kemahiran membaca

Anak 5 Tahun Belum Boleh Membaca

Soalan:

Dalam kelas saya ada 19 org pelajar purata usia 5 tahun. Ada seorang pelajar sangat suka mengacau pelajar lain – cubit, tumbuk, ambil barang kawan, tolak kawan, kalau kawan belajar dia usik. Dia sendiri tidak minat belajar, sehinggakan saya kekadang terpaksa memberinya upah supaya dia akan buat kerja yang disuruh. Ibunya selalu menyalahkan pihak sekolah sebab anaknya tidak pandai membaca. Anak ini aktif dalam sukan; kalau ada aktiviti sukan, selalu menang. Anak ini boleh juga melakar, tetapi lakarannya kurang kemas. Saya tidak nampak sebarang keistimewaan lain. Lukisannya juga kurang elok. Anak ini suka bercerita, tetapi sering diketawakan oleh kawan-kawan kerana kerapkali cerita yang dikongsinya ‘pelik’ bunyinya.

Jawapan:

Apapun kaedah yang dicuba akan memakan masa dan perlukan kesabaran serta usaha yang berterusan (konsisten).

Cuba beri perhatian ‘1-on-1’, sedikit setiap hari. Dalam 10-15 minit sebagai permulaan pun memadai. Proses belajar membaca seeloknya sesuatu yang menarik minat semulajadi anak-anak, bukan membuatkan mereka terlalu stres dan tidak seronok. Lagi positif suasana yang dialami oleh anak-anak, lagi mudah mereka ingat apa yang dipelajari. Mereka juga akan ternanti-nanti sesi pembelajaran seterusnya dan belajar tanpa perlu dipaksa.

Tentang perangai anak ini suka mengacau kawan, proses mengubah tingkah laku negatif kepada positif mengambil masa. Satu cara kreatif ialah dengan memberi dia tugasan khas membantu Cikgu. Umpamanya menyediakan bahan tertentu sebelum kelas bermula. Sebelum itu, disyorkan Cikgu duduk bersamanya untuk sembang ringkas. Saya ingin tekankan di sini, ‘sembang ringkas’ bukan bermakna sembang berat atau panjang lebar yang boleh tambah mengelirukan anak ini. Katakan yang Cikgu tahu dia anak yang baik. Katakan yang pembantu Cikgu tidak boleh kacau kawan. Minta kerjasama darinya. Lazimnya anak pada usia 5 tahun sudah mula berfikiran secara rasional dan logik.

Cuba juga perhatikan bila dia lakukan sesuatu yg baik, dan sebut tingkah laku positif tersebut secara spesifik. Anak mudah ulangi perangai yang kita sebut dan beri perhatian.

picture-108539_1920

Mungkin juga anak ini rasa malu dan kekurangan, sebab kawan-kawan dia sudah pandai baca, sedangkan dia belum lagi.

Cuba tanamkan kepercayaan ‘Aku budak baik’ dan ‘Aku boleh’ dalam diri anak ini.

Beri dia tugasan yg sesuai dengan kefahamannya. Tidak semestinya membaca.

Anak ini boleh melakar. Nilai lakaran bukanlah kepada cantik atau tidak, tetapi lebih kepada membantu anak ini menggunakan lakaran tersebut untuk berkongsi idea. Bila tiba giliran dia dipanggil ke depan, minta dia bawa lakaran, minta dia ceritakan tentang lakaran tersebut. Boleh juga cadangkan padanya untuk mengaitkan lakaran tersebut dengan sesuatu yang dia minati, umpamanya sukan.

Tujuannya untuk bina keyakinan diri (‘self-confidence’).

Anak-anak pada usia ini biasanya bersifat jujur. Jika dia diketawakan oleh kawan-kawannya ketika bercerita, apa yang dikatakan oleh Cikgu besar pengaruhnya kepada suasana kelas. Katakan, “Menarik cerita ini. Terima kasih (sebut nama anak ini) kerana sudi berkongsi cerita dengan kita semua hari ini.” Jangan turut ketawakan dia kerana ini hanya akan membuat dia tambah malu dan rendah diri.

Besar kemungkinan pelajar-pelajar lain akan ikut contoh Cikgu. Setiap anak belajar dengan caranya tersendiri. Hormatilah keistimewaan mereka. Anak-anak yang lain mungkin rasa pelik pada peringkat awal, tetapi lama kelamaan mereka akan terima hakikat bahawa rakan mereka ini belajar dengan cara yang berbeza. Tiada sebab mengapa mereka perlu memandang rendah kepadanya. Mereka juga ada adik-beradik atau saudara-mara yang mungkin mengalami situasi yang serupa. Kebijaksanaan Cikgu akan membimbing mereka di masa hadapan. Begitulah pentingnya amanah yang dipikul oleh seorang guru.

Ada pelbagai kaedah belajar membaca yang lebih efektif di luar sana, umpamanya kaedah fonik gabung bunyi. Untuk contoh kaedah fonik gabung bunyi, lihat ‘Bacalah Anakku’ dan Readeasy Phonics.  Untuk anak yang sudah berusia 6 tahun ke atas tetapi masih belum kenal huruf, kemungkinan juga anak ini adalah anak disleksia.

 

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 534 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top