Mutiara Kata Hari Ini

7 Kesilapan Komunikasi Ibu Bapa Dan Anak

[Baca artikel dalam Bahasa Inggeris]

 

Setiap ibu bapa mahukan anak-anak mereka dapat berdikari suatu hari nanti. Mustahil kita dapat berada di sisi mereka sepanjang masa dan berfikir bagi pihak mereka. Oleh itu, demi kebaikan jangka panjang, kita perlu melatih mereka supaya mampu berfikir untuk diri sendiri. Melatih anak-anak berfikir sendiri merupakan pemberian yang akan memberi mereka manfaat sepanjang hayat. Salah satu syarat utamanya ialah, anda perlu berkomunikasi secara efektif dengan anak-anak anda.

Bagaimana pula jika anda menghadapi masalah dalam hal ini?

Perubahan bermula dengan usaha yang paling kecil dan ia tidak boleh berlaku sekelip mata. Begitu juga jika anda telah gagal berkomunikasi setelah sekian lama. Berikut adalah beberapa kesilapan komunikasi yang mungkin menghalang anda daripada membina hubungan yang kukuh dengan anak-anak.

1. Serkap jarang.

Elakkan daripada membuat andaian melulu. Berikan peluang kepada anak-anak untuk menjelaskan sesuatu situasi sebelum anda membuat andaian dan kesimpulan.

2. Tidak spesifik.

Jika anda tidak berpuas hati tentang sesuatu perkara, jelaskan apa yang bermain dalam fikiran anda, dalam cara yang anak anda boleh terima. Usah membuat tuduhan dan anggapan umum dengan mengatakan ‘Kamu selalu buat begini’ atau ‘Kamu tidak pernah buat begitu.’

3. Tidak peka dengan emosi sendiri.

Apabila anda sedang penat, marah atau tertekan, sukar untuk anda berkomunikasi dengan efektif. Ia bukan masa yang baik untuk berkomunikasi dan timbul risiko anda tidak sensitif terhadap emosi anak-anak. Jadi, jika anda letih atau stres, tunggulah sehingga anda berasa lebih tenang sebelum berkomunikasi dengan anak-anak. Tanyakan anak anda jika ia boleh dibincangkan kemudian. Jika keputusan perlu dibuat segera, mahu tidak mahu, anda perlu melayannya pada masa itu juga.

4. Memalukan mereka di hadapan orang lain.

Seboleh-bolehnya, usah berkata apa-apa yang negatif di hadapan rakan-rakan anak anda, terutama sewaktu usia remaja. Remaja sangat mementingkan apa yang difikirkan oleh rakan-rakan tentang mereka.

5. Terlalu banyak maklumat (‘Information overload’).

Sesetengah ibubapa cenderung memberitahu banyak perkara kepada anak-anak dalam satu masa. Ada masanya, anda mungkin tidak puas hati dengan sesetengah perkara yang anak anda lakukan dan entah mengapa, anda tidak berkomunikasi secara spesifik tentang apa yang membuatkan anda tidak berpuas hati dengannya. Jadi semuanya terpendam sehingga satu hari, anda begitu marah dan ibarat sebuah empangan yang pecah, segala-galanya diluahkan; anda terlupa isu sebenar. Anda terlupa langsung perkara spesifik yang membangkitkan kemarahan anda dan disinilah anda mula membuat generalisasi dan tuduhan.

6. Komunikasi bukan setakat mendengar, malah lebih dari itu.

Jika anda tidak meluangkan masa untuk berkomunikasi dengan anak anda, lama-kelamaan anak-anak akan menjauhkan diri daripada anda. Hasilnya, anda tidak dapat membina kepercayaan dan rasa hormat. Jika anak anda tidak mempercayai anda, anda tidak dapat mendidik mereka dengan akhlaq yang sempurna.

7. Jika ada lebih daripada seorang anak, luangkan masa berkomunikasi dengan mereka secara individu.

Apabila anda ada lebih daripada seorang cahaya mata, yang lebih tua sering kurang diberi perhatian. Hakikatnya, kecil dan besar, setiap anak memerlukan perhatian ibu dan bapa, tanpa mengira usia. Luangkan masa secara individu dengan setiap anak. Misalnya, ajak seorang daripada mereka keluar bersama ayah atau ibu. Lakukannya secara berkala, mungkin sebulan sekali. Meluangkan masa begini dapat menyelesaikan banyak masalah, misalnya isu seperti persaingan adik-beradik yang timbul dalam sesetengah keluarga. Apabila anda membuatkan setiap anak berasa istimewa, isu seperti ini boleh selesai dengan sendirinya. Jika anda mahu menjadi orang kepercayaan untuk anak-anak, anda perlu lebih banyak mendengar daripada bercakap.

 

 

Adaptasi dari: Ibu Kool Bapa Hebat

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Imej Hiasan: Annie Spratt

 

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top