oleh Jamilah Samian
SOALAN: Assalamualaikum Puan Jamilah. Saya nak minta sedikit pandangan dan nasihat daripada puan. Ini berkaitan kaedah “HOME SCHOOL”. Adakah ”home-school” ini sesuai untuk anak-anak dan adakah ”home school” ini boleh/pernah dijalankan di Malaysia? Kalau boleh nak minta pendapat dari segi perkembangan minda dan sosial anak-anak. Adakah “home school” ini baik untuk anak saya?
JAWAPAN: Waalaikumsalaam Puan. Kaedah “Home school” (belajar di rumah tanpa pergi ke sekolah) adalah satu pilihan untuk ibu bapa yang mungkin mendapati sekolah biasa tidak sesuai untuk keperluan anak mereka.
“Home school” bukanlah sesuatu yang baru di dunia termasuk di Malaysia. Di Barat, umpamanya, ia satu fenomena yang semakin berkembang, di mana semakin ramai ibu bapa yang memutuskan untuk mengajar anak-anak mereka sendiri di rumah. Anak-anak ini akan mengikuti silibus tertentu dan mengambil peperiksaan yang standard untuk memasuki kolej atau universiti. Contohnya, Christopher Paolini, pengarang novel popular Eragon, adalah produk “home school” yang terkenal di dunia. Buku Eragon diterbitkan semasa Christopher baru berusia 19 tahun.
Kejayaan “home-school” untuk seseorang anak bergantung kepada kesungguhan / kesanggupan ibu bapa. Saya sendiri pernah menggunakan sistem ini untuk salah seorang anak saya untuk tempoh yang agak lama. Saya juga mengenali beberapa keluarga yang menggunakan sistem ini. Anak-anak yang di “home-school” biasanya akan menghabiskan silibus lebih cepat daripada anak-anak yang bersekolah biasa kerana mendapat sepenuh perhatian daripada guru atau ibu bapa yang mengajar mereka.
Benar, sesetengah pihak agak bimbang dengan perkembangan minda dan sosial anak-anak yang di ”home school”. Tetapi secara peribadi, saya tidak mengenali sesiapa pun yang mengalami kesan negatif ”home school” ke atas mereka.