SOALAN:
Saya ada seorang anak lelaki berusia dua tahun enam bulan. Menjadi konflik dalam diri saya bila dia semakin hari semakin agak lasak/kasar umpamanya ditunjukkan kakinya seolah-olah mahu menendang. Bagaimanakah caranya untuk ”menghukum” anak sekecil ini? Apa yang saya lakukan sekarang ialah memukul kakinya perlahan untuk mendisiplinkannya. Masalah saya ialah, meskipun saya sudah larang berulang-kali, masih dibuatnya juga.
JAWAPAN:
Anak sekecil ini tidak digalakkan dipukul. Memadai dengan kita menggunakan suara yang tegas (bukan menjerit atau membentak) beserta air muka kurang senang, menunjukkan aksi “menendang” (atau apa sahaja peri laku negatif) itu kurang wajar dan tentunya kurang sopan untuk ibubapanya. Pastikan nada suara kurang senang ini digunakan hanya untuk kelakuan kurang elok seperti ini sahaja. Prinsip yang digunakan di sini ialah, anak-anak antara dua hingga lima tahun didisiplin menggunakan kaedah “HASIL” (positif) atau “AKIBAT” (negatif). Bermakna, perbuatan yang positif hasilnya baik manakala perbuatan negatif akibatnya tidak baik (dalam kes ini, dimarahi ibu).
Kemungkinan dia mempelajari tingkah laku ini dari apa yang dilihat, di tempat pengasuh oleh kanak-kanak sebaya yang lain, umpamanya. Untuk anak sekecil ini, perlu dilarang berulang-kali sebab baru hendak menyerap (”internalise”) akhlaq yang terpuji. Anak sekecil ini tidak boleh diharap berkelakuan sematang anak yang sudah berumur empat tahun, contohnya, kerana perkembangan kognitifnya belum mantap lagi. Anak ini gemar meniru apa sahaja yang dilihatnya yang dibuat oleh orang lain. Secara umum, jika dididik dengan baik, seorang anak sudah boleh mencapai akhlaq mulia selewat-lewatnya pada usia lima tahun.