[Read English version]
SKIP
Apabila berlaku tragedi yang melibatkan anak-anak, kita mudah mencari siapa yang harus dipersalahkan. Tetapi kalau kita benar-benar mahu mengurangkan risiko kejadian seperti ini berulang, menuding jari sahaja tidak cukup. Kita juga perlu melihat bagaimana kita membesarkan, membimbing dan melindungi anak-anak.
Setiap kali berlaku tragedi yang melibatkan anak-anak, hati kita tersentak. Kita sedih, terkejut dan marah. Lebih menyayat hati apabila seorang anak kehilangan nyawa dan seorang lagi remaja disyaki terlibat dalam kematiannya.
Kematian seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun di Batu Pahat baru-baru ini, selepas satu lagi tragedi di sekolah yang turut meragut nyawa seorang remaja perempuan membuatkan kita sekali lagi tertanya-tanya: Bagaimana perkara seperti ini boleh berlaku? Lebih-lebih lagi di Malaysia, yang masyarakatnya pada umumnya dikenali sebagai lemah lembut, baik hati dan ramah. Adakah terdapat tanda-tanda awal yang tidak disedari? Adakah sesuatu boleh dilakukan lebih awal? Apa yang boleh kita lakukan untuk mengelakkan perkara ini berulang?
Tidak lama kemudian, bermulalah tuding-menuding. Sekolah dipersalahkan. Guru dipersoalkan. Kementerian Pendidikan dan kerajaan turut menjadi sasaran. Ada yang mempersoalkan pengawasan dan keselamatan di sekolah. Ada juga yang mendesak pihak tertentu meletakkan jawatan.
Saya faham ledakan kemarahan itu. Apabila sesuatu yang begitu buruk berlaku kepada seorang anak, sudah tentu kita mahukan jawapan. Kita mahu tahu apa yang sebenarnya berlaku dan siapa yang perlu bertanggungjawab. Tetapi menuding jari tidak akan mengembalikan anak-anak yang telah pergi. Ia juga tidak semestinya dapat mengurangkan risiko tragedi yang sama berulang.
Ini tidak bermakna kita harus berdiam diri jika berlaku kecuaian. Jika ada pihak yang cuai, perkara itu mesti disiasat dan tindakan perlu diambil. Jika ada kelemahan dalam sistem, kelemahan itu mesti diperbaiki. Tetapi ada bezanya antara menuntut pertanggungjawaban dengan sekadar mencari siapa yang hendak dipersalahkan. Kita perlu tahu apa yang berlaku, mengapa ia berlaku dan apa yang perlu diperbaiki supaya perkara yang sama tidak berulang.
Dalam kita sibuk mencari jawapan, jangan kita lupa kepada keluarga yang terlibat. Hati saya bersama ibu bapa yang kehilangan anak. Tiada ibu bapa menghantar anak ke sekolah dengan menyangka bahawa anak itu tidak akan pulang lagi. Sukar untuk kita bayangkan kesedihan mereka, persoalan yang mungkin terus bermain di fikiran dan segala “kalau” yang mungkin menghantui mereka.
Saya juga terfikir tentang ibu bapa kepada remaja yang dituduh melakukan perbuatan tersebut. Bayangkan mendapat tahu bahawa anak yang kita besarkan dengan penuh kasih sayang dan harapan disyaki telah meragut nyawa orang lain. Dalam keadaan terkejut dan sukar mempercayai apa yang berlaku, mungkin timbul pula satu persoalan yang amat berat: Di mana silap kami?
Sudah tentu penderitaan kedua-dua keluarga ini tidak sama. Bersimpati terhadap satu pihak tidak bermakna kita mengurangkan beratnya kehilangan yang ditanggung oleh pihak yang lain. Belas kasihan juga tidak bermakna kita memaafkan perbuatan yang salah atau mengetepikan keadilan. Namun, saya percaya tiada ibu bapa yang membesarkan anak dengan harapan anak itu akan menyakiti orang lain. Kita membesarkan anak-anak dengan harapan dan impian. Kita mahu mereka menjadi orang yang baik, bertanggungjawab dan prihatin terhadap orang lain. Malangnya, kasih sayang dan niat yang baik sahaja tidak menjamin bahawa anak-anak akan sentiasa membuat pilihan yang betul.
Sebab itu, ada satu lagi persoalan yang perlu kita fikirkan: Sudahkah kita memberikan ibu bapa ilmu dan kemahiran yang mereka perlukan untuk membesarkan anak-anak dalam dunia yang semakin mencabar?
Anak-anak Kita Membesar dalam Dunia yang Berbeza
Kita selalu mendengar ungkapan bahawa untuk membesarkan seorang anak, kita memerlukan seluruh masyarakat. Namun, “masyarakat” yang mempengaruhi anak-anak hari ini jauh lebih luas daripada kawasan kejiranan mereka. Selain ibu bapa, guru dan rakan-rakan, mereka turut dipengaruhi oleh selebriti, pempengaruh dalam talian, komuniti permainan digital, media sosial dan algoritma yang menentukan apa yang muncul di skrin mereka. Ada pengaruh yang baik, tetapi ada juga yang boleh membuatkan keganasan, kekejaman, perbandingan yang tidak sihat dan tingkah laku berbahaya kelihatan seperti perkara biasa.
Dahulu, ibu bapa biasanya tahu anak mereka berada di mana dan dengan siapa mereka berkawan. Hari ini, seorang anak boleh duduk di dalam bilik sendiri sambil berbual dengan orang yang tidak dikenali dari negara yang jauh. Mereka mungkin melihat kandungan yang mengganggu emosi atau menerima pelbagai idea yang langsung tidak diketahui oleh ibu bapa. Sama ada kita suka atau tidak, dunia digital sudah masuk ke dalam rumah kita.
Kadangkala kita tidak sedar betapa kuatnya pengaruh dunia digital terhadap cara anak-anak berfikir, merasa dan bertindak. Media sosial, permainan dalam talian dan komuniti maya bukan sekadar tempat mereka mencari hiburan. Semua ini boleh mempengaruhi hubungan, nilai, identiti dan cara mereka melihat dunia.
Algoritma menjadikan keadaan lebih rumit. Apabila anak-anak kerap melihat atau berinteraksi dengan sesuatu jenis kandungan, mereka mungkin akan disajikan dengan lebih banyak kandungan yang serupa. Lama-kelamaan, pendedahan yang berulang boleh menguatkan pandangan atau kepercayaan tertentu tanpa mereka sendiri sedar bagaimana apa yang mereka lihat dalam talian sedang dipilih untuk mereka.
Sudah tentu, bukan semua yang ada dalam dunia digital itu buruk. Internet juga membuka ruang untuk belajar, berkarya, berkawan dan mengembangkan potensi. Cabarannya bagi ibu bapa ialah memahami manfaatnya tanpa menutup mata terhadap risikonya.
Kajian oleh Mohamed, Wan Ghazali dan Mohd Nasir (2024) terhadap 645 ibu bapa di Malaysia memberikan sedikit gambaran tentang perkara ini. Ibu bapa mengakui bahawa media digital membantu dalam pembelajaran dan komunikasi, tetapi pada masa sama mereka bimbang tentang penggunaan skrin yang berlebihan, kandungan yang tidak sesuai dan kurangnya aktiviti fizikal. Kajian itu juga mendapati pandangan ibu bapa berbeza mengikut beberapa faktor, termasuk tahap pendidikan, pendapatan dan usia anak. Ini menunjukkan bahawa tidak semua keluarga mempunyai pengetahuan, kemudahan atau keyakinan yang sama untuk berdepan dengan dunia digital.
Namun, ada satu perkara yang lebih membimbangkan saya: Mungkinkah kita sebenarnya tidak tahu sepenuhnya apa yang anak-anak kita alami dalam talian?
Sejauh Mana Kita Benar-benar Tahu?
Mari kita lihat dua kajian di Malaysia tentang buli siber. Mohd Fadhli dan rakan-rakan (2022) mengkaji 1,290 remaja sekolah menengah berusia 13 hingga 17 tahun di Semenanjung Malaysia. Mereka mendapati bahawa 13.7 peratus pernah mengalami buli siber. Itu kira-kira seorang daripada setiap tujuh remaja.
Dalam kajian lain yang melibatkan 522 ibu bapa pelajar sekolah menengah di Selangor, Ghazali dan rakan-rakan (2025) mendapati bahawa hanya 2.5 peratus ibu bapa melaporkan anak mereka pernah mengalami buli siber. Itu kira-kira seorang daripada setiap 40 ibu bapa. Menurut penyelidik, angka yang rendah itu mungkin disebabkan kes yang tidak dilaporkan atau ibu bapa sendiri tidak menyedarinya.
Kedua-dua angka ini tidak boleh dibandingkan secara langsung kerana kajian tersebut melibatkan responden, tempat dan kaedah yang berbeza. Ibu bapa dalam satu kajian juga bukan ibu bapa kepada remaja dalam kajian yang satu lagi. Jadi, kita tidak boleh membuat kesimpulan bahawa perbezaan angka itu menunjukkan berapa ramai ibu bapa yang tidak tahu apa yang dialami oleh anak mereka.
Namun, apabila kita melihat kedua-dua dapatan ini, ada satu soalan yang wajar ditanya: Sejauh manakah kita benar-benar tahu apa yang anak-anak kita lalui dalam talian?
Mungkin anak-anak tidak menceritakan semuanya kerana takut dimarahi. Mungkin mereka bimbang telefon akan dirampas atau mereka pula yang dipersalahkan kerana berada dalam talian. Mungkin mereka merasakan kita tidak akan faham. Atau mungkin kita sendiri tidak tahu apa yang patut ditanya.
Kita mungkin menetapkan had masa skrin dan sekali-sekala memeriksa telefon mereka. Tetapi sejauh mana kita tahu dengan siapa mereka berinteraksi, apa yang mereka lihat, tekanan yang mereka hadapi dan perkara yang mereka takut untuk ceritakan? Kita mungkin tahu anak kita berada di mana, tetapi adakah kita tahu apa yang sedang mereka lalui?
Jadi, isu ini bukan sekadar soal memantau penggunaan telefon atau internet. Ia juga soal komunikasi, kepercayaan dan hubungan kita dengan anak-anak.
Tinggal Serumah Belum Tentu Saling Memahami
Sepanjang bekerja dengan ibu bapa, saya melihat ramai yang mula kebingungan apabila anak memasuki usia remaja. Cara yang berkesan ketika anak berusia lima tahun tidak semestinya berkesan apabila dia berusia lima belas tahun. Tetapi kadangkala kita masih menggunakan cara yang sama, kemudian kecewa apabila anak tidak lagi memberi respons seperti dahulu.
Anak yang dahulunya tidak berhenti bercerita kini hanya menjawab sepatah dua kata. Perbualan mudah bertukar menjadi pertengkaran. Ibu bapa kata anak sudah tidak mahu mendengar. Anak pula kata ibu bapa tidak memahami mereka. Akhirnya, kedua-dua pihak berasa seperti bercakap tetapi tidak didengari.
Bukan kerana ibu bapa tidak sayang. Kebanyakan ibu bapa bekerja keras untuk memberikan yang terbaik kepada anak-anak. Kita sediakan makan minum, pakaian, pendidikan dan pelbagai peluang. Ramai yang sanggup mengetepikan kehendak sendiri demi masa depan anak.
Tetapi menyediakan segala keperluan anak tidak semestinya bermakna kita benar-benar mengenali mereka.
Kita mungkin tinggal serumah, makan semeja dan bertemu setiap hari. Namun, adakah kita tahu siapa sahabat rapat mereka? Apa yang sedang merisaukan mereka? Apa yang mereka lihat di internet? Siapa yang mereka cari apabila mereka mempunyai masalah?
Seorang remaja boleh duduk di ruang tamu, hanya beberapa meter daripada ibu dan ayah, tetapi mencurahkan isi hati kepada seseorang di alam maya yang langsung tidak dikenali oleh ibu bapanya.
Kajian Aini dan rakan-rakan (2024), yang melibatkan temu bual dengan 20 ibu bapa Muslim di Semenanjung Malaysia, mendapati bahawa ibu bapa menggunakan pelbagai cara untuk berkomunikasi dengan anak remaja. Antaranya ialah meluangkan masa bersama, memberi bimbingan secara berterusan, menunjukkan contoh yang baik, menerapkan nilai agama dan menggunakan media digital untuk terus berhubung. Pada masa yang sama, ibu bapa turut berdepan dengan kekangan masa, pengaruh luar dan kesukaran memahami anak remaja.
Dapatan ini mengingatkan kita bahawa komunikasi yang baik tidak berlaku dengan sendirinya. Kita perlu berusaha untuk membinanya. Berkomunikasi dengan anak bukan sekadar memberi arahan, bertanya tentang kerja sekolah atau mengingatkan mereka tentang tanggungjawab. Apabila anak semakin besar, cara kita mendidik dan bercakap dengan mereka juga perlu berubah. Kita tidak boleh melayan anak berusia 16 tahun seperti dia masih berusia enam tahun.
Remaja semakin memerlukan kebebasan untuk membuat pilihan sendiri, tetapi mereka masih memerlukan bimbingan. Mereka memerlukan batas, tetapi mereka juga perlu memahami sebab di sebalik batas itu. Mereka perlukan ibu bapa yang sanggup mendengar walaupun tidak bersetuju.
Yang paling penting, mereka perlu tahu bahawa apabila ada masalah, mereka boleh datang kepada kita tanpa takut terus dimarahi, dimalukan atau dihukum.
Jika setiap kali anak menceritakan sesuatu yang sukar, reaksi pertama kita ialah marah atau menghukum, lama-kelamaan mereka mungkin belajar untuk menyembunyikan masalah. Hubungan yang rapat bukan bermakna kita membiarkan anak melakukan apa sahaja yang mereka mahu. Sebaliknya, hubungan yang rapat membina kepercayaan supaya apabila mereka berdepan dengan pilihan yang sukar, kita masih mempunyai ruang untuk membimbing mereka.
Rumah ialah Sekolah Pertama
Kita selalu mengatakan rumah ialah sekolah pertama dan ibu bapa ialah guru pertama. Tetapi pernahkah kita benar-benar memikirkan apa maksudnya?
Sebelum anak-anak mengenal bilik darjah, mereka sudah belajar tentang kasih sayang, hormat, marah, empati, kejujuran dan tanggungjawab. Banyak perkara ini tidak dipelajari melalui nasihat, tetapi melalui apa yang mereka lihat setiap hari.
Anak-anak belajar cara menghadapi perselisihan dengan melihat bagaimana orang dewasa di sekeliling mereka berselisih. Mereka belajar tentang kebaikan daripada cara kita melayan orang lain. Mereka juga belajar cara meluahkan kemarahan dengan melihat bagaimana kita mengendalikan kemarahan kita sendiri.
Kita tidak boleh mengharapkan sekolah mengajar anak supaya menghormati orang lain jika di rumah mereka sering melihat orang lain dihina atau direndahkan. Kita juga tidak boleh menuntut guru membanteras buli jika kita sendiri menganggap perbuatan anak yang menyakiti orang lain sebagai sekadar gurauan.
Ini bukan bermakna setiap anak yang melakukan kesalahan datang daripada keluarga yang bermasalah. Tingkah laku manusia jauh lebih rumit daripada itu. Setiap anak mempunyai sifat, pengalaman dan pengaruh yang berbeza. Banyak perkara juga berada di luar kawalan ibu bapa.
Namun, ibu bapa tetap mempunyai tanggungjawab asas yang tidak boleh diserahkan begitu sahaja kepada sekolah. Empati perlu diajar. Anak-anak perlu dibantu untuk memahami bahawa kata-kata dan perbuatan mereka memberi kesan kepada orang lain. Mereka juga perlu belajar mengurus kemarahan, kekecewaan, rasa cemburu dan penolakan tanpa menyakiti orang lain.
Kita juga perlu mengajar anak menimbang baik buruk sebelum membuat keputusan, bukan sekadar menurut arahan. Anak yang hanya patuh kerana takut mungkin tidak tahu apa yang perlu dilakukan apabila tiada orang dewasa di sisi.
Untuk membimbing, kita juga perlu mendengar. Jika setiap perbualan bertukar menjadi ceramah, lama-kelamaan anak mungkin memilih untuk tidak bercerita. Apabila itu berlaku, kita kehilangan peluang untuk memahami apa yang sedang mereka hadapi dan membantu sebelum masalah menjadi lebih besar.
Ibu Bapa Juga Perlu Belajar
Kita tetap perlu menuntut keselamatan sekolah yang lebih baik, perlindungan murid yang lebih berkesan dan pertanggungjawaban daripada pihak yang berkenaan. Tetapi perubahan dasar mengambil masa. Sementara kita menunggu, anak-anak terus membesar. Keperluan mereka tidak boleh menunggu.
Sebab itu saya percaya pendidikan keibubapaan perlu diberi perhatian yang lebih serius, bukan hanya dicari apabila masalah sudah berlaku.
Cuba kita fikirkan. Guru perlu menjalani latihan sebelum mengajar. Doktor belajar bertahun-tahun sebelum merawat pesakit. Hampir setiap pekerjaan memerlukan ilmu dan persediaan. Tetapi apabila kita menjadi ibu bapa dan memikul tanggungjawab membesarkan seorang manusia, kita sering menganggap kasih sayang, naluri dan pengalaman sendiri sudah mencukupi.
Semua itu penting. Tetapi ia tidak cukup.
Keperluan anak kecil tidak sama dengan anak berusia sepuluh tahun. Cara kita membimbing anak sekolah rendah juga tidak boleh sama dengan cara kita membimbing remaja yang sedang mencari identiti, mula mempersoalkan banyak perkara dan mahukan lebih kebebasan.
Ibu bapa perlu memahami perubahan ini. Kita perlu tahu bagaimana hendak bercakap dengan anak mengikut usia mereka, menetapkan batas yang munasabah, menangani konflik dan sedikit demi sedikit memberi ruang kepada mereka untuk belajar bertanggungjawab terhadap pilihan sendiri.
Hari ini, ibu bapa juga perlu celik digital. Tahu menggunakan telefon pintar tidak bermakna kita memahami dunia digital anak-anak. Kita perlu tahu bagaimana algoritma, media sosial, pempengaruh dan komuniti dalam talian boleh mempengaruhi apa yang mereka fikir, rasa dan lakukan.
Kajian Mohamed dan rakan-rakan (2025) tentang satu inisiatif keibubapaan digital yang dibangunkan mengikut konteks budaya Malaysia turut menunjukkan keperluan ini. Kajian yang melibatkan tinjauan terhadap 240 ibu bapa serta perbincangan kumpulan fokus mendapati bahawa ibu bapa menghadapi kesukaran mengurus masa skrin, risiko dalam talian dan kandungan berbahaya. Mereka juga memerlukan bahan yang praktikal dan mudah digunakan, seperti bahan visual yang ringkas, sesi soal jawab bersama pakar, panduan mengikut usia anak dan peluang untuk belajar daripada ibu bapa lain.
Bagi saya, ini menunjukkan bahawa masalahnya bukan semestinya ibu bapa tidak mahu belajar. Kadangkala mereka tidak tahu di mana hendak mendapatkan maklumat yang sesuai, atau mereka memerlukan panduan yang lebih praktikal dan mudah digunakan dalam kehidupan seharian.
Malangnya, pendidikan keibubapaan masih sering dicari hanya apabila timbul masalah.
Kita sanggup menghadiri kelas persediaan bersalin dan membaca buku tentang penjagaan bayi. Tetapi berapa ramai antara kita yang mencari ilmu apabila anak berusia sepuluh tahun? Tiga belas tahun? Enam belas tahun?
Pendidikan keibubapaan tidak sepatutnya berhenti apabila anak dilahirkan. Kita perlu terus belajar apabila anak membesar.
Sekolah boleh bekerjasama dengan ibu bapa untuk mengadakan program yang membincangkan masalah sebenar yang mereka hadapi. PIBG pula boleh meluaskan peranannya, bukan hanya membincangkan peperiksaan, kutipan dana atau aktiviti sekolah. Majikan, pertubuhan masyarakat, institusi agama dan agensi kerajaan juga boleh membantu menyediakan pendidikan keibubapaan yang lebih mudah diikuti.
Program seperti ini tidak semestinya rumit atau mahal. Yang penting, ilmu yang diberikan boleh digunakan, sesuai dengan cabaran semasa dan berasaskan pemahaman yang betul tentang perkembangan anak serta hubungan dalam keluarga.
Ibu bapa sendiri juga perlu bersedia untuk belajar. Menghadiri kursus keibubapaan bukan bermakna kita gagal sebagai ibu bapa. Sebaliknya, ia menunjukkan bahawa kita menganggap tanggungjawab membesarkan anak cukup penting untuk kita terus menambah ilmu.
Sudah tentu, pendidikan keibubapaan tidak dapat menjamin bahawa anak-anak tidak akan menghadapi masalah. Ibu bapa yang penyayang, berilmu dan prihatin sekalipun tidak mampu meramal atau mengawal setiap keputusan anak.
Namun, apabila ibu bapa mempunyai ilmu dan kemahiran yang lebih baik, mereka mungkin lebih bersedia untuk mengenal pasti apabila ada sesuatu yang tidak kena, tahu bagaimana hendak bertindak, terus rapat dengan anak dan memberikan bimbingan yang diperlukan. Kita mungkin tidak dapat menghapuskan semua risiko, tetapi kita boleh berusaha untuk mengurangkannya.
Kurangkan Tuduhan, Perbanyakkan Tindakan
Apabila tragedi berlaku, memang wajar kita bertanya apa yang telah berlaku. Soalan-soalan yang sukar perlu ditanya. Jika ada pihak yang mengabaikan tanggungjawab, mereka perlu dipertanggungjawabkan. Tetapi selepas siasatan selesai dan kemarahan orang ramai mula reda, apa pula yang berlaku? Adakah kita kembali kepada kehidupan seperti biasa sehingga satu lagi tragedi menjadi tajuk berita?
Saya berharap tidak.
Jika kita benar-benar mahu melindungi anak-anak, kita perlu melihat lebih jauh daripada satu-satu kejadian. Kita perlu melihat seluruh dunia tempat mereka membesar. Sekolah perlu memastikan persekitaran yang selamat. Pihak berkuasa perlu memperbaiki dasar dan memastikan ia benar-benar dilaksanakan. Masyarakat perlu lebih peka. Platform digital juga perlu mengambil tanggungjawab mereka dengan serius. Dan dalam semua usaha ini, keluarga tidak boleh dilupakan.
Kita tidak boleh menyerahkan semuanya kepada guru. Pada masa yang sama, kita juga tidak boleh meletakkan seluruh tanggungjawab di bahu ibu bapa. Membesarkan dan melindungi anak-anak memerlukan usaha bersama.
Namun, ada satu tempat yang membolehkan kita mula melakukan sesuatu tanpa perlu menunggu dasar baharu atau keputusan kerajaan: rumah kita sendiri.
Kita boleh belajar bercakap dengan anak-anak dengan lebih baik. Kita boleh berusaha memahami dunia mereka, termasuk apa yang berlaku dalam kehidupan digital mereka. Kita boleh mengajar empati, kawalan diri dan cara membuat keputusan dengan bertanggungjawab. Kita boleh menjadi ibu bapa yang lebih mudah didekati supaya apabila anak menghadapi masalah, mereka tahu mereka boleh datang kepada kita.
Dan mungkin yang paling penting, kita perlu berhenti menganggap bahawa sebaik sahaja kita menjadi ibu bapa, kita secara automatik tahu segala-galanya tentang cara membesarkan anak.
Rumah ialah sekolah pertama. Di situlah anak mula belajar bagaimana hendak melayan orang lain, mengurus emosi, menghadapi kekecewaan dan membezakan yang betul daripada yang salah.
Tetapi kalau rumah ialah sekolah pertama, siapa pula yang menyediakan ibu bapa untuk menjadi guru pertama?
Soalan ini perlu kita fikirkan dengan serius. Pendidikan keibubapaan bukan sekadar untuk membantu sebuah keluarga. Kesannya jauh lebih besar. Anak-anak yang kita besarkan hari ini akan menjadi sahabat, rakan sekerja, suami, isteri, ibu bapa dan pemimpin pada masa hadapan.
Kita tidak dapat mengembalikan anak-anak yang telah pergi. Kita juga tidak dapat menjamin tragedi seperti ini tidak akan berlaku lagi. Tetapi kita boleh belajar daripada apa yang telah berlaku dan mengambil langkah untuk mengurangkan risikonya.
Menuding jari tidak akan membawa kita jauh. Jika ada kesalahan atau kecuaian, pihak yang bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan. Pada masa yang sama, kita perlu memperkukuh keluarga, meningkatkan keselamatan di sekolah, membina masyarakat yang lebih prihatin dan membantu ibu bapa mendapatkan ilmu serta kemahiran yang mereka perlukan untuk membesarkan anak-anak dalam dunia yang sudah banyak berubah.
Jika kita benar-benar mahu melindungi anak-anak, mungkin kita perlu kurangkan masa mencari siapa yang harus dipersalahkan dan lebih banyak bertanya: Apa yang boleh kita lakukan dengan lebih baik? Pendidikan keibubapaan ialah salah satu tempat untuk kita bermula. Jangan tunggu sehingga berlaku satu lagi tragedi sebelum kita mengambilnya dengan serius.
Rujukan
Aini, Z., Mohd Hamzah Murghayah, S. K., Ismail, S., Usman, A. H., & Shbair, A. (2024). Methods of communication between Muslim parents and teenagers in Malaysia. Islamiyyat, 46(2), 51–65. https://ejournal.ukm.my/islamiyyat/article/view/81152
Ghazali, S. A., Bakar, R. S., Berahim @ Ab. Rahman, A., & Sulaiman, Z. (2025). Factors related to parental perceptions and awareness of adolescent cyberbullying in Selangor, Malaysia. IIUM Medical Journal Malaysia, 24(2). https://doi.org/10.31436/imjm.v24i02.2701
Mohamed, S., Wan Ghazali, W. N., & Mohd Nasir, N. S. (2024). Navigating digital risks and benefits: Malaysian parents’ perceptions of their children’s digital media usage. e-Bangi: Journal of Social Sciences & Humanities, 21(1), 135–146. https://doi.org/10.17576/ebangi.2024.2101.12
Mohamed, S., Janon, N. S., Yusoh, M. H., Salleh, N., Mohd Nasir, N. S., & Wan Mohd Ghazali, W. N. (2025). Designing and evaluating a culturally grounded digital parenting initiative in Malaysia. Intellectual Discourse, 33(3). https://doi.org/10.31436/id.v33i3.2433



