Akhlaq & Disiplin

Tegas Tanda Sayang

Pernahkah anda terasa bimbang bahawa sikap tegas boleh merenggangkan hubungan antara anda dengan anak-anak? Anda mungkin khuatir, ketegasan akan membuatkan anak-anak merasa tidak disayangi atau berdendam, seterusnya mencetuskan konflik.

Sesetengah ibu bapa lain pula terasa bersalah untuk bertegas terutamanya jika mereka bekerja lama atau tidak dapat meluangkan masa yang mencukupi dengan anak-anak seperti yang diinginkan. Contoh: Selepas seharian bekerja, seorang ibu atau bapa mungkin terasa bersalah untuk menguatkuasakan peraturan waktu tidur kerana mereka hanya mampu meluangkan sedikit masa yang terbatas bersama anak-anak sepanjang hari.

Sesetengah ibu bapa lain pula kurang tegas kerana tekanan emosi. Selepas seharian bekerja dan berhadapan dengan pelbagai masalah di tempat kerja, seorang ibu atau bapa mungkin berasa sangat letih dan emosinya tertekan atau kurang stabil. Apabila ibu bapa berasa terlalu letih, stres, atau tertekan dengan tanggungjawab harian, sukar untuk mereka bersikap tegas dan adil terhadap anak-anak.

Apabila anak-anak tidak mendengar arahan atau melanggar peraturan, ibu bapa mungkin berasa terlalu penat untuk menangani masalah itu dengan ketegasan. Mereka mungkin mengalah atau membiarkan sahaja perkara itu untuk mengelakkan sebarang konflik, walaupun sebenarnya mereka sedar tindakan itu tidak membantu dalam mendisiplinkan anak-anak. Tekanan emosi seperti ini boleh menghalang ibu bapa daripada konsisten dalam mendidik anak-anak dengan tegas.

Tahukah anda, sebagai ibu bapa, anda boleh bersikap tegas sekaligus membina rasa hormat anak-anak terhadap anda sebagai ibu atau bapa? Ibu bapa boleh tegas dan pada masa yang sama mengekalkan rasa hormat daripada anak-anak dengan pendekatan yang seimbang antara ketegasan dan kelembutan. Berikut adalah beberapa cara yang dapat membantu ibu bapa menjadi tegas tanpa kehilangan rasa hormat dari anak-anak.

Tetapkan Jangkaan / Harapan Yang Jelas

Anak-anak akan lebih menghormati ibu bapa apabila mereka tahu dengan jelas apa yang diharapkan. Ini termasuk peraturan di rumah, rutin harian, dan tanggungjawab. Contoh: “Dalam keluarga kita, semua orang perlu menghormati masa makan bersama tanpa menggunakan telefon/gajet.”

Konsisten Dalam Tindakan

Ketidakstabilan dalam menetapkan disiplin akan mengurangkan sikap hormat anak-anak terhadap ibu bapa. Jika sesuatu peraturan sudah ditetapkan, pastikan ia dilaksanakan dengan konsisten. Contoh: Jika anak-anak tidak dibenarkan bermain permainan video sebelum menyiapkan kerja sekolah, pastikan peraturan ini diikuti setiap hari, tanpa pengecualian.

Gunakan Bahasa Lembut Tetapi Tegas

Ketegasan tidak perlu disampaikan dengan nada yang keras atau kasar. Bahasa yang lembut tetapi tegas dapat menunjukkan ibu bapa bertegas tanpa menjejaskan hubungan emosi dengan anak. Contoh: Daripada berkata, “Kalau tak siap kerja rumah, Adam tak boleh keluar langsung!” Sebaliknya katakan, “Adam, siapkan dulu kerja rumah sebelum keluar bermain.”

Berikan Pilihan Terhad

Anak-anak akan lebih menghormati ibu bapa apabila mereka diberikan pilihan, tetapi dengan had yang telah ditetapkan. Contoh: “Adam boleh pilih untuk tidur sekarang atau baca buku selama 10 minit dulu, tetapi lampu akan ditutup pada pukul 9 malam.”

Pilih Nada Suara Terkawal

Apabila ibu bapa berhadapan dengan anak-anak yang menguji kesabaran, kekal tenang dan elakkan meninggikan suara. Anak-anak lebih menghormati ibu bapa yang boleh mengawal emosi mereka. Contoh: Jika anak enggan berhenti bermain, daripada meninggikan suara, katakan, “Masa bermain sudah habis. Mak tahu awak seronok, tapi masa rehat sekarang lebih penting supaya esok boleh bangun dengan mudah untuk solat Subuh.”

Terangkan Sebab Di Sebalik Peraturan

Apabila anak-anak faham mengapa sesuatu peraturan dikuatkuasakan, mereka lebih mudah menerima dan menghormati keputusan ibu bapa. Jelaskan secara ringkas tetapi padat, tanpa perlu berpanjang lebar. Contoh: “Ibu tak benarkan Ina makan gula-gula sebelum makan malam kerana gula-gula boleh buat Ina kurang selera untuk makan makanan yang lebih berkhasiat.”

Gunakan Akibat Bersesuaian

Akibat daripada perbuatan yang salah perlu adil dan berkaitan dengan tingkah laku tersebut. Ini membantu anak-anak memahami hubungan antara tindakan mereka dan akibat yang diterima. Contoh: Jika anak merosakkan mainan kerana marah, akibat yang sesuai adalah mereka perlu bertanggungjawab untuk membaikinya atau tidak bermain dengan mainan itu buat sementara waktu.

Jadi Teladan Baik

Anak-anak meniru tingkah laku ibu bapa. Jika ibu bapa mahu anak-anak menghormati mereka, ibu bapa perlu menunjukkan rasa hormat dalam cara mereka bertutur dan berinteraksi dengan orang lain, termasuk anak-anak. Contoh: Berikan anak ruang untuk menyuarakan pendapat mereka dengan hormat, walaupun keputusan akhir tetap milik ibu bapa.

Elakkan Menghina Atau Merendahkan Anak

Hormat tidak akan timbul jika ibu bapa menggunakan kata-kata yang menghina atau merendahkan maruah anak. Ketegasan perlu disampaikan dengan berhemah.  Contoh: Daripada berkata, “Awak ini memang pemalas!” lebih baik katakan, “Mak / Abah tengok kerja Amin belum siap lagi. Kenapa ya?”

Dengan mengamalkan pendekatan ini, ibu bapa boleh menjadi tegas dalam menerapkan disiplin tetapi tetap dihormati oleh anak-anak. Gabungan ketegasan dan kasih sayang memastikan anak-anak merasa selamat, dihargai, dan hormat kepada ibu bapa sebagai pemimpin keluarga.

Kesimpulannya, menjadi ibu bapa yang tegas semestinya mencabar kerana ia memerlukan keseimbangan antara autoriti (hak / kuasa / tanggungjawab) dan kasih sayang. Rasa takut merosakkan hubungan, perasaan bersalah, dan tekanan emosi adalah antara faktor utama yang menyebabkan ibu bapa sukar bersikap tegas. Walau bagaimanapun, penting untuk diingat bahawa ketegasan yang dilakukan dengan konsisten dan penuh kasih sayang bukan sahaja membantu menegakkan disiplin tetapi juga membina hubungan yang sihat, penuh hormat, dan saling memahami antara ibu bapa dan anak-anak. Dengan kesabaran dan pendekatan yang betul, ibu bapa boleh menjadi tegas tanpa mengorbankan hubungan mereka dengan anak-anak.

 

Image courtesy of Vika_Glitter

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

To Top