Pernahkah situasi ini berlaku dalam keluarga anda?
Anak mula bercerita tentang sesuatu. Tentang kawan di sekolah, tentang cikgu yang lucu, atau tentang tugasan yang sukar. Anda pula menjawab sambil tunduk menatap atau menatal telefon, “Hmm… ya…” atau “Kejap ya, Mama/Papa balas mesej ni.”
Tanpa kita sedari, cerita anak terhenti di situ. Bukan kerana anak kehabisan cerita, tetapi kerana dia merasakan kisah yang dikongsi itu tidak cukup penting untuk diberi perhatian sepenuhnya oleh anda. Inilah yang dinamakan “technoference”.
Apakah Itu Technoference?
“Technoference” ialah gabungan dua perkataan, “technology” dan “interference”. Ringkasnya, ia merujuk kepada gangguan teknologi terhadap hubungan sesama manusia, khususnya dalam institusi keluarga.
Gangguan ini berlaku perlahan-lahan, sedikit demi sedikit, namun kerap dan berulang. Gangguan ini hadir di meja makan, di dalam kereta, di bilik tidur, dan ketika anak sedang bercakap sementara perhatian kita teralih kepada skrin.
Mengapa Technoference Perlu Diberi Perhatian
Technoference perlu dipandang serius kerana ia hadir sewaktu kita bersama seisi keluarga. Sedangkan waktu inilah perhatian kita sepatutnya diberi kepada mereka. Perhatian suami kepada isteri. Perhatian isteri kepada suami. Perhatian ibubapa kepada anak-anaknya.
Namu apa yang kerap berlaku masakini adalah sebaliknya.
Anak-anak tidak datang dan meluahkan kata, “Mama/Papa asyik terlalu sibuk dengan telefon.” Sebaliknya, perubahan ditunjukkan melalui tingkah laku. Anak yang dahulu suka bercerita menjadi pendiam. Anak yang ceria mudah melawan. Ada yang semakin bergantung pada gajet sendiri. Ada pula yang mula berkelakuan yang mencabar kesabaran ibu bapa, bukan kerana nakal, tetapi kerana dahagakan perhatian. Anak remaja dan meningkat dewasa pula semakin lama semakin menjauhkan diri dengan game, gajet atau kawan-kawan dalam talian.
Bagi si anak, mesej yang tersirat amat jelas. Telefon lebih penting daripada aku. Walaupun hakikatnya itu bukan niat ibubapa.

Gambar hiasan: Karola G
Mengapa Sukar Melepaskan Telefon Pintar
Ramai ibubapa berasa bersalah dan tertanya-tanya mengapa begitu sukar untuk meletakkan telefon pintar walaupun hanya seketika.
Ia berkait rapat dengan cara otak manusia berfungsi. Telefon pintar dan aplikasi direka untuk merangsang lonjakan dopamine, iaitu rembesan kimia otak yang berkait rapat dengan motivasi, ganjaran dan jangkaan bahawa sesuatu yang menarik mungkin berlaku.
Dopamine rembesan kimia yang mencetuskan keinginan untuk mengulangi sesuatu. Apabila dopamine meningkat, otak memberi isyarat supaya kita terus melakukannya.
Dopamine dan Tarikan Skrin
Skrin sangat berkesan merangsang dopamine kerana ganjarannya tidak menentu. Setiap kali kita menatal atau membuka aplikasi, kita mungkin menerima mesej baharu, video lucu atau sesuatu yang mengejutkan. Ketidakpastian inilah yang membuatkan otak terus tertarik.
Otak manusia sangat menyukai ganjaran yang sukar dijangka. Inilah sebab mengapa niat untuk melihat telefon sebentar sering bertukar menjadi tempoh yang jauh lebih lama tanpa disedari.
Tambahan pula, skrin menawarkan ganjaran kecil dengan sangat pantas dan hampir tanpa usaha. Otak menafsirkan ini sebagai keseronokan yang mengujakan. Sebaliknya, ganjaran sebenar dalam kehidupan seperti berbual, bermain dan mendengar anak anda memerlukan masa, kesabaran dan kehadiran emosi. Otak cenderung memilih jalan yang lebih mudah.
Apabila Otak Tidak Selesa dengan Kesunyian
Apabila otak terbiasa dengan rangsangan berterusan, kesunyian mula terasa tidak selesa. Rasa bosan menjadi menjengkelkan. Menunggu pula terasa sukar. Akhirnya, kita mencapai telefon pintar di pelbagai situasi seperti di katil, di tandas, ketika berbual atau apabila emosi terasa berat.
Tanpa disedari, telefon berfungsi sebagai “penenang emosi”. Meskipun kesan adalah sebaliknya! Dari satu tabiat kecil, ia boleh terus menjadi suatu bentuk kebergantungan. Kandungan yang sama tidak lagi mencukupi, masa menatal menjadi lebih lama, dan rasa resah muncul apabila jauh daripada skrin.
Implikasi Terhadap Hubungan Keluarga
Aktiviti yang sarat dengan rangsangan dopamine bersaing secara langsung dengan perbualan, pandangan mata dan kehadiran emosi. Bandingkan ini dengan hubungan manusia yang memerlukan masa dan perhatian penuh, dikaitkan dengan hormon oxytocin, hormon yang menguatkan ikatan sesama insan, namun proses ini berlaku secara perlahan dan memerlukan perhatian penuh.
Apabila dopamine sering mengatasi oxytocin, hubungan akan terjejas. Jika orang dewasa pun bergelut untuk berenggang dengan telefon pintar dan gajet, anak-anak lebih lagi.
Lebih parah, tanpa hubungan yang kukuh, nasihat ibubapa semakin sukar menembusi hati anak.
Khabar Baik untuk Ibu Bapa
Mencegah technoference tidak bermakna kita perlu menyingkirkan teknologi sepenuhnya. Mencegah technoference memerlukan kesedaran; kita wajib mengutamakan yang paling utama.
Perubahan kecil boleh membawa kesan besar. Wujudkan detik tanpa telefon seperti ketika makan bersama, sebelum tidur atau ketika anak sedang berkongsi cerita. Letakkan telefon jauh dari anda, sebagai isyarat bahawa anak adalah keutamaan anda pada saat tersebut.
Apabila anak bersuara, pandang matanya, letakkan telefon dan balas dengan kata-kata yang bermakna. Anak anda hanya mahu merasakan bahawa suara dia benar-benar didengar, meskipun ibubapa tidak tahu jawapan tepat untuk soalannya.
Yang paling utama, ibubapa perlu menjadi contoh setiap masa. Anak-anak tidak belajar daripada nasihat semata-mata, tetapi daripada tingkah laku yang mereka saksikan ibubapa lakukan setiap hari.
Apabila Hubungan Terasa Semakin Jauh
Sesetengah ibubapa mengakui bahawa hubungan mereka dengan anak remaja semakin menjauh. Jujurlah dengan diri anda: Adakah sesuatu perkara yang anda boleh lakukan untuk memperbaiki keadaan?
Hubungan tidak dipulihkan melalui ceramah panjang, tetapi melalui kejujuran dan kerendahan hati. Mulakan dengan ayat yang ringkas tetapi penuh makna. “Mama/Papa rasa Mama/Papa terlalu sibuk dengan telefon sebelum ini. Maafkan Mama/Papa.”
Ayat ini tidak merendahkan kewibawaan anda sebagai ibubapa. Sebaliknya, ia membina harapan dan kepercayaan anak anda terhadap diri anda sebagai insan yang sepatutnya dicontohi sepanjang hayat. Seterusnya, lakukan perkara kecil secara konsisten seperti makan bersama tanpa skrin, berbual santai, bergurau, solat bersama dan mendengar tanpa menghakimi.
Anak tidak memerlukan kita sepanjang masa. Anak memerlukan kita benar-benar hadir, walaupun hanya seketika.
Akhir Kata
Technoference bukan tentang teknologi semata-mata. Ia tentang pilihan perhatian yang kita buat setiap hari. Telefon pintar dan gajet akan sentiasa ada dan notifikasi tidak akan pernah habis. Namun zaman kanak-kanak anak anda hanya berlaku sekali.
Soalan yang wajar kita renungkan ialah: Apabila anak sudah dewasa nanti, adakah mereka akan mengingati skrin, atau wajah ibubapanya? Semoga kita menjadi ibubapa yang hadir, bukan sahaja secara fizikal, tetapi dengan hati yang benar-benar bersama keluarga.



