Baru-baru ini, saya berkesempatan bertemu seorang remaja yang penglihatannya terganggu dengan tiba-tiba. Suatu pagi, dia terjaga dan mendapati sebelah matanya tidak dapat melihat seperti biasa.
“Ibu, kenapa saya tak nampak jelas? Kenapa semuanya kabur, ibu?”
Suaranya gementar, tangan menggosok mata seolah-olah tidak percaya. Semalaman, separuh penglihatannya hilang. Doktor mengesahkan dia memerlukan pembedahan segera, namun sedihnya, penglihatan itu tidak akan pulih sepenuhnya, walaupun dengan rawatan tercanggih sekalipun.
Bayangkan: Seorang anak yang aktif, tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan realiti baharu dalam sekelip mata. Bagaimana kita, sebagai ibu bapa atau pembimbing, boleh membantunya melalui detik getir ini?
Akui Realiti
Kita mungkin terfikir untuk menghiburkan anak dengan kata-kata, “Jangan risau, nanti semuanya akan kembali seperti sediakala.” Namun, janji kosong hanya menambah beban. Tiada siapa yang tahu apa yang akan terjadi esok hari. Sebaliknya, pilih untuk hadapi realiti dengan tenang. Katakan: “Ibu/Ayah tahu ini sangat sukar. Rasa takut, sedih, atau marah itu normal. Tapi kita akan hadapi ujian ini bersama. Allah Maha Tahu apa yang terbaik untuk kita—semalam, hari ini, dan esok. Kita berusaha, dan serahkan kepadaNya.” Dengan cara ini, anak anda akan berasa didengari, bukan dihiburkan dengan ilusi.
Fokus pada “Boleh”, Bukan “Yang Telah Tiada”
Selepas pembedahan, ibu bapa remaja ini tidak membiarkan anaknya terperangkap dalam apa yang tidak lagi boleh dilakukannya. Ibu bapa anak ini membantu anak mereka menyesuaikan diri dengan keupayaan baharu. Contohnya, remaja ini dahulu gemar bermain badminton, sukan pantas yang kini sukar dilakukannya. Maka, ibu bapanya memperkenalkannya kepada sukan renang. Selain menambah stamina tubuh badan, air juga menjadi terapi menenangkan jiwa.
Jika anak anda menghadapi cabaran serupa, bantu dia meneroka aktiviti baharu yang sesuai seperti menulis atau melukis. Galakkan dia menulis Jurnal Kesyukuran (Gratitude Journal), iaitu mencatat perkara kecil yang disyukuri setiap hari. Ingatkan dia: “Apa yang masih boleh aku lakukan dengan apa yang masih ada?”
Ceritakan Kisah Teladan
Ujian adalah tangga untuk melangkah maju ke hadapan, bukan tembok penghalang. Anak-anak lebih mudah memahami kehidupan melalui kisah benar masa lalu. Kongsikan cerita Nabi Muhammad SAW yang yatim piatu sejak kecil tetapi menjadi pemimpin agung. Malah, anda boleh saja kongsi pengalaman sendiri atau ahli keluarga lain yang pernah mengatasi kesukaran. Maknanya: “Keperitan hidup adalah asam garam kehidupan. Ramai lagi di luar sana yang melalui ujian berat. Yang penting sikap yang kamu ambil. Kamu boleh terus bangkit tidak kira apa jua ujian yang mendatang. Kamu juga boleh menghadapinya dengan tabah.”
Bantu Anak Mengurus Emosi Dengan Lebih Baik
Perubahan drastik memerlukan saluran emosi. Galakkan anak mengurus perasaan dengan orang yang dipercayai seperti ibu bapa, guru, atau rakan. Anak anda juga boleh melahirkan emosi dengan lebih baik melalui seni seperti melukis atau menulis puisi. Aktiviti fizikal seperti berjalan juga boleh melegakan tekanan.
Kuatkan Iman: Allah Tidak Memberi Ujian di Luar Kemampuan
Ingatkan anak anda akan firman Allah:
لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
(“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” – Surah Al-Baqarah:2:286).
Ujian bukan hukuman, tetapi proses untuk menguatkan jiwa, mendekatkan diri kepadaNya, dan membuka pintu hikmah yang tidak terjangka.
Langkah Kecil Juga Bernilai
Pemulihan bukan tentang lonjakan besar, tetapi konsistensi. Galakkan anak anda untuk mengorak langkah dengan perkara kecil hari ini, contohnya bangun tidur dengan senyuman, bersyukur atas pelbagai nikmat yang masih ada. Tetapkan matlamat mudah seperti belajar 10 minit sehari atau berjalan selama hanya 5 minit setiap hari.
Akhir Kata
Remaja dalam kisah ini akhirnya belajar menerima situasi kehidupannya yang baharu. Ya, dia kehilangan sebahagian penglihatan, tetapi dia juga memperoleh sesuatu yang lebih bernilai: perspektif baharu tentang kehidupan. Kini, dia lebih menghargai perkara-perkara kecil yang dulu mungkin diabaikan. Ujian hidup, sama ada penyakit, kehilangan, atau impian yang musnah, tidak boleh dielakkan. Tapi sebagai ibu bapa, anda boleh membimbing anak anda untuk melihat cahaya dalam kegelapan. Anak anda perlu menyedari bahawa cabaran bukan pengakhiran, tetapi permulaan kekuatan baharu. Allahua’lam.
Gambar hiasan ihsan suzalgurungz