TOPIK: USIA MENJANGKAU 30 TAPI MASIH MALU DENGAN IBU BAPA
Soalan:
Mengapakah sesetengah anak berasa malu untuk meluahkan isi hati mereka kepada ibu bapa sendiri? Saya kini berusia hampir 30 tahun, akan mendirikan rumahtangga tetapi masih malu untuk berbincang tentang persiapan perkahwinan dengan ibu bapa serta adik-beradik saya. Malah, saya sangat kekok dan malu untuk berkongsi apa sahaja masalah yang saya hadapi dengan ibu bapa saya. Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membina perhubungan yang amat erat dengan anak mereka supaya annak-anak berasa selesa untuk berbincang apa sahaja dengan ibu bapa?
Jawapan:
Terima kasih untuk soalan anda. Tahniah dan semoga perkahwinan yang bakal berlangsung aman bahagia sentiasa!
Sama ada seorang anak berasa selesa untuk berkongsi hal peribadi dengan ibu bapanya bergantung kepada bagaimana dia dibesarkan. Ini tidak semestinya mencerminkan rasa kasih dan sayangnya terhadap kedua ibu bapanya. Meskipun dia sangat sayang kepada ibu bapanya, tidak bermakna dia akan bersedia berkongsi apa saja yang tersedik di hatinya pada bila-bila masa.
Ibu bapa perlu mewujudkan suasana di mana anak-anak merasa selesa untuk bercerita tentang isu-isu yang mereka hadapi sejak kecil lagi. Luangkan masa bersama dengan setiap anak, terutamanya remaja, tanpa kehadiran ahli keluarga lain (adik-beradik umpamanya) supaya si anak belajar dua perkara:
1) merasa selesa bersembang dengan ibu bapa tanpa kehadiran orang ketiga (”one-on-one” time)
2) berkomunikasi dengan ibu bapa secara bersemuka (”face-to-face”)
Dua poin di atas mungkin nampak mudah. Bagaimanapun, tanpa waktu “one-on-one” dan ”face-to-face” ini, anak-anak yang personalitinya pendiam dan pemalu sering “tenggelam” dek celoteh dan gurau-senda serta keletah anak-anak yang lebih periang dan ceria.
Ibu bapa juga perlu peka bahawa anak-anak berubah seiring dengan peningkatan umur mereka. Sewaktu mereka kecil, ibu bapalah yang perlu banyak bercakap. Namun, apabila anak meningkat remaja, ibu bapa perlu lebih banyak mendengar dan memberi mereka lebih ruang untuk bercakap.
Ada beberapa teknik yang boleh digunapakai termasuk mendengar secara aktif (“active listening”). Dengan cara ini, ibu bapa perlu menyatakan semula apa yang diperkatakan oleh si anak untuk memastikan dia faham apa yang ingin diluahkan oleh si anak tersebut.
Ibu bapa juga perlu peka dengan konsep komunikasi; iaitu gabungan gerak geri dan raut wajah beserta kata-kata yang dituturkan; bukan setakat kata-kata sahaja. Jika tidak, salah faham mudah timbul antara ibu bapa dan si anak tersebut.
Wallahua’lam.