Soal & Jawab

Ibu Tunggal dan Anak Lelaki

oleh Jamilah Samian 

 

SOALAN : Saya seorang ibu tunggal, kini membesarkan anak lelaki berusia 9 tahun. Bekas suami dan saya sering bertengkar di hadapan anak saya semasa proses perceraian. Masalah saya, anak saya suka bercakap bohong. Bekas suami saya memang mempunyai tabiat ini. Setiap kali selepas tinggal bersama ayahnya beberapa hari, anak saya aka bercakap bohong semula. Saya sudah puas menasihati anak saya, memarahinya, dan pernah tidak menegurnya hingga beberapa hari kerana terlalu marah dengan perangainya ini. Apa yang patut saya lakukan?

JAWAPAN : Amat sukar untuk seseorang anak menerima hakikat perceraian ibu bapanya. Seringkali seorang anak akan menyalahkan dirinya sendiri bila berlaku perceraian. Penting untuk dia diberitahu bahawa masalah ini adalah antara Puan dan bekas suami, dia tidak terlibat langsung. Jangan menyebut perkara-perkara yang tidak baik tentang ayahnya di hadapannya kerana ini akan menyebabkan anak Puan merasa amat serba-salah. Adakah dia patut setia kepada ibu atau bapanya? Jika sebab perceraian adalah penyalahgunaan dadah, penderaan dan sebagainya, elok diberitahu kepada si anak, dalam cara yang boleh diterimanya, supaya tidak ada salah faham.

Buku saya ANAK LELAKI KOOL & HEBAT ada memberi beberapa tips untuk ibu tunggal yang membesarkan anak lelaki. Seperti yang dinyatakan dalam buku tersebut, ibu tunggal boleh berjaya membesarkan anak lelaki jika mereka mendapat sokongan yang perlu, terutama sokongan moral dan keadaan kewangan stabil.

Anak lelaki perlukan  ”role model lelaki” apabila tiba masanya. Benar ibu boleh berbuat apa sahaja untuk membesarkan anak lelaki, tetapi mereka tidak boleh menunjuk ajar anak lelaki cara-cara menjadi lelaki sebenar. Role model mungkin merupakan datuk, bapa saudara, guru, sesiapa sahaja lelaki berwibawa yang dia kenali.

Berkaitan respons Puan kepada perangainya bercakap bohong ~ Bila berlaku konflik dengan si anak, gunakan ia untuk mengajar cara-cara efektif menangani konflik.  Diam membatu dan tidak menegurnya beberapa hari bukanlah cara efektif. Buku saya IBU KOOL BAPA HEBAT ada membincangkan tabiat ini.

Tiada cara yang mudah untuk menghentikan anak yang suka bercakap bohong. Tapi Puan boleh selalu mengingatkannya kepada kisah-kisah akibat bohong di mana orang yang bercakap bohong lambat laun tidak akan dipercayai oleh sesiapa pun. Bagaimanapun, mesej yang disampaikan perlu positif, iaitu katakan yang Puan yakin dia seorang anak yang baik dan bersikap jujur, dan amanah serta akan sentiasa bercakap benar. Paling penting, pertingkatkan DOA kerana ini ialah ujian yang Allah beri kepada Puan. InsyaAllah ia akan menjadikan Puan lebih matang, berwawasan dan lebih akrab denganNya. WallahuA’lam.

About Jamilah Samian

Jamilah has written 536 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top