Disleksia

Mampukah Anak Disleksia Anda Menyerlah Di Aliran STEM?

[Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris.]


Artikel ini adalah bahagian kedua nukilan penulis sempena Bulan Sambutan Kesedaran Disleksia Sedunia pada bulan Oktober. Baca bahagian pertama: Bina Ketahanan Mental Anak Disleksia Anda.

  

“Kanak-kanak dan remaja yang mengalami disleksia seringkali disarankan untuk mengejar subjek seni, walaupun di dalam hati mereka mungkin sangat ingin cemerlang dalam bidang STEM,” kata Dr. Aida Abdul Rahman, seorang pakar pendidikan disleksia dan inklusif pada satu bengkel sehari baru-baru ini di Hospital Permai Johor Bahru. STEM adalah singkatan untuk aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (“Science, Technology, Engineering, Mathematics”).  Menurut Dr. Aida, kanak-kanak disleksia seringkali diberitahu, “Kerana anda menghadapi kesulitan dalam membaca, menulis dan mengira, anda sepatutnya menjadi seorang seniman, tukang masak, dan sebagainya. STEM bukan untuk anda.” Dr. Aida sendiri hanya mengetahui bahawa dia adalah insan disleksia setelah menjadi dewasa.

Umum lazimnya merumuskan, insan disleksia sepatutnya memfokus seni dan bidang kreatif serupa disebabkan cabaran yang mereka hadapi dalam membaca, menulis dan mengira. Kanak-kanak dan remaja disleksia, seperti insan lain, mempunyai bakat dan minat yang pelbagai. Bagaimanapun disleksia tidak seharusnya membatasi atau menentukan haluan kerjaya anak anda, terutamanya jika dia mempunyai minat mendalam terhadap aliran STEM.

Satu contoh di Malaysia adalah Dr Ahmad Syahid Ahmad Fawzal atau lebih dikenali sebagai Dr Aid Fawzal, seorang jurutera luar biasa. Satu lagi contoh ialah Professor Catherine Drennan di MIT (Massachusetts Institute of Technology), yang gemar bercerita mengenai disleksia dan cabaran peribadi beliau ketika dia dibesarkan sebagai seorang insan disleksia. Yang menariknya, kedua-dua Dr. Aid Fawzal dan Profesor Catherine Drennan telah membuat penemuan saintifik kerana mereka adalah individu disleksia. Ini bermakna, setelah cabaran membaca dan menulis berjaya dikelola, mereka berdua mampu berfikir dan mencari penyelesaian saintifik untuk masalah yang dilontarkan dengan cara yang tidak difikirkan oleh insan bukan disleksia. Ini dikenali sebagai kelebihan disleksia (“dyslexia advantage”).

Bakat yang pelbagai wujud di kalangan kanak-kanak dan remaja disleksia, menanti untuk dibina, diteroka, dan ditemui. Beberapa perkara yang perlu dipertimbangkan:

Bakat Pelbagai

Disleksia tidak mempengaruhi tahap kecerdasan (“Intelligence Quotient” atau IQ) atau kebolehan kognitif keseluruhan seseorang. Individu disleksia seringkali mempamerkan kekuatan seperti kemahiran menyelesaikan masalah, pemikiran ruang, kreativiti, dan pandangan yang unik yang boleh menimbulkan perbezaan dalam aliran STEM.

Gaya Pembelajaran Berbeza

Pelajar disleksia mungkin memerlukan kaedah pengajaran dan penyesuaian berbeza untuk berjaya dalam STEM, tetapi ini tidak bermakna mereka tidak boleh cemerlang dalam STEM. Dengan sokongan yang wajar, termasuk teknologi pembantu seperti pertuturan-ke-teks d(“speech-to-text”) dan pendekatan pembelajaran yang disesuaikan, mereka boleh mencapai prestasi yang cemerlang dalam subjek STEM.

Kekuatan, Ketabahan, Keazaman

Individu disleksia seringkali membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah rumit terutama dalam membaca/menulis/mengira. Dengan itu, mereka menjadi kreatif, suatu kemahiran bernilai dalam STEM, di mana ketabahan dan keupayaan untuk mengatasi halangan sangat penting.

Insan Contoh

Adalah penting bagi kanak-kanak dan remaja disleksia mempunyai insan contoh yang telah berjaya dalam bidang STEM. Mengetahui bahawa insan disleksia lain berjaya mengatasi cabaran serupa boleh menjadi sumber motivasi yang luar biasa.

Pilihan Individu

Sewajarnya menjadi pilihan anak untuk mengejar dan merealisasi bidang yang diminatinya, asalkan bidang tersebut bermanfaat untuk dia, seisi keluarga, serta masyarakat. Ibubapa, pendidik, dan masyarakat sepatutnya menyokong pilihan ini dan menyediakan sumber dan sistem pembelajaran yang diperlukan untuk membantu mereka berjaya.

Intervensi Awal

Intervensi awal dan sokongan di sekolah boleh menimbulkan perbezaan besar dalam kemampuan kanak-kanak disleksia untuk cemerlang dalam STEM. Pelan pembelajaran yang disesuaikan, dan guru terlatih yang memahami boleh menjadi instrumen dalam kejayaan anak disleksia.

Tekankan Kepentingan Minat

Tidak kira dalam bidang mana pun, adalah penting untuk menekankan kepentingan minat dan bakat seseorang. Apabila seorang kanak-kanak benar-benar berminat dalam sesuatu, dia akan lebih cenderung untuk bersungguh-sungguh dalam usaha yang diperlukan untuk cemerlang.

Kesimpulannya, adalah penting untuk mengelakkan pembatasan aspirasi kanak-kanak dan remaja disleksia berdasarkan stereotaip atau anggapan. Mengejar bidang seni dan yang seumpamanya adalah pilihan yang sah dan bernilai, namun ia tidak seharusnya dipaksakan kepada anak remaja disleksia jika dia mempunyai hasrat yang kuat untuk cemerlang dalam bidang STEM. Dengan sokongan yang betul, penyesuaian kaedah pembelajaran, dan keyakinan dalam kebolehan mereka, anak remaja disleksia boleh berkembang dalam STEM dan bidang lain yang mereka minati.

Baca bahagian pertama: Bina Ketahanan Mental Anak Disleksia Anda

Gambar hiasan oleh MART PRODUCTION

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top