Click here to read the English version
“Masalah paling besar yang kami hadapi ialah, masing-masing terlalu emosi,” kata Sarah (bukan nama sebenar), rakan saya membuka cerita tentang perceraian dengan bekas suaminya selepas kelahiran anak ketiga. “Kerapkali emosi menguasai diri. Baik aku mahupun dia, tidak tahu bagaimana untuk mengawal emosi dengan baik.”
Saya mengenali Sarah dan keluarganya sejak zaman bujang. Saya maklum, dia mewarisi mood tidak menentu daripada arwah ibunya.
Mood ibu bapa besar pengaruhnya terhadap suasana keluarga. Anak-anak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang emosinya kerap tidak stabil (atau lebih mudah disebut sebagai ibu bapa ‘moody’) berpotensi untuk mengalami pelbagai situasi di mana kesihatan mental mereka mudah terjejas apabila dewasa (1), (2), (3).
Tanda-tanda Ibu Bapa ‘Moody’
Ibu bapa ‘moody’ mempunyai emosi yang sukar diramal laksana ombak di laut yang boleh berubah spontan dari satu perasaan kepada yang lain. Satu saat tenang, tiba-tiba bertukar melenting marah. Atau gembira tiba-tiba bertukar sedih. Ibu bapa ‘moody’ cenderung memberi reaksi yang tidak konsisten terhadap situasi yang sama.
Akibatnya anak anda berasa tidak selamat dan keliru dengan tindak tanduk anda.
Perkara kecil boleh mencetuskan ledakan emosi melampau. Contoh, minuman yang tumpah atau bilik yang tidak kemas, boleh membawa kepada tindak balas yang besar, menjadikan suasana di rumah tegang dan tertekan. Anak-anak sentiasa bimbang dan ketakutan untuk melakukan kesilapan.
Atau anda tiba-tiba berdiam diri seribu bahasa, bersikap dingin terhadap anak-anak atau pasangan anda.
Atau anda begitu sensitif terhadap kritikan, sukar menerima sesuatu komen walaupun ia diberi dengan baik.
Bagaimana Mood Tidak Stabil Mempengaruhi Anak Anda
Anak-anak memerlukan kestabilan dalam keluarga. Apabila mood ibu bapa tidak dapat diramalkan, anak-anak anda kerap berasa cemas dan gelisah. Kerana takutkan reaksi kurang senang anda, anak-anak anda mungkin mengelak daripada membangkitkan isu penting atau meminta bantuan sekalipun mereka amat memerlukannya. Keadaan ini boleh membantutkan perkembangan emosi dan sosial mereka.
Kanak-kanak sering meniru sikap dan tingkah laku ibu bapa tanpa mereka sedari, termasuk reaksi terhadap sesuatu situasi. Sebagaimana Sarah meniru tingkah laku ibunya, begitulah anak-anak anda meniru gaya spontan anda terhadap pelbagai keadaan setiap hari.
Ibu bapa ‘moody’ biasanya sukar untuk melahirkan emosi mereka dalam cara yang positif. Ini menyukarkan proses pembinaan ketrampilan jati diri anak-anak anda. Ibu bapa ‘moody’ mudah menimbulkan salah faham, sekaligus menjejaskan ikatan kasih sayang dalam keluarga.
Bagaimana Ibu Bapa ‘Moody’ Boleh Berubah Menjadi Lebih Baik
Pastinya setiap ibu bapa inginkan anak-anak yang berjaya dan bahagia, di dalam keluarga yang bakal mereka bina, juga di tempat kerja. Oleh itu, jika anda adalah seorang ibu atau bapa yang ‘moody’, pilihlah untuk bersikap lebih bijak. Ubah gaya reaksi anda setiap kali berlaku sesuatu perkara yang anda tidak senangi.
Kenal pasti perkara yang mencetuskan perubahan mood anda.
Contohnya, mungkin sesetengah situasi mengingatkan anda tentang perkara pahit yang berlaku semasa anda kecil, sekaligus menjejaskan mood anda.
Sesetengah ibu bapa ‘moody’ akan menulis dalam diari peribadi mereka untuk lebih mendalami dan memahami ledakan emosi yang melanda, untuk membantu mereka mengawal emosi dengan lebih baik. Diari ini juga boleh dijadikan tempat luahan bebas perasaan anda, tanpa sesiapa mengetahuinya.
Pelajari cara untuk menguruskan emosi anda dengan cara yang lebih berkesan. Contoh: Jika anda sedari bahawa anda kerap ‘moody’ sewaktu pulang dari kerja, beri tahu pasangan atau anak anda yang anda perlukan sedikit masa peribadi sebelum melakukan tugasan seterusnya.
Sesi seminar keibu-bapaan juga boleh membantu kerana anda akan lebih memahami pendekatan terbaik untuk mendidik anak-anak, dari saat mereka lahir hinggalah menjelang dewasa. Setiap anak berbeza dan istimewa dari perwatakan dan pembawakan diri mereka. Anda akan memahami betapa pentingnya peranan anda sebagai ibu bapa, juga cara-cara membimbing anak-anak anda agar mereka cemerlang apabila dewasa. Ilmu keibubapaan boleh merubah perspektif anda dalam cara yang anda tidak sangka!
Pastikan anda mendapat tidur yang cukup dan makanan yang sihat. Bersenam juga satu kaedah untuk mengurus emosi supaya lebih stabil. Menjaga kesihatan fizikal dan mental anda penting untuk mengekalkan kestabilan emosi. Emosi yang melanda diri bukanlah di luar kawalan anda. Ingatlah, apa sahaja situasi atau isu yang berlaku dalam hidup anda, Tuhan Maha Mengetahui hikmah disebaliknya. Pilih untuk berlapang dada, jangan bebankan anak-anak dan pasangan anda dengan ketidaktentuan emosi anda setiap hari.
Featured image by Vika Glitter
RUJUKAN
(1) Impact of Early Life Stress on Reward Circuit Function and Regulation. 2021. Jamie L. Hanson, Alexia V. Williams, Debra A. Bangasser, Catherine J. Peña. Frontiers in Psychiatry, 20 October 2021. Sec. Molecular Psychiatry. Volume 12 – 2021. | https://doi.org/10.3389/fpsyt.2021.744690
(2) Long Term Effects Of Stress On Hippocampal Function: Emphasis On Early Life Stress Paradigms And Potential Involvement Of Neuropeptide Y. 2020. Karina Alviña, Mohammad Jodeiri Farshbaf, Amit Kumar Mondal. Wiley Journal of Neuroscience Research. First published: 11 March 2020.
https://doi.org/10.1002/jnr.24614
(3) Early-Life Stress Impairs PostNatal Oligodendrogenesis And Adult Emotional Behaviour Through Activity Dependent Mechanisms. 2020. Molecular Psychiatry, 25, pp. 1159-1174 (2020). Anne Teissier, Corentin Le Magueresse, & Jimmy Olusakin et. al. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/31439936/