Soal & Jawab

Anak Sulung: Harapan Ibu Bapa Terlalu Tinggi

Soalan:

Adakah adil jika anak sulung sentiasa diberikan lebih banyak tanggungjawab? Pada hemat saya, budaya kita cenderung untuk meletakkan terlalu banyak tanggungjawab ke atas anak sulung. Ibu bapa juga terlalu tinggi harapan dan jangkaan mereka ke atas anak sulung. Anak sulung sering disuruh jaga adik, mengemas rumah dan pelbagai lagi tugasan yang sepatutnya dilakukan bersama adik-beradik lain. Bukankah lebih baik jika semua tugasan dibahagi-bahagikan sama rata kepada semua anak-anak?

Sebagai anak sulung, sejak kecil lagi saya dimarahi jika tidak menjaga adik-adik dengan baik. Akibatnya, adik-adik saya merasa kurang bertanggungjawab untuk menjadi contoh kepada orang lain. Semasa ibubapa saya menunaikan haji, saya disuruh menjaga semua adik-beradik yang lain. Walhal mereka semua sudah dewasa dan boleh menjaga diri sendiri. Sedangkan saya sudah pun berkeluarga dan perlu menguruskan rumahtangga saya sendiri serta duduk berasingan. Apakah cara terbaik untuk ibu bapa bertindak dalam hal ini?

Jawapan:

Lazimnya sekumpulan manusia perlukan pemimpin. Dalam sebuah keluarga, si bapa biasanya dilihat sebagai pemimpin utama, diikuti ibu sebagai sayapnya. Dalam keluarga yang ketiadaan bapa, ibu akan mengambil alih peranan bapa. Anak sulung sering dilihat sebagai bakal pengganti ibu bapa sekiranya mereka tiada. Ini kerana dia lebih tua dan dijangka lebih matang untuk memimpin keluarga. Bagaimanapun dalam sesetengah keluarga, anak sulung  tidak dapat menjalankan peranan ini oleh sebab tertentu, contoh, isu kesihatan, dan dia akan diganti oleh anak yang lain.

Tugas menjaga adik-adik biasanya diamanahkan kepada anak sulung sejak mereka masih kecil, tetapi faktor umur perlu diambil kira, contohnya, janganlah diharapkan anak yang baru berusia tiga tahun untuk menjaga si adik. Kehendak ibu bapa supaya anak sulung sentiasa menjaga adik-adik dan terus-menerus dibebankan dengan kerja-kerja rumah tidak harus berterusan sehingga ke zaman dewasa. Ini jelas akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam diri dan jiwa anak sulung dan sekaligus mencuri peluang anak-anak lain untuk bersikap lebih bertanggungjawab. Dalam jangka panjang, kita mahu setiap anak menjadi insan yang boleh berdikari dan bertanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Seelok-eloknya setiap anak dilatih untuk memainkan peranan dalam apa sahaja tugasan termasuk sebagai pemimpin kerana satu hari nanti, mereka akan mengendalikan keluarga mereka sendiri. Inilah sebab utama pelbagai tugasan perlu dibahagi-bahagikan kepada anak-anak tidak kira si Along, Angah, Usu dan sebagainya, mengikut kesesuaian umur dan kematangan masing-masing. Ibu bapa perlu sedar bahawa mereka sebenarnya tidak membantu anak-anak yang lain jika segala-galanya dipertanggungjawab ke atas bahu anak sulung.

Ibu bapa perlu menerangkan secara spesifik apa tugasan yang perlu dilakukan oleh setiap anak supaya setiap anak merasa mereka dilayani secara adil. Umpamanya untuk tugasan di  dalam rumah, setiap ahli perlu memastikan ia disempurnakan, bukan hanya anak sulung. Adalah tidak adil jika ibu bapa menyalahkan anak sulung jika tugasan-tugasan tidak diselesaikan. Jangan harapkan anak sulung supaya mengalah dalam setiap situasi. Wallahua’lam.

 

Featured image courtesy of : InfonesiaNatureID

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top