remaja & gajet

“Fitspiration” & Remaja: Apa Ada Pada Rupa?

 

Baru-baru ini saya terjumpa satu istilah baru: “Fitspiration”, berkait rapat dengan media sosial. “Fitspiration” adalah gabungan perkataan “fit” (cergas/sihat) dan “inspiration” (inspirasi) —salah satu trend masa kini.

Terdapat pelbagai imej dan video terpapar di media sosial bertujuan untuk mendorong orang ramai supaya hidup lebih sihat dengan bersenam dan makan makanan seimbang. Tetapi untuk ramai remaja perempuan, “fitspiration” boleh menjadi penyebab manfaat dan mudarat.

Perangkap Perbandingan

“Fitspiration” boleh membawa kepada masalah kesihatan mental, contohnya, kemurungan dan kebimbangan.

Alam remaja dikenalpasti sebagai tempoh pembentukan identiti dan harga diri. Bayangkan setiap hari remaja anda membuka Instagram, TikTok atau Pinterest, penuh dengan gambar dan video tubuh badan yang nampak sempurna, anggun dan bergaya, siap dengan kapsyen yang menggamit agar menjaga kecergasan dan kesihatan. Niat memang baik, namun realitinya, ini semua boleh memerangkap remaja kita membuat perbandingan peribadi yang tidak sihat. Kadangkala, imej yang terpapar di skrin bukanlah imej yang sebenar, tetapi sudah diedit supaya kelihatan sempurna. Atau imej diambil dari sudut tertentu, supaya ciri-ciri paras rupa dan bentuk badan yang kurang menarik tersembunyi.

Kenapa Remaja Perempuan Lebih Mudah Mengalami Kemurungan Dan Masalah Mental?

Isu Imej Badan
Bila kita asyik memerhati tubuh yang diidealkan di dada media sosial, mudah rasa badan sendiri kekurangan. Contohnya, Aisyah, umur 16 tahun, selalu bandingkan diri dengan pempengaruh (“influencer”) kecergasan di Instagram. Tubuh badan pempengaruh yang diminati yang langsing dan berotot membuatkan Aisyah berasa rendah diri dan tidak puas hati dengan potongan badannya sendiri. Ini boleh membawa kepada masalah seperti “body dysmorphia” (banyak masa dihabiskan dek kerisauan tentang kekurangan tubuh badan). Boleh jadi juga, Aisyah akan terlalu menahan diri dari makanan, termasuk makanan sihat.

Ingin Jadi Sempurna
Media sosial selalu memaparkan detik-detik tertentu dalam hidup seseorang, yang sebenarnya tidak realistik dalam hidup insan. Lisa, seorang pelajar sekolah menengah, rasa tertekan sebab tidak boleh mencapai badan “sempurna” seperti yang dilihatnya di media sosial. Lisa mula berlatih berlebihan dan mengikut diet sukar, sehingga berasa stres dan cemas bila gagal mencapai matlamatnya.

Tekanan Rakan Sebaya
Remaja lazimnya mahu dirinya diterima dan disukai oleh rakan sebaya.  Melihat rakan sebaya terlibat dalam “fitspiration” boleh membuat remaja anda rasa tertekan mahu ikut sama. Amira, 15 tahun, rasa tertekan bila menyaksikan rakan sekelasnya memuat naik gambar yang diambil di gim. Amira rasa dia perlu ikut sama walaupun dia tidak meminati aktiviti tersebut, semata-mata supaya tidak ketinggalan dengan trend kawan-kawannya.

FOMO (“Fear of Missing Out”)
Menyaksikan pencapaian kecergasan dan gaya hidup orang lain boleh mendesak remaja anda merasa seolah-olah dia ketinggalan sesuatu yang penting, maka timbullah perasaan kesepian dan kemurungan. Contoh, Nurul, 14 tahun, berasa tertekan setiap kali melihat kiriman tentang kelas yoga atau latihan kumpulan yang dihadiri rakan-rakan. Dia rasa terpinggir.



Manfaat Media Sosial

Walaupun ada cabaran, media sosial tentunya ada kebaikan termasuk berikut:

Komuniti Dan Sokongan
Komuniti dalam talian boleh mencetuskan rasa kepunyaan (“sense of belonging”) dan sokongan. Hana menyertai kumpulan sokongan kecergasan di Facebook,dan dia mendapat sokongan dan galakan dari ahli kumpulan lain.

Akses Kepada Maklumat
Media sosial penuh dengan maklumat berkenaan kecergasan, pemakanan, dan kesejahteraan. Sofia mengikuti beberapa pempengaruh yang berkongsi resipi sihat dan rutin senaman yang senang diikut. Ini membantu Sofia membuat pilihan gaya hidup yang lebih baik.

Contoh Positif 
Pempengaruh yang positif akan mengetengahkan matlamat kecergasan yang seimbang dan realistik dan boleh menjadi “role model” yang baik. Siti, 15 tahun, mengikut seorang pempengaruh yang menekankan pentingnya keseimbangan antara senaman dan pemakanan sihat tanpa mendesak Siti untuk cuba mencapai kesempurnaan fizikal.

Apa Yang Ibu Bapa Dan Pendidik Boleh Buat?

Komunikasi Terbuka
Wujudkan persekitaran yang membuat remaja anda rasa selesa untuk berbincang perasaannya tentang imej badan dan media sosial. Ibu bapa Aina selalu berbincang dengannya mengenai realiti di sebalik gambar-gambar yang diedit di media sosial.

Pendidikan Literasi Media
Ajar remaja untuk menilai secara kritis apa yang  dipaparkan dalam talian. Sekolah Khadijah mengadakan sebuah bengkel untuk mengenalpasti gambar yang diedit, supaya para pelajar faham bahawa apa yang mereka lihat di media sosial tidak semestinya realiti.

“Role Model” Yang Sihat
Perkenalkan remaja dengan pencipta kandungan (“content creator”) yang mengutamakan kesihatan dan keseimbangan hidup.

Galakkan Aktiviti Luar Talian
Galakkan remaja terlibat dalam hobi dan aktiviti fizikal luar talian yang mereka suka. Ibu bapa Farah mengajak dia menyertai kelab sukan di sekolah, di mana Farah boleh bersenam dan bersosial tanpa tekanan media sosial.

Sokong Kesihatan Mental
Berwaspada dengan tanda-tanda masalah kesihatan mental dan bagi sokongan atau cari bantuan profesional bila perlu.

Kesimpulan

“Fitspiration” di media sosial adalah fenomena yang kompleks. Walaupun ianya ada potensi untuk mencetuskan inspirasi, ia juga boleh mengakibatkan risiko besar kepada remaja, terutamanya perempuan, dengan memupuk perbandingan tidak sihat dan isu imej badan. Jika ibu bapa mewujudkan komunikasi terbuka, mendidik remaja tentang literasi media, dan memfokus kepada pendekatan seimbang terhadap kesihatan dan kesejahteraan, ibu bapa dan pendidik boleh membantu remaja mengharungi cabaran media sosial demi membina imej diri yang positif.

 

 

Gambar hiasan oleh: jty11117777


RUJUKAN

1. “The impact of fitspiration content on body satisfaction and negative mood: An experimental study”. 2021. Rounds, Emilia G. & Stutts, Lauren A. Psychology of Popular Media. Vol 10(2), Apr 2021, pp. 267-274.
https://psycnet.apa.org/buy/2020-26090-001

2. “Strong beats skinny every time: Disordered eating and compulsive exercise in women who post fitspiration on Instagram”. 2016. Grace Holland, Marika Tiggemann. International Journal of Eating Disorders. https://onlinelibrary.wiley.com/doi/abs/10.1002/eat.22559

3. “Problematic Social Media Use in Adolescents and Young Adults: Systematic Review and Meta-analysis”. 2022. Holly Shannon, Katie Bush, Paul J. Villeneuve & Kim GC. JMIR Mental Health. Vol 9(4).
https://mental.jmir.org/2022/4/e33450/

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top