……………………………………………………………………………………………………………..
PENGENALAN:
Generasi Y Dan Z Sudah Menakluk Dunia
BAB 1:
Mengapa Kita Bergelut Dengan Generasi Yang Berbeza-beza
BAB 2:
Ganjaran segera: “Saya Mahukannya Sekarang.”
BAB 3:
Belajar Menunggu Demi Mengumpul Wang
BAB 4:
Belajar Menunggu Demi Mencapai Kejayaan
BAB 5:
Belajar Menunggu Demi Kesihatan
BAB 6:
Belajar Menunggu Demi Memupuk Perhubungan
BAB 7:
”Saya Berhak.”
BAB 8:
Multitasking: “Saya Mampu Lakukan Banyak Kerja Dalam Satu Masa.”
BAB 9:
Istimewa untuk Para Pendidik
BAB 10:
Generasi Y Di Tempat Kerja
BAB 11:
Generasi Berbeza, Motivasi Berbeza
……………………………………………………………………………………………………………..
Mengapa Kita Bergelut Dengan Generasi Yang Berbeza-beza
EMPAT GENERASI – ANDA DALAM KUMPULAN MANA?
Mari lakukan sedikit ujian ringkas. Dalam tahun* berapakah anda dilahirkan?
- Jika anda dilahirkan sebelum tahun 1946, maka anda seorang Veteran.
- Jika anda lahir antara tahun 1946 dan 1964, anda merupakan seorang Baby Boomer.
- Jika anda lahir antara tahun 1965 dan 1980, anda termasuk dalam Generasi X.
- Jika anda lahir antara tahun 1981 dan 1994, andalah Generasi Y**.
- Jika anda lahir antara tahun 1995 dan 2009, anda Generasi Z.
- Jika anda lebih muda daripada kategori di atas, anda disebut Generasi Alpha.
* Garis masa tersebut bukanlah mutlak sepenuhnya. Para penyelidik berbeza pendapat dan menggunakan tempoh masa yang berlainan.
** Generasi Y juga dikenali sebagai Millenial, Net Generation dan Echo Boomer.
IBU, ANAK LELAKI DAN SAYA
CERITA JAMILAH:
Ibu saya seorang Veteran. Saya sendiri pula Baby Boomer. Ibu saya hanya berumur lima tahun ketika Jepun mula menjajah Tanah Melayu. Ketika saya masih kecil, ibu suka bercerita tentang kisah penjajahan Jepun kepada saya. Setiap kali dia membuka kisah, timbul perasaan kagum di jiwa saya. Ia penuh dengan saat-saat lampau yang mendesak dia dan keluarganya untuk hidup serba-serbi dengan kesulitan – alas perut dengan biji getah, ubi kayu atau apa sahaja yang boleh dimakan.
“Menakjubkan,” ibu akan bercerita dengan wajah yang takjub dan sedikit kehairanan. “Mak sendiri pun hairan bagaimana mak anak-beranak boleh bertahan untuk terus hidup dengan makanan yang begitu sedikit. Cubalah makan biji getah hari ini kalau tak percaya. Mak jamin kamu akan jatuh sakit sekelip mata.”
Saya tidak pernah pun menyentuh biji getah. Daripada gaya percakapan ibu itu, saya pasti saya akan dikejarkan ke hospital serta-merta sekiranya saya berani mencuba. Namun, meskipun beratus kali ibu sudah bercerita tentang kisah kepahitan hidup yang diharungi oleh dirinya dan keluarga kepada saya, saya sedar saya tidak mungkin dapat benar-benar merasai kebuluran, keperitan dan ketakutan yang dialami oleh ibu dan keluarganya sewaktu dijajah Jepun dahulu. Pendek kata, mendengar cerita tidak mungkin sama dengan mengalaminya sendiri.
Tidak lama selepas saya tamat menuntut di universiti, saya mendapat kerja di sebuah syarikat multinasional. Anak sulung saya sering jatuh sakit. Selepas adik lelakinya dilahirkan, saya berhenti kerja untuk memulakan perniagaan di rumah supaya saya dapat menjaga kedua-dua mereka dengan lebih baik.
Apapun, masa berlalu; mesin faks sudah ada. Emel pun sudah wujud. Komunikasi berubah kepada kaedah online. Kenalan dan pelanggan saya boleh dihubungi hanya dengan satu panggilan. Saya juga boleh mengatur janji temu dan berjumpa pelanggan, jika perlu, dengan lebih mudah dan selesa. Tetapi pada ibu saya yang membesar dalam keadaan di mana bekerja itu bermula dengan “bangun pagi, bersiap, panaskan enjin kereta selepas sarapan yang tergesa-gesa, habiskan masa sehari suntuk di tempat kerja dan akhirnya pulang dalam keadaan terlampau penat”, cara saya bekerja cukup pelik baginya.
Ibu tidak mampu memahami situasi di mana seseorang yang hanya duduk di hadapan komputer beberapa jam tanpa keluar rumah, masih mampu dipanggil “bekerja”. Beliau mendapati keadaan tersebut sangat membingungkan terutamanya bila saya menuju ke “tempat kerja” (garaj yang telah saya tukarkan kepada pejabat di rumah) pada waktu malam. Padanya, itulah masanya untuk berehat di rumah.
Sehingga hari ini, satu-satunya tanggapan yang berada dalam fikiran ibu ialah, bekerja itu sesuatu yang dilakukan dalam sebuah bangunan, tetapi bukannya bangunan bernama rumah. Dalam fikirannya, bekerja itu tidak boleh berada di dalam rumah. Apabila ada saudara-mara ataupun kawan yang bertanya tentang saya, beliau akan berkata: “Milah tak kerja!”
Anak sulung saya yang kini berusia duapuluh lima tahun membesar sambil melihat ayahnya, pakcik dan makciknya, serta jiran-jirannya keluar bekerja setiap awal pagi dan hanya pulang ke rumah dalam keadaan letih lesu setiap petang. Dia melihat bagaimana tekanan bekerja mempengaruhi kesihatan seseorang; ayahnya disahkan menghidap barah selepas beberapa tahun bekerja di bawah tekanan ekstrem. Dia tahu bagaimana berbezanya saya bekerja; waktu bekerja yang fleksibel menjadi kebiasaan saya. Dia tahu bahawa saya boleh menangguhkan kerja buat sementara waktu untuk menghantar adiknya yang sakit untuk berjumpa doktor.
Dia cukup maklum bahawa saya bebas untuk berehat sepanjang hari apabila saya sudah terlalu letih bekerja. Dia sedar bentuk pengorbanan yang sering berlaku dalam kehidupan moden. Dia faham buruk padahnya jika anda gagal menyeimbangkan pekerjaan dan kehidupan seharian. Ramai kawan-kawannya berasal daripada keluarga yang bermasalah disebabkan ibu bapa mereka gagal menyeimbangkan pekerjaan dan kehidupan seharian. Ada yang tidak tidur malam disebabkan beban hutang keliling pinggang dan ada juga yang bercerai-berai sehingga terputus hubungan keluarga.
Sebagai jurutera komputer, anak muda saya ini memilih untuk bekerja di sebuah syarikat perniagaan baru bersama-sama senior kolejnya. Dia gemarkan waktu bekerja yang fleksibel dan lebih suka bekerja dari rumah, kecuali ada keperluan untuk bertemu pelanggan di pejabat mereka. Dia tidak berminat untuk bekerja dengan syarikat korporat gergasi kerana baginya pilihan ini membawa erti kongkongan terhadap fleksibiliti yang dimilikinya. Selalunya, perbincangan dengan orang atasan ataupun pelanggan dilakukan secara online (maya) untuk menjimatkan masa, wang dan tenaga. Lebih daripada sekali saya diberitahunya, “Ummi, Along nak jadi macam Ummi!”
Sewaktu masih remaja, saya pernah memiliki diari. Saat gembira dan sedih – saya curahkan segalanya ke dalam diari saya. Setiap kali selesai membuat catatan di dalam diari, saya akan menyimpannya dengan rapi di dalam laci. Bimbang jika ada “mata yang tidak diundang” yang terbaca nanti. Tabiat menulis dalam diari ini sememangnya menjadi kebiasaan untuk remaja seusia dan sezaman dengan saya.
Namun keadaan sudah berubah.
Hari ini, jika anak saya kelihatan kurang seronok dan enggan bercerita panjang dengan saya, saya akan mencapai konputer riba dan membaca blog atau statusnya menerusi laman Facebook. Kadang kala, itulah caranya yang saya lakukan untuk mengetahui apa yang tidak kena dengan anak saya itu. Ini bermakna, yang dinilai sebagai bahan peribadi waktu saya remaja dahulu kini sudah berubah menjadi bahan tatapan umum. Diari peribadi sudah bertukar kepada diari tatapan ramai. Tidak keterlaluan untuk kita katakan bahawa boleh dikatakan sesiapa sahaja boleh membaca isi hati seseorang Generasi Y atau Z di alam maya.
PERBEZAAN ANTARA GENERASI
Jika anda telah mengharungi kehidupan sepanjang Perang Dunia Kedua, anda merupakan seorang Veteran. Kemungkinan besar anda pernah mengalami keperitan sebagai mangsa krisis makanan dan pernah bergelut untuk menyelamatkan diri setiap kali serangan udara berlaku. Anda juga tahu bagaimana rasanya hidup dalam ketakutan. Ini membuatkan anda perlu bertindak bijak dalam setiap keadaan untuk mengharungi waktu-waktu yang mencabar. Anda juga perlu bersabar dengan catuan makanan dan lebih berhati-hati dengan penggunaan wang.
Mereka yang datang daripada generasi kemudian iaitu Generasi Baby Boomer, Generasi X, Y dan seterusnya yang tidak pernah mengalami kesukaran seteruk anda untuk memperoleh wang dan keperluan hidup, pasti sukar untuk memahami mengapa anda begitu berjimat-cermat dengan wang.
Sekiranya anda membesar dengan trend radio transistor, anda tidak lain tidak bukan merupakan golongan Baby Boomer. Sebagai anak, anda sering diberitahu “Anak-anak jangan masuk campur bila orang tua-tua sedang bercakap.” Ibu bapa Veteran anda berhempas-pulas untuk melakukan apa jua yang terdaya untuk memberi anda apa sahaja yang mereka tidak pernah rasa. Anda dibiasakan bekerja dengan sistem punch card dan disket, dan berasa amat bersalah sekiranya datang lewat ataupun pulang lebih awal daripada orang lain.
Jika anda suka menonton rancangan Sesame Street, Star Trek dan Battlestar Galactica sewaktu kecil, anda kemungkinan besar seorang Generasi X. Anda mungkin ingat akan peristiwa runtuhnya Tembok Berlin, merebaknya virus HIV/AIDS serta trajedi Challenger – kapal angkasa lepas Amerika yang meletup sebaik sahaja berlepas ke angkasa. Anda mungkin seorang remaja apabila mendengar berita kematian Indira Gandhi, Perdana Menteri India yang dibunuh oleh pengawal peribadinya sendiri.
Poin kami di sinilah ialah, mereka yang membesar dalam generasi yang sama terdedah kepada beberapa peristiwa dan persekitaran yang tertentu yang tidak dialami oleh generasi-generasi lain. Oleh itu, pengalaman yang dikongsi oleh golongan segenerasi ini banyak mempengaruhi cara mereka berfikir, tindak tanduk mereka dan pandangan hidup mereka. Kajian membuktikan bahawa mereka yang telah pun melalui pengaruh sosial, politik dan persekitaran yang sama akan mempunyai ciri-ciri sikap yang serupa, disebabkan pengalaman yang serupa. Inilah yang menghasilkan keunikan setiap generasi. Malah, perbezaan antara generasi boleh menyumbang kepada …
JURANG ANTARA GENERASI
Tentunya sebagai insan, kita semua mempunyai banyak persamaan tanpa mengira asal generasi. Golongan Veteran adalah nenek moyang kepada Generasi X. Baby Boomer pula ialah datuk nenek atau ibu bapa kepada Generasi Y dan Z.
Hari ini, kalangan Generasi X telahpun berumahtangga dan mempunyai anak yang mewakili Generasi Z. Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sejauh mana perbezaan antara kanak-kanak Generasi Z ini dengan kanak-kanak Generasi Y yang lebih tua. Ini kerana, mustahil untuk kita mengagak apakah peristiwa-peristiwa yang bakal mencorakkan masa hadapan mereka. Sikap dan pandangan hidup golongan yang lebih muda ada kaitannya dengan situasi semasa dan yang akan datang, yang mereka bakal alami.
Jurang antara generasi bukan sekadar perbezaan umur. Ianya lebih kepada perbezaan dari segi bagaimana anda menilai sesuatu perkara dan cara anda menyelesaikannya. Apabila anda dilahirkan dalam generasi yang berbeza, anda mempunyai buah fikiran dan sudut pandangan yang berbeza.
Ada pihak mendakwa Generasi Y dan Z merupakan golongan yang dimanjakan, dibesarkan oleh ibu bapa yang memenuhi segala kehendak dan tuntutan anak-anak mereka. Satu pihak lagi berpendapat yang sebaliknya iaitu Generasi Y dan Z adalah golongan yang paling kreatif, berakal dan berkeyakinan di dunia. Buku ini cuba mencari jalan tengah untuk menyeimbangkan kedua-dua pendapat yang bercanggah ini.
Perlu diingat, kita semua dibentuk oleh faktor dalaman (genetik) dan luaran (persekitaran). Faktor-faktor genetik dan persekitaran yang dialami setiap saat mewarnai nilai hidup, sikap, tabiat dan perwatakan setiap insan. Orang-orang di sekeliling kita termasuklah ibu bapa, datuk, nenek, guru, kawan, jiran yang berinteraksi dengan kita setiap hari mencorakkan pemikiran kita. Begitu juga media yang mempengaruhi pandangan dan perspektif kita.
……………………………………………………………………………………………………………..
MENGAPA ANDA PERLU AMBIL KISAH TENTANG GENERASI Y DAN Z?
Daripada rancangan TV kegemaran, budaya kerja dan cara mereka berbicara, Generasi Y dan Z begitu berbeza berbanding generasi-generasi lain. Dibesarkan dengan gaya hidup berInternet, mereka seolah-olah hidup dalam dunia tersendiri. Anda mungkin sukar memahami apa yang mereka katakan atau lakukan, sehingga mencetuskan jurang antara generasi. Bersedia atau tidak, anda perlu menghadapi Generasi Y dan Z – mereka adalah anak-anak saudara, sepupu, anak, pelajar, staf mahupun majikan anda!
Tips Groovi Mendidik Generasi Y dan Z jelas dan mudah dibaca. Penulisnya merupakan profesional yang benar-benar memahami cabaran yang wujud beserta kemahiran keibubapaan dan pengurusan yang berkesan untuk Generasi Y dan Z. Buku ini padat dengan cara-cara menghadapi beberapa sikap unik lagi mencabar Generasi Y dan Z:
– “Saya mahukannya sekarang.”
– “Saya patut menerimanya.”
– “Saya berhak” dan banyak lagi
Bermula dengan Bab 1: Generasi Y dan Z Sudah Tiba, anda akan menemui 123 idea kontemporari untuk berhubung dengan dua generasi yang makan, tidur dan bernafas dengan Internet. Buku ini didatangkan dengan nota istimewa untuk para guru, pensyarah dan pendidik, ditambah dengan tips untuk menguruskan dan memimpin Generasi Y dan Z di tempat kerja. Memahami Generasi Y dan Z memberikan anda kuasa untuk berkomunikasi secara efektif dengan mereka, sekali gus membuka jalan untuk anda menjadi lebih bijak, lebih bahagia dan lebih berjaya.
……………………………………………………………………………………………………………..
“Buku yang amat sesuai dibaca oleh sesiapa sahaja yang berinteraksi dengan Generasi Y dan Z sama ada di rumah atau di tempat kerja. Padat dengan idea bernas.” – Brigitte Rozario, ParenThots
“Jika anda ingin memahami Generasi Y dan Z, inilah bukunya yang boleh membantu anda.” – Zaid Mohamad, Smart Parents