Buku-buku Bahasa Malaysia

Baca Petikan: ‘Ajaibnya Kebaikan’

 

 

ISI KANDUNGAN

 

PENGENALAN

 

BACA PETIKAN

 

SINOPSIS

 

ULASAN BUKU

 

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

 

ISI KANDUNGAN

KANDUNGAN

Penghargaan

Pengenalan

LANGKAH SATU

Fahami Mengapa Kebaikan Adalah Raja:

Pilihlah Untuk Menjadi Baik Walaupun Sukar . . .  1

LANGKAH DUA

Kuasai Fasa-Fasa Perkahwinan Dengan Kebaikan:

Gunakan Kepintaran  Anda . . . 21

LANGKAH TIGA

Tangani Peringkat Awal Perkahwinan Dengan Kebaikan:

Penuhkan Tabung Cinta Anda . . . 39

LANGKAH EMPAT

Leraikan Konflik Dengan Kebaikan:

Bangkit Dari Keperitan . . . 99

LANGKAH LIMA

Wujudkan Sinergi Berkekalan Dengan Kebaikan:

Binakan Matlamat Bersama . . . 161

BAHAGIAN BONUS

 Bagi Pembaca Bujang:

Fikir Sejenak Sebelum Berkata “Aku Terima.”  . . . 217

 

100 Tindakan Kebaikan Yang Boleh Meningkatkan Tabung Cinta Anda  . . . 230

Penutup Kebaikan Dari Perspektif Seorang Lelaki . . . 239

 

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

PENGENALAN

 

Pertama kali saya mula mengusahakan buku ini, saya teringin untuk mendalami rahsia kebahagiaan pasangan suami isteri yang saling mencintai dan mengagumi antara satu sama lain serta mampu bertahan biarpun teruji. Saya membaca pelbagai kajian dan menemuramah ramai insan yang sudi kisahnya dikongsi.  Akhirnya, saya rasa terlalu banyak perkara yang saya temui.

Sesetengah kajian dan pengalaman peribadi saling menyokong, tetapi ada juga yang saling bertentangan antara satu sama lain. Seperti dijangka, pendapat pakar berbeza antara satu dengan yang lain. Saya mula menyedari bahawa subjek ini sukar bagi saya.

Suatu hari, selepas melalui proses introspeksi, saya sedar apa yang sedang saya tangani ini merupakan satu perkara yang sangat asas.  Pastilah, di sebalik kajian yang bertimbun-timbun dan pendapat pakar yang pelbagai, terdapat titik persamaan dalam membongkar rahsia perkahwinan yang bahagia dan berjaya. Persoalan utama, bolehkah seorang lelaki dan seorang wanita masih saling mencintai setelah bertahun-tahun berkahwin?

Seolah-olah bertemu dengan harta karun ketika ‘menggali’ timbunan penyelidikan, saya menemui fakta bahawa terdapat ramai pasangan berkahwin yang masih memiliki tarikan terhadap satu sama lain secara fizikal mahupun emosi, walaupun telah bertahun-tahun hidup bersama.

Paling mengujakan juga, saya mendapati terdapat penyelidikan yang menunjukkan bahawa kebaikan merupakan kayu ukur paling kuat dalam kejayaan sesebuah perkahwinan. Tidak dinafikan bahawa pasangan yang berjaya mengekalkan daya tarikan fizikal dan emosi antara satu sama lain sebenarnya memilih untuk menabur kebaikan kepada pasangan masing-masing.

Justeru, menjadi fokus buku ini untuk mempersiapkan anda dengan kebaikan agar cinta sentiasa hidup dan mekar dalam perkahwinan anda. Semakin baik (atau budiman; penterjemah) anda dan pasangan terhadap satu sama lain, semakin tinggi potensi untuk perkahwinan anda kekal bahagia dan berjaya.  Perkara sebaliknya juga boleh berlaku; hilangkan kebaikan itu dan perkahwinan anda akan kurang bahagia. Kebaikan semestinya mempunyai impak langsung  dan nyata terhadap sebuah perkahwinan. Satu kenyataan yang mudah tetapi benar!

Sepintas lalu, kebaikan sebagai satu konsep kelihatan tersangat mudah untuk difahami. Menjadi pendengar yang baik kepada seorang sahabat yang teruji dengan masalah, menawarkan minuman percuma kepada seseorang, membawakan makanan untuk insan yang sakit – semua perbuatan ini adalah bentuk kebaikan yang anda biasa lakukan atau lihat di mana-mana. Dalam perkahwinan yang bermasalah, perbuatan tadi terasa seperti satu tugas yang berat, atau lebih parah lagi, terasa sangat menyusahkan.

Sekiranya kita mempercayai kajian-kajian yang membuktikan bahawa kebaikan boleh menjadi penentu kepada pembentukan perkahwinan yang bahagia, dengan izin Allah, kita boleh menjadi masyarakat yang lebih baik. Statistik menunjukkan kegagalan perkahwinan sangat tinggi dalam masyarakat kita, bagaimana kita memilih untuk mempercayai yang sebaliknya?

Namun, jika kita mempercayai bahawa kebaikan adalah sesuatu yang mudah dan penentu kepada pembinaan perkahwinan yang berjaya, mengapa masih terdapat banyak perkahwinan yang gagal? Adakah terlalu sukar untuk kita menjadi baik terhadap insan yang kita sanggup hidup bersama-samanya sepanjang hayat kita?

Saya percaya, tiada orang waras yang bernikah dengan niat untuk menyakiti pasangannya. Sebaliknya, kurangnya sentuhan kebaikan sebenarnya berpunca dari ketidakpekaan kita ketika bertindak kurang baik (budiman) terhadap pasangan, terutamanya saat kita dikuasai oleh emosi yang tidak terkawal.

Adakalanya, menjadi baik bukanlah pilihan yang mudah, meskipun ketika kita berada dalam keadaan tenang. Sungguhpun begitu, dalam banyak suasana, bersikap baik adalah tindakan bijak lagi tepat.

Buku ini memandu anda untuk memanfaatkan kebaikan anda dalam usaha memenangi hati dan minda insan yang paling penting dalam hidup anda. Ia menggariskan warna-warni kebaikan yang utama dalam melayari bahtera perkahwinan anda, kini dan akan datang. Buku ini juga mempersembahkan pengalaman-pengalaman sebenar, disertai dengan tips dan cadangan bagi alternatif yang lebih baik.

Saya lampirkan juga Soal Selidik Perkahwinan yang saya bina dan gunakan dalam penyelidikan di bahagian apendiks buku ini.

Akhir kata, untuk manfaat pembaca yang masih belum berkahwin dan sedang mencari-cari pasangan hidup sebenar, saya sertakan juga bahagian bonus di akhir buku ini yang bertajuk “Fikir Sejenak Sebelum Berkata ‘Aku Terima’.” Di sini anda akan temui idea-idea yang boleh menjernihkan pemikiran anda dalam usaha mencari sahabat sejati merangkap pasangan anda. Semoga berjaya dan selamat membaca!

~ Jamilah Samian ~

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

BACA PETIKAN

LANGKAH SATU

Fahami Mengapa Kebaikan Adalah Raja:

Pilihlah Untuk Menjadi Baik (Budiman) Walaupun Sukar

 

Adakah Kebaikan Akan Sentiasa Menang?

Jom kita mulakan dengan beberapa soalan penting: Bolehkah kebaikan menjadi ubat bagi setiap perkahwinan yang tidak bahagia? Bolehkah kebaikan menyembuhkan hati-hati yang terluka disebabkan masalah dalam rumahtangga? Adakah kebaikan akan sentiasa menang?

Sejujurnya, tidak.

Kisah Fatimah di bawah menggambarkan contoh sebenar dalam kehidupan apabila kebaikan bukan semestinya penyelesaian jangka panjang bagi sesuatu isu dalam perkahwinan. Anda akan dapati bahawa Fatimah melihat pada gambaran besar sesuatu situasi. Ini penting walaupun adakalanya kebaikan bukanlah resepi bagi sebuah kejayaan.

Kami baru berkahwin. Dalam perjalanan untuk menghabiskan percutian kami, saya dapati suami pernah ke Vietnam beberapa minggu sebelumnya tanpa pengetahuan saya. Kami ‘berkonfrontasi’ sepanjang berada di dalam kapal terbang. Saya juga mendapat tahu dia ke sana untuk bertemu dengan seorang wanita.

Dia berkeras tiada apa-apa yang berlaku. Tidak mungkin saya dapat tahu perkara sebenar.

Setibanya kami di destinasi yang dituju, saya sudah dikuasai oleh perasaan marah dan rasa dikhianati. Tetapi, sampai satu saat, saya tersedar kami berdua berada di pulau yang sungguh indah ini, dan kami akan ‘terperangkap’ di sini, berdua untuk beberapa hari lagi, sama ada saya suka ataupun tidak. Saya ada dua pilihan. Saya boleh bermasam muka, merajuk . . . atau saya boleh cuba memaafkan dia, menghabiskan masa bergembira dan membina semula perhubungan kami.

Saya pilih yang kedua. 

Akhirnya, perkahwinan kami gagal juga. Tapi bukanlah bermakna saya tidak cukup berusaha mempertahankannya.

Terdapat beberapa situasi apabila kebaikan bukanlah suatu kewajaran, terutamanya apabila salah seorang daripada pasangan memang tidak bertanggungjawab. Antaranya ialah terlibat dengan ketagihan dadah dan arak, penderaan, kegagalan menyediakan keperluan asas ataupun kecurangan pada awal perkahwinan, seperti dalam kisah Fatimah tadi.

Buku ini tidak menjanjikan penyelesaian bagi setiap isu dalam perkahwinan. Perkahwinan boleh jadi sangat mengelirukan. Kemungkinan juga, situasi tidak bahagia yang sedang anda hadapi dalam perkahwinan kini, adalah sesuatu yang berada jauh dari skop perbincangan buku ini. Namun, saya percaya bagi kebanyakan kita, perkahwinan itu akan bertahan lama dan kukuh sekiranya salah seorang antara pasangan mempunyai lebih sifat budiman atau baik hati.

Dalam Kebanyakan Perhubungan, Kebaikan Adalah Raja

“Kebaikan adalah bahasa yang boleh didengari oleh si pekak dan boleh dilihat oleh si buta.”  – Madah Pujangga

Katakanlah pada saat ini, anda merasakan bahawa perkahwinan anda telah hilang kemanisannya. Anda tidak lagi tertarik kepada pasangan anda, tiada apa lagi yang boleh diharapkan dalam perkahwinan ini dan lebih teruk lagi jika anda merasakan bahawa perkahwinan ini ialah batu penghalang kebahagiaan anda.

Apa yang akan anda lakukan? Perlukah anda terus bertahan? Atau wajarkah anda mengalah saja? Buku ini mengharapkan agar anda memberi satu lagi peluang terhadap perkahwinan anda. Pertimbangkanlah kebaikan sebagai penawarnya.

Rasa senang terhadap kebaikan sebenarnya merentasi generasi, kepercayaan dan warna kulit. Anda sendiri mungkin turut merasainya. Saudara atau sahabat, lelaki atau wanita, dari pelbagai peringkat usia dan tahap, menyukai kebaikan.

Cuba lihat pada perhubungan yang berjaya antara seorang lelaki dengan seorang wanita, kebaikan sememangnya mempunyai peranan yang cukup penting.

Hilangkan kebaikan dari perhubungan itu dan lama-kelamaan perhubungan itu akan semakin layu. Kebaikan ialah rahsia untuk menakluki hati seorang insan – lelaki atau perempuan, saudara atau sahabat.

Ajaibnya Kebaikan

“Kebaikan yang berterusan boleh mencapai banyak perkara. Bagaikan matahari yang mencairkan ais, kebaikan boleh menjadikan salah faham, hilang kepercayaan dan kejahatan menghilang.”  – Madah Pujangga

Sungguh benar! Setiap tindakan baik yang anda lakukan membuka pintu-pintu kebaikan dan kepercayaan.

Sekiranya kegagalan mencelah antara anda dan si dia, anda tidak dapat mengubah dirinya. Tetapi anda boleh mengubah diri anda, ya diri ANDA.  Cara anda bercakap, cara anda menyampaikan buah fikiran. Tanyalah diri anda: Bagaimana saya boleh menyampaikan perkara ini kepadanya supaya dia dapat melihat dan melakukannya dengan lebih baik lagi?

Hubungan yang indah adalah tentang memenangi hati, bukan memenangi pertengkaran. Juga tentang berlumba-lumba melakukan kebaikan terhadap pasangan. Lebih tentang “Apakah sumbangan saya terhadap perkahwinan ini?” Dan juga “Apakah yang boleh saya lakukan untuk kamu?”, kurang berkenaan “Apakah  yang boleh kamu lakukan untuk saya?”

Jom kita sama-sama meneroka cara-cara spesifik dan praktikal bagaimana anda boleh memilih kebaikan untuk pasangan anda demi kejayaan dan kebahagiaan sebuah perkahwinan.

Jom kita ambil sedikit masa untuk memahami konsep penting, yang apabila difahami, akan menjadikan fikiran anda lebih jelas dan lebih bermotivasi untuk bertindak dengan kebaikan, tindakan yang sebelum ini mungkin samar-samar bagi anda.

Hakikatnya, kebaikan adalah pilihan yang anda buat setiap hari.

Bagaimana jika anda masih belum berkahwin? Bab bonus di penghujung buku ini memberi beberapa panduan untuk dipertimbangkan sebelum anda mengambil keputusan untuk berkahwin. Sementara itu, teruskan membaca! Terlalu banyak perkahwinan yang gagal kerana kita kurang maklum betapa kebaikan yang  berterusan boleh memberi perbezaan yang nyata dalam jangka masa panjang.

Seperti yang disebut pada awal buku ini, kebaikan boleh menjadi kayu ukur paling kuat dalam kejayaan perkahwinan yang bertahan lama.

Beberapa perkara yang boleh menimbulkan rasa cemburu dalam hati seorang lelaki atau wanita yang telah berkahwin bukan sahaja terletak pada barangan berjenama yang dipakai orang, atau percutian mewah yang mampu dinikmati oleh jiran.

Sebaliknya, rasa cemburu itu timbul lebih-lebih lagi apabila mendengar sikap atau tindakan baik yang dilakukan oleh seseorang yang sudah berkahwin terhadap pasangannya. Cuba pertimbangkan tips pantas ini untuk memenangi hati pasangan anda dengan kebaikan:

  • Jadilah seorang yang sensitif. Ini boleh bermaksud tidak menonton video di YouTube. Sebaliknya, bantulah pasangan membersihkan meja selepas makan malam.  Boleh juga bermaksud, mengambil peduli tentang baju kotor yang bertimbun. Campakkan sahaja ke dalam mesin basuh supaya anda dan si dia boleh menghabiskan masa selama setengah jam bersama-sama.
  • Jagalah lidah anda. Ini boleh bermaksud menahan diri dengan menutup mulut anda. Lawanlah keinginan untuk mengungkit masa lalu yang telah dilupakannya. Boleh juga bermaksud tidak senang-senang berkata, “Ini semua salah awak” apabila si dia melakukan kesilapan. Atau boleh juga dengan menahan diri dari meluahkan kemarahan ketika anda dikuasai amarah. Tunggulah masa yang sesuai supaya anda berdua dapat duduk bersama dan berbincang.
  • Berkongsi pujian dan berkongsi rasa bersalah. Bahagian yang pertama itu mudah. Siapa yang tidak mahu dipuji bagi satu pekerjaan yang dilakukan dengan baik? Bahagian yang kedua itu agak mencabar. Ia melibatkan ego dan harga diri anda. Jika satu masa nanti berlaku sesuatu kesilapan, terimalah bahagian anda untuk berkongsi rasa bersalah itu. Perhubungan anda akan menjadi lebih intim. Cubalah. Anda pasti melihat perubahannya.

Anda dan pasangan adalah anugerah Tuhan kepada satu sama lain. Tuhan memberikan kita apa yang kita perlukan, bukan apa yang kita kehendaki. Anda dan pasangan anda berkongsi kisah silam yang berharga.  Tidak kisahlah bagaimana pun keadaan perhubungan anda ketika ini, perkahwinan anda telah menyatukan anda berdua.

Di manakah Kesesuaian Cinta Ini?

“Mencintai itu tiada apa-apa. Dicintai itu cukup bermakna. Mencintai dan dicintai adalah segala-galanya.”  –  Madah Pujangga

Biarlah saya buat pengakuan di sini. Saya seorang peminat tegar CINTA. Iaitu seorang lelaki dan wanita saling mencintai, melafazkan ijab dan kabul dan hidup bahagia selama-lamanya.

Kajian yang saya jalankan untuk menghasilkan buku ini tambah menguatkan kepercayaan saya bahawa anda masih boleh mencintai pasangan anda sedalam-dalamnya meskipun anda telah berkahwin bertahun-tahun lamanya.

Saya tidak maksudkan cinta yang hanya berkitar di sekeliling rasa selesa: anda buat sebahagian kerja dan saya buat bahagian saya; kita berkongsi tugas seperti yang lazim dilakukan rakan sebilik.

Saya maksudkan, cinta yang menjadikan anda ternanti-nanti untuk bertemu dan bercakap-cakap dengan pasangan anda setiap hari.

Mungkin anda sedang melalui saat sukar dalam perkahwinan anda. Boleh jadi, anda telah berkahwin bertahun-tahun lamanya dengan seseorang yang anda sangkakan satu-satunya teman sehidup semati anda.

Satu masa dahulu, sebelum berkahwin, atau pada masa awal perkahwinan, anda ada terlalu banyak perkara yang hendak diceritakan kepada pasangan. Walau bagaimanapun, atas sebab tertentu yang anda sendiri kurang faham, anda berdua semakin lama semakin menjauh. Tiada lagi rasa cinta. Sekiranya perkara ini benar, saya berharap buku ini dapat merapatkan anda dan pasangan semula dan menghidupkan kembali rasa cinta yang telah hilang.

Sudah-sudahlah Dengan Dongeng Itu

Mari kita mulakan dengan membongkar tiga dongeng dalam cinta dan perkahwinan:

Dongeng Nombor 1: Cinta itu penuh misteri. Anda takkan boleh menyuburkannya.

Dongeng Nombor  2: Anda mestilah sempurna untuk dicintai dan bahagia dalam perkahwinan.

Dongeng Nombor 3: Keajaiban cinta takkan kekal.

Dongeng Nombor 1: Cinta Itu Penuh Misteri. Anda Takkan Boleh Menyuburkannya

Soal bagaimana dan mengapa sepasang lelaki dan wanita boleh saling mula jatuh cinta masih belum terjawab.

Cuma, sekali anda telah jatuh cinta, menyuburkan cinta dan terus bercinta bukanlah sesuatu yang misteri.

Kebaikan memainkan peranan yang besar dalam menyuburkan cinta antara anda dan pasangan. Menyuburkan cinta samalah dengan menyuburkan sepohon pokok. Seperti air, tanah, cahaya matahari dan baja menyuburkan pokok, begitulah juga keadaannya dengan kata-kata dan tindakan baik yang menjadikan perkahwinan anda kuat, bahagia dan dipenuhi cinta.

Dongeng Nombor  2: Anda Mestilah Sempurna Untuk Dicintai Dan Bahagia Dalam Perkahwinan   

Pasangan berkahwin yang bahagia adalah sama seperti anda dan saya. Tidak sempurna.

Mereka tidak lari dari masalah hidup. Mereka tidak mempunyai kehidupan yang sempurna. Adakalanya, pasangan bahagia diuji dengan kesempitan wang, dipecat dari kerjaya impian, mempunyai mertua-ipar duai yang tidak bertimbang rasa, menghadapi kereta rosak dan mempunyai anak-anak yang menjerit dan meragam di pasaraya.

Sesetengah wanita yang bahagia dalam perkahwinan mungkin melalui sindrom pra-menstruasi, kemungkinan tidak pandai memasak dan tidak memiliki potongan badan seperti Ratu Dunia. Hakikatnya, sesetengah wanita yang bahagia dalam perkahwinan adalah pendek, gemuk dan sedang melalui simptom-simptom menopos ketika anda asyik melayari buku ini.

Lelaki yang bahagia dalam perkahwinan tidak semestinya memiliki dompet yang penuh, perut yang kempis atau rupa paras yang boleh mencairkan hati seorang wanita.

Malah, sesetengah lelaki yang bahagia dalam perkahwinan menghadapi masalah rambut gugur sehinggakan dalam tempoh yang singkat, mereka bakal menambah statistik lelaki botak yang bahagia.

Tinggal di dalam rumah agam yang dilengkapi dengan pelayan 24 jam bukanlah juga prasyarat untuk kekal bahagia dalam perkahwinan. Betul, duit yang banyak ada kelebihannya, namun bukanlah sepanjang masa. Kebaikan bermaksud menerima segala kekurangan pasangan anda, di samping menyedari bahawa anda juga tidak lari dari kelemahan dan kesilapan.

Dongeng Nombor 3: Keajaiban Cinta Takkan Kekal

Kita sering terbaca dalam akhbar tentang selebriti yang mengambil keputusan untuk berpisah dengan pasangan masing-masing atas alasan ‘tidak serasi’. Kita juga melihat jiran, ahli keluarga dan rakan-rakan yang kekal berkahwin hanya atas ikatan tanggungjawab semata-mata.

Dalam perkahwinan sebegini, suami dan isteri melalui saat-saat kehidupan yang membosankan (boleh dikatakan sebagai rutin). Mereka tidak memandang atau bercakap dengan satu sama lain dalam bahasa yang mesra. Seolah-olah kasih sayang makin pudar seiring dengan bertambahnya tempoh perkahwinan.

Walau bagaimanapun, terdapat pelbagai kajian kukuh yang dijalankan oleh pakar-pakar, yang membuktikan bahawa terdapat sebilangan pasangan suami isteri yang masih intim dalam perhubungan meskipun perkahwinan mereka telah menjangkau puluhan tahun.

Keajaiban cinta dalam perkahwinan boleh kekal selama-lamanya jika anda tahu cara untuk menyuburkannya dengan kebaikan. Lebih menarik, kajian ini melibatkan bilangan suami isteri yang agak besar. Kenapa anda tidak pernah mendengar tentang hal ini? Kerana kekal bahagia selama puluhan tahun dalam perkahwinan bukanlah berita panas yang sering dilaporkan media.

Contoh: Ada sepasang suami isteri yang telah berkahwin berdekad lamanya. Setiap malam, si suami akan menjadikan lengannya sebagai bantal untuk si isteri. Dia akan berbisik pada isterinya, “Sayangku, ini adalah saat paling bahagia bagiku untuk hari ini.”

Alangkah bahagianya si isteri tersebut! Tentunya ada saja kesilapan yang dibuat oleh si isteri sepanjang hari. Begitu juga si suami; mustahil jika tiada kesalahan yang dilakukan. Namun kedua-duanya memilih untuk tidak menjadikan kekurangan ini menjadi jurang pemisah antara mereka. Demikianlah ajaibnya kebaikan dalam memupuk cinta suami isteri.

Jika ini bukan kebaikan, saya pun tidak tahu apakah sebenarnya ia.

Bercakap dengan pasangan anda dalam nada suara yang lembut adalah suatu bentuk kebaikan yang tidak memerlukan usaha yang besar, tetapi sudah pasti akan mendapat pulangan yang setimpal daripada si dia.

Hakikatnya, sukar untuk mempertahankan hubungan suami isteri yang intim dan segar untuk jangka masa yang lama sekiranya kebaikan tidak disertakan bersama.

Cinta itu ibarat pengikat kesetiaan suami dan isteri. Apabila wujudnya cinta, berjumpa dan melihat pasangan anda setiap hari menjadi satu keutamaan untuk anda.

Cinta menjadikan anda berasa selesa untuk menyatakan apa yang anda fikirkan kepada si dia, tanpa risau disalahertikan.

Cinta juga menyebabkan anda dan pasangan boleh berkongsi tawa dalam apa juga keadaan yang mungkin langsung tidak dapat difahami oleh orang lain.

Buatlah Keputusan Untuk Memiliki Perkahwinan Yang Bahagia

Pasangan bahagia mempunyai minda yang berbeza berbanding pasangan yang kurang bahagia.  Pasangan bahagia faham dan menerima sepenuhnya bahawa perkahwinan adalah komitmen. Apabila diuji dengan masalah, pasangan bahagia dapat menghadapinya tanpa merungut. Sekiranya keadaan bertambah buruk, mereka akan berbincang, bukan mengelak atau mengabaikannya.

Bagi pasangan bahagia, “komitmen” bermaksud “Jom lakukan semua yang boleh untuk menjayakan perkahwinan kita,” bukan “Ok, saya akan cuba. Kita tengoklah berjaya atau tidak nanti.”

Tanggapan dan tindakan mereka berbeza bila timbul masalah dalam hidup.

Malah, sesetengah pasangan bahagia menghadapi lebih banyak cabaran dalam hidup berbanding anda dan saya.

Bunyinya macam remeh, tetapi, benar, pasangan bahagia sebenarnya membuat keputusan untuk memiliki perkahwinan yang bahagia. Mereka sebenarnya telah berazam untuk menjadikannya satu kenyataan.

Fahamilah bahawa pasangan yang kekal bahagia selama bertahun-tahun bukanlah semata-mata kerana nasib. Mereka berjaya kerana mereka ada kesungguhan untuk menjadikan perkahwinan itu bahagia.

Setiap perkahwinan ada isu dan cabaran yang unik. Tiada dua perkahwinan yang sama. Anda harus memberi masa dan berusaha untuk menganalisa perkahwinan anda, jujur dengan diri sendiri dan melakukan apa yang perlu bagi meningkatkan kualiti perkahwinan anda.

Adakalanya, anda tidak perlu melakukan sesuatu yang baru tetapi lebih kepada melihat sesuatu dari perspektif yang lebih segar. Kebolehan melihat sesuatu dari sudut yang berbeza boleh menyelesaikan sesetengah isu yang sukar dan menjadikan keadaan lebih baik.

 [Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

SINOPSIS

Menabung Simpanan Cinta Anda 

Jatuh cinta itu satu misteri. Tetapi menyemarakkan cinta lain pula. Keajaiban cinta boleh kekal selama-lamanya sekiranya anda tahu bagaimana menyuburkannya dengan kebaikan. Memupuk cinta samalah seperti anda menanam sepohon pokok. Kata-kata dan tindakan yang baik  mengukuhkan perkahwinan dan menjadikannya lebih bahagia ibarat air, tanah dan matahari yang menyuburkan pokok.

Ajaibnya Kebaikan adalah mengenai cinta dalam sebuah perkahwinan; bagaimana mencarinya, bagaimana menyuburkannya, bagaimana mengekalkannya. Cabaran terbesar dalam sebuah perkahwinan ialah bagaimana untuk jatuh cinta berkali-kali dengan orang yang sama pada setiap hari. Anda tidak perlu menjadi sempurna untuk dicintai dan bahagia dalam perkahwinan. Tetapi, anda perlu memahami bahasa kebaikan untuk bahagia dalam perkahwinan yang anda harapkan.

Terokai:

√     Mengapa kebaikan dianggap raja bagi lelaki dan wanita

√     Strategi untuk bertahan dalam setiap tahap perkahwinan

√     Titik buta yang boleh menggugat perkahwinan anda

√     Cara memenangi hati mertua

√     Tindakan mudah kebaikan yang boleh menambah akaun bank cinta anda

√     Bagaimana mengatasi jurang antara introvert dan ekstrovert

√     Rahsia untuk lebih baik dalam menangani konflik

√     Tips untuk menangani kebosanan dan ego

√     Perspektif seorang lelaki tentang kebaikan

 

[Go back to Top of Page]

…………………………………………………………………………………………………………….. 

ULASAN BUKU

“Perkara yang saya paling suka tentang buku ini ialah, ia memberi fokus  pada apa yang berada dalam kawalan kita. Kebaikan adalah di bawah kawalan kita. Oleh itu, jadilah seorang yang baik. Sangat positif, mudah diimplementasi dan mesej yang kuat.” ~ Mirza Yawar Baig, Pengasas Yawar Baig & Associates

“Jamilah Samian menawarkan  nasihat yang bijaksana dan praktikal, serta senario kehidupan sebenar, menjadikan buku ini sesuai bukan sahaja untuk pasangan yang sedang menghadapi masalah, tetapi paling penting untuk mereka yang merancang untuk berkahwin, dan juga yang baru berkahwin.” ~ Brigitte Rozario, Penulis dan Wartawan

[Go back to Top of Page]

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top