oleh Jamilah Samian
SOALAN: Bagaimana caranya saya harus memotivasi anak saya supaya berusaha untuk cemerlang tanpa menggunakan ganjaran berbentuk material seperti wang ringgit dan hadiah tertentu?
JAWAPAN: Ini adalah soalan yang amat baik. Sumber motivasi yang paling kuat datangnya dari dalam jiwa seorang insan disebut sebagai MOTIVASI DALAMAN (”Internal Motivation”). Motivasi Dalaman berlaku apabila seorang kanak-kanak melakukan sesuatu kerana dia seronok melakukannya. Dia tidak perlukan dan tidak mengharapkan ganjaran daripada sesiapapun untuk terus melakukannya.
Kata kunci di sini ialah “GALAKAN” (bukan “pujian”). Cipta keadaan di mana anak-anak merasa seronok untuk berusaha sehabis baik. Ibu-bapa sering terlalu fokus dengan hasil kerja, kurang fokus dengan usaha. Sedangkan satu-satunya cara seorang kanak-kanak boleh mencapai kecemerlangan ialah dengan berusaha secara konsisten. Tentunya proses ini membabitkan banyak hasil kerja yang kurang memuaskan.
Kanak-kanak merasa tidak seronok jika usaha mereka sering diperkecilkan. Jangan dikritik hasil kerja anak, terutama semasa dia baru melakukan sesuatu usaha. Yang patut diberi oleh ibu-bapa ialah cadangan dan saranan membina yang boleh membakar semangat anak-anak untuk terus berusaha. (Rujukan: ”Anak Lelaki Kool & Hebat”)
Adakalanya seorang anak kurang bermotivasi kerana dia tidak menyedari pengaruh dan kuasa seorang insan. Untuk anak sebegini, berikan gambaran luas (”big picture”) bagaimana alam ini berfungsi. Setiap gambaran yang besar terhasil daripada gabungan titik-titik kecil. Titik-titik kecil inilah, yang kelihatan tidak penting, yang akan bercantum untuk menghasilkan gambaran besar.
Jika gambaran besar itu adalah alam ini, setiap daripada kita adalah titik-titik kecil yang bergabung untuk menghasilkan gambaran besar, iaitu ”alam” ini. Seperti mana seutas rantai hanya sekuat pautannya yang paling lemah, begitu jugalah kesejahteraan manusia sejagat bergantung kepada setiap daripada kita. Bermakna, setiap perbuatan yang dilakukan oleh setiap insan menyumbang kepada kesenangan atau penderitaan manusia sejagat. (Rujukan: ”Tips Groovi Mendidik Generasi Y & Z”)