Baru-baru ini saya dan Ahmad Fakhri berada di Adelaide untuk mengendalikan beberapa bengkel keibubapaan dan sesi 5D Thinking. Dalam bengkel keibubapaan, saya tekankan satu prinsip mudah tetapi berpotensi untuk membina perkahwinan yang bahagia dan berjaya:
“Kongsi pujian, kongsi kritikan.”
Sekilas pandang, ia seolah-olah terlalu enteng untuk dipraktikkan. Tetapi ibarat kunci kecil yang boleh membuka pintu besar, prinsip ini berupaya memperkukuh kepercayaan, menambah rasa hormat, dan mencipta keharmonian, bukan sahaja antara suami isteri, malah turut membentuk suasana rumah yang tenang, damai, dan penuh kasih sayang.
Mengapa Konsep Ini Penting?
Ramai pasangan hanya memberi perhatian kepada “cara mendidik anak” tetapi lupa bahawa asas kepada keibubapaan yang berkesan adalah “hubungan kukuh suami isteri itu sendiri.”
Jika hubungan antara ibu dan ayah retak, anak-anak akan mengalami tekanan. Lagi kerap ibu bapa bertelagah dan saling salah-menyalahkan, lagi tinggi tahap ketegangan anak-anak. Jika ibu bapa saling menuding jari, anak-anak belajar bahawa menyalahkan orang lain satu-satunya “jalan keluar” sesuatu perselisihan faham. Sebaliknya, apabila ibu bapa berganding bahu, anak-anak belajar erti kerjasama, saling hormat-menghormati, dan kasih sayang.
Bayangkan dua keluarga:
Keluarga pertama. Ayah dan ibu saling menyokong. Bila anak berjaya, mereka sama-sama meraikan. Bila anak gagal, mereka sama-sama mencari jalan keluar untuk mengatasi keadaan. Keluarga ini tetap tidak sempurna, tetapi ahlinya merasa tenang. Anak-anak merasa selamat, dan tahu mereka tidak keseorangan.
Keluarga kedua. Ayah dan ibu berebut pengiktirafan. Bila ada masalah, masing-masing cepat menuding jari. Anak-anak membesar dalam ketegangan, sentiasa berwaspada agar tidak tercetus pergolakan. Anak-anak kerap merasa cemas dan tidak selamat.
Keluarga mana anda mahu jadikan teladan?
Kongsi Pujian Dengan Ikhlas
Pujian ikhlas yang kena pada tempatnya ibarat sinar matahari. Ia menghangatkan jiwa, meniup semangat, dan membuatkan orang yang dipuji mahu terus berusaha lagi. Malangnya, sesetengah pasangan suami isteri kedekut dengan pujian kepada pasangan, tetapi mudah memberi pujian kepada orang lain di luar sana.
Contoh-contoh Kehidupan Seharian
Contoh1: Anak kecil belajar bercakap.
Anak menyebut doa makan buat kali pertama. Ibu mungkin berkata: “Alhamdulillah, akhirnya dia ingat doa. Mama yang selalu ulang-ulang.” Tetapi lebih indah jika si ibu menambah: “Dia pun tengok ayahnya selalu baca doa, itu yang buat dia cepat tangkap.”
Contoh2: Anak sekolah rendah dapat markah tinggi.
Orang ramai memuji ibu kerana rajin menemani anak belajar. Seorang ayah bijak akan berkata: “Betul, ibunya banyak meluangkan masa. Saya pula cuba sediakan ruang belajar yang tenang supaya dia boleh fokus.”
Contoh3: Anak remaja menunjukkan akhlak baik.
Anak membantu jiran tua mengangkat barang. Si ibu boleh sahaja berkata: “Syukur, dia ikut perangai ayahnya. Dia selalu nampak ayahnya ringan tulang, jadi mudah untuk dia ikut.”
Pujian yang dikongsi begini meneguhkan ikatan pasangan. Ia menunjukkan bahawa kejayaan anak bukan hasil seorang, tetapi hasil kerjasama dan doa kedua-duanya.
Bukankah lebih manis dan wajar jika kita belajar untuk menzahirkan kebaikan pasangan kita, walaupun ia perkara kecil?
Mengapa Pujian Penting Dalam Keibubapaan?
Anak-anak adalah cermin. Mereka melihat, mereka meniru, mereka menyerap apa sahaja yang disaksikan dan dialami setiap saat. Bila mereka mendengar ayah memuji ibu, atau ibu menyebut kebaikan ayah, mereka belajar bahawa menghormati orang lain adalah perkara biasa.
Sebaliknya, jika mereka mendengar sindiran, “Kalau tak kerana saya, tak ke mana keluarga ini,” anak-anak belajar tentang keangkuhan. Bila mereka mendengar ayah berkata kasar kepada ibu, mereka belajar bahawa meninggikan suara itu perkara biasa. Adab yang tidak diajar dalam buku teks, tetapi menyelinap masuk dalam sanubari anak anda.
Langkah Praktikal Untuk Kongsi Pujian
- Gunakan bahasa “kita”: “Syukur anak kita berjaya, hasil usaha kita bersama.”
2. Pujian kecil setiap hari: “Terima kasih kerana … [menyediakan sarapan / membasuh baju / atau menemani anak ke klinik].”
3. Pujian di depan anak: “Kamu bertuah ada ibu/ayah yang sangat penyayang.”
4. Iringi dengan doa: “Moga Allah berkati usaha awak, sayang.”
5. Pujian spontan: Tidak perlu tunggu majlis atau pencapaian besar. Bahkan selepas seharian penat bekerja, senyuman pasangan pun layak dipuji.
Kongsi Kritikan Dengan Hikmah
Kritikan ibarat garam dalam makanan. Jika tiada langsung, tawar rasanya. Jika terlalu banyak, merosakkan segalanya. Setiap keluarga pasti berdepan cabaran: anak melawan, keputusan merosot, disiplin tidak menentu. Cara kita menguruskan cabaran inilah yang menentukan sama ada rumah tangga bertambah kukuh atau goyah.
Beberapa Contoh Kehidupan Seharian
Contoh1: Anak malas buat kerja sekolah.
-
- Salah: “Ini semua sebab awak terlalu manjakan dia!”
- Betul: “Mungkin kita perlu cuba cara baru untuk disiplinkan dia. Apa kata kita tetapkan masa belajar bersama-sama?”
Contoh2: Anak remaja terlalu banyak masa di telefon.
-
- Salah: “Awak tak pernah pantau dia, sebab itu jadi begini.”
- Betul: “Nampaknya kita perlu lebih jelas tetapkan peraturan telefon. Jom kita bincang syarat yang adil.”
Contoh3: Masalah anak kecil bangun lewat.
-
- Salah: “Awak tak tahu urus jadual tidur dia!”
- Betul: “Mari kita sama-sama ubah rutin malam dia. Mungkin kalau kita tidurkan dia lebih awal, dia senang bangun pagi.”
Kritikan Dan Nilai Islam
Al-Quran (an-Nahl 16:125) mengingatkan: “Serulah ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan nasihat yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” Jika dengan orang luar pun kita disuruh berlembut, apatah lagi dengan pasangan hidup sendiri.
Langkah-langkah Praktikal Untuk Kongsi Kritikan
- Mulakan dengan bijak: “Saya tahu awak dah cuba sedaya upaya. Mungkin ada cara lain kita boleh sama-sama fikirkan.”
- Elakkan bahasa menuduh: Ganti “Kenapa awak…” dengan “Apa pandangan awak kalau…”
- Cari penyelesaian bersama: Fokus pada solusi, bukan mencari siapa yang salah.
- Kritik bukan di depan anak: Anak-anak tidak perlu menjadi saksi perbalahan anda.
- Sebelum bersuara: Bila marah, tarik nafas dahulu. Kata-kata yang lahir semasa marah jarang membawa kebaikan.
Akhir Kata
Prinsip “Kongsi pujian, kongsi kritikan” adalah kunci kecil yang mampu membawa perubahan besar kepada keutuhan seisi keluarga. Ia mengajar kita untuk tidak tamak dengan penghargaan, dan tidak boros dalam menyalahkan.
Perkahwinan bukan gelanggang siapa lebih betul atau lebih hebat. Ia adalah perjalanan untuk saling melengkapi. Bila anda belajar untuk berkongsi pujian dengan ikhlas, dan berkongsi kritikan dengan hikmah, insya-Allah rumah tangga anda akan menjadi taman yang subur: penuh kasih, penuh doa, penuh pengertian.
Dari taman inilah, anak-anak akan membesar dengan jiwa yang sihat, hati yang penyayang, dan fikiran yang matang. Mereka akan membawa budaya menghargai dan bekerjasama ke dalam kehidupan mereka sendiri. Apa sahaja apa yang mereka lihat daripada tingkah laku kita hari ini, akan mereka ulang esok dalam rumah tangga mereka sendiri.
Foto hiasan: Vlada Karpovich