Neurodiversiti

Cabaran Mendidik Anak Disleksia, ADHD, Autisme

 

[Read English version]

Perjalanan Profesor Dr. Ratnawati Mohd Asraf menelusuri dunia kepelbagaian neuro (“neurodiversity”) bermula dengan pengalaman peribadi. Beliau menyaksikan betapa sukar cucu-cucunya sendiri bergelut dengan pembelajaran. Apa yang bermula sebagai kebimbangan peribadi akhirnya berkembang menjadi komitmen mendalam untuk memperjuangkan hak pelajar neurodivergen. Dalam temu bual yang menyentuh hati ini, beliau berkongsi inspirasi di sebalik bukunya, You Are Not Alone, sebuah koleksi kisah benar tentang individu dan keluarga neurodivergen.

JS: Prof, boleh ceritakan sedikit tentang diri Prof?

RA: Saya seorang ibu kepada empat orang anak perempuan dan nenek kepada sembilan orang cucu. Saya juga berkhidmat sebagai profesor dalam bidang pendidikan di Kulliyyah Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), di mana saya mula aktif dalam bidang pendidikan, penyelidikan dan penerbitan sejak tahun 1990. Dalam sedekad yang lalu, fokus kajian saya tertumpu kepada pendidikan khas dan neurodiversity, iaitu satu bidang yang amat dekat di hati saya.

JS: Apakah yang mendorong Prof untuk menghimpunkan kisah-kisah peribadi individu dan keluarga neurodivergen?

RA: Saya ingin meningkatkan kesedaran tentang cabaran pembelajaran yang dihadapi oleh individu autisme, disleksia dan ADHD, iaitu keadaan yang menjejaskan cara otak memproses maklumat. Kaedah pembelajaran tradisional selalunya tidak serasi dengan gaya pembelajaran mereka, dan ini menyebabkan mereka sering disalah anggap sebagai lembap atau malas, walhal mereka bukan begitu. Salah tanggapan ini memberi kesan kepada cara mereka dilayan, dan malangnya menjejaskan keyakinan serta perkembangan akademik mereka.

 

Perjalanan saya dalam bidang neurodiversiti bermula apabila saya melihat sendiri cucu sulung saya menghadapi kesukaran membaca semasa Tahun Satu. Dia sukar mengenal kata dan huruf, lalu rasa rendah diri kerana tidak tahu membaca. Suatu hari, dia menangis di hadapan ibunya di rumah kerana masih berada pada tahap buku “biru”, sedangkan kawan-kawannya sudah ke tahap “merah”. Kesedihannya dan kurang harga diri sangat menyentuh hati saya—bukan sahaja sebagai nenek, tetapi juga sebagai seorang pendidik. Kami kemudian mendapati dia mengalami disleksia dan ADHD.

Tidak lama kemudian, salah seorang cucu perempuan saya pula didiagnosis dengan autisme, disleksia dan diskalkulia. Ini menguatkan lagi tekad saya untuk memahami neurodiversiti dengan lebih mendalam. Saya banyak membaca dan menjalankan kajian, termasuk satu penyelidikan di mana saya menjemput ibu bapa kepada anak-anak ini untuk berkongsi pengalaman mereka. Kisah-kisah mereka penuh dengan ketabahan, keimanan, dan kasih sayang amat menyentuh hati saya—dan saya tahu saya perlu menghimpunkannya supaya orang lain turut dapat manfaat. Matlamat saya adalah untuk memupuk empati dan kefahaman yang lebih mendalam tentang bagaimana anak-anak ini belajar dan apa yang mereka lalui.

Anak-anak neurodivergen bukanlah lembap atau tidak bijak. Sebagai contoh, kanak-kanak dengan disleksia mungkin bergelut untuk membaca, ADHD menyukarkan mereka memberi tumpuan, manakala kanak-kanak dengan autisme mungkin menghadapi kesukaran dalam interaksi sosial. Tetapi ini bukan kelemahan peribadi—hanya cara mereka mengalami dunia yang berbeza.

JS: Adakah terdapat cabaran atau tema berulang yang di luar dugaan Prof semasa proses penyuntingan buku ini?

RA: Tema yang timbul tidaklah mengejutkan, tetapi sangat menyentuh perasaan. Antara yang paling ketara, rasa terasing yang mereka alami apabila mula-mula mendapat tahu tentang diagnosis anak—kekeliruan, kesedihan dan tidak tahu ke mana hendak meminta bantuan.

Itulah sebabnya saya menamakan buku ini You Are Not Alone. Saya mahu setiap keluarga ini tahu bahawa mereka adalah sebahagian daripada komuniti yang lebih besar. Mereka tidak bersendirian dan boleh mendapat inspirasi daripada perjalanan orang lain.

Satu tema yang sangat mengharukan ialah bagaimana ibu bapa menghadapinya. Ramai yang berkongsi bagaimana mereka berserah kepada Allah dan tidak menyalahkanNya. Sebaliknya, mereka mendapat kekuatan luar biasa daripada keimanan mereka—satu pengajaran yang amat menginspirasi saya.

JS: Apakah harapan Prof terhadap impak buku ini kepada para pendidik, pembuat dasar, dan masyarakat umum di Malaysia?

RA: Harapan saya ialah buku ini dapat meningkatkan kesedaran dalam kalangan pendidik, pembuat dasar dan masyarakat secara umum. Individu neurodivergen memerlukan kefahaman, sokongan dan empati. Cabaran mereka tidak kelihatan pada zahirnya. Mereka mungkin mengambil masa lebih lama untuk membaca atau memahami konsep, tetapi mereka sangat bijak dan boleh belajar.

Para pendidik perlu membuat penyesuaian—bukan sahaja dari segi masa untuk bertindak balas dan belajar, tetapi juga dari segi pendekatan pengajaran—agar pelajar-pelajar ini dapat belajar bersama rakan sebaya. Menariknya, kaedah mengajar yang menyokong pelajar neurodivergen biasanya memberi manfaat kepada semua pelajar, bukan hanya yang mempunyai perbezaan pembelajaran.

Untuk pembuat dasar, saya berharap pengalaman ibu bapa yang dikongsi dalam buku ini menunjukkan betapa perlunya dasar yang inklusif. Ramai ibu bapa menghabiskan wang yang banyak untuk kelas tambahan dan terapi. Tetapi bagaimana pula dengan mereka yang tidak mampu? Anak-anak ini juga berhak mendapat pendidikan berkualiti yang menepati keperluan mereka, tanpa mengira kemampuan kewangan keluarga mereka.

JS: Apakah nasihat Prof kepada seseorang yang baru menerima diagnosis, atau ibu bapa yang sedang menghadapi situasi ini dalam keluarga mereka?

RA: Jika anda mengesyaki anak anda mungkin neurodivergen, jangan tangguh. Dapatkan diagnosis seawal mungkin. Pengesanan awal membuka pintu kepada sokongan dan intervensi yang sesuai. Tidak perlu rasa segan atau malu untuk mendapatkan bantuan. Diagnosis bukanlah sesuatu yang mengaibkan; ia adalah kunci untuk memahami situasi sebenar.

Bagi orang dewasa, menerima diagnosis boleh menjadi sangat melegakan. Saya kenal seorang insan yang baru-baru ini didiagnosis dengan autisme dan ADHD. Dia merasa sangat lega. Buat pertama kali, dia faham dirinya—dan keluarganya juga akhirnya dapat memahami dia.

Sama ada anda seorang ibu atau bapa atau individu yang sedang melalui perjalanan ini, ingatlah: anda tidak bersendirian. Bantuan itu ada. Sokongan itu wujud. Dan harapan wujud untuk menyinari hidup anda.

 

 

Gambar hiasan oleh  Professor Dr. Ratnawati Mohd Asraf

About Jamilah Samian

Jamilah has written 569 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top