Pimpinlah Anakmu

Komunikasi Efektif Antara Ibu Bapa Dan Anak


Sarah, 10 tahun, menunjukkan lukisannya yang belum siap pada ibunya.  Ibu Sarah tersenyum lalu berkata, “Ibu suka warna kuning keemasan yang Sarah guna. Nanti dah siap, tunjuk pada ibu ya?” Sarah tersenyum dan menyambung kerjanya semula. Dia bersemangat untuk menyelesaikan lukisannya.

Tahukah anda, kata-kata membina anda boleh menjadi suntikan semangat untuk anak anda, manakala kritikan keras boleh mematahkan semangatnya?

Komunikasi yang baik antara ibu bapa dan anak adalah kunci untuk membina hubungan yang sihat dan erat. Apabila anak anda merasa didengari dan difahami, dia akan bersikap lebih terbuka untuk berkongsi perasaan dan pemikirannya. Berikut adalah beberapa cara untuk meningkatkan komunikasi dalam keluarga:

Jadilah Pendengar Yang Baik

Salah satu aspek terpenting dalam komunikasi adalah mendengar dengan sepenuh hati. Apabila anak anda menuturkan sesuatu, berikan perhatian penuh tanpa gangguan seperti smartphone atau televisyen. Tunjukkan minat anda dengan memandang tepat ke wajah anak anda, mengangguk, dan melahirkan kata-kata seperti, “Ya, ibu faham,” atau “Teruskan, ayah dengar.” Elakkan memotong percakapannya kerana ini boleh membuatkan anak anda rasa tidak dihargai. Apabila anda memilih untuk menjadi pendengar yang baik, anak anda akan merasa lebih selesa untuk berkongsi masalahnya atau apa sahaja di lain kali.

Gunakan Bahasa Membina

Perkataan yang digunakan oleh ibu bapa mempunyai kesan besar terhadap emosi anak. Daripada mengkritik dengan keras seperti, “Kamu ni malas sangat!”, cuba ucapkan dengan lebih lembut, seperti, “Ibu nampak mainan Anis masih bersepah. Mari kita kemas bersama?” Pujian juga harus spesifik. Daripada sekadar mengatakan “Bagus!”, lebih baik katakan, “Ayah suka Anis siapkan kerja sekolah awal hari ini!” Nada suara yang tenang dan penyayang akan membuatkan anak anda lebih terbuka untuk mendengar nasihat anda.

Luangkan Masa Berkualiti Bersama

Komunikasi yang baik memerlukan masa dan kesungguhan. Rancang rutin harian seperti makan malam bersama, membaca buku sebelum tidur, atau berbual semasa dalam perjalanan ke sekolah. Aktiviti seperti memasak bersama, bermain “boardgame”, atau berkebun juga boleh menjadi peluang untuk berinteraksi yang sesuai. Apabila anak merasa bahawa ibu bapa benar-benar hadir untuknya, lebih mudah untuk dia berbicara tentang apa sahaja yang berlaku dalam hidupnya.

Hormati Perasaan Dan Pandangan Anak

Anak-anak, terutama remaja, sering merasa bahawa orang dewasa tidak memahami mereka. Daripada menolak perasaan mereka dengan kata-kata seperti, “Tak apalah, ini bukan masalah besar,” akui emosi mereka dengan berkata, “Ibu tahu Man sedih kerana kawan Man tidak mengajak Man. Kalau jadi pada ibu, ibu pun akan rasa sedih sama seperti Man.” Elakkan juga membandingkan anak anda dengan adik-beradik atau rakan sebaya kerana ini boleh menjejaskan keyakinan dirinya.

Jadilah Contoh Komunikasi Yang Sihat

Anak-anak banyak belajar daripada tingkah laku ibu bapa mereka. Jika anda ingin anak anda bercakap dengan sopan dan beradab, tunjukkan contoh dengan menggunakan perkataan seperti “Tolong,” “Terima kasih,” dan “Maaf” dalam kehidupan seharian, dengan nada yang sepadan. Apabila berlaku konflik, selesaikan dengan tenang dan berbincang secara matang. Anak yang melihat ibu bapa menyelesaikan masalah dengan baik akan meniru cara komunikasi yang sama.

Sesuaikan Cara Berkomunikasi Mengikut Usia Anak

Setiap peringkat usia memerlukan pendekatan yang berbeza. Untuk anak-anak kecil, gunakan ayat yang pendek dan mudah difahami, serta raut wajah yang sesuai untuk membantu mereka mengerti keadaan. Bagi remaja, mereka mungkin lebih selesa berbual dalam suasana santai seperti semasa memandu atau minum petang bersama. Elakkan menyoal terlalu banyak soalan peribadi dengan tiba-tiba kerana ini boleh membuat mereka rasa tidak selesa.

Berikan Ruang Untuk Anak Anda Melahirkan Isi Hatinya

Ada kalanya anak anda mungkin tidak mahu bercakap, dan ini adalah normal. Jangan paksa dia, tetapi berikan ruang dan pastikan dia tahu bahawa anda sentiasa ada apabila dia sudah bersedia. Tanyakan soalan terbuka seperti, “Apa pandangan Amir tentang ini?” atau “Aida rasa macam mana?” untuk menggalakkan mereka berfikir dan berkongsi pendapat.

Gunakan Teknologi Dengan Bijak

Dalam era digital, komunikasi tidak hanya berlaku secara bersemuka. Anak-anak yang sudah meningkat dewasa, contohnya, banyak memerlukan laptop dan gajet lain untuk menyiapkan apa sahaja tugasan. Namun, tetapkan had seperti “waktu bebas gajet”, umpamanya semasa waktu makan supaya interaksi bersemuka sekeluarga menjadi keutamaan dalam rutin harian.

Bersabar Dan Konsisten

Membina komunikasi yang baik memerlukan masa. Jangan berputus asa jika anak anda tidak serta-merta bersikap terbuka. Bersabarlah. Jika anak anda menggunakan kata-kata atau nada yang kurang enak didengar, anda boleh saja terus menegur dengan tenang tetapi tegas, “Cakap baik-baik ya, bukan dengan nada yang kasar.”

Manfaatkan Setiap Peluang Untuk Berkomunikasi

Komunikasi tidak semestinya berlaku dalam situasi formal. Gunakan masa seperti semasa memandu, sebelum tidur, atau ketika berjalan-jalan untuk berbual ala santai. Perbualan ringan seperti ini sering menjadi saat di mana anak anda paling mudah berkongsi cerita. Melalui kaedah komunikasi yang baik dan konsisten, hubungan antara ibu bapa dan anak akan menjadi lebih erat dan penuh bererti. Anak anda akan merasa lebih selamat, dihargai, dan yakin untuk menghadapi cabaran hidup.

 

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 557 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

To Top