Rahsia Mendidik Anak Hebat

Kisah Seorang Muazzin

oleh Jamilah Samian

 

Ada seorang pemuda yang tugasnya setiap waktu melaungkan azan di sebuah masjid. Pemuda ini kemudian berpindah ke Amerika dan menyewa hostel di sana. Bermulalah kehidupan barunya sebagai seorang penuntut. Biarpun berpengalaman sebagai muazzin, dia tidak pula cuba untuk meneruskan peranan ini di tempat tinggal barunya.

Suatu hari, pintu biliknya diketuk. Bila dibuka, rupa-rupanya beberapa orang kawan barunya menanti. Mereka mengajak pemuda tersebut untuk bermain bowling. Pada mulanya pemuda itu menolak, namun setelah puas dipujuk, dia pun bersetuju.

Di dewan bowling petang itu, sejurus masuk waktu solat, pemuda itu memberitahu kawan-kawannya yang dia perlu menunaikan solat, lantas meninggalkan mereka untuk solat. Kali kedua ke tempat yang sama, pemuda itu tidak lagi mengerjakan solat di sana apabila masuk waktu. Mungkin terasa dirinya sebagai ‘outsider’ kerana solat keseorangan sebelumnya.

Suatu hari di tempat yang sama, semasa bermain bowling, teman-temannya ini membeli beberapa botol minuman keras. Pemuda tersebut diajak minum sama. Pada mulanya pemuda ini menolak. Tetapi setelah didesak dan dicabar oleh kawan-kawannya, ditelannya beberapa teguk. Oleh kerana dia tidak pernah minum minuman keras, kepalanya mula terasa ringan dan pandangannya berpinar. Diminumnya beberapa teguk lagi sebelum bangun terhuyung-hayang, melangkah ke sana ke mari di dewan boling itu.

Tanpa disedari oleh kawan-kawannya yang asyik bermain, dia menghampiri seorang wanita cantik yang duduk bersendirian di sebuah meja berdekatan dan mula mengacaunya. Tiba-tiba muncul teman lelaki wanita tersebut. Apabila ternampak apa yang sedang dibuat oleh pemuda itu, teman lelaki wanita itu lantas menghayun dan menghentakkan bola bowling dalam genggamannya ke atas kepala lelaki yang mabuk itu. Lelaki itu jatuh terkulai dan menghembuskan nafas yang terakhir di situ juga.

Kisah ini diceritakan oleh Shaykh Riad Ouarzazi dalam sebuah seminar berjudul A HEART SERENE(Jiwa Yang Tenang) anjuran AlMaghrib Institute (http://almaghrib.org). Sehingga hari ini masih terngiang-ngiang di telinga saya kata-kata Shaykh Riad di akhir ceritanya, iaitu “(At all times) you’re either the caller (dai’e) or the one called (mad’u).” Maksudnya, setiap saat dalam hidup ini, kita sama ada seorang mad’u (orang yang dipanggil) atau dai’e (orang yang memanggil).

Berdasarkan apa yang dinyatakan oleh Shaykh Riad seperti yang disebut di atas, sebagai seorang dai’e, anda sentiasa memanggil atau mempengaruhi orang lain untuk berbuat kebaikan atau sebaliknya. Jika anda bukan seorang dai’e, anda secara otomatis adalah seorang mad’u yang dipengaruhi oleh dai’e tersebut, tidak kira sama ada anda sedar ataupun tidak. Dalam cerita di atas, disebabkan pemuda yang asalnya muazzin enggan meneruskan hidupnya sebagai dai’e di tempat barunya, dia akhirnya termakan dengan pujuk rayu kawan-kawan barunya. Persoalannya ialah: Dalam hidup ini, adakah anda seorang mad’u atau dai’e?

[Tuan/Puan yang turut menghadiri seminar tersebut, harap sudi perbetulkan andaikata saya tersilap fakta di atas.]

JANGAN HINA ORANG LAIN

Sejurus mendengar kisah ini, saya terpegun sejenak. Terkenang pula kata-kata Shaykh Yahya Adel Ibrahim Alhafidz, salah seorang guru dan penceramah yang dikasihi dan dihormati keluarga saya. Beliau pernah berkata: “Never judge a person because you don’t know his or her circumstances.” Maksudnya “Jangan menghukum orang lain kerana engkau tidak tahu latar belakang dan situasi hidupnya.

Saya kira ini boleh diertikan, kita jangan sekali-kali memandang rendah akan orang lain. Anda yang berpendidikan tinggi agama, jangan sekali-kali memandang rendah orang yang berpendidikan sekular. Wanita yang menutup aurat jangan sekali-kali mencerca atau menghina wanita yang berseluar pendek atau berpakaian kurang sopan, kerana tidak tahu asal usul hidupnya. Mungkin dia dibesarkan oleh ibu bapanya dalam keadaan sedemikian dan tidak tahu apa istimewanya menutup aurat, dan mengapa wanita harus menutup aurat. Malah, saat saya bertemu dengan wanita seperti ini, saya mengingatkan diri saya sendiri, andaikata saya dibesarkan dalam keadaan yang sama, terdedah kepada pengalaman-pengalaman yang sama, mungkinkah saya juga sepertinya?

Seperti kisah muazzin di atas, saat terakhir kita menghembuskan nafas di persada dunia belum tentu lagi cerah gelapnya. Biarpun saat ini saya solat, berpuasa dan menutup aurat, hati manusia berubah-ubah, termasuk hati saya sendiri. Benar saya berusaha, tetapi mustahil berlaku sesuatu tanpa izinNya. Segala yang saya terima, nikmat sebagai insan bergelar Muslim ini pun, adalah pemberian dari Allah. Jika Allah kehendaki, bukankah Dia boleh menarik balik rahmat dan kurnia ini dari saya? Kerana itu hakNya dan Dialah yang Maha Berkuasa. Apalah daya saya untuk menolaknya?

TERKIKISNYA IMAN SEDIKIT DEMI SEDIKIT

Persoalan “Anda seorang mad’u atau dai’e?” yang dilemparkan oleh Shaykh Riad menyentak jiwa julung kali saya mendengarnya. Perspektif moden menekankan, soal spiritualiti itu hak mutlak individu. Justeru soal spiritualiti pantang ditonjolkan kerana “semua agama itu baik dan sama, terserah kepada individu untuk memilih agama yang sesuai dengannya”.

Namun jika dilihat dari cerita di atas, sikap inilah yang mungkin membawa kita sedikit demi sedikit tergelincir lantas terjerumus ke dalam lembah yang tiada penghujungnya. Logiknya mudah; jika kita menganggap semua agama itu benar dan baik, tentu kita tidak nampak perlunya untuk memilih jalan sebagai mad’u atau dai’e.

Sebagai ibu atau bapa, adakah kita telah mendidik anak-anak untuk memilih antara hidup sebagai mad’u atau dai’e? Adakah kita menunjukkan contoh yang jelas kepada anak-anak dalam kehidupan seharian dengan membuat pilihan sebagai dai’e ke arah kebaikan? Amanah membesarkan anak-anak menjadi insan yang sempurna ini memang berat. Amat berat. Bagi diri saya sekalipun, saya yakin tidak pernah memikul tanggungjawab seberat ini. Setiap ketika terasa masih terlalu jauh perjalanan ini untuk mencapai apa yang diingini dari segi menerapkan ketaqwaan di jiwa anak-anak saya. Masih terlalu banyak yang belum saya laksanakan. Anda pula bagaimana?

[disiarkan dalam www.iluvislam.com]

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top