Mutiara Kata Hari Ini

Rogol Bergilir-gilir Terburuk Di Malaysia: Bimbing Remaja Buat Keputusan Bijak Dan Selamat

Mutiara Kata

Oleh Jamilah Samian

Membaca laporan rogol bergilir-gilir yang terburuk di Malaysia menggerunkan saya. Memikirkan keadaan dua remaja perempuan yang diperkosa oleh hampir 40 orang lelaki hingga tidak sedarkan diri menaikkan darah saya. Saya yakin, bukan saya seorang berpendapat sebegini. Mana-mana ibu bapa, guru atau tenaga pengajar yang prihatin tentang anak-anak generasi masa depan pasti merasa bimbang dan jijik dengan tindakan tidak berhati perut sebegitu rupa.

Apa pun, lebih penting bagi kita para ibu bapa, guru dan pendidik untuk mengakui kepentingan melatih anak-anak kita bagaimana caranya membuat keputusan yang bijak, demi menjamin keselamatan dan maruah diri mereka.

Berikut beberapa tips yang boleh anda kongsi dengan remaja anda:

1) Jika ragu-ragu, jangan lakukan. Kita pastinya ada GPS dalaman, bisikan hati yang mendorong kita merasa selesa untuk berbuat sesuatu atau sebaliknya. Ajar anak-anak anda supaya peka dengan suara ini, dan katakan “TIDAK” kepada ajakan daripada orang lain jika hati terasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Tak  beri sebarang penjelasan pun tak apa. Tambahan pula, keputusan yang dibuat secara tergesa-gesa tanpa berfikir panjang kemungkinan buruk padahnya.

2) Mustahil untuk puaskan hati semua orang. Remaja ingin diterima dan mendapat tempat di hati rakan sebaya. Beritahu mereka, menjadi popular dengan kawan keliling pinggang bukannya ukuran kejayaan. Seorang kawan baik yang boleh dipercayai jauh lebih bernilai daripada seratus orang kawan biasa.

3) Curi-curi keluar rumah adalah satu kesalahan. Bunyinya macam kolot, tetapi remaja seharusnya minta izin ibu bapa sebelum keluar rumah, meskipun untuk ke lokasi yang jaraknya setengah jam perjalanan, apatah lagi dengan individu yang tak dikenali!

4) Tunjukkan remaja anda  cara memilih kawan yang baik. Ini lebih mudah dilakukan dengan kanak-kanak kecil. Anda boleh larang anak kecil berkawan dengan seseorang disebabkan nakal atau sikapnya yang teruk. Dengan remaja pula, anda perlu lebih berhemah. Jika anda risau dengan siapa anak-anak anda bergaul, mungkin anda boleh cuba beri komen tentang kawan-kawan anda sendiri. Beritahu bagaimana kawan-kawan mempengaruhi hidup anda, cara anda berfikir dan berinteraksi. Tak perlulah panjang lebar. Sepatah dua kata pun sudah memadai. Lakukannya tanpa merujuk kepada mana-mana kawan anak remaja anda. Tindak-tanduk dan kata-kata anda tentang kawan-kawan anda akan membimbing remaja anda berfikir tentang kawan-kawannya sendiri.

5) Bina kepercayaan antara anda dan anak anda. Buatkan anak-anak remaja anda selesa berbual di sisi anda, anda sepatutnya menjadi sumber rujukan utama mereka.

6) Jangan terlalu emosi bila anak buat silap, atau remaja mungkin tidak akan mengakui kesalahan di depan anda di lain kali. Hargai kebaikan yang mereka lakukan. Galakkan mereka untuk menyesali kesilapan lalu, sering bertaubat, sekaligus berubah menjadi lebih baik.

Fasa remaja bukannya suatu waktu yang mudah untuk ibu bapa dan anak-anak. Di kala ini, sifat ingin tahu anak-anak meningkat tinggi, terutama tentang perubahan fizikal dan mental yang mereka alami. Dalam fasa remaja, anak lelaki amat tertarik kepada remaja perempuan, begitu juga sebaliknya. Itu sebabnya amat perlu bagi kita untuk melatih dan membimbing mereka berfikir demi masa depan dan membuat keputusan yang baik. Ibarat pepatah, “Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya.” Lebih banyak masa dan tenaga dicurahkan untuk perkara yang elok, lebih tipis kemungkinan untuk mereka tergelincir ke dalam jurang yang tidak bertepi.

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 472 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top