oleh Jamilah Samian
Soalan : Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya ibu tunggal dan ada tiga orang anak; lelaki (7 tahun), perempuan (4 tahun) dan perempuan (1.5 tahun). Sebagai ibu bekerja, saya sering kurang masa dengan anak-anak; selalu merasa tertekan terutama melayan kerenah mereka.
Masalah saya: Anak sulung kuat membantah. Umpamanya baru-baru ini ada program perkhemahan anjuran pihak sekolah dan semua pelajar diwajibkan pergi. Puas saya memujuknya namun dia enggan ambil bahagian. Anak yang bongsu juga sudah mula menunjukkan ciri-ciri suka melawan. Contohnya bila dibawa ke kedai, dia akan mengamuk jika tidak dapat barang yang dimahukannya. Saya risau takut kalau-kalau dia mengikut perangai abangnya yang degil. Harap Puan dapat membantu.
Jawapan : Waalaikumsalam Puan. Setiap anak dilahirkan dengan pembawakan dan personaliti unik. Ada yang pendiam. Ada yang peramah. Ada yang aktif, pantang lihat aktiviti di depan mata, mesti dia nak join sama. Ada yang lebih suka “tunggu dan lihat dulu”; anak yang tabiatnya begini ambil masa untuk bergaul dengan orang lain. Ada yang lebih mudah mendengar kata dan ada yang sebaliknya.
Apa Jua Personaliti, Potensi Untuk Berjaya Tetap Sama
Allah Maha Adil Lagi Maha Saksama. Anak yang pendiam potensi untuk berjaya dalam hidup secerah anak yang peramah.
Anak yang aktif dan belum sempat diberi arahan sudah terjun masuk padang potensi untuk berjaya dalam hidup secerah anak yang suka “tunggu dan lihat dulu”.
Begitu juga, anak yang “degil” potensi untuk berjaya secerah anak yang lebih mudah mendengar kata.
Cabaran untuk kita membentuk dan membimbing setiap anak tak kira apa jua pembawakannya supaya dia yakin dia boleh menjadi insan yang cemerlang, seorang Muslim profesional yang bertaqwa.
Anak Kecil Bertindak Ikut Rasa
Anak yang masih kecil seperti anak bongsu Puan bertindak mengikut rasa. Lazimnya anak sekecil ini akan “buat perangai” jika terlalu letih, lapar atau kurang sihat. Anak yang sudah letih, lapar atau kurang sihat bila dibawa keluar membeli-belah dan bertembung dengan orang-ramai, sudah tentu makin tidak selesa. Pastikan ini tidak berlaku untuk anak Puan. Soal dia mengikut perangai abangnya tidak timbul sama-sekali kerana pembawakan/personaliti setiap anak berbeza.
Tanya “Apakah Isu Sebenarnya?”
Untuk anak sulung Puan:
Setiap kali berlaku konflik antara Puan dan dia, cuba tanya: “Apakah isu sebenarnya untuk situasi ini?”
Jika dia pernah mengambil bahagian dalam program perkhemahan sekolah sebelum ini, mungkin ada pengalaman kurang menyenangkan atau menakutkan yang membuatkannya serik untuk pergi sekali lagi. Umpamanya terpaksa pergi ke tandas yang jauh seorang diri di tengah malam. Atau dibuli kawan. Atau hampir lemas sewaktu menyeberang sungai (yang mungkin tidak diceritakan kepada Puan).
Jangan andaikan setiap kali dia membantah, sebabnya sama iaitu dia sengaja hendak membantah cakap Puan. Jika ini berlaku, Puan terperangkap dalam apa yang kita katakan sebagai “negative thinking pattern” atau corak pemikiran negatif.
Untuk situasi-situasi lain : Katakan dia membantah setiap kali Puan menyuruhnya membasuh kasut. Ada beberapa langkah yang boleh Puan cuba:
1. Jangan desak dia melawan Puan
Tentunya sebagai ibu Puan yakin apa saja yang Puan lakukan ialah demi kebaikannya. Tetapi anak semuda ini fikirannya belum sampai ke situ. Berhemahlah. Menengking atau mengherdik atau apa jua cara kasar yang lain hanya membuatkan dia merasa terdesak untuk melawan Puan.
2. Beri Pilihan
Tanya: “Azam nak basuh kasut hari Sabtu atau Ahad?” atau “Azam nak balik sekarang atau sepuluh minit lagi?” Cara ini membuatkan dia merasa dirinya diberi ruang untuk bebas membuat keputusan sendiri.
3. Biasakan Dia Dengan Rutin Harian
Rutin yang tidak menentu mengelirukan anak-anak. Jika sudah biasa makan malam sebelum magrib dan tidur pukul sembilan malam, sukar untuk dia membantah sebab dia sedia maklum itu stail keluarganya sendiri. Bandingkan dengan masa makan malam atau waktu tidur yang tidak menentu.
Anak Degil Berpotensi Jadi Pemimpin
Ciri-ciri pemimpin berkaliber di seluruh dunia termasuk: tidak mudah dipengaruhi orang lain. Bukankah ini sifat anak yang degil? Jika terasa seorang anak itu degil dan sukar dididik, yakinlah ada cara yang efektif untuk membentuknya menjadi insan yang dibanggakan.
Sangka Baik Dengan Allah Maha Bijaksana
Bukankah Allah Maha Mengetahui? Bukankah Allah Maha Merancang? Bukankah Allah tahu anak ini sukar dibesarkan? Sedalam mana Puan sayangkan anak, Allah jauh lebih sayangkan dia. Jadi bersangka baiklah dengan Allah. Allah tahu sepayah mana Puan membesarkannya. Allah maklum sesukar mana anda berusaha. Perbanyakkan doa. Jangan sekali-kali remehkan doa kerana inilah senjata orang mukmin. Usaha semata-mata tidak mencukupi.
Waktu Marah Melanda, Ambil Wudhu dan Beristighfar
Pelbagai emosi yang dialami ibubapa yang membesarkan anak yang degil. Geram berbaur marah melanda setiap kali anak tidak mengikut kata. Jika kita yang dewasa dan dikira matang tidak dapat mengawal perasaan, apatah lagi anak sekecil ini?
Cara efektif menyejukkan api kemarahan ialah dengan mengambil wudhuk dan beristighfar. Api lawannya air. Ini penting khususnya untuk ibu bapa yang mudah baran. Allah beri apa yang kita perlu bukan apa yang kita pinta. Allah Maha Bijaksana tahu apa yang kita perlukan untuk menjadi insan yang lebih berwibawa. Bila buntu bersujudlah dan merayulah kepada-Nya untuk membantu. Allah tidak sekali-kali menghampakan hambaNya yang ikhlas meminta dan berharap dari-Nya.