Selama sebulan duduk di Jepun, ada satu perkara kecil yang asyik bermain di fikiran saya. Cara orang Jepun makan, rasanya sangat berbeza.
Makan di sana terasa lebih tenang dan tenteram. Ada perhatian pada warna, tekstur dan keseimbangan makanan. Saiz hidangan pula jelas lebih kecil. Restoran jarang menawarkan tambahan. Di pasaraya, buah-buahan dan sayur-sayuran sering dibungkus satu persatu. Malah, seikat kecil anggur atau sebiji buah pic dipersembahkan seperti hadiah kecil.
Pada mulanya, semua ini kelihatan seperti suatu seni, untuk menarik pelanggan semata-mata. Tetapi lama-kelamaan saya terfikir, mungkin ada makna dan tujuan yang lebih mendalam di sebaliknya. Cara makanan disediakan, dihidangkan dan dinikmati mencerminkan satu sikap yang penuh pertimbangan. Dan daripada sikap itu lahir pelbagai manfaat. Manfaat kepada tubuh badan, manfaat kepada selera, dan manfaat yang ditunjukkan bukan dengan sajian berlebihan yang membuatkan kita terlalu kenyang, tetapi dengan kesederhanaan dan penjagaan. Jenis manfaat inilah yang sebenarnya penting, demi kesihatan ibubapa dan seisi keluarga.
Hidangan kecil, teratur, seimbang
Hidangan Jepun yang biasa kelihatan seimbang. Sedikit nasi, sedikit ikan atau protein lain, semangkuk kecil sup miso, jeruk dan beberapa jenis sayur. Setiap satu ada tempatnya. Pinggan, dulang dan kotak bento membahagikan makanan kepada beberapa bahagian sederhana.
Pinggan besar yang penuh melimpah untuk seorang jarang kita lihat. Tambahan percuma pun tidak biasa. Malah makanan segera di sana datang dalam saiz sederhana. Di pasaraya pula, pembungkusan individu seolah-olah memberi mesej yang jelas: ini sudah cukup.
Pendidikan visual ini sebenarnya sangat membantu. Ia mengurangkan tekanan. Kita tidak “dipaksa” untuk menghabiskan terlalu banyak makanan. Kita hanya makan apa yang tubuh kita perlukan, bukan apa yang mata mahukan. Itu sendiri pun satu manfaat yang besar.
Untuk ibu bapa, apabila bimbingan visual begini sudah wujud, anak-anak tidak perlu sentiasa ditegur. Anak-anak menyerap apa yang mereka saksikan sendiri di keliling mereka.

Gambar hiasan oleh Change C.C.
Hara hachi bu: dengar tubuh sendiri
Ada satu prinsip Jepun yang terkenal, terutamanya di Okinawa, iaitu hara hachi bu. Maksudnya, berhenti makan apabila kira-kira lapan puluh peratus kenyang.
Prinsip ini sering dikaitkan dengan umur panjang, tetapi sebenarnya ia mengajar kita untuk makan dengan perlahan-lahan, berhenti seketika dan peka dengan isyarat tubuh badan. Maknanya, jangan makan sehingga kekenyangan.
Ini bukan soal menahan diri sehingga melampaui batas. Ia tentang menghormati, mengakui, peka dengan keperluan tubuh badan dan kesihatan jangka panjang. Berbeza di Malaysia, apa yang saya perhatikan, dalam banyak keluarga, kasih sayang sering disamakan dengan memberi lebih, memasak lebih, atau menyuruh anak menghabiskan makanan yang penuh terhidang. Hara hachi bu mengubah cara kita melihat mendidik anak; mendidik mereka untuk berdisiplin sewaktu menjamu selera.
Anak-anak belajar paling baik melalui contoh. Apabila ibu bapa berkata, “Mama/Papa sudah hampir kenyang, cukup berhenti di sini,” anak-anak belajar bahawa berhenti sebelum terlalu kenyang itu bijak, normal dan sihat.
Saiz hidangan mempengaruhi kita
Kajian menunjukkan, saiz hidangan sangat mempengaruhi berapa banyak kita makan, selalunya tanpa kita sedari. Pinggan dan mangkuk yang besar mendorong kita makan lebih, walaupun sebenarnya kita tidak lapar.
Kajian di Jepun juga mendapati, apabila saiz nasi ditambah, pengambilan makanan terus meningkat. Tubuh bertindak balas terhadap apa yang ada di depan mata.
Budaya hidangan kecil dan berpetak di Jepun membantu mengurangkan makan berlebihan secara automatik. Ia mengurangkan keperluan untuk kawalan diri yang berterusan. Daripada melawan godaan setiap masa, persekitaran itu sendiri menyokong kesederhanaan.
Di rumah, perkara ini sangat penting. Apabila ibu bapa menyediakan sajian yang lebih kecil, menggunakan pinggan yang lebih kecil, atau membahagikan makanan dengan teratur, anak-anak dibimbing tanpa rasa dikawal.
Jepun dan kesihatan: gambaran sebenar
Jepun sering dikaitkan dengan kadar obesiti yang rendah dan jangka hayat yang panjang. Itu memang benar. Namun, diabetes tetap wujud. Faktor seperti penduduk yang semakin tua, pengambilan karbohidrat seperti nasi, dan perubahan gaya hidup generasi muda turut memainkan peranan.
Ini mengingatkan kita bahawa kesihatan bukan hasil satu tabiat sahaja. Ia terbentuk daripada corak kecil yang diulang setiap hari, dalam jangka masa panjang. Sama seperti keibubapaan.
Makan agar tubuh badan kurang tertekan
Apabila hidangan besar menjadi kebiasaan, tubuh anda bekerja lebih keras. Metabolisme tubuh mengalami stres, dan risiko masalah seperti rintangan insulin dan diabetes meningkat.
Sebaliknya, makan dalam saiz yang sesuai membantu tubuh berfungsi dengan lebih tenang. Sedikit pengurangan pun boleh membawa perubahan besar dari masa ke masa. Jepun mengajar kita satu perkara penting: penyediaan makanan tidak semestinya bermaksud “lebih”. Selalunya, ia bermaksud “sedikit tetapi memadai”.
Bagi anak-anak, waktu makan yang tenang, konsisten dan bebas tekanan untuk sentiasa menambah, membantu tubuh dan emosi mereka berkembang dengan lebih sihat.
Ia bukan sekadar makanan
Sudah tentu, kesihatan Jepun bukan hanya kerana mereka makan sedikit. Kualiti makanan, pergerakan harian, hubungan sosial dan sistem kesihatan semuanya memainkan peranan. Hidangan tradisional Jepun kaya dengan ikan, sayur, kekacang, rumpai laut dan makanan fermentasi. Menikmati makanan jarang dilakukan secara tergesa-gesa. Pemeriksaan kesihatan juga menjadi amalan biasa.
Semua ini membentuk satu budaya yang menjaga kesihatan. Namun budaya ini juga boleh berubah. Makanan segera dan gaya hidup pantas semakin mempengaruhi generasi muda. Ini mengingatkan kita bahawa kebijaksanaan dalam budaya pemakanan perlu dijaga dan diwariskan dengan berhemah.
Untuk ibu bapa, ajarlah anak-anak bagaimana rasa “cukup” itu, “sedikit sudah memadai” tanpa ceramah atau leteran panjang. Anak-anak belajar melalui apa yang menjadi kebiasaan.
Mulakan dengan hidangan sederhana. Sajikan bahagian kecil terlebih dahulu. Biarkan anak-anak meminta untuk tambah, jika perlu. Gunakan pinggan yang membantu mata “melihat” had dan batasan. Elakkan makan dengan keadaan tergopoh-gapah. Elakkan mengaitkan kasih sayang dengan makan berlebihan. Kurangkan snek dan makanan manis.
Kesimpulan
Daripada cara orang Jepun menyediakan dan menikmati makanan, timbul satu pengajaran yang halus tetapi mendalam: cukup itu bukan kekurangan, tetapi satu bentuk kebijaksanaan. Hidangan yang kecil, seimbang dan disediakan dengan penuh perhatian mengajar kita tentang disiplin, kesederhanaan dan kasih sayang terhadap tubuh serta keperluan sebenar kita. Dalam dunia yang sering mengagungkan lebihan – lebih banyak makanan, lebih banyak pilihan, lebih banyak kepuasan segera – pendekatan ini mengingatkan kita bahawa kualiti sentiasa mengatasi kuantiti.
Apabila “sedikit sudah memadai” dijadikan amalan, ia membentuk sikap menghargai, mengawal nafsu dan menghormati batas. Nilai ini bukan sahaja elok untuk kesihatan fizikal, tetapi juga kesihatan emosi dan hubungan dalam keluarga. Makanan tidak lagi sekadar untuk mengenyangkan perut, tetapi menjadi ruang mendidik jiwa. Ia mendidik kita tentang kesabaran, kesyukuran dan kebaikan yang lahir daripada kesederhanaan. Dan mungkin di situlah rahsia sebenar kesejahteraan: bukan pada apa yang kita tambah, tetapi pada apa yang kita tahu untuk dibataskan dan dihentikan.
Featured image by Brittany Salatino



