Suatu masa saya terserempak seorang wanita muda di kelab komuniti yang sering saya kunjungi. Dia kelihatan seperti orang baru di situ jadi saya lontarkan senyuman dan menyapanya dengan ucapan “Selamat pagi!” Harapan saya moga dia berasa lebih selesa di situ. Wanita itu membalas sapaan saya sambil mengangguk penuh bersemangat.
Selepas beberapa ketika, kami bertemu semula di kaunter penyambut tetamu. Saya agak terkejut apabila dia memberitahu, “Terima kasih kerana memulangkan kad saya ke kaunter.”
Mulanya saya keliru dengan apa yang dimaksudkan oleh wanita ini. Kemudian baru saya terfikir, disebabkan sapaan saya pagi tadi, dia menyangka sayalah orang yang menjumpai kad keahliannya. Saya lantas mengatakan kepadanya, “Bukan saya yang menjumpai kad Puan itu, tetapi saya berasa lega Puan sudah mendapatkannya kembali.”
Hakikatnya, memang mudah beramah mesra dengan orang yang beradab sopan. Namun, apa yang perlu anda lakukan jika anda dilayan sebaliknya? Apakah tindakan anda jika seseorang melemparkan kata-kata biadap kepada anda tanpa sebab?
Saya terdengar perbualan ini di kawasan kejiranan saya, dalam acara gotong royong yang dianjurkan oleh Persatuan Penduduk:
Dengan senyuman di bibir, seorang sukarelawan bertanya kepada seorang penduduk lelaki: “Tuan, apa kata kalau Tuan sertai kami membersihkan tempat ini?”
Penduduk lelaki itu menengking, “Apa?! Banyak lagi perkara lain yang aku boleh buat. Lagipun, adakah kau yang membayar sewa rumah aku?” Dia kemudiannya beredar dari situ dengan hentakan kaki penuh sombong.
Pertama sekali, saya hairan melihat manusia yang merasakan dirinya tiada kena mengena dengan orang lain. Apakah dia menyangka, hidup matinya seorang diri, peduli apa dengan manusia yang berada di sekelilingnya?
Berikut saya kongsikan beberapa tip yang boleh anda pertimbangkan jika bertembung dengan insan sebegini:
1 Elakkan dari bertikam lidah.
Anda tidak membantu apa-apa jika anda turut sama melepas emosi. Tenangkan diri dan berlalu pergi. Kata-kata mereka mungkin menyakitkan hati dan membuat anda tidak selesa, namun, bayangkan kata-kata itu ibarat masuk telinga kanan dan keluar di telinga kiri.
2 Usah berkecil hati.
Ada kemungkinan insan itu sudah biasa berkasar dengan orang lain. Bukan salah anda, lebih-lebih lagi jika itu kali pertama anda bertemu mereka.
3 Terima hakikat yang anda tidak boleh mengubah seseorang.
Jika anda seorang yang prihatin, anda mungkin berkeinginan mengubah mereka pada masa itu juga. Hakikatnya, seseorang hanya berubah apabila mereka mahu berubah dan bukan kerana orang lain mahu mereka berubah.
4 Teruskan melakukan perkara yang baik.
Jangan biarkan sikap biadap seseorang merobah anda menjadi seorang yang keras hati, terutama jika mereka daripada kumpulan etnik atau agama yang berbeza. Teruskan sahaja membuat kebaikan. Walaupun kita tidak dapat mengubah fikiran insan seperti ini, perbuatan kita mungkin menyentuh hati anak-anak mereka, ahli keluarga atau orang lain yang memerhatikan kita.
5 Berdiam diri tindakan terbaik.
Sesetengah golongan biadap akan berasa tercabar dan tidak malu bertikam lidah jika anda menjawab dan membalas tindakan mereka. Ia umpama menyimbah minyak tanah ke atas api yang sedang marak. Cara terbaik untuk memadamkan api ini ialah dengan mengabaikannya.
6 Terapkan ketegasan.
Sekiranya pekerjaan anda tidak membenarkan anda berlalu pergi dan sebaliknya memerlukan anda bersemuka dengan mereka, misalnya di kaunter perkhidmatan pelanggan, tanya mereka dengan nada tegas, “Apa yang boleh saya bantu?” Ingat: Sikap biadab orang lain tidak menjejaskan kehormatan diri anda.
7 Singkatkan perbualan dan sampaikan perkara penting sahaja.
Gunakan kaedah ini jika pekerjaan anda memerlukan anda selalu berurusan dengan orang yang bongkak begini.
8 Bincangkan dalam keluarga sendiri.
Jadikannya sebagai topik perbualan dalam keluarga anda. Anak-anak, terutama yang masih kecil, perlu diajar supaya sentiasa menghormati orang lain. Semai tabiat ini pada awal usia. Tunjukkan kepada anak-anak yang kita mampu memilih untuk bertenang dan bersabar, tidak kira bagaimana orang lain memperlakukan kita.
Berurusan dengan si biadap mungkin bukan sesuatu yang di luar kebiasaan bagi sesetengah orang. Walau bagaimanapun, jika ia berlaku pada anda, ketahuilah yang anda bukan penyebabnya. Begitu juga jika si biadap berada dalam kedudukan atau pangkat yang lebih tinggi daripada anda. Misalnya, dia majikan anda. Anda boleh memilih untuk melupakan dan meninggalkan pengalaman itu di tempat kerja.
Walaupun anda mungkin berasa diperkecilkan, membawa pulang perasaan ini ke rumah dalam bentuk limpahan emosi bukanlah pilihan yang bijak. Ibu bapa, pasangan dan anak-anak memerlukan anda tenang dan tenteram. Apabila anda melangkah masuk ke dalam rumah, berikan sekuntum senyuman yang paling manis. Allahu a’lam.
Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]
Baca artikel asal di sini: 8 Tips To Deal With Rude People