Announcements

Baca Petikan: ‘ANAK LELAKI KOOL & HEBAT’

 

ISI KANDUNGAN

 

KISAH DI SEBALIK BUKU INI

 

CARA MENGGUNAKAN BUKU INI

 

BACA PETIKAN

 

SINOPSIS

 

KOMEN PEMBACA

 

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

 

ISI KANDUNGAN

 

  1. REMAJA LELAKI: APA CERITANYA?

 

Impian Hancur Berkecai

Rokok dan Remaja

Usia Remaja: Satu Titik Peralihan

Berani, Bosan, Buas

Sikap Optimistik: Langkah Sulung Ke Arah Perubahan

 

  1. ANAK LELAKI LUAR BIASA

Pakar Pun Boleh Silap

Dunia Tersendiri

Penulis My Left Foot

Lelaki Buta dan Gunung Everest

Tekankan Lebih Kepada Usaha

Jangkaan dan Harapan

Anak Lelaki Suka Cabaran

Erti Kejayaan Sebenar

 

  1. KEPERCAYAAN

Kiranya Anak Anda Boleh Dipercayai

Anak Lelaki Hanya Mendengar Nasihat Orang Dipercayai

Bila Takut Menghantui Diri

Tangani Ketakutan

Empat Rahsia Kecil, Empat Kesilapan Besar

Kepercayaan dan Keyakinan Diri

Kepercayaan Bukan Keyakinan Membabi Buta

 

  1. BERBICARA ADA BAIKNYA

 

Bila Mesej Tak Kesampaian

Kisah Dua Pemburu

Empat Rahsia Komunikasi Lebih Baik

Teknik Komunikasi Lancar

Kelihatan Mudah, Kedengaran Mudah

 

5.  SIKAP BERTANGGUNGJAWAB

 

Semuanya Bergantung Kepada Usaha

Sikap Bertanggungjawab Satu Pilihan

Semuanya Salah Orang Lain

Kuasa Galakan

Bijak Mengurus Tugasan

“Saya Tak Boleh!”

Apa Maksud Anda Sebenarnya?

Akibat

Kerja Rumah: Ubah Tanggapan Lama

 

 

6.  TANGANI SOALAN JADI KENAPA?!

 

Jadi Kenapa?!

Bas Bertukar Menjadi Sekolah

Gunakan Daya Imaginasi

Membaca

“Kerja Sekolah Dah Siap?”

Gred Cemerlang, Kerjaya Gemilang?

Gambaran Lebih Luas

 

7. APA ISTIMEWANYA ANDA SEBAGAI IBU BAPA?

 

“Saya Kuat Memberontak”

Kelebihan Seorang Bapa

Konflik Satu Rahmat

Ibu dan Anak Lelaki

Penerimaan Ibu Bapa

Kelemahan Boleh Bertukar Menjadi Kekuatan

Disiplin

 

8.  PENDIDIKAN SEKS

 

Mengapa Ia Sensitif?

Apa, Bagaimana, Bila?

Sarat Dengan Nilai

Idea-idea Masa Kini

Idea Manakah Pilihan Anda?

 

 

9.  IBU BAPA TUNGGAL, IBU BAPA TIRI

 

Ibu Bapa Tunggal Yang Berjaya

Ibu Tunggal dan Anak Lelaki

Bapa Tunggal

Ibu Bapa Tiri, Keluarga Bergabung

 

 

10. SUASANA KELUARGA

 

Rumah Tidak Semestinya Syurga

Anak Lelaki dan Tekanan Dalam Keluarga

Punca Tekanan Dalam Keluarga

Selangkah Demi Selangkah

 

 

11. AKHIR KATA

 

“Biarkan Saya Botak!”

Naluri Anak Lelaki

Bila Anda Buntu

Pertumbuhan Eksponen

 

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

  

KISAH DI SEBALIK BUKU INI

Suatu pagi, saya singgah di sekolah anak perempuan saya untuk memungut kad laporannya. Saya terserempak dengan seorang kenalan. Anak lelakinya sekelas dengan anak saya. Keputusan peperiksaan anak kenalan saya ini agak memuaskan. “Tapi Mama,” kata anaknya kepadanya, “Empat pelajar terbaik semuanya perempuan!”

“Saya katakan kepadanya, pedulikan pelajar perempuan. Bersainglah dengan pelajar lelaki saja!” kata kenalan saya.

Saya tersentak mendengar ceritanya. Begitu merosotkah harapan ibu bapa terhadap pencapaian remaja lelaki?

Beberapa minggu kemudian, saya duduk bersembang dengan seorang doktor di kampung saya di Johor. Dia memang tidak asing lagi buat saya. Maklumlah, sudah bertahun-tahun dia merawat ibu saya yang uzur. Saya bertanyakan khabar tentang ibu, kalau-kalau ada perkembangan terbaru yang perlu saya tahu. Entah bagaimana, perbualan kami beralih kepada hal keluarga.

“Tak tahulah apa yang nak dibuat dengan anak lelaki tunggal saya,” keluhnya. “Keputusan SPMnya langsung tidak memuaskan. Kedua-dua kakak kembarnya sentiasa cemerlang di sekolah. Tidak sepertinya. Tempoh hari, saya ungkitkan hal ini. ‘Cuba beritahu ayah. Apa sebenarnya cita-cita kamu?’. Tapi, dia langsung tidak tahu apa yang diminatinya. Sekolah dia tak suka. Masalahnya, dia ni langsung tak bermotivasi… Dia malas.” Doktor tersebut menggelengkan kepalanya.

“Mustahil begitu,” tingkah saya, membela remaja yang belum pernah saya temui.

Sepanjang perjalanan pulang, kata-kata kenalan saya dan doktor  tersebut terngiang-ngiang dalam fikiran. Semuanya pernah saya dengar sebelum ini.

Anak lelaki kurang bermotivasi. Anak lelaki prestasinya tidak memuaskan. Anak lelaki sukar dikawal.

Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa demi membentuk anak lelaki yang bermotivasi, tekun berusaha dan berakhlak tinggi?

Kajian jelas menunjukkan penglibatan ibu bapa besar pengaruhnya terhadap remaja, tidak kira remaja lelaki mahupun perempuan. Saya tidak bermaksud untuk mengesyorkan agar menghubungi anak anda setiap satu jam demi memastikan di mana dia berada. Saya juga tidak menyarankan agar anda meluangkan masa saban hari dengan anak lelaki anda meneliti buku-buku sekolahnya untuk memperbaiki keputusan peperiksaannya. Ini adalah bentuk PENGLIBATAN YANG TERLAMPAU.

Kajian membuktikan, penglibatan ibu bapa yang terlampau menjejaskan motivasi remaja. Ia menyebabkan remaja KURANG BERMOTIVASI. Bagaimana pula jika anda memilih untuk bersikap lepas tangan dan tidak terlibat langsung dalam hidup anak lelaki anda? Sudah tentu ini mendorong anak lelaki anda untuk hilang minat dalam pelajaran. Akhlaknya pun pasti terjejas.

Apakah peranan yang boleh anda mainkan agar anak lelaki anda bermotivasi dan terdorong untuk BERUSAHA SEHABIS BAIK? Bagaimanakah caranya mendidik anak lelaki yang memilih untuk berakhlak tinggi? Inilah soalan-soalan yang dikupas dalam buku ini.

NOTA: Nama dan butir-butir peribadi mereka yang kisahnya dimuatkan di dalam buku ini telah diubah.

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

CARA MENGGUNAKAN BUKU INI

Buku ini adalah hasil kajian terperinci. Saya telah menemuramah ramai ibu bapa, guru dan remaja lelaki. Saya juga puas berbincang dengan beberapa pakar motivasi yang berpengalaman sekian lama berurusan dan menangani masalah ribuan anak lelaki. Saya juga telah mengkaji ratusan artikel dan laporan. Buku ini memuatkan kisah-kisah dan kajian yang paling bernilai berdasarkan temu ramah dan kajian teliti tersebut. Bacalah paparan kisah anak-anak lelaki yang berjaya dan juga anak-anak lelaki yang bermasalah. Punca terjadinya demikian juga ada diselitkan. Anda boleh:

  • Membaca paparan kisah-kisah tersebut terlebih dahulu; atau
  • Membaca buku ini daripada mula sehingga akhir; atau
  • Terus beralih ke bahagian tertentu yang anda rasakan paling berkaitan untuk anda di saat ini.

Contoh: Jika anak lelaki anda bersikap kurang bertanggungjawab terhadap dirinya sendiri, beralihlah ke Bab 5.

Contoh: Jika anda berasa sukar berkomunikasi dengan anak lelaki anda, teruslah ke Bab 4. Bab ini memberikan beberapa sebab mengapa terjadinya demikian dan tip-tip untuk menangani keadaan ini dengan lebih baik.

Contoh: Jika anda berasa sukar untuk menaruh kepercayaan kepada anak lelaki anda, bacalah Bab 3.

Contoh: Jika prestasi anak lelaki anda di sekolah kurang memberangsangkan kerana dia kurang berminat untuk belajar, bacalah Bab 6.

Walau bagaimanapun, seringkali sesuatu masalah itu hanya dapat kita atasi secara efektif setelah kita menyelaminya daripada pelbagai sudut. Lumrahnya, masalah yang kita hadapi dalam hidup bukanlah berpunca daripada satu sebab tertentu sahaja. Isu-isu seperti sikap kurang bertanggungjawab, perhubungan tegang di antara ibu bapa dan anak lelaki serta ketiadaan minat anak lelaki terhadap persekolahan sukar difahami jika kita sendiri kurang peka dengan naluri semula jadi mereka. Kita mungkin berputus asa jika tidak tahu-menahu cara menanam keinginan dalam diri anak lelaki untuk membuktikan keupayaan mereka. Semua isu di dalam buku ini berkait rapat antara satu sama lain. Anak lelaki insan yang kompleks, seperti anda dan saya. Untuk itu, saya ingin mengesyorkan agar anda membaca kesemua bahagian buku ini.

Nota: Jika anak lelaki anda menghadapi masalah berbentuk klinikal, membaca buku ini sahaja tidak memadai. Namun ia akan dapat meringankan beberapa isu yang sedang anda hadapi. Meskipun anak lelaki anda mempunyai cabaran tertentu, sebagai remaja lelaki, dia tetap melalui perkembangan tertentu serupa seperti anak lelaki lain.

Jamilah Samian

Kuala Lumpur

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

BACA PETIKAN

 

BAB 2

 

ANAK LELAKI LUAR BIASA

 

 

PAKAR PUN BOLEH SILAP

Saya ingin ceritakan kepada anda perihal seorang sahabat kecil saya bernama Adam.

Adam berumur 11 tahun dan suka menikmati sarapan pagi di kantin sekolah. Di situlah saya sering menemuinya. Gerak-gerinya perlahan tetapi serius apabila makan.  Dia begitu berhati-hati supaya cebisan makanan tidak berselerak jatuh ke ribanya. Saya pernah menghadiahkan kepada Adam senaskhah buku Horrible Science: Blood, Bones and Body Bits, sebuah buku yang menjadi kegemaran anak-anak saya. Inilah catatan yang saya lakarkan di dalam lipatan kulit muka buku tersebut:

Adam,

 

Kata ibu, Adam ingin menjadi seorang doktor. Dalam buku ini, Adam akan menemui pelbagai rahsia tubuh manusia. Kata ibu juga, Adam sangat suka membaca sehingga semua buku yang Adam baca halamannya terlipat di sana sini… Moga-moga buku ini turut mendapat layanan yang sama! Saya harap Adam bakal menjadi seorang doktor yang hebat suatu hari nanti.

 

Dua hari kemudian, saya terserempak dengannya di pintu pagar sekolah. “Kamu masih membaca buku baru?” Saya bertanya.

“Saya sudah habis membacanya,” katanya selamba. Dia membetulkan kedudukan cermin mata berbingkai gelap yang senget sedikit di atas hidungnya.

“Dah habis baca?” Terperanjat saya mendengar jawapannya. Apa tidaknya. Buku tersebut tebalnya hampir tiga suku inci dan tulisannya agak kecil. Saya sangka dia pasti memerlukan beberapa hari lagi untuk menghabiskannya; maklumlah, ia masih belum hujung minggu. Tetapi dengan ketekunan yang dimiliki Adam, apa yang hendak dihairankan!

Ketika Adam dalam kandungan, ibunya, Puan Alina, menghidap jangkitan pada tiga bulan pertama. Jangkitan itu menjejaskan otak bayi yang sedang pesat berkembang.

“Sehari selepas dia mencecah usia setahun, saya dan suami saya pergi berjumpa dengan seorang pakar pediatrik di sebuah klinik swasta,” Puan Alina menceritakan kepada saya. “Kami diberitahu bahawa Adam menghidap ‘kematangan lewat’. Pakar pediatrik tersebut memandang tepat ke muka kami dan mengatakan bahawa anak lelaki kami tidak akan membesar secara normal. Saya terkejut besar. Perasaan saya ketika itu seperti dijatuhkan hukuman mati. Setibanya di rumah, saya memberitahu suami saya, ‘Kita mesti buktikan yang pakar itu silap’.”

Untuk beberapa tahun selepas itu, Puan Alina tinggal di rumah dan meluangkan masa  bersama Adam setiap hari dengan penuh kesabaran. Dia mengajar Adam mengenali setiap huruf di dalam abjad satu demi satu. Dia juga mengajak Adam berbual dan cuba menjawab setiap soalannya. Apabila Adam berusia enam tahun, Puan Alina membawa Adam untuk satu lagi pemeriksaan kesihatan, kali ini di hospital kerajaan. Pakar pediatrik yang memeriksanya begitu terperanjat dan kagum apabila mendapati Adam boleh membaca sebaik kanak-kanak berumur enam tahun yang lain.

Alina mengakui bahawa dengan Adam, segala-galanya memerlukan lebih banyak masa. Ketika berusia lima tahun, Adam mengambil masa tiga bulan untuk membaca bukunya yang pertama. “Adik lelakinya hanya memerlukan masa dua minggu untuk membaca buku yang sama,” kata Puan Alina yang mempunyai tiga anak yang lain. “Tetapi saya menyedari bahawa daya ingatannya bagus. Dia boleh mengingati peristiwa yang berlaku ketika umurnya hanya dua setengah tahun. Dia boleh imbas kembali tempat-tempat yang kami lawati serta aktiviti-aktiviti yang kami sekeluarga lakukan pada usia semuda itu. Daya ingatan saya pun tidak sekuat itu!”

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

SINOPSIS

ANAK REMAJA LELAKI ANDA BERMASALAH?

Anak lelaki tak dengar kata. Anak lelaki tak bermasalah. Anak lelaki tak minat belajar.

Demikian antara keluhan ibu bapa yang membesarkan anak remaja lelaki akhir-akhir ini. Apakah yang boleh dilakukan oleh ibu bapa demi membentuk anak lelaki bermotivasi, tekun berusaha dan baik tingkah lakunya?

Di dalam buku ini, Jamilah Samian, ibu kepada lima anak lelaki dan seorang anak perempuan menggariskan usia remaja sebagai titik peralihan kritikal bagi anak lelaki. Berasaskan kajian terperinci dan temu ramah dengan ramai ibu bapa, guru-guru, remaja lelaki dan pakar motivasi berpengalaman, Anak Lelaki Kool & Hebat padat dengan pelbagai  tip dan langkah praktikal yang boleh diambil oleh ibu bapa agar anak remaja lelaki:

– memilih untuk bersikap bertanggungjawab terhadap tingkah laku mereka

– berazam dan bertekad untuk memperbaiki diri

– menjauhkan diri daripada gejala-gejala yang tidak diingini

– bercita-cita tinggi dan bersemangat waja untuk berjaya dalam hidup

– berusaha sehabis baik termasuk meningkatkan prestasi di sekolah


[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

KOMEN PEMBACA

“Sebuah buku yang patut dimiliki oleh ibu bapa yang mahukan anak lelaki mereka menjadi manusia yang berjaya dan seimbang hidupnya.” – Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad, Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia

“Gaya penulisannya mudah difahami.” – Dr Nesamalar Chitravelu , Penulis dan Pendidik

“Jamilah membincangkan isu-isu kepercayaan, sikap bertanggungjawab, komunikasi . . . malah tip mendidik anak yang suka memberontak . . . disyorkan untuk semua ibu bapa.” – ParenThots, The Star


[Go back to Top of Page]

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top