Praremaja tempoh sebelum anak-anak melangkah ke alam remaja. Jika waktu ini mereka selesa dan rapat dengan ibubapa, risiko untuk mereka berbuat yang tidak baik akan berkurangan. Setidak-tidaknya, mereka akan berfikir dua kali jika ada kawan-kawan yang cuba memujuk untuk terlibat dalam tingkah laku negatif.
Mari kita lihat apa yang dibuat oleh Nabi SAW, sehingga seorang anak praremaja boleh rasa selesa, hormat dan tambah sayang pada baginda.
Dalam satu majlis, Rasulullah SAW duduk bersama para sahabat. Baginda diberi satu bekas berisi susu. Mengikut tradisi waktu itu, orang yang diberi bekas minuman akan minum dahulu, kemudian menyerahkan bekas itu kepada orang yang duduk di sebelah kanannya, dan seterusnya, iaitu minum secara bergilir-gilir. Pada waktu itu, seorang kanak-kanak lelaki berusia kira-kira 10 tahun, duduk di sebelah kanan Rasulullah SAW, manakala tetamu-tetamu lain pula kebanyakannya orang dewasa.
Selepas Rasulullah SAW minum dari bekas tersebut, baginda bertanya kepada budak lelaki di kanannya, “Bolehkah aku berikan bekas ini kepada orang yang di sebelah kananmu supaya dia minum dahulu?” Budak lelaki ini berkata, “Tidak, Rasulullah. Aku ingin diberi penghormatan untuk minum susu ini selepas engkau.” [Lihat: When Muslim Teens Rebel – Causes and Solutions by Dr Mohamed R. Beshir)
Rasulullah SAW tidak membantah permintaan budak ini. Malah, baginda menunggu sehingga budak ini selesai minum, baru diberikan bekas susu kepada tetamu di kanan budak tersebut. Perhatikan juga, bagaimana yakinnya budak ini menjawab soalan Rasulullah SAW. Tidak takut atau teragak-agak, beradab. Adab paling elok dipelajari berdasarkan ‘role modeling’.
Cerita ini menarik, elok kita jadikan teladan dan perbandingan, tanya diri sendiri sejujurnya, adakah cara kita mendidik anak-anak kita membuat mereka semakin menghormati dan menyayangi kita atau sebaliknya. Sama ada kita dalam proses mendidik mereka menjadi orang yang bijaksana, atau setakat pandai biasa.
Perhatikan juga, unsur masa – jika kita tidak luangkan masa untuk bersama anak-anak kita, mustahil peluang untuk mengajar mereka seperti yang berlaku di antara Nabi dan budak lelaki dalam cerita ini, akan wujud.
Lazimnya dalam majlis yang majoriti orang dewasa hari ini, anak-anak yang seusia budak lelaki ini merasa kekok, ‘out of place’, kalau boleh tidak mahu duduk langsung dengan ibu bapa atau orang dewasa lain. Jika kita sebagai ibu bapa lebih peka dan mengambil kira perkembangan minda anak-anak praremaja seperti ini, tentunya sikap kita lain, cara kita berinteraksi dengan mereka pun lain, lebih berhemah.
Tidaklah pula bermakna ibu bapa perlu ‘entertain’ dan ikut semua kehendak anak – jika ini berlaku, Nauzubillah. Sudah ekstrem, sedangkan apa-apa yang kita buat sepatutnya bersifat seimbang. Anak sewajarnya menghormati ibu bapa yang tidak henti berusaha dan berkorban untuk menyediakan apa sahaja. Cuma yang timbul hari ini dalam sesetengah keluarga, semakin meningkat usia remaja, seolah-olah semakin besar jurang antara ibu bapa dan anak tersebut. Sama-sama kita renung dan fikirkan. Bak kata pepatah, “Treat people as if they were what they ought to be, and you help them to become what they are capable of being.”