saya sangka kehidupan ini lebih mudah selepas melahirkan anak sulung,” ujar seorang sahabat karib.  “Saya ingat saya sudah cukup bersedia kerana sudah banyak membaca buku dan menghadiri pelbagai kursus keibubapaan. Memang semua itu ada manfaatnya tapi hakikatnya banyak perkara lain berlaku di luar jangkaan saya.”

Tetapi, kalau persediaan anda cukup dan anda bersedia ketika berhadapan dengan peranan sebagai ibu atau bapa, tentulah anda dapat menjangka semua yang bakal terjadi.

Bukankah ini akan menjejaskan reaksi spontan anda sebagai ibu atau bapa?

Di dalam bahagian pengenalan, saya sudah menggambarkan penjagaan anak sebagai “pengalaman yang bakal mematangkan diri anda sekiranya anda bersedia menerima cabaran ini dengan sikap positif.” Tetapi ini hanya akan berlaku jika anda bersikap terbuka setiap masa.

Sikap terbuka bermakna anda bersedia melihat sesuatu perkara dari pelbagai sudut dan perspektif yang berbeza. Hasilnya, anda lebih objektif memainkan peranan sebagai ibu atau bapa. Anda boleh menerima idea baru atau pandangan orang lain dengan hati terbuka, walaupun idea atau pandangan itu tidak sama dengan pemahaman anda sendiri.

Fikiran yang terbuka juga membantu mempercepatkan proses pembelajaran anda.

Anda mempunyai fleksibiliti untuk melakukan perubahan, sekiranya perlu, demi memperbaiki fahaman dan kaedah penjagaan anak atau cara anda melihat dan mengendalikan diri anda sendiri dan juga diri anak anda.

Sekarang, cuba luangkan sedikit masa untuk menjawab soalan ini:  Apa sebenarnya yang anda paling inginkan sebagai seorang ibu atau bapa?

Bayangkan diri anda beberapa tahun daripada sekarang. Sebagai seorang ibu atau bapa, apa yang anda harapkan pada waktu usia mencecah 75 tahun?

Renungkan dan fikirkanlah. Selami jiwa anda. Carilah jawapan dengan jujur.

Jauh di lubuk hati, anda akan menyedari bahawa harapan sebagai seorang ibu atau bapa BUKANLAH :

  • agar anak anda mendapat A dalam semua subjeknya;
  • ataupun agar anak anda menjadi pemain piano handalan;
  • ataupun agar anak anda menjadi seorang doktor, arkitek ataupun seorang jurutera seperti anda;
  • ataupun agar anak anda mengambil alih perniagaan keluarga yang maju apabila umurnya mencapai 21 tahun.

Sebaliknya, sebagai ibu atau bapa, anda inginkan hubungan yang erat, mesra dan berkekalan bersama anak anda.

Sekiranya anda berjaya membina perhubungan yang mesra dan berpanjangan ini, andalah ibu  kool dan bapa hebat pada pandangan anak anda!

Menjadi ibu kool dan bapa hebat adalah satu pencapaian unggul kerana anda berjaya menempatkan diri di sudut paling istimewa di dalam sanubari anak anda. Anda pasti dikenang bersama segala peristiwa indah yang dilalui sepanjang hayatnya.

Anda mungkin tidak menyedari hakikat ini sebelum ini. Menyedari dan menerima hakikat ini akan membuatkan segala harapan dan impian anda yang lain berkaitan anak anda menjadi perkara kedua pentingnya di dalam kehidupan anda.

Percayalah, anak-anak anda juga impikan seorang ibu yang kool dan bapa yang hebat.

Saya percaya bahawa anak dan ibubapa saling mempunyai keinginan untuk memiliki perhubungan yang erat, tetapi ibubapa mungkin tidak menyedari bahawa anaknya inginkan perkara yang sama dan begitu juga sebaliknya. Sekiranya kita, sebagai ibubapa, tidak  peka atau tidak berusaha untuk memupuk hubungan ini, perhubungan kita dengan anak-anak akan renggang dan ianya akan terus pudar apabila anak meningkat remaja.

Anda adalah ibu kool atau bapa hebat sekiranya …

 

–      anda boleh bersembang dan bergurau dengan anak remaja anda sambil minum di warung.

–      anak anda boleh meluahkan perasaan di hadapan anda tanpa merasa takut atau khuatir akan diperkecilkan.

–      anda memberitahu anak anda yang bil telefonnya terlalu tinggi. Anda memintanya   membayar jumlah yang terlebih itu dengan duit sakunya sendiri tanpa bantahan.

Anda mencorak keadaan

Seorang bayi yang baru lahir hanya tahu menangis apabila kurang selesa. Menerusi tangisan inilah kita menganggap samada bayi itu kurang sihat, lapar, mengantuk, ataupun letih. Itulah sebabnya kehidupan ibubapa seolah-olah dikawal kerenah bayi mereka. Ini memang ada kebenarannya, paling tidak pun selama beberapa bulan selepas bayi dilahirkan.

Komunikasi secara lisan di antara ibubapa dan anak bermula sebagai satu hala, di mana hanya ibu atau bapa sahaja yang mampu berkata-kata.

Sesetengah anak mula menuturkan perkataan pertama mereka di sekitar umur 12 bulan. Sesetengah yang lain mula bertutur beberapa bulan selepas itu. Pada usia 3 tahun, kebanyakan anak sudah mampu berkomunikasi dengan agak lancar, walaupun adakalanya perkataan dan susunan ayat yang digunakan kurang teratur. Tetapi, sebelum anak boleh bertutur, hanya ibubapalah yang akan bercakap, kecuali jika ada orang lain yang memelihara anak tersebut.

Ini bermakna, selagi anak kita tidak boleh bertutur, komunikasi lisan di antara kita dan dirinya adalah ibarat jalan sehala. Namun, lama-kelamaan, apabila anak kita sudah mampu dan mahir bertutur, jalan sehala ini akan bertukar menjadi sistem komunikasi dua hala.

Setiap perhubungan memerlukan usaha di antara kedua belah pihak.   Perhubungan ibubapa dan anak, walau bagaimanapun, mempunyai keunikannya sendiri. Selagi anak belum mencecah usia matang, ibubapalah yang lebih besar peranannya di dalam perhubungan mereka.

Sekiranya anda melangkahkan kaki ke alam keibubapaan berbekalkan pengetahuan mengenai diri sendiri dan diri anak anda, anda bakal menghadapi hari esok yang lebih menyenangkan.  Inilah yang akan mencetuskan lebih kasih sayang, lebih kemesraan dan kebahagiaan sekaligus mengurangkan ketegangan.

Anda berkomunikasi dengan anak bukan hanya dengan kata-kata, tetapi juga dengan aksi dan tindakan. Anak anda lebih bijak daripada yang anda sangkakan. Dia mampu mengenal pasti nada suara dan air muka anda yang berubah-ubah itu. Daripada nada suara dan air muka anda, dia dapat mengecam perasaan dan mood anda. Hari demi hari, anak anda akan memberi reaksi bergantung kepada aksi dan tindakan anda sendiri.

Sebagai contoh, seorang kanak-kanak berusia 3 tahun meraung di Kedai Mainan Toys-r-Us, di khalayak ramai kerana bapanya enggan membelikan mainan  mahal yang diingininya. Sekiranya si bapa menurut kemahuan anaknya itu kerana mahu mengelakkan kekecohan, anak tersebut akan tahu bahawa dia tentu akan dapat apa yang diingini setiap kali dia membuat perangai. Sudah tentu pada masa akan datang, sekiranya dia mahukan sesuatu dan bapanya mengatakan “Tidak boleh”, dia akan mengamuk dan mengulangi perbuatan tersebut.

Bayangkan diri anda dan anak anda sebagai dua orang pemain tenis yang sedang beraksi di gelanggang. Anda membuat pukulan bola yang pertama kepadanya. Sejauh mana kekuatan dia membalas pukulan itu bergantung kepada berapa kuat pukulan anda sendiri. Reaksinya bergantung kepada tindakan anda sebelum itu.

Bila sayang bertukar benci

Bayangkan jika anda memiliki hubungan yang erat dengan anak anda. Terukirlah senyuman di bibir anda ketika melihat ia tidur lena. Anda seakan tidak sabar menantikannya terjaga daripada tidur agar anda boleh menikmati waktu-waktu yang indah itu bersamanya. Tetapi sekiranya anda tahu yang dia akan berusaha sedaya upaya menjauhkan diri daripada anda, anda akan berasa hampa dan kecewa.

Bagaimana pula kalau anak anda bukan lagi anak kecil tetapi hubungan anda dan anak anda tidak seperti yang diharapkan? Apa yang akan anda lakukan setelah bertegang urat dengannya?    Bagaimana pula jika anda menghempas pintu kerana terlalu marah? Bagaimana kalau ketegangan sebegini sering berlaku di antara anda dan anak anda?

Air mata mungkin  membasahi pipi anda apabila mengingat semula saat-saat manis yang anda lalui bersamanya dahulu. Umpamanya ketika anda mendodoikannya apabila dia diserang demam campak, atau semasa dia mencari anda untuk bermanja dan mengadu apabila kaki atau lututnya terluka.

Masih ingatkah anda, saat membawanya pulang ke rumah dari hospital? Ketika dia mula belajar tersenyum dan ketawa apabila diagah. Betapa gembiranya anda melihat keletahnya yang manja itu! Lalu bayi anda mula belajar membalikkan diri, merangkak, berjalan, bertutur dan anda pula mula belajar memahami perasaan dan emosinya yang semakin menyerlah. Anak anda akan menunjukkan perasaan marah apabila anda mengambil barang mainannya dan tersenyum apabila melihat anda menyediakan makanan kegemarannya.

Anak anda, yang sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada diri anda, semakin hari bertukar menjadi seorang insan yang lebih berdikari.

Masa berlalu begitu pantas. Jam bertukar menjadi hari. Hari menjadi bulan. Bulan menjadi tahun.

Dan suatu hari, anda akan berhadapan dengan salah satu situasi ini:

  1. Anda memiliki perhubungan yang baik dengan anak anda. Jika ini benar, anda boleh melangkau bahagian ini dan beralih ke Langkah Kedua; atau
  2. Terdapat jurang yang semakin hari semakin luas di antara anda dan anak anda.

“Saya sayang anak saya, tapi …”

Banyak pendapat dan pandangan yang dibuat berkaitan dengan jurang perbezaan yang wujud dalam perhubungan di antara anak dan ibubapa. Sesetengahnya mengatakan yang jurang ini penuh dengan konflik, persengketaan dan pertikaian. Memang wujud ibubapa yang saban hari berkelahi dengan anak mereka. Pantang berjumpa!

Anehnya, persoalan berkaitan kualiti hubungan antara anak dan ibubapa sering timbul dan menjadi isu hanya apabila anak meningkat remaja! Memang ada anak-anak yang membenci ibubapa apabila mereka dewasa dan ada juga ibubapa yang membenci anak-anak di atas sebab-sebab yang tertentu.

Seorang ibu kepada gadis berusia 20 tahun pernah berkata kepada saya yang dia lebih suka jika anaknya kekal sebagai kanak-kanak. “Sekarang ni kami tinggal di rumah yang sama tetapi hidup seperti orang asing.” Pelik, tetapi benar!

Di mana silapnya?

Ibarat pepatah Melayu, sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Begitulah halnya dengan perhubungan dengan anak anda. Samada ianya erat atau tegang bergantung kepada cara anda berinteraksi dengannya sejak kecil lagi sehingga kini. Erat atau mesra tidak mungkin berlaku sekelip mata. Ia mengambil masa yang lama.

Jika jurang perbezaan yang sedia ada tidak diperbaiki, akibatnya ibubapa dan anak saling menanggung gangguan emosi. Perhubungan kedua belah pihak mungkin terus terputus; si anak meninggalkan rumah dan berazam tidak akan kembali lagi. Jika ini berlaku dan sesuatu yang buruk menimpa diri anak anda, tiada apa yang boleh anda lakukan lagi, melainkan menyesali perbuatan itu sepanjang hayat.

Begitu juga dengan anak anda.  Sekiranya sesuatu yang tidak diingini menimpa diri anda, dia pasti akan menyesal seumur hidup. Namun, masa yang berlalu tidak mungkin akan kembali. Sesalan berpanjangan tidak mungkin akan mengubah keadaan.

Kesannya ke atas kita

Perhubungan yang tegang di antara anda dan anak anda sebenarnya menjejaskan kehidupan anda seharian. Anda merasa  keliru dan kecewa. Ianya mengganggu kesejahteraan hidup anda. Anda berasa tidak seronok. Anda berasa tertekan apabila berada bersama anak anda.

Keadaan begini memberi tekanan ke atas diri anda. Lama-kelamaan, ia akan mengganggu emosi dan menjejaskan kesihatan mental anda dan akhirnya, kesihatan fizikal anda akan terganggu. Ia juga mungkin membuatkan anda murung dan cepat marah, walaupun ini semua berlaku tanpa anda sedari.

Anda menjadi resah dan gelisah memikirkan samada anda terpaksa menanggung beban emosi ini sepanjang hayat anda. Malah, anda juga mungkin menganggap ianya sebagai satu kegagalan dalam hidup anda. Pendek kata, hubungan keruh di antara ibubapa dan anak akan meninggalkan kesan yang mendalam di dalam diri kedua ibubapa dan anak tanpa disedari oleh kedua-dua belah pihak.

Sebaliknya ….

Anda melabur usaha, masa, tenaga dan juga wang ringgit untuk keselesaan dan kesenangan anak anda. Hubungan baik dengan anak-anak menggembirakan dan menaikkan semangat anda. Oleh kerana emosi banyak mempengaruhi kesihatan, anda terasa lebih bahagia dan lebih sihat. Begitu juga dengan anak anda. Anda dan anak anda juga akan berasa lebih tenteram dan tenang.  Kesejahteraan ini akan turut dirasai oleh seluruh ahli keluarga dan membantu mereka hidup dalam keadaan aman dan damai.

Andalah pendorong utama keluarga

Di dalam hubungan antara anda dengan anak-anak, memang pada mulanya anda mempunyai kuasa yang lebih. Ianya bermula daripada hubungan sehala yang lama-kelamaan bertukar menjadi dua hala apabila anak meningkat dewasa. Bahtera kekeluargaan bermula dengan anda sebagai nakhoda dan penggerak utamanya. Andalah yang mengemudi dan menentukan pelayaran bahtera itu. Inilah yang akan menentukan bagaimana lancarnya perhubungan anda dan anak-anak di kemudian hari.

Perhatikan tingkah laku anak anda sewaktu bertemu dengan orang dewasa yang lain. Anda akan dapati kelakuannya bergantung kepada cara orang itu berinteraksi dengannya. Sekiranya orang dewasa itu mesra dan peramah, anak anda akan berasa selesa. Meskipun anak anda tidak bercakap banyak, perhatikan sahaja gerak-geri dan raut wajahnya. Reaksinya pasti ketara!   Sekiranya orang dewasa itu bersikap dingin, anak anda juga akan terpengaruh dengan suasana negatif ini dan akan menjauhkan diri daripadanya.

Ini hakikat hubungan orang dewasa dan kanak-kanak. Kanak-kanak melihat kita sebagai orang yang berkuasa. Jika kita bijak mengambil hatinya, dia akan mengagumi dan menyayangi kita sepenuh hati. Jika kita kurang prihatin dan tidak menghormati perasaannya, lambat-laun anak anda akan menyisihkan diri daripada anda. Mungkin inilah punca wujudnya jurang pemisah antara anda dan anak anda sekarang.

Bukan salah sesiapa

Kebanyakan daripada kita memainkan peranan sebagai ibubapa berdasarkan apa yang kita pelajari daripada ahli keluarga terdekat seperti ibubapa kita sendiri atau datuk, nenek, bapa saudara, ibu saudara atau sesiapa saja sumber rujukan kita yang hampir. Mereka pula belajar daripada pemerhatian dan pengalaman sendiri yang juga diperoleh daripada kaum keluarga yang mendidik dan membesarkan mereka.

Usah salahkan sesiapa sekiranya suasana keluarga tidak seperti yang anda harapkan.     Menyalahkan orang adalah suatu tindakan yang tidak berfaedah dan tidak akan mengubah keadaan. Anda cuma perlu menyedari apa yang telah berlaku dan mengapa perkara itu berlaku,  agar anda dapat mengambil langkah wajar selanjutnya. Kuasa dan     tanggungjawab terletak di tangan anda. Jika anda benar-benar mahukan keadaan berubah, anda perlu berubah terlebih dahulu. Mungkin anda tidak suka mengubah diri, tetapi perubahan harus dilakukan, dan saya ingin mengesyorkan agar perubahan itu bermula daripada diri anda.

Seperti yang dikatakan oleh Wayne Lotherington di dalam bukunya, Flicking Your Creative Switch, adalah tidak logik mengharapkan hasil yang berbeza sekiranya anda melakukan perkara yang sama berulang kali. Ibarat anda dalam perjalanan, tiba-tiba anda dapati yang anda telah tersesat jalan. Sudah tentu anda terpaksa menukar hala tuju. Kalau tidak, tak mungkin anda akan sampai ke destinasi yang dituju. Hubungan yang lebih baik dengan anak anda hanya akan terjalin jika anda sedia berubah.

Masih belum terlambat untuk memperbaiki hubungan itu, walaupun anak anda sudah mencapai usia remaja. Setiap anak inginkan kemesraan dengan ibubapa mereka dan sentiasa mengimpikan kasih sayang, penghargaan dan pengiktirafan daripada ibubapanya. Begitu juga dengan anak anda.

 

Bolehkah kita bergantung sepenuhnya kepada naluri kita?

Mungkin anda menyangka penjagaan anak adalah sesuatu yang boleh dilakukan mengikut naluri.  Jadi, marilah kita lihat apa sebenarnya naluri itu dan kesannya ke atas kehidupan kita.

Apabila seorang bayi mula menghisap susu ibunya sejurus selepas dilahirkan, itu adalah naluri.

Apabila kita menutup mata dan melindungi kepala dan muka apabila sesuatu objek akan menimpa kita, itu juga adalah satu naluri.

Bernafas adalah satu perbuatan yang kita lakukan tanpa kita sedari. Ianya juga adalah tindakan mengikut naluri.

Sekarang mari kita kaji apakah aspek penjagaan anak yang mengikut naluri dan yang mana tidak mengikut naluri.

Tangisan bayi anda meminta susu menyebabkan anda terjaga di tengah malam sementara pasangan anda terus tidur dengan lenanya.  Itu adalah naluri.

Perasaan sayang yang kita rasai terhadap bayi kita yang baru lahir adalah naluri.

Tingkah laku berbentuk naluri adalah tindakan semula jadi yang berlaku secara automatik. Ianya dapat dilakukan dengan betul pada kali pertama tanpa memerlukan sebarang pengalaman. Ianya juga tidak memerlukan tunjuk ajar dari sesiapa.

Sebaliknya, tingkah laku yang tidak mengikut naluri adalah tingkah laku yang memerlukan pembelajaran.

Reaksi anda apabila seorang kanak-kanak memecahkan sebuah gelas atau menumbuk kanak-kanak lain adalah satu tindakan yang tidak mengikut naluri.

Samada anda akan merotannya ataupun tidak mempedulikannya, adalah tindakan yang tidak mengikut naluri, dan tindakan ini dilakukan mengikut pengalaman anda sendiri.

Hakikatnya, kebanyakan tindakan dan perbuatan yang kita lakukan di dalam penjagaan anak adalah tindakan yang memerlukan pembelajaran.

Objektif yang jelas menjanjikan kejayaan

Resipi keunggulan para atlet dan ahli korporat yang berjaya adalah dengan mempunyai dan menetapkan objektif dengan jelas. Tanpa mengira pekerjaan atau bidang yang kita ceburi, kita harus tahu matlamat kita. Begitu juga dalam penjagaan anak.

Penjagaan anak adalah satu tanggungjawab dan amanah yang berterusan. Anda akan hanya dapat melihat hasil usaha anda apabila anak anda dewasa. Dengan objektif yang tertentu, anda mempunyai sasaran yang jelas. Jika objektif anda kabur, anda tidak tahu arah yang patut dituju. Ini membuatkan anda terumbang-ambing dan bertindak secara melulu. Objektif memberi anda arah tujuan yang jelas dan mantap serta memberi anda perangsang untuk melakukan yang terbaik demi mencapai objektif yang ditetapkan. Lebih penting lagi, proses keibubapaan mempunyai banyak risiko. Saban hari, anda mempertaruhkan masa depan dan kesejahteraan anak anda melalui kata-kata dan tindakan anda sendiri.

Sebagai seorang ibu atau bapa, objektif paling bermakna buat diri anda ialah untuk membina hubungan yang mesra dan berkekalan bersama anak anda. Itulah hasrat semula jadi anda, dan itu jugalah yang diharapkan oleh anak anda.

Dengan meluangkan lebih masa untuk mengenali anak anda, anda akan dapat mengenal pasti manakah tindakan anda yang sesuai dan yang mana satu kurang sesuai. Tabahkan hati dan jangan mudah berputus asa sekiranya menemui jalan buntu dalam usaha mencari kesesuaian di antara anda berdua.

 

Benarkah hubungan erat antara ibubapa dan anak boleh wujud?

 Media massa termasuk akhbar dan majalah adakalanya memaparkan kisah-kisah sedih mengenai hubungan ibubapa dan anak. Tema yang sama juga dimuatkan di dalam filem dan buku-buku cerita. Ibubapa sering berbincang mengenai masalah mendidik anak-anak di dalam pelbagai forum keluarga di Internet dan semasa menanti anak di pintu pagar sekolah.

Secara tidak langsung, suasana ini memainkan peranan dalam membentuk harapan dan pegangan anda. Oleh itu, jika anda mempunyai hubungan yang tidak mesra dengan anak anda, anda menerimanya sebagai suatu yang lumrah dan normal. Pandangan umum menyarankan adalah mustahil untuk mempunyai hubungan yang mesra dan berkekalan dengan anak anda semasa dia membesar. Jadi anda menerima pandangan ini dengan rela hati dan berkata, “Oh, memang begitulah selalunya.” Anda menerimanya tanpa sebarang penelitian dan pemahaman yang mendalam, lalu meneruskan kehidupan dan berharap keadaan akan menjadi lebih baik pada masa hadapan.

Tetapi, adakah ini akan berlaku? Hakikatnya, sesuatu hubungan memerlukan usaha untuk memastikan ianya tetap utuh dan positif, dan perhubungan yang kuat dan erat juga boleh hancur jika tidak dijaga dan diabaikan.

Yakinlah bahawa anda mampu melakukannya

Minda anda adalah aset yang paling berharga. Tetapi ianya juga boleh menjadi musuh ketat anda,  bergantung kepada apa yang anda percaya dan yakini. Ini kerana anda bertindak mengikut kepercayaan dan pegangan yang anda miliki. Apabila percaya yang anda boleh melakukan sesuatu, minda anda akan berusaha mencari jalan untuk mencapainya. Tetapi sekiranya anda merasa ragu,  anda akan mencari alasan mengapa ianya tidak boleh dilakukan.    Pemikiran dan pegangan mempengaruhi tindakan anda, dan lama-kelamaan apa yang anda yakini akan menjadi kenyataan.  Lambat laun, kepercayaan anda menjadi realiti.

Sekiranya anda yakin bahawa anda mampu membina hubungan yang baik dengan anak anda, minda anda akan mencari jalan supaya keyakinan ini menjadi kenyataan. Sekiranya anda merasakan ini adalah sesuatu yang mustahil, minda anda akan mencari sebab untuk mengiyakan pegangan anda ini.  Begitulah kuatnya pengaruh kepercayaan dan pegangan di atas tindakan dan cara akal fikiran kita berfungsi.

Anda perlu meluangkan masa untuk menilai hubungan anda dan anak anda, tanpa mengira berapa usianya. Adakah anda inginkan sesuatu yang lebih baik dan yakin anda mampu melakukannya? Kalau begitu, anda hendaklah mengubah pendirian anda. Sekiranya anda percaya anda boleh melakukannya, anda tidak akan menyerah kalah selagi anda tidak mendapat apa yang anda hajati.

Dan ini membawa kita ke langkah yang seterusnya.

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

 SINOPSIS
MENJADI IBU BAPA YANG LEBIH BAIK
Bagi kebanyakan ibu bapa, sebaik saja anak mereka dilahirkan, satu soalan tercetus: Apa yang harus dilakukan seterusnya? Sejak sekian lama, menjaga anak membawa makna tersendiri mengikut pengalaman seseorang. Bak pepatah Melayu: banyak udang banyak garam, banyak orang banyak ragam. Bagi sesetengah ibu bapa, menjaga anak cukup menyeronokkan sejak hari pertama anak dilahirkan. Namun untuk yang lain pula, ia dianggap mencabar, penuh suka dan duka, adakalanya menyulitkan, serta menguji kesabaran mereka. Buku ini ditujukan khas untuk golongan kedua ini.
Jamilah Samian mempunyai pengalaman membesarkan enam orang anak, lima lelaki dan seorang perempuan, di dalam keadaan yang berbeza-beza – sebagai staf senior di sebuah organisasi multinasional,  sebagai ibu dan surirumah sepenuh masa, sebagai seorang usahawan berjaya yang bekerja dari rumah, dan sebagai perantau bersama keluarga di Timur Tengah. Menerusi buku ini, beliau berkongsi rahsia bagaimana pengalaman menjaga anak boleh dijadikan batu loncatan untuk mencapai kebahagiaan dan peningkatan diri sendiri dan anak anda.
Ketahuilah:
– rahsia untuk menjadi ibu kool dan bapa hebat
– mengapa perkara kecil mendatangkan pengaruh yang besar dalam pendidikan anak-anak
– bagaimana latar belakang anda mewarnai cara anda membesarkan anak
– mengapa hubungan mesra dengan anak anda penting demi kesejahteraan anak anda
– cara menghidupkan suasana bermaaf-maafan di rumah
– bezanya anak perempuan berbanding anak lelaki
– kaedah menangani isu permusuhan adik-beradik dan masalah remaja

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

KOMEN PEMBACA

Membaca Ibu Kool Bapa Hebat laksana berbicara dengan ibu bapa lain . . . berbanding dengan buku lain yang berada di pasaran, ia diisi dengan nilai-nilai ketimuran.” – The Sun
“Menarik dan memperkaya ketrampilan mendidik anak.” – The Star

 

[Go back to Top of Page]

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 534 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top