Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris
Kisah Anak Disleksia
Amir berusia 11 tahun, berfikiran cerdas dan berdaya imaginasi kuat, menghadapi cabaran di sekolah. Membaca amat payah baginya, seakan mendaki gunung. Dia sering menterbalikkan huruf dalam tulisannya. Guru-gurunya tahu isu yang dialami Amir, tetapi kerana ramai bilangan pelajar di dalam kelas Amir, mereka tidak cukup masa untuk cuba membantu.
Ibu bapa Amir menyedari masalah ini, namun mereka buntu kerana situasi ini baru dan belum pernah berlaku dalam keluarga mereka sebelum ini. Amir seringkali pulang dari sekolah dalam keadaan tertekan; katanya dia merasa sedih kerana rakan-rakan sekelas menggelarnya “slow”, “bodoh” kerana terlalu lambat membaca buku yang semua orang lain sudah habis baca.
Suatu hari ibu Amir datang berjumpa guru kelas Amir. Dia tersentak apabila guru kelas Amir berkata, “Kalau pelajar lain boleh faham apa yang saya ajar, kenapa anak Puan tidak boleh?” Ibu Amir mula mengganggap yang Amir kurang berusaha dan tidak mencuba yang terbaik.
Bapa Amir pula menyangka yang ibu Amir terlalu memberi muka dan memanjakan Amir. Seringkali, bapa Amir memarahi Amir kerana “tidak berusaha sedaya upaya”. Amir dihukum kerana grednya merosot, dan perkataan seperti “malas” atau “cuai” menjadi sebahagian daripada perbualan harian. Lama kelamaan, Amir mula percaya dengan label-label ini, walaupun dia tahu dia cuba yang terbaik. Kritikan berterusan menghancurkan keyakinannya, dan dia mula menjauhkan diri daripada rakan, keluarga, dan aktiviti yang pernah dia sukai.
Apabila pakar psikologi akhirnya mendiagnosis Amir ada disleksia, ibu bapanya menyedari pendekatan keras mereka telah mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan. Ternyata Amir juga mengalami “dyscalculia”, yang menyebabkan dia sukar untuk mengira dan menyelesaikan soalan matematik. Pakar tersebut juga memaklumkan ibu bapa Amir yang anak mereka dirundung kemurungan. Amir berasa hidupnya penuh kegagalan, seolah-olah dia telah mengecewakan semua orang.
Salah Tanggapan Mengenai Disleksia
Kisah Amir menunjukkan bagaimana salah faham tentang disleksia—bukan disleksia itu sendiri — boleh mendatangkan akibat yang tidak baik kepada anak anda.
Dianggarkan 1 daripada 5 kanak-kanak dilahirkan dengan disleksia. Disleksia lebih lumrah yang anda fikirkan! Disleksia tidak bermakna seseorang itu tidak bijak. Sebaliknya, disleksia tergolong dalam “neurodiversity” atau “kepelbagaian berfikir”. Maknanya, otak setiap insan berbeza antara satu dengan yang lain.
Meskipun anak disleksia menghadapi kesulitan membaca dan mengeja, hakikatnya disleksia satu kelebihan, bukan kekurangan. Jangan terkejut jika anak disleksia anda apabila diuji kecerdasannya ternyata “above average IQ”! Masalah timbul apabila pendekatan pembelajaran khususnya subjek membaca di sekolah tidak sesuai untuk kanak-kanak disleksia. Belajar membaca dan mengeja perlukan pelbagai kaedah dan cara – bukan satu sahaja! Apabila cara yang tidak sesuai digunapakai untuk anak disleksia, anak ini akhirnya menganggap dirinya tidak bijak dan tidak mampu untuk cemerlang. “Neurodiversity” bermakna terdapat kepelbagaian semula jadi dalam cara kita semua berfikir, belajar dan menyelesaikan masalah. Disleksia khususnya mempengaruhi cara seseorang memproses bahasa bertulis, menjadikan membaca dan menulis lebih mencabar.
Tahukah anda, beberapa tokoh dunia tersohor yang paling kreatif dan inovatif dalam sejarah adalah insan yang dilahirkan dengan disleksia? Albert Einstein, Richard Branson, dan Steve Jobs semuanya menghadapi cabaran dengan kaedah pembelajaran tradisional, namun mereka melihat dunia dengan cara yang tidak dapat dilakukan oleh orang lain. Mereka tidak dihadkan oleh disleksia; mereka cemerlang kerana cara pemikiran mereka unik.
Albert Einstein, seorang genius, menghadapi cabaran besar dengan disleksia semasa zaman kanak-kanaknya. Dia bergelut dengan persekolahan tradisional, terutamanya dalam membaca dan bahasa, malah dilabel sebagai “malas” atau “lambat” oleh sesetengah pendidik. Di sebalik kesukaran ini, Einstein cemerlang dalam pemikiran imaginatif dan konsep visualisasi, yang memainkan peranan penting dalam sumbangan saintifik sehingga kini.
Kisah Einstein menunjukkan bagaimana individu disleksia sering memiliki kekuatan unik, seperti penyelesaian masalah, kreativiti dan pemikiran pelbagai dimensi. Keupayaannya untuk mendatangkan idea yang kompleks secara visual menyumbang kepada hasil kerja berkualiti tinggi dalam dunia fizik, termasuk teori relativitinya. Hakikatnya, anak-anak disleksia berpotensi untuk menyerlahkan kebolehan yang luar biasa apabila dipupuk dengan betul.
Lebih Banyak Contoh Ahli Matematik atau Saintis Disleksia
Berikut adalah contoh tambahan ahli matematik atau saintis disleksia yang menunjukkan kreativiti luar biasa:
1. Michael Faraday (Ahli Fizik dan Ahli Kimia)
Faraday, yang membuat penemuan revolusioner dalam elektromagnetisme dan elektrokimia, dipercayai mempunyai disleksia. Walaupun kurang pendidikan formal, kemampuannya untuk berfikir secara visual dan konseptual membawa kepada penciptaan motor elektrik dan prinsip induksi elektromagnetik. Pemikirannya yang kreatif menggabungkan pemerhatian eksperimen dan pemahaman teori.
2. Thomas Edison (Pereka Paten)
Edison, yang mengalami disleksia, memegang lebih daripada 1,000 paten, termasuk fonograf dan mentol lampu. Proses penciptaannya melibatkan percubaan dan kesilapan, digabungkan dengan keupayaannya untuk membayangkan bagaimana komponen berbeza boleh berfungsi bersama. Ini membolehkannya mencipta penyelesaian praktikal untuk masalah harian. Pemikiran disleksianya membolehkan dia melihat potensi lain dari yang lain.
3. Carol Greider (Ahli Biologi Molekul)
Seorang saintis pemenang Hadiah Nobel dengan disleksia, Greider menemui telomerase, enzim yang melindungi kromosom. Ketabahannya dan kemahiran menyelesaikan masalah secara kreatif membolehkannya berjaya dalam penyelidikan genetik yang kompleks, membuktikan bahawa disleksia boleh wujud bersama pencapaian saintifik yang luar biasa.
4. Niels Bohr (Ahli Fizik)
Bohr, yang terkenal dengan model atomnya dan sumbangannya kepada mekanik kuantum, dilaporkan mempunyai kecenderungan disleksia. Kemampuannya untuk mendekati masalah dari pelbagai sudut dan gaya pemikirannya yang tidak konvensional menjadi kunci dalam membangunkan idea-idea revolusioner yang mengubah perjalanan fizik moden.
Setiap individu ini membuktikan bahawa disleksia, jauh daripada menjadi satu kekangan, boleh menginspirasi perspektif unik dan kejayaan kreatif dalam bidang matematik dan sains.
Kaitan Antara Disleksia dan Kecerdasan
Mari kita takrifkan semula apa yang kita maksudkan dengan “kecerdasan” (“intelligence”). Lazimnya kita mengukur kecerdasan dengan perkara seperti kelajuan membaca, ujian piawai atau kejayaan akademik. Tetapi kecerdasan sebenarnya lebih daripada itu.
Individu disleksia sering berbakat dalam aspek:
Gambaran besar sesuatu isu atau keadaan: Insan disleksia mampu memahami secara keseluruhan sesuatu isu atau keadaan. Mereka dapat melihat corak dan hubungan yang mungkin terlepas pandang oleh orang lain, yang membantu mereka menghasilkan idea dan penyelesaian kreatif. Ia seperti mereka dapat melihat bagaimana semua kepingan teka-teki itu sesuai, walaupun orang lain tidak dapat berbuat demikian.
Contoh: Seorang arkitek disleksia sedang merancang sebuah bangunan. Dia dapat membayangkan bagaimana setiap ruang, dari ruang tamu hingga ke balkoni, akan berfungsi bersama, termasuk bagaimana cahaya matahari akan bergerak sepanjang hari. Walaupun pasukannya mungkin memfokuskan kepada satu aspek kecil seperti ukuran pintu, dia dapat melihat gambaran besar—keseluruhan pengalaman penghuni bangunan tersebut. Pandangan holistik ini membantunya mencipta reka bentuk yang bukan sahaja praktikal tetapi juga estetik.
Kreativiti: Ramai insan disleksia dilahirkan kreatif, cemerlang dalam arena seni, reka bentuk, muzik atau bercerita. Mereka berkebolehan untuk membawa idea segar dan asli. Otak mereka mampu menghubungkan beberapa perkara yang seolah-olah tiada kaitan antara satu dengan yang lain.
Contoh: Agatha Christie, penulis novel misteri terkenal, dipercayai mengalami disleksia. Walaupun menghadapi kesukaran dengan ejaan, beliau mampu mencipta plot cerita yang kompleks dan unik. Novelnya seperti Murder on the Orient Express dan And Then There Were None memaparkan kejayaan beliau dalam menghubungkan pelbagai petunjuk dan watak secara kreatif, menghasilkan kisah-kisah yang terus memikat pembaca hingga kini.
Penyelesaian masalah: Insan disleksia tidak terbatas pada satu kaedah – mereka sentiasa mencari penyelesaian baharu yang kreatif. Keupayaan mereka untuk berfikir dengan cara yang lebih fleksibel bermakna mereka menghasilkan idea dan pendekatan segar yang benar-benar boleh membuat perubahan.
Intervensi Awal Kritikal
Walau bagaimanapun, sistem pendidikan sedia ada menjadikan keistimewaan anak disleksia ini sukar untuk dilihat. Apabila kita tumpukan perhatian semata-mata pada masalah di depan mata —seperti mengeja atau membaca—kita kehilangan potensi sebenar anak disleksia. Ibu bapa dan pendidik sewajarnya berusaha untuk mewujudkan persekitaran di mana anak disleksia boleh berkembang maju bermula dengan perubahan kecil tetapi bermakna. Gunakan alatan seperti buku audio atau alat bantu visual untuk pembelajaran.
Sesetengah ibu bapa enggan menerima hakikat bahawa anak mereka disleksia. Program intervensi awal kritikal untuk anak disleksia menempa kejayaan masa depan. Ini kerana, otak manusia paling fleksibel untuk belajar sesuatu yang baru sewaktu lingkungan usia muda. Anak disleksia boleh dikenalpasti seawal usia 6 tahun. Lagi awal anak disleksia dibantu, lagi mudah dia menyahut cabaran dalam pembelajaran, dan lebih mudah untuk anda membina keyakinan dirinya. Intervensi awal membuka peluang untuk anak disleksia anda belajar strategi pembelajaran yang berkesan untuk dirinya, sekaligus mengurangkan risiko anak ini mengalami emosi negatif menjelang remaja.
Jika Ibu Bapa Enggan Bertindak Positif
Apabila ibu bapa enggan bertindak, tidak faham, atau melayani anak disleksia dengan kekerasan, keadaan ini boleh mengakibatkan pelbagai masalah serius jangka panjang. Anak yang sering dilemparkan kritikan, mudah merasakan bahawa dia tidak mampu, dan berisiko gagal menempuh kehidupan. Ini seterusnya boleh membawa kepada kemurungan, atau masalah tingkah laku. Tanpa intervensi yang sesuai, anak disleksia akan mendapati pembelajaran semakin lama semakin sukar. Anak disleksia mengalami kesukaran membaca, mengeja, menulis. Jika ibu bapa memilih sikap tidak peduli, anak ini kemungkinan akan enggan ke sekolah. Malah, disebabkan pengalaman pahit dalam pembelajaran, sesetengah remaja disleksia beranggapan hidup mereka tidak bermakna. Keengganan ibu bapa untuk mendapatkan intervensi awal anak disleksia juga akan menyebabkan potensi anak ini tidak dapat diserlahkan.
Apa Yang Ibu Bapa Boleh Lakukan
Jika anak anda mengalami kesukaran membaca atau mengeja, jangan biarkan dia begitu sahaja. Dapatkan nasihat pakar segera. Ramai guru yang tidak tahu tentang disleksia dan akan melemparkan komen negatif kepada anak disleksia. Jadilah ibu bapa yang bertanggungjawab dan fahami hakikat sebenar tentang disleksia, iaitu suatu kelainan pembelajaran, bukan kekurangan kecerdasan. Jadilah ibu bapa bijak. Bersabar apabila anak anda sukar membaca dan mengeja. Elakkan kata-kata kritikal seperti, “Puas ayah ajar baca buku ni, kenapa tak pandai-pandai lagi?” Herdikan dan kata-kata kesat anda amat berat untuk ditanggung anak anda. Ingat: Ramai anak disleksia dilahirkan dengan kelebihan istimewa. Bagaimanapun kelebihan ini perlukan kesabaran dan ketabahan ibu bapa serta anak itu sendiri untuk diserlahkan. Lagi cepat anda mendapatkan bantuan, lagi mudah untuk anak anda belajar.
Akhir Kata
“Neurodiversity” atau “Kepelbagaian berfikir” bermakna setiap manusia mempunyai otak yang berbeza. Disleksia adalah suatu bentuk “neurodiversity”. Anak disleksia tidak dungu atau kurang cerdik. Sebaliknya, otak disleksia adalah satu cara unik untuk memproses bahasa. Insan disleksia sukar membaca dan mengeja, tetapi kreatif dan berbakat menyelesaikan masalah dan berfikir luar kotak.
Kisah Amir di atas kemungkinan lebih baik akhirnya jika ibu bapa bersikap terbuka, memilih untuk membantunya mendapatkan intervensi awal yang boleh membantu.
Sebagai ibu bapa atau guru, kata-kata dan tindakan anda besar pengaruhnya ke atas masa depan anak yang anda didik. Anak disleksia bukan bermakna anak anda kurang cerdik; malah anak anda mungkin lebih cerdik dari yang anda sangka. Ingatlah bahawa potensi dan kecerdasan anak disleksia anda mustahil diukur dengan gred atau betapa laju mereka membaca dan mengeja.
Nota: Jika anda berada di Malaysia dan anda perlukan nasihat tentang anak disleksia anda, sila hubungi Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM). PDM berpengalaman menyediakan program intervensi untuk anak-anak disleksia.
Foto hiasan: ernestoeslava
RUJUKAN
- Code Blue: Helping Dyslexic Students Thrive in Malaysia:
https://codeblue.galencentre.org/2024/07/helping-dyslexic-students-thrive-in-malaysia/
SKIP - International Dyslexia Association: https://dyslexiaida.org/
SKIP - Persatuan Dyslexia Malaysia (PDM): https://dyslexiamalaysia.org/
SKIP - American Dyslexia Association: Why Dyslexia Is A Gift
https://www.dyslexia.me/why-dyslexia-is-a-gift/
SKIP - Cooper University Healthcare: Famous People With Dyslexia:
https://www.cooperhealth.org/services/cooper-learning-center/famous-people-gift-dyslexia
SKIP - University of Houston: Cullen College of Engineering. The Engines of Our Ingenuity. Maxwell and Faraday.
https://engines.egr.uh.edu/episode/905
SKIP - Business Insider: 8 successful tech leaders who overcame a learning disability called dyslexia
https://www.businessinsider.com/tech-leaders-with-dyslexia-2015-2