[Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.]
Artikel ini adalah bahagian pertama nukilan penulis sempena Bulan Sambutan Kesedaran Disleksia Sedunia pada bulan Oktober.
“Saya tidak nampak masalah dengan anak anda.” Mungkin ini adalah komen yang paling biasa diucapkan oleh ahli keluarga dan rakan apabila diberitahu bahawa anak anda adalah anak disleksia. Di dunia yang menghargai keserasian dan kesempurnaan, anak disleksia sering kali merasa sukar untuk mengekalkan prestasi dengan rakan sebaya mereka. Akibatnya, seramai 40-60% kanak-kanak dan remaja disleksia akhirnya menghadapi masalah kesihatan mental seperti kemurungan. Lebih buruk, sesetengah mereka mula terfikir untuk bunuh diri, bukan disebabkan disleksia itu sendiri, tetapi disebabkan oleh cara mereka diperlakukan terutamanya oleh ibu bapa dan guru di sekolah yang kurang arif tentang disleksia. Statistik yang mengejutkan ini dikongsi oleh staf Hospital Permai Johor Bahru dalam sesi umum baru-baru ini.
Mari kita lihat beberapa strategi lebih bijak untuk membesarkan kanak-kanak dan remaja disleksia supaya potensi mereka menyerlah, walaupun menghadapi pelbagai cabaran dalam membaca, menulis dan mengira.
Pendidikan Dan Kesedaran
Sesetengah ibu bapa enggan menerima hakikat anak mereka dilahirkan dengan disleksia: “Tak mungkin anak saya ada masalah pembelajaran. Mesti ada yang salah dengan penilaian ini.” Sesetengah ibubapa lain pula saling tuduh-menuduh antara satu sama lain: “Dalam keluarga saya tak pernah ada anak dilahirkan begini. Ini mesti keturunan awak.”
Percayalah, keengganan menerima realiti, atau menyalahkan pasangan anda sama-sekali tidak akan membantu anda menangani situasi. Malah, ramai kanak-kanak disleksia membesar tanpa menerima sebarang intervensi dan peluang yang boleh membantu mereka berjaya sebagai orang dewasa, hanya kerana ibubapa enggan berbuat sesuatu.
Otak manusia fleksibel dan keupayaan untuk belajar terbuka sepanjang hidup, tetapi semakin kita berusia, semakin sukar untuk belajar sesuatu yang baru. Begitu juga anak anda. Hari demi hari, semakin besar, semakin sukar untuk anak disleksia anda belajar membaca, menulis dan mengira dengan baik jika dibiarkan begitu sahaja.
Anda ingin anak disleksia anda menyerlah, bukan? Mulakan langkah dengan mendidik diri sendiri dan orang di sekeliling anda. Disleksia bukanlah ukuran kecerdasan; ia adalah perbezaan dalam pembelajaran (“learning difference”). Anak disleksia belajar secara berbeza. Fahami ini dengan betul. Cari maklumat tentang disleksia dari sumber yang sahih, ciri-cirinya, dan cabaran yang mungkin dihadapi oleh anak anda. Fahami bahawa individu disleksia sering memiliki kekuatan unik, seperti kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah, dan daya tahan.
Bina Semangat Waja
Paling penting, didik anak anda supaya dia faham, meskipun sukar untuk belajar membaca/menulis/mengira, potensinya akan tetap bersinar suatu hari nanti. Yang penting, usaha berterusan yang sesuai dengan cara dia belajar. Puji usaha dan pencapaiannya, tidak kira sekecil mana pun. Tetapi jangan terlalu memuji, kerana ia akan kelihatan tidak jujur kepada anak anda. Perhatikan keunikannya dan ingatkan dia bahawa disleksia hanyalah sebahagian daripada dirinya, bukan identiti seluruhnya.
Komunikasi Terbuka
Sewajarnya anak-anak, tidak kira disleksia mahupun tidak, berasa selesa untuk berkomunikasi dengan anda, lebih-lebih lagi jika ada sesuatu yang mereka rasa keliru atau terganggu. Wujudkan ruang selamat dan terbuka, jadi mereka boleh meluahkan apa yang terbuku di hati, termasuk pemikiran, perasaan, dan kebimbangan yang berkocak di jiwa. Galakkan mereka untuk berkongsi pengalaman dan perasaan. Bincangkan cabaran yang mereka hadapi dan usaha bersama untuk mencari penyelesaian.
Galakkan Anak Disleksia Bangkit Bersuara
Ajar anak anda untuk membela diri sendiri. Bantu dia memahami kekuatan dan kelemahan diri. Bina strategi untuk menyesuaikan keperluan pembelajarannya, termasuk menggunakan teknologi pembantu (“assistive technology”), meminta lebih masa untuk tugasan (“accommodation”), atau mencari gaya pembelajaran yang serasi (“preferred method of learning”).
Sokong Minat Mereka
Setiap kanak-kanak mempunyai minat dan bakat unik. Galakkan anak disleksia anda untuk meneroka dan mengembangkan kegemarannya. Disebabkan anak disleksia sukar membaca/menulis/mengira, mereka sering dikaitkan dengan bidang seni, sukan, dan usaha kreatif lain. Hakikatnya ramai anak disleksia yang meminati jurusan STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics). Jadi, jangan abaikan STEM hanya kerana anak anda disleksia. Sokong minatnya, tidak kira apa bidang sekalipun, asalkan bermanfaat untuk diri dan insan lain, supaya dia dapat meningkatkan keyakinan dan harga diri.
Cari Sekolah Sesuai
Memilih sekolah yang betul untuk anak disleksia penting, kerana pada umumnya aliran perdana tidak menyediakan guru yang terlatih. Cari sekolah yang mempunyai pengalaman dalam mengajar kanak-kanak yang berbeza pembelajaran. Pelan pendidikan individu (“Individual Educational Plan”) boleh membantu menyesuaikan pengalaman pembelajaran dengan keperluan khusus anak anda.
Bantuan Profesional
Pertimbangkan untuk mendapatkan pendapat pakar, seperti ahli pertuturan (“speech therapist”), ahli terapi pekerjaan (“occupational therapist”), atau ahli psikologi pendidikan (“educational psychologist”), yang boleh memberikan panduan dan sokongan berharga untuk keperluan unik anak anda. Terapi dan intervensi boleh meningkatkan kemahiran membaca dan menulis anak anda.
Bina Daya Tahan
Perteguh daya tahan anak disleksia anda. Daya tahan adalah kunci kejayaan untuk mengatasi cabaran. Terangkan bahawa kegagalan tidak lain dan tidak bukan asam garam kehidupan. Jadikan kegagalan sebagai pencetus semangat untuk terus berjuang. Tekankan betapa pentingnya usaha dan ketekunan.
Sebarluaskan Kesedaran Tentang Disleksia
Begitu ramai anak disleksia tidak diberi intervensi, khususnya dalam aliran perdana semata-mata kerana ceteknya kefahaman tentang disleksia. Mainkan peranan anda demi meningkatkan kesedaran umum, termasuk di kalangan ahli keluarga dan rakan taulan, juga di sekolah aliran perdana jika anak anda bersekolah di sana.
Jadilah Ibu Bapa Contoh
Tunjukkan kepada anak anda bahawa kejayaan tidak ditakrifkan hanya oleh pencapaian akademik semata-mata. Kongsi pengalaman anda sendiri dan bagaimana anda mengatasi pelbagai cabaran sepanjang hidup. Jadilah contoh untuk ketabahan, tekad, dan daya tahan untuk anak anda.
Gunakan Teknologi Pembantu (“Assistive Technology”)
Dalam zaman digital hari ini, terdapat pelbagai alat teknologi pembantu yang tersedia untuk menyokong pelajar disleksia. Perisian dan aplikasi yang direka untuk teks-ke-suara, suara-ke-teks, dan jenis huruf yang boleh disesuaikan dapat menjadikan pembacaan dan penulisan lebih mudah dipelajari oleh anak disleksia. Galakkan anak anda untuk meneroka alat-alat ini dan mencari pilihan yang paling sesuai untuknya.
Iktiraf Kemajuan, Bukan Kesempurnaan
Kanak-kanak disleksia mungkin mengambil masa lebih lama untuk menguasai kemahiran tertentu, tetapi mereka akan maju jika diberi galakan berterusan. Sambut setiap langkah ke hadapan dan elakkan membandingkan mereka dengan rakan sebaya. Kenali dan hargai usaha dan tekadnya.
Sediakan Struktur Yang Konsisten
Struktur (jadual) yang teratur dan konsisten boleh membantu kanak-kanak disleksia merasa lebih yakin terhadap persekitaran mereka. Jadual yang konsisten untuk pengajian, rehat, dan aktiviti kokurikulum boleh membuat mereka rasa selesa dan selamat, sekaligus mengelakkan tahap stres terlalu tinggi.
Galakkan Membaca Untuk Seronok
Membaca tidak perlu menjadi tugasan yang membebankan. Galakkan anak anda untuk meneroka buku-buku yang menarik minat mereka. Buku audio, novel grafik (komik!), dan buku-buku dengan bab yang lebih pendek boleh menjadikan membaca lebih menyeronokkan. Lawati perpustakaan bersama dan jadikan membaca sebagai aktiviti keluarga. Cari buku yang tahapnya sesuai untuk anak disleksia anda; tidak terlalu senang dan tidak terlalu sukar.
Cari Rangkaian Sokongan
Kenali ibu bapa lain yang mempunyai anak disleksia untuk berkongsi pengalaman dan strategi. Kumpulan sokongan dan komuniti “online” boleh memberikan pandangan berharga dan sokongan emosi. Anak anda juga boleh mendapat manfaat daripada berinteraksi dengan rakan sebaya yang menghadapi cabaran serupa.
Tangani Buli dan Stigma
Sayangnya, kanak-kanak disleksia mungkin dibuli atau diejek rakan sebaya disebabkan perbezaan pembelajaran mereka. Berjaga-jaga dan proaktif dalam menangani isu-isu ini dengan pihak sekolah, guru, dan kaunselor. Ajarkan anak anda strategi untuk mengendalikan dan melaporkan kes buli, dan bantu mereka memahami bahawa nilai harga dirinya tidak ditentukan oleh pandangan orang lain.
Ajar Teknik Pengurangan Stres
Latihan pernafasan, pergerakan/senaman fizikal seperti berenang, dan tabiat suka berdoa boleh membantu mereka lebih tenang dan fokus. Amalan-amalan ini boleh menjadi kaedah bernilai dalam membina daya tahan.
Tuju Matlamat Realistik
Luangkan masa bersembang dengan anak anda untuk mendapat gambaran matlamat yang boleh dicapai mengikut kekuatan dan minatnya.
Galakkan Aktiviti Kokurikulum
Penglibatan dalam sukan, seni kreatif atau aktiviti kokurikulum boleh meningkatkan harga diri, mengembangkan kemahiran sosial, dan membangkitkan rasa pencapaian di luar bilik darjah, selain mengurangkan tekanan yang tidak diingini. Galakkan anak anda untuk meneroka dan mengasah bakatnya.
Galakkan Berdikari
Apabila anak anda semakin membesar, galakkan dia untuk mengambil lebih banyak tanggungjawab dan membuat keputusan sendiri. Inilah langkah bijak untuk membina keyakinan dan mempersiapkan dia untuk cabaran dunia dewasa.
Sebagai kesimpulan, membesarkan kanak-kanak dan belia disleksia yang berdaya tahan adalah perjalanan yang memerlukan kesabaran, pemahaman, dan sokongan yang teguh. Disleksia tidak mengurangkan nilai atau potensi mereka; ia hanyalah satu aspek daripada diri mereka. Dengan mengikuti pelbagai strategi yang digariskan di sini dan memberi tumpuan kepada kekuatan, keunikan, dan kesejahteraan emosi, anda boleh membantu anak disleksia anda terus menyerlah, mengatasi cabaran, dan membina daya tahan yang diperlukan. Beri tumpuan kepada kesejahteraan keseluruhan/holistik, bukan hanya kejayaan akademik. Kanak-kanak dan remaja disleksia dikurniakan Allah dengan kekuatan dan bakat yang tersendiri, serta potensi untuk menjadi individu yang berdaya tahan dan penuh keyakinan apabila diberi sokongan dan persekitaran yang betul.
Seterusnya: Mampukah Anak Disleksia Anda Menyerlah Di Aliran STEM?
Gambar hiasan oleh Oleksandr Pidvalnyi