wahai anakku

5 Wasiat Luqman Kepada Anaknya: Ibu Bapa Tidak Boleh “Give Up”

Amanah membesarkan anak-anak tentunya sesuatu yang mencabar. Boleh dikatakan setiap ibu bapa akan menelusuri saat-saat yang menguji kesabaran sebagai seorang insan. Lebih mencabar apabila anak dilahirkan dengan “special needs”, atau apa yang disebut sekarang sebagai “anak syurga” atau anak kelainan upaya. Ini termasuk Down’s Syndrome, autisme dan sebagainya.

Ada juga ibu bapa yang anak-anaknya bukan dikira anak istimewa, namun lain pula situasi yang dihadapi. Contohnya, seorang ibu mengeluh, dua anak remajanya dilanda kemurungan yang serius. Dalam beberapa keluarga yang lain pula, terdapat anak-anak yang bermasalah apabila meningkat remaja, samada dari sudut tingkah laku atau prestasi akademik dan sebagainya.

Apapun keadaan, saya yakin Allah sentiasa mendengar keluhan hamba-Nya. Selain cuba mendapatkan penyelesaian melalui konsultansi pakar psikiatri atau psikologi, sewajarnya kita tidak lekang memanjatkan doa kepada-Nya, agar diberi kelapangan dada untuk menghadapi apa jua cabaran setiap hari. Bayangkan jika kita sebagai ibu bapa “give up”, menyerah kalah, tidak lagi sanggup menyokong dan membantu anak-anak kita. Siapa lagi yang boleh mereka harapkan?

Dalam Al-Qur’an, Allah memberikan beberapa panduan untuk kita mendidik anak.

Kita mulai dengan lafaz:

بِسْمِ ٱللَّهِ ٱلرَّحْمَٰنِ ٱلرَّحِيمِ
Bermaksud: ‘Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang’

Berikut doa yang perlu dilazimi oleh ibu bapa:

Al-Furqaan:25:74

وَٱلَّذِينَ يَقُولُونَ رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَٰجِنَا وَذُرِّيَّٰتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَٱجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Bermaksud: ‘Dan orang-orang yang berkata, “Wahai Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (kami), dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang yang bertaqwa.”’

Saya tertarik pada terjemahan bertema yang dibawa oleh Dr Mustafa Khattab dalam bukunya, “The Clear Qur’an Series: English Only. A Thematic English Translation”. Dalam buku ini, ayat-ayat lebih mudah difahami apabila dihimpun mengikut tema.

Contoh, wasiat Luqman kepada anaknya, amat sesuai untuk dijadikan panduan ibu bapa. Untuk versi Bahasa Melayu, rujukan yang saya gunakan ialah “Tafsir Qur’an Per Kata” oleh Dr Ahmad Hatta, MA.


Wasiat Luqman No. 1: Mentauhidkan Allah

 Luqman:31:12  

وَلَقَدْ ءَاتَيْنَا لُقْمَٰنَ ٱلْحِكْمَةَ أَنِ ٱشْكُرْ لِلَّهِۚ وَمَن يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِۦۖ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ ٱللَّهَ غَنِىٌّ حَمِيدٌ

Bermaksud: ‘Dan sungguh telah kami berikan hikmah kepada Luqman, iaitu, “Bersyukurlah kepada Allah! Dan barangsiapa bersyukur (kepada Allah), maka sesungguhnya dia bersyukur untuk dirinya sendiri; dan barangsiapa tidak bersyukur (kufur), maka sesungguhnya Allah Maha Kaya, Maha Terpuji.’

 Luqman:31:13

وَإِذْ قَالَ لُقْمَٰنُ لِٱبْنِهِۦ وَهُوَ يَعِظُهُۥ يَٰبُنَىَّ لَا تُشْرِكْ بِٱللَّهِۖ إِنَّ ٱلشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ

Bermaksud: ‘Dan ingatlah ketika Luqman berkata kepada anaknya, ketika dia memberi pelajaran kepadanya, “Wahai anakku! Janganlah engkau mempersekutukan Allah, sesungguhnya mempersekutukan (Allah) adalah benar-benar kezaliman yang besar.’

Adakala ayat yang dibaca untuk memulakan seminar keibubapaan hanyalah ayat Luqman:31:12-13 di atas, mungkin kerana kesuntukan masa, sedangkan nasihat-nasihat yang diberikan oleh Luqman kepada anaknya lebih dari itu. Perhatikan seterusnya:


Wasiat Luqman No. 2: Muliakanlah Ibu Bapa

Luqman:31:14

وَوَصَّيْنَا ٱلْإِنسَٰنَ بِوَٰلِدَيْهِ حَمَلَتْهُ أُمُّهُۥ وَهْنًا عَلَىٰ وَهْنٍ وَفِصَٰلُهُۥ فِى عَامَيْنِ أَنِ ٱشْكُرْ لِى وَلِوَٰلِدَيْكَ إِلَىَّ ٱلْمَصِيرُ

Bermaksud: ‘Dan Kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua orang tuanya. Ibunya telah mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah, dan menyapihnya dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-Ku dan kepada kedua orang tuamu. Hanya kepada Aku kembalimu.’

Luqman:31:15

وَإِن جَٰهَدَاكَ عَلَىٰٓ أَن تُشْرِكَ بِى مَا لَيْسَ لَكَ بِهِۦ عِلْمٌ فَلَا تُطِعْهُمَاۖ وَصَاحِبْهُمَا فِى ٱلدُّنْيَا مَعْرُوفًاۖ وَٱتَّبِعْ سَبِيلَ مَنْ أَنَابَ إِلَىَّۚ ثُمَّ إِلَىَّ مَرْجِعُكُمْ فَأُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُونَ

Bermaksud: ‘Dan jika keduanya memaksamu untuk mempersekutukan Aku dengan sesuatu yang engkau tidak mempunyai ilmu tentang itu, maka janganlah engkau mentaati keduanya, dan pergaulilah keduanya di dunia dengan baik, dan ikutilah jalan orang yang kembali kepadaKu. Kemudian hanya kepada-Ku tempat kembalimu, maka akan Aku beritahukan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.’

Betapa relevannya ayat-ayat ini di zaman ini! Di sesetengah negara, contoh di Amerika, undang-undang di sana menetapkan ibu bapa disisih sebaik anak mencecah usia 18 tahun yang dikira sudah cukup matang untuk membuat apa jua keputusan.  Sepatah kata seorang sahabat saya yang menetap di Amerika, “Parents are nothing here (once a child reaches adulthood).”

Begitu juga di Jepun, rasa hormat, tanggungjawab menyantuni dan baik-budi terhadap ibu bapa kian pudar. Anak-anak dewasa bebas sama ada mahu menziarah ibu bapa ataupun tidak. Ada anak-anak yang berhijrah ke kota meninggalkan seterusnya mengabaikan ibu bapa sendirian. Akibatnya sesetengah ibu bapa yang uzur akhirnya menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan bersendirian. Tragik tetapi benar (4), (5).

CONTOH PRAKTIKAL

Anak-anak sentiasa memerhati cara anda melayani ibu bapa sendiri. Jika ibu bapa anda masih ada, pastikan anda kerap berkomunikasi dengan mereka. Cuba sedaya upaya untuk memastikan hidup mereka selesa. Satu isu yang kerap dihadapi oleh anak-anak yang menjaga ibu bapa uzur ialah, melayani kerenah orang tua. Perlu difahami, orang-orang tua yang uzur, yang sering makan ubat, selera dan tabiatnya mudah terjejas dek ubatan yang diambil. Ini dibuktikan sendiri oleh kajian gerontologi (3).

Jangan sangka orang tua anda yang cerewet makan minum sengaja hendak menyusahkan anda. Bersabar, bersabar dan bersabarlah. Permaidani mahal yang tertumpah bubur nasi, tilam empuk yang basah dikotori, pinggan pecah, semuanya boleh diganti. Sebagaimana anda menyantuni orang tua anda, begitulah anak anda akan melayani anda. Menjaga orang tua satu bentuk rezeki. Bukan semua anak-anak dikurniakan rezeki untuk menjaga ibu bapa yang sudah berusia.


Wasiat Luqman No. 3: Allah Pasti Mengadili Setiap Perbuatan

 Luqman:31:16

 يَٰبُنَىَّ إِنَّهَآ إِن تَكُ مِثْقَالَ حَبَّةٍ مِّنْ خَرْدَلٍ فَتَكُن فِى صَخْرَةٍ أَوْ فِى ٱلسَّمَٰوَٰتِ أَوْ فِى ٱلْأَرْضِ يَأْتِ بِهَا ٱللَّهُۚ إِنَّ ٱللَّهَ لَطِيفٌ خَبِيرٌ

Bermaksud: ‘(Luqman berkata): “Wahai anakku! Sungguh, jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi, dan berada dalam batu atau di langit, atau di bumi, niscaya Allah akan memberinya (balasan). Sesungguhnya Allah Maha Halus, Maha Teliti.”’

Tanamkan keyakinan bahawa Allah akan menghakimi setiap tindakan, tidak kira sekecil mana pun, zahir atau tersembunyi.  Sesetengah ibu bapa terlalu ghairah untuk menakut-nakutkan anak terutama si kecil, sehinggakan anak itu tidak merasa bahawa Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Sewajarnya ditekankan konsep Allah Maha Pemaaf, Maha Penyayang dan Maha Mengasihani terlebih dahulu sewaktu anak masih kecil.

Di masa kini, anak-anak remaja gemar bertanya, “Jika benar Allah Maha Adil, mengapa Dia izinkan kezaliman berlaku di mana-mana?” Di sini perlunya ditekankan konsep dunia akhirat. Keadilan yang hakiki pasti berlaku di akhirat sana. Di dunia sesetengah manusia akan menyalahgunakan kuasa besar yang ada untuk memporak-perandakan orang lain, atau menganiaya orang lain. Bagaimanapun Allah tentu akan memberi balasan yang setimpal di akhirat kelak.

 

Wasiat Luqman No. 4: Sempurnakan Tanggungjawab Kepada Allah

Luqman:31:17

يَٰبُنَىَّ أَقِمِ ٱلصَّلَوٰةَ وَأْمُرْ بِٱلْمَعْرُوفِ وَٱنْهَ عَنِ ٱلْمُنكَرِ وَٱصْبِرْ عَلَىٰ مَآ أَصَابَكَۖ إِنَّ ذَٰلِكَ مِنْ عَزْمِ ٱلْأُمُورِ

Bermaksud: “Wahai anakku! Laksanakanlah solat dan suruhlah (manusia) berbuat yang ma’ruf dan cegahlah (mereka) dari yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpamu, sesungguhnya yang demikian itu termasuk perkara yang penting.”

CONTOH PRAKTIKAL

Lazimkan solat berjamaah di rumah supaya anak-anak rindukan suasana aman damai yang wujud sebelum, ketika dan sesudah solat. Melazimkan solat berjamaah di rumah perlukan kesabaran, kerana ibu bapa perlu menunggu mereka mengambil wudhu’ dan bersiap. Lebih elok lagi, jika rumah anda berdekatan masjid atau surau, bawa mereka ke sana, supaya anak-anak terbiasa dengan jiran-tetangga yang sama-sama ke sana. Ditakdirkan anak anda dewasa dan berhijrah ke luar negara, dia tahu untuk mencari dan menuju ke komuniti Islam yang biasanya akan bertemu di masjid, memudahkan dia untuk menunaikan solat. Peringatan untuk dia menjaga akhlaqnya meskipun bermastautin di negara majoriti bukan Islam.

 

Wasiat Luqman No. 5: Sentiasa Merendah Diri

 Luqman:31:18

وَلَا تُصَعِّرْ خَدَّكَ لِلنَّاسِ وَلَا تَمْشِ فِى ٱلْأَرْضِ مَرَحًاۖ إِنَّ ٱللَّهَ لَا يُحِبُّ كُلَّ مُخْتَالٍ فَخُورٍ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu memalingkan wajah dari manusia (kerana sombong) dan janganlah berjalan di bumi dengan angkuh. Sungguh, Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong dan membanggakan diri.”

Luqman:31:19

وَٱقْصِدْ فِى مَشْيِكَ وَٱغْضُضْ مِن صَوْتِكَۚ إِنَّ أَنكَرَ ٱلْأَصْوَٰتِ لَصَوْتُ ٱلْحَمِيرِ

Maksudnya: “Dan sederhanakanlah dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu, Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keledai.”

CONTOH PRAKTIKAL

Merasa diri hebat adalah sesuatu yang tidak digalakkan sama-sekali. Yang elok ditanam dalam jiwa anak-anak ialah percaya dengan kebolehan diri sendiri tetapi pada masa yang sama, akur bahawa betapa bijak pun dirinya, masih ada orang yang lebih bijak dari itu. Jika si anak gemar bersuara, perlu dididik supaya pandai memberi ruang untuk orang lain bersuara juga. Jika anak gemar menyebut kebaikan yang dilakukannya, didik dia untuk menyebut juga kebaikan, bukan kelemahan orang lain. Ajar juga anak supaya mudah mengakui kesilapan yang dilakukan.

Mengajar anak-anak supaya yakin dengan kewujudan dan kekuasaan Allah; memuliakan, menyayangi dan menghormati ibu bapa; bersifat adil dalam berinteraksi dengan orang lain; ringan badan untuk solat; dan sentiasa merendah diri memakan masa, memerlukan ketabahan dan kesabaran. Satu amanah dan cabaran yang kita ibu bapa tidak boleh “give up”, meskipun seringkali ketabahan kita tercabar dek tingkah laku anak-anak. Namun yakinlah bahawa Allah sentiasa di samping kita, mendengar dan memahami keluhan hati kita, dan tidak sesekali mensia-siakan setiap doa dan titisan air mata yang gugur kerana-Nya.

Allahua’lam.

 

Foto hiasan oleh kkortmulder

 

Senarai Rujukan

  1. “The Clear Qur’an Series: English Only. A Thematic English Translation” oleh Dr Mustafa Khattab. Penerbit: Book of Signs Foundation, IL, USA.
  2. Tafsir Qur’an Per Kata oleh Dr Ahmad Hatta, MA. Penerbit: Maghfirah Pustaka.
  3. https://gero.usc.edu/what-is-gerontology/
  4. https://www.theguardian.com/cities/2019/jun/11/how-tokyo-suburban-housing-blocks-became-ghettoes-for-the-old
  5. https://www.theguardian.com/cities/2019/jun/10/dioramas-of-death-tokyo-cleaner-recreates-rooms-where-people-died-alone

About Jamilah Samian

Jamilah has written 538 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top