Rahsia Mendidik Anak Hebat

Suka Duka Ibu Berkerjaya

Burma

Selain beg tangan, kasut dan aksesori, wanita menggemari tiga perkara iaitu penampilan yang elegan, anak-anak dan kerjaya. Tampil cantik itu suatu yang jelas dan mudah. Gabungkan waktu tidur yang cukup, pemakanan seimbang, fikiran positif, busana menarik dan seukir senyuman di wajah dan . . . nah! Anda sudah bersedia menghadapi apa sahaja.

Namun, mencari keseimbangan antara keperluan keluarga dan kerjaya tidak semudah itu. Tidak dinafikan, seorang wanita lazimnyapaling bertenaga dan mampu meningkatkan diri secara peribadi dan profesional sebelum mencecah usia 40 tahun. Namun, bagi ibu berkerjaya, dalam tempoh inilah keluarga dan kerjaya masing-masing mahukan perhatian, masa dan tenaga mereka.

Kita perhatikan dahulu, apakah yang dimaksudkan dengan “kerja”?

Junjungan besar kita, Rasulullah (SAW) pernah bersabda, “Sebaik-baik manusia adalah orang yang paling bermanfaat kepada manusia lain.” (Daraqutni, Hasan).

Dalam konteks ini, kita definisikan semula “kerja” sebagai “apa-apa sahaja yang memberi manfaat kepada manusia”.

Ada wanita yang saya kenali memilih untuk menjadi suri rumah sebaik sahaja dikurniakan cahaya mata. Saya juga mengenali wanita yang melibatkan diri secara serius dalam kerja-kerja amal tanpa mengharapkan sebarang bayaran seperti kerja-kerja sukarela, selain tugas hakiki dalam kerjaya yang mereka lakukan. Terpulang pada pilihan masing-masing. Seorang ibu tidak sepatutnya dihakimi atau dilihat sebagai kurang berjaya dengan melihat pilihan “kerja” mereka.

Bagaimanakah seorang ibu mencari titik keseimbangan antara cinta kepada keluarga dan cinta kepada kerjaya, dengan cara paling bermanfaat kepada manusia?

TUJUAN YANG JELAS

Pastikan anda benar-benar tahu sebab anda melakukan sesuatu. Apabila “sebabnya” sudah jelas, “caranya” akan menjadi lebih mudah. Apabila berdepan kesulitan, ingatkan diri anda mengapa anda memilih untuk berada di situ. Jika anda percaya apa yang anda lakukan ini mempunyai nilai dan berupaya mengubah masyarakat dengan cara yang bermakna, anda akan memperoleh kekuatan untuk meneruskannya.

BERBUAT BAIK KEPADA DIRI SENDIRI

Lupakan saja niat anda untuk membantu manusia lain jika kesihatan anda sudah tiada. Stres keterlaluan yang berpanjangan boleh menyebabkan banyak penyakit zaman moden termasuk kanser. Ibu bekerja cenderung berusaha habis-habisan demi mengejar kejayaan dalam kerjaya sehingga ke suatu tahap, mereka menyedari yang Wonder Woman itu cuma watak fiksyen dan pada waktu itu, semuanya sudah terlambat. Orang yang paling perlu diberi perhatian oleh seorang ibu ialah diri mereka sendiri. Waktu tidur yang tidak menentu, kurang bersenam dan pemakanan yang tidak dijaga boleh mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan kita dalam jangka panjang.

BERLAPANG DADA

Fikirkan alternatif selain pilihan yang sedia ada. Carilah cara yang tidak konvensional untuk mengatasi dan menyelesaikan msalah. Sesuatu yang berkesan pada orang lain mungkin tidak serasi untuk anda.

BERBUAT BAIK KEPADA ORANG LAIN NAMUN LAKUKAN YANG LEBIH BAIK KEPADA KELUARGA ANDA SENDIRI

Jika anda tandakan tarikh penting dalam kalendar untuk temujanji bersama klien, jangan lupa lakukan perkara yang sama untuk ibu bapa, pasangan dan anak-anak. Ikatan kekeluargaan adalah suatu yang suci. Terlalu banyak rumah tangga menemui kegagalan apabila pasangan gagal meletakkan kepentingan di tempatnya sejurus selepas mengikat tali perkahwinan. Jaga hubungan dengan ahli keluarga kita setiap hari. Hubungan boleh menjadi renggang jika selalu berjauhan. Bagi anak-anak kecil, cinta itu dieja M-A-S-A. Tiada apa yang dapat menggantikan sentuhan dan suara lembut sang ibu.

RASAKAN SEDIKIT PENYESALAN SETIAP HARI

Perasaan tidak puas hati boleh menjadi sumber motivasi yang baik. Lupakan kesempurnaan dan sebaliknya, usahakan untuk menjadi yang lebih baik. Baharui azam untuk membina hubungan kekeluargaan yang lebih baik, prestasi yang lebih baik di tempat kerja serta lebih memahami diri sendiri dan orang lain. Anda hanya boleh memperbaiki diri jika anda melihat kembali dan merenung semula dengan jujur pada penghujung hari yang sudah berlalu dan menerima kelemahan anda.

KENAL PASTI HERO ANDA

Pilih seorang insan yang memberi inspirasi kepada anda. Sekiranya anda sampai pada suatu tahap yang mana anda hampir berputus asa, ingatlah insan ini; ingat mengapa dia begitu penting dan bagaimana dia memberi inspirasi kepada anda. Inspirasi saya ialah Allahyarhamah bonda saya. Dia pernah berpesan kepada saya, “Selagi kita berbuat baik, selagi itulah Tuhan menolong kita.” Sejak itu, kata-kata bonda menjadi sumber inspirasi hidup saya. Apabila berdepan cabaran dan situasi menjadi sukar, saya kenang semula kata-kata ini untuk terus melangkah ke hadapan.

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [zackzip@hotmail.com]

Baca artikel asal di sini: A Working Mother’s Love Affair

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 443 articles.

Jamilah Samian is the author of "COOL MUM SUPER DAD", "COOL BOYS SUPER SONS", "THE GROOVY GUIDE TO PARENTING GEN Y & Z" and "THE KINDNESS MIRACLE".

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top