Rahsia Mendidik Anak Hebat

Strategi Seorang Bapa Ubah Anak Dalam Tempoh 4 Hari

Di dalam sesebuah program, perkongsian ibu bapa yang jujur dan tepat pada masanya adakala dapat membantu ibu bapa lain yang sedang berhadapan dengan cabaran yang serupa. Lebih penting, ia membantu menyuntik suatu harapan baru. Kadang-kadang ia cuma semudah mengakui wujudnya sesuatu isu dan mengetahui ada ibu bapa lain yang menghadapi situasi yang sama. Pengakuan ini mencetuskan rasa, “Oh, rupanya orang lain pun ada masalah sama.” Maka timbul kelegaan kepada ibu bapa lain. Namun, perkara ini hanya boleh berlaku sekiranya lebih ramai ibu bapa yang berpengalaman tampil ke depan dan berkongsi secara jujur.

Baru-baru ini, Ahmad Fakhri dan saya membentangkan topik “Remaja dan Penggunaan Gajet Secara Bijak” dalam satu seminar umum. Semasa Sesi Soal Jawab, ibu dan bapa kepada seorang remaja meminta untuk berkongsi pengalaman membesarkan anak lelaki mereka yang berusia tujuh belas tahun.

Kata bapa ini:

“Jika ada sesuatu yang tidak kena, contohnya, anak anda banyak bermain komputer atau permainan ‘online’, bantulah anak itu. Selidik apa sebenarnya yang tidak kena. Apabila SPM menjelang tiba, anak kami gagal dalam Matematik. Suatu hari saya mengajaknya duduk bersama dan kami berbual-bual. Saya tanya, ‘Apa masalahnya?’ Anak saya jawab, ‘Saya keliru dengan apa yang diajar di sekolah. Saya bingung, langsung tidak faham apa yang diajar oleh guru. Suasana di rumah pun tidak membantu. Saya asyik dimarahi dan dikritik sepanjang masa. Apa lagi yang boleh saya lakukan? Permainan komputer membuatkan saya rasa berkuasa.’ Itulah titik perubahan bagi saya dan isteri. Saya ambil cuti empat hari,  duduk bersama anak saya, ajar dia Matematik. Penghujung cuti, anak saya katakan, dia benar-benar seronok! Anak saya lulus dalam peperiksaannya. Bukan itu sahaja. Saya dan isteri turut meminta maaf kerana sikap kami yang begitu negatif sebelum ini. Anak kami kemudiannya terpilih sebagai salah seorang pelajar cemerlang [‘Dean’s List’] di universitinya.”

Apabila sesuatu tidak menjadi seperti yang anda mahukan, amat mudah untuk anda menuding jari dan menyalahkan sesuatu atau orang lain. Anda menyalahkan pasangan anda (dan terlupa peranan anda sebagai ibu/ayah), sekolah, sistem, si anak yang gagal dalam peperiksaan, guru, sukatan pelajaran. Namun, apakah faedahnya? Cuba selidik, hadapi kenyataan, lihat bagaimana anda boleh lakukan sesuatu dengan cara yang berbeza.

Usah anggap anak anda malas. Isu sebenar mungkin lebih dari itu. Bersedia untuk berubah, walaupun ia bermakna melakukan sesuatu yang anda tidak pernah lakukan. Tiada apa yang akan berubah jika anda terus lakukan perkara yang sama. Berikan tumpuan, wujudkan sinergi antara anda dan pasangan. Anda dan pasangan boleh mencapai sesuatu yang lebih baik berbanding apa yang boleh dicapai secara individu. Jika anda seorang ibu atau bapa tunggal, carilah bantuan orang lain, contohnya seorang dewasa yang boleh anda percayai. Pantang kita berputus asa.

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Baca artikel asal di sini: How A Father Turned His Failing Son In 4 Days

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top