Matematik sering dianggap sebagai subjek yang sukar, namun ia memainkan peranan penting dalam kehidupan seharian, dari mengurus duit saku hingga menyelesaikan masalah dunia hari ini. Namun begitu, bagi sesetengah kanak-kanak, matematik terasa seakan gunung yang terlalu sukar untuk didaki. Sebagai ibu bapa dan pendidik, kita boleh mengubah persepsi ini dengan tidak hanya menumpukan pada hafalan, tetapi pada pemahaman sebenar. Kuncinya terletak pada menjadikan matematik bermakna, berkaitan dengan kehidupan, bahkan menyeronokkan.
Sarah dan Gerai Kuih
Sarah berusia sembilan tahun ketika dia mula membantu neneknya menjual kuih di pasar malam semasa cuti sekolah. Sarah dan neneknya menjual kuih lapis, onde-onde, dan seri muka yang berwarna-warni. Sarah meletakkan tanda harga pada sekeping kertas begini: “Kuih – 80 sen sebiji.”
Menjelang akhir malam, Sarah gembira mengira hasil jualan hari itu. Neneknya telah menjual 50 biji kuih, jadi Sarah menjangka hasil jualan mereka adalah RM40. Tetapi apabila dia mengira wang, jumlahnya hanya RM36.40.
Sarah keliru; dia memeriksa buku catatannya, di mana dia mencatat beberapa jualan. Beberapa pelanggan membeli 3 biji kuih dan memberikan RM5, sambil berkata, “Simpan bakinya.” Ada juga yang membayar dengan wang besar, dan Sarah kadang-kadang lupa mengembalikan baki yang tepat. Setelah duduk bersama neneknya dan menyemak nombor satu persatu, mereka menyedari bahawa Sarah membuat beberapa kesilapan kecil dalam mengembalikan baki, tetapi juga menerima sedikit tip tanpa disedari.
Malam itu di pasar malam mengajar Sarah lebih banyak tentang matematik daripada yang dia jangkakan: cara mendarab, menolak, mengurus wang, dan yang paling penting, bagaimana matematik berkait dengan kehidupan sebenar.
Kisah seperti Sarah menunjukkan apa yang berlaku apabila matematik menjadi bermakna. Ia bukan lagi sekadar nombor di atas kertas. Ia menjadi alat untuk menyelesaikan masalah, membuat keputusan, dan membina keyakinan.
Apakah yang anda boleh lakukan supaya anak anda berminat dengan matematik?
Mulakan Dengan Minda Positif
Sebelum menyelami kaedah dan alat mesra matematik, penting untuk membincangkan minda positif; baik untuk anda mahupun anak anda. Sesetengah insan dewasa membawa kebimbangan atau pengalaman kurang enak mereka tentang matematik, yang dengan tidak sengaja dipanjangkan kepada kanak-kanak. Ucapan seperti “Abah tidak pernah pandai matematik” atau “Matematik memang susah” boleh mempengaruhi cara kanak-kanak melihat kemampuan mereka sendiri.
Sebaliknya, ucapkan kata-kata seperti, “Matematik adalah kemahiran yang boleh kita semua tingkatkan dengan latihan” atau “Tidak mengapa membuat kesilapan; itu cara kita belajar.” Apabila kanak-kanak percaya mereka boleh menjadi lebih baik dalam matematik, mereka lebih cenderung untuk terus mencuba dan tidak berputus asa walaupun menghadapi kesukaran.
Fokus pada Konsep, Bukan Hanya Prosedur
Kanak-kanak sering merasa matematik itu sukar, bukan kerana subjek itu rumit, tetapi kerana mereka tidak memahami apa yang mereka lakukan atau mengapa. Mereka mungkin tahu bahawa 7 x 8 = 56, tetapi mereka tidak memahami konsep pendaraban sebagai penambahan berulang atau pengumpulan.
Untuk meningkatkan pemahaman yang lebih mendalam, lakukan lebih daripada sekadar peraturan dan prosedur. Gunakan objek konkrit yang boleh disentuh, seperti blok, manik, atau bahan makanan untuk menunjukkan bagaimana nombor berfungsi. Tunjukkan kepada mereka bahawa 3 x 4 bermaksud “3 kumpulan 4 biji epal” atau “4 baris 3 butang.” Pembelajaran secara praktikal seperti ini memudahkan kanak-kanak memahami matematik dengan lebih berkesan berbanding sekadar menghafal.
Gunakan Konteks Kehidupan Sebenar
Matematik menjadi lebih mudah difahami apabila dikaitkan dengan dunia nyata. Bakar kek dan minta anak anda mengukur bahan-bahan masakan. Biarkan anak anda mengira baki yang sepatutnya dia terima di kedai. Gunakan waktu membeli-belah barangan runcit untuk membincangkan harga unit dan diskaun. Rancang perjalanan keluarga dan libatkan mereka dalam mengira jarak, masa, dan kos.
Apabila kanak-kanak melihat bagaimana matematik muncul dalam aktiviti harian, mereka mula menghargai kepentingannya. Ini juga membina kemahiran menyelesaikan masalah dan membantu mereka mendekati matematik dengan lebih yakin.
Galakkan Pemikiran Visual
Matematik bukan hanya nombor; ia juga bentuk, corak, dan hubungan. Visual seperti gambar rajah, carta, dan garis nombor boleh menjadi alat yang berkesan untuk membina pemahaman.
Contoh:
- Gunakan garis nombor untuk mengajar penambahan dan penolakan.
- Lukis susunan (“arrays”) untuk menunjukkan pendaraban.
- Gunakan carta pai untuk menerangkan pecahan.
- Lakarkan bentuk geometri dan biarkan kanak-kanak meneroka bagaimana sisi dan sudutnya berfungsi.
Sesetengah kanak-kanak adalah pelajar visual, dan melihat matematik boleh membuat idea abstrak lebih mudah difahami. Malah kanak-kanak yang tidak menganggap diri mereka pelajar visual juga mendapat manfaat daripada menghubungkan simbol dengan imej dan tindakan.
Teroka Permainan Matematik
Permainan membawa unsur keseronokan dan mengurangkan kebimbangan matematik. Kaedah ini juga menguatkan pemikiran strategik, penaakulan logik, dan kelancaran dengan nombor. Anda tidak memerlukan alat yang mewah. Pertimbangkan permainan mudah seperti Uno (untuk pengenalan nombor dan corak), Monopoli (untuk wang dan mengira), dan Sudoku (untuk logik dan corak).
Bersembang Tentang Matematik
Kita sering bercakap dengan kanak-kanak tentang membaca, bercerita, dan bahasa, tetapi berapa kerap kita bercakap tentang matematik? Salah satu cara terbaik untuk meningkatkan pemahaman adalah dengan membincangkan matematik secara terbuka dan kerap. Tanya soalan seperti:
- “Apa cara lain kita boleh selesaikan hal ini?”
- “Mengapa kamu fikir itu berkesan?”
- “Adakah jawapan ini masuk akal?”
Galakkan kanak-kanak untuk menerangkan pemikiran mereka, walaupun mereka mendapat jawapan yang salah. Ini membina penaakulan mereka dan membantu anda melihat di mana mereka mungkin keliru.
Suaikan Gaya Pembelajaran
Setiap kanak-kanak unik, dan gaya pembelajaran mereka berbeza. Ada yang suka bekerja dengan corak, ada yang lebih gemar menyelesaikan masalah dengan cerita. Ada yang suka bekerja sendirian, ada yang perlukan rakan. Perhatikan anak anda dan sesuaikan pendekatan anda. Jika anak anda suka seni, gunakan matematik dalam lukisan dan reka bentuk. Jika mereka minat sukan, bincangkan skor, purata, dan statistik. Jika mereka suka muzik, terokai irama, rentak, dan pecahan. Cara ini boleh membantu kanak-kanak melihat matematik bukan sekadar subjek terpencil, tetapi sebagai sesuatu yang berkaitan dengan minat mereka.
Tekankan Usaha Berbanding Kelajuan
Sering kali, kanak-kanak menganggap “pandai matematik” sebagai sesuatu yang perlu dibuat cepat. Tetapi pemahaman sebenar memerlukan pemikiran mendalam, tidak semestinya kelajuan. Beritahu anak anda bahawa tidak mengapa untuk mengambil masa dan berfikir dengan teliti. Lebih penting ada ketekunan, pemikiran logik, dan strategi yang mereka gunakan; bukan hanya jawapan yang betul. Apabila kanak-kanak terburu-buru atau tertekan untuk “dapat jawapan betul”, mereka mungkin fokus pada meneka atau menghafal daripada berfikir secara mendalam.
Perkukuhkan Kemahiran Asas
Kadang-kadang, kanak-kanak kesulitan dengan topik yang lebih rumit kerana mereka keliru sesuatu topik asas. Contohnya, pendaraban atau pembahagian. Mengkaji dan mengukuhkan kemahiran asas seperti nombor (“number sense”), mengira, atau operasi asas, boleh membantu kanak-kanak maju matematik dengan yakin. Jangan takut untuk kembali ke topik asas jika perlu. Menapak ke belakang bukan kemunduran; ia sebahagian daripada perjalanan pembelajaran.
Bekerjasama Dengan Guru
Guru memainkan peranan penting dalam perkembangan matematik anak. Anda mungkin perlu berbincang dengan guru anak anda untuk memahami apa yang diajar, bagaimana prestasi anak anda, dan bagaimana anda boleh menyokong pembelajaran di rumah. Jika anak anda kesulitan dengan matematik, jangan tangguh untuk meminta bantuan. Guru boleh mencadangkan sumber tambahan, memberikan latihan khusus, atau mencadangkan penilaian jika mereka mengesyaki perbezaan pembelajaran.
Jadilah Model Pembelajaran Sepanjang Hayat
Buktikan kepada anak anda bahawa belajar matematik adalah perjalanan sepanjang hayat. Kongsi saat-saat anda menggunakan matematik dalam kerja atau keputusan harian. Ceritakan bagaimana anda perlu belajar sesuatu yang baru atau mengatasi cabaran. Apabila kanak-kanak melihat orang dewasa menghargai proses pembelajaran, mereka akan lebih berani untuk mengharunginya.
Foto oleh stevepb