Perkahwinan

Khabar Cinta Dari Syurga

Photo by Trey Ratcliff on Flickr

oleh Jamilah Samian

Photo by Trey Ratcliff on Flickr

 

Satu ketika dahulu, semasa saya dan keluarga tinggal di Sarawak, saya pernah menjadi sukarelawan di sebuah pusat pemulihan akhlak wanita di sana. Kelihatan dari luar tempat ini tidak ubah seperti penjara, dengan kawalan ketat, pagar tinggi dan dawai tajam berceracak di kelilingnya.

Penghuninya rata-rata di bawah umur lapan belas tahun. Agak lama saya berulang alik ke sana, kira-kira hampir dua tahun. Oleh kerana sudah biasa dan rapat dengan saya, mereka tidak segan silu menceritakan latar belakang dan kisah bagaimana mereka diberkas dan dihantar ke pusat tersebut.

A, seorang anak angkat dalam keluarga termiskin. Mula bekerja sebagai “pelayan kedai kopi”(istilah yang digunakan bermakna pelacur) pada usia 14 tahun. Menurut A, meskipun dia kurang didikan agama, dia tahu ini kerja yang menjelikkan. Dia hairan dengan layanan keluarganya bila tahu tentang kerja yang dibuatnya.

Setiap minggu apabila dia pulang dengan beg sendat berisi wang, keluarga angkatnya akan melayannya dengan begitu mesra, tidak seperti biasa. Jika pulang dengan tangan kosong, mereka akan memarahi dan menyisihkannya. A sanggup bekerja menjadi “pelayan kedai kopi”kerana itulah caranya untuk dia diterima keluarga angkatnya.

Cerita ini cukup pelik dan menyayat hati. Saya sendiri terkejut dan tidak percaya bagaimana sebuah keluarga Islam boleh berbuat demikian kepada anaknya, meskipun anak angkat, tetapi bila ditanya dengan penyelia pusat tersebut, ternyata benar.

B,17 tahun, dibesarkan oleh nenek yang amat memanjakannya. Bila remaja, B diambil semula oleh ayahnya yang menurut ceritanya terlalu garang. Akhirnya B lari dari rumah dan hidup luar nikah dengan teman lelakinya sebelum diberkas oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat. Menurut B, dia merasa dirinya dibenci oleh ayah sendiri kerana selalu dimarahi di rumah.

KETANDUSAN KASIH DAN AKIBATNYA

Meskipun saya hanya paparkan dua kisah contoh tentang penghuni di pusat pemulihan akhlak tersebut, hakikatnya hampir semua penghuni pusat itu kisah hidupnya mempunyai satu persamaan : mereka menderita justeru ketandusan kasih. Kesemua mereka terjebak dalam kancah maksiat kerana dahagakan kasih sayang, tenggelam punca kerana terasa diri tidak dikasihi, dicintai dan disayangi.

Tidak kira dari ibu bapa atau sesiapa sahaja. Bila terasa dirinya tidak dihargai, mulalah mencari sumber cinta dari luar. Hal ini berlaku terutamanya bagi golongan remaja. Bila meningkat remaja, yang lelaki menagih cinta dari remaja wanita dan begitulah sebaliknya.

Perkataan CINTA hanya lima huruf dan dua suku kata. Namun pengaruhnya cukup berat dalam kehidupan setiap insan. Saya masih ingat kata-kata pujangga yang dicoret seorang kakak senior dalam buku autograf saya sebelum menamatkan persekolahan dahulu. Coretannya berbunyi begini: “To love is nothing; to be loved is something. But to love and be loved is everything.”

Alangkah indahnya hidup ini apabila orang yang kita cintai membalas cinta kita. Hari-hari yang dilalui terasa sempurna dan bahagia. Alangkah bertuahnya anda yang berjaya menemui pasangan sehinggakan saling cinta mencintai setulus hati seumur hidup. Namun, bagaimanakah kita boleh menemui cinta yang luhur dan sejati ini? Jawabnya, dengan mencintai seseorang semata-mata kerana Allah.

Saya masih ingat, kali pertama saya mendengar kalimah “Biarlah semua yang kita lakukan itu kerana Allah. Hatta cinta sekalipun, jika mencintai seseorang biarlah semata-mata kerana Allah,”saya termenung sejenak. Terasa kabur dan sukar difahami. Namun jauh di lubuk hati, saya yakin inilah cinta yang lebih baik, bermanfaat dan yang Allah mahu kita praktikkan. Apa ertinya mencintai seseorang kerana Allah , tidak kira sama ada orang yang dicintai itu sahabat, ibu atau bapa, anak, suami atau isteri? Mungkin paparan peristiwa di bawah boleh membantu kita memahaminya.

KISAH SETEGUK AIR 

Dalam Peperangan Yarmuk, seorang pembawa air tercari-cari pejuang Islam yang mungkin memerlukan air. Akhirnya beliau menjumpai seorang pejuang yang cedera parah dan mengerang kesakitan. Namun belum sempat pembawa air ini menyuakan air ke bibir pejuang ini, tedengar rintihan seorang pejuang lain yang berteriak “Air! Air! Berikanlah saya air!”

Pejuang pertama yang sedang nazak mengisyaratkan kepada pembawa air untuk meninggalkannya dan memberikan air tersebut kepada pejuang kedua. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua yang juga berlumuran darah dan nyata tipis peluangnya untuk hidup. Namun belum sempat pejuang kedua ini meneguk air yang dibawakan kepadanya, terdengar teriakan “Air! Air! Berikanlah saya air!” daripada pejuang ketiga.

Pejuang kedua juga mengisyaratkan kepada pembawa air ini untuk segera memberi air kepada orang ketiga yang berteriak tadi. Namun sesampainya pembawa air ini kepada pejuang ketiga dan belum sempat dia memberi air kepadanya, pejuang tersebut yang sedang nazak juga menghembuskan nafas yang terakhir. Pembawa air ini bergegas kepada pejuang kedua tadi, tapi dia pun telah mati syahid juga. Dia bergegas ke pejuang pertama, tapi pejuang pertama itu pun sudah meninggal dunia. Menitis air mata si pembawa air tadi bila menyedari betapa tiga orang pejuang ini sanggup mengorbankan keperluan masing-masing demi orang lain!

(Saya sengaja tidak menyebut nama-nama pejuang dan pembawa air dalam kisah di atas kerana beberapa sumber yang saya rujuk memberikan nama-nama yang berlainan. Harap sudi perbetulkan jika saya silap di sini.)

Paparan kisah seteguk air di atas menunjukkan beberapa ciri cinta kerana Allah, iaitu:

–       memahami bahawa orang yang kita cintai itu milik Allah dan dia boleh diambil olehNya pada bila-bila masa

–       Bila kita mencintai seseorang kerana Allah, kita mementingkan dirinya lebih daripada diri kita sendiri meskipun ini bermakna kita mengetepikan keperluan peribadi. Relevannya poin ini kerana dunia sekarang amat menitikberatkan individualisme, iaitu mementingkan diri sendiri.

Kisah seteguk air jelas menggambarkan cinta yang luhur dan sejati. Tidak kira sama ada cinta antara lelaki dan wanita, suami dan isteri, anak-anak, ibu bapa atau sahabat. Sebagai ibu bapa, kita perlu mendidik anak-anak supaya mencari cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga. Satu-satunya cinta yang membawa kita ke syurga ialah mencintai seseorang kerana Allah. Ia tidak mudah dilakukan, tetapi memerlukan usaha yang berterusan.

DIDIK ANAK DEKATI ALLAH DAHULU SEBELUM MENCARI JODOH

Buat ibu bapa yang anak-anaknya meningkat remaja, topik cinta adalah sesuatu yang perlu dibincangkan secara terbuka dengan anak-anak. Pengaruh budaya luar yang mendesak perhubungan bebas antara lelaki dan wanita serta naluri semula jadi untuk mencari pasangan mewajibkan kita untuk tidak mengabaikan perkara ini. Keinginan untuk hidup berpasangan sememangnya dititipkan dalam jiwa setiap insan. Keinginan mempunyai pasangan ini lazimnya mula terasa semasa usia meningkat remaja.

Saya pernah menghadiri suatu sessi kuliah yang penceramahnya seorang lelaki muda berbangsa Greek, memeluk Islam pada usia dewasa. Menariknya dalam kuliah ini, beliau berkongsi cerita tentang bagaimana beliau menemui isterinya, seorang wanita Islam dari Malaysia. Katanya, selepas memeluk Islam, beliau meninggalkan cara hidup lama, tidak lagi mahu ada teman wanita.

Sebaliknya beliau berpegang kepada prinsip, “Find Allah and he or she will find you.” Maksudnya,“Carilah Allah dan anda akan temui gadis atau jejaka idaman hatimu.” Betapa indahnya konsep ini! Saya kira ini bermakna, jika kita hendak mencari suami atau isteri yang paling sesuai, dekatkanlah diri dengan Allah dan yakinlah bahawa Dia akan pertemukan kita dengan jejaka atau gadis yang secocok dengan kita. Inilah konsep yang amat perlu diterapkan dalam jiwa remaja anak-anak dan diri kita sendiri, iaitu :

–       cinta yang hakiki, iaitu cinta yang membawa kita ke syurga bermula dengan cinta kepada Allah. Dari sinilah terbitnya cinta kepada orang lain seperti cinta kepada ibu bapa, suami, anak-anak dan sahabat.

–       cinta yang membawa ke syurga antara lelaki dan wanita ialah apabila pasangan lelaki dan wanita ini mencintai satu sama lain semata-mata kerana Allah. Ini bermakna, mendirikan rumahtangga dengan niat untuk mengikut sunnah Rasulullah S.A.W. yang amat digalakkan oleh Islam.

–       Bila suami isteri mencintai satu sama lain kerana Allah, jika timbul konflik, masing-masing tidak egoistik, kedua-duanya akan merujuk kepada AlQuran dan Sunnah dan lebih mudah untuk maaf memaafkan. Dengan itu, perbezaan pendapat ini tidak memanjang menjadi suatu pertelingkahan yang besar dan dapat dibendung dan diselesaikan dengan baik.

Sehingga si suami bertanggapan isterinya sentiasa mendahulukan kepentingannnya dan si isteri pula merasakan dialah wanita yang bertakhta di hati suaminya. Redhanya suami kepada isteri dan isteri kepada suami ini pada hemat saya adalah satu cara untuk kita menambah saham akhirat dan satu lagi langkah mendekatkan kita kepada Allah dan syurgaNya.

Wallahua’lam.

[disiarkan dalam www.iluvislam.com]

About Jamilah Samian

Jamilah has written 455 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top