Rahsia Mendidik Anak Hebat

Anak Disleksia – Tanggapan dan Harapan

Hasil nukilan: Nor Hemylia Mohd Nor

 

Anak disleksia sering dianggap kurang upaya; dikatakan mempunyai kecelaruan otak yang menyebabkan sukar membaca, sukar mengeja, sukar mengingati arah, sukar membezakan kiri kanan dan sebagainya.

Salah tanggapan terhadap anak disleksia:

1. Otak mereka berbeza hanya bila proses simbol bertulis (huruf, nombor)

Hakikatnya otak mereka berbeza dalam memproses maklumat secara menyeluruh. Otak anak disleksia terbentuk sedemikian rupa memberi mereka keupayaan untuk melihat gambaran menyeluruh (“big picture connections”); sukar bagi otak mereka proses butiran kecil/halus (“fine details”).

Silap jika anggap perkembangan otak anak disleksia cuba untuk mengikut perkembangan otak anak lain tapi dalam kadar yang lebih perlahan. Hakikatnya otak anak disleksia berkembang/memproses maklumat dengan cara/corak berbeza; perbezaan ini bukan hanya pada bahagian tertentu dalam otak mereka tapi pada keeluruhan otak mereka.

2. Disleksia dianggap masalah pembelajaran

Hakikatnya ianya hanya cara anak disleksia memproses maklumat yang berbeza dengan anak lain. Mereka belajar dengan cara lain. Oleh kerana beza cara memproses maklumat, berlaku perbezaan apa yang mereka boleh belajar dengan baik dan apa yang mereka diajar dalam sistem pendidikan kini. Ini sebab anak disleksia dilihat ketinggalan berbanding anak lain.

Anak disleksia mempunyai kecerdasan ruang/spatial intelligence berbanding anak lain. Kelebihan ini menyebabkan mereka mempunyai daya imaginasi yang tinggi, kreatif dan tepat. Mereka mampu menggambarkan dan/atau mencipta ruang/benda dalam bentuk 2/3 dimensi. Arkitek dan jurutera contohnya memerlukan kelebihan ini bila mereka bangunan. Ahli kimia memerlukan kelebihan ini untuk memahami 3 dimensi struktur molekul. Pakar bedah memerlukan kelebihan ini untuk memahami tubuh manusia.

Otak anak disleksia yang “berbeza” memberi mereka kelebihan dalam aspek lain. Dalam buku “The Dyslexic Advantage – Unlocking The Hidden Potential of Dyslexic Brain”, penulis Brock L. Fide dan Fernette F. Eide menyenaraikan empat kekuatan utama anak disleksia.

Senarai empat kekuatan utama anak disleksia :

1. Kelebihan Melihat Sesuatu Dalam Bentuk 3D (M-Strength) – Material Reasoning

Anak disleksia yang memiliki kecerdasan spatial yang tinggi selalunya lebih berminat kepada membina projek, lanskap, rekacipta/rekabentuk, 3D, jurutera, ahli kimia. Walaupun jika mereka terlibat dlm projek 2 dimensi seperti melukis -lukisan mereka mengandungi pelbagai dimensi, figura bergerak, anak-anak panah menunjukkan proses/pergerakan. Dr Norman Geshwind, pakar neurologi Harvard berpendapat kecerdasan ruang yang dimiliki oleh anak disleksia adalah ‘inborn’ – sifat semulajadi sejak dilahirkan. Minat anak disleksia terhadap melukis, bina model bangunan dan sebagainya adalah sifat semulajadi mereka.

2. Kelebihan Melihat Sesuatu Dari Sudut Berbeza (I-Strength) – Interconnected Reasoning

a) Anak disleksia melihat sesuatu fenomena/kejadian/pengalaman berkait satu sama lain

Perkaitan/perhubungan ini adalah perkaitan (likeness/similarity) dan perkaitan (persamaan).

Pada tahun 1999, ahli psikologi John Everatt, Ian Smith dan Beverly Steffert mengadakan 2 ujian untuk menguji kebolehan anak disleksia dan bukan disleksia kenalpasti persamaan antara objek dan bentuk yang berlainan. Ujian pertama – perlu gambarkan sebanyak mungkin tin soda boleh digunakan (“alternative uses”). Ujian kedua – perlu membentuk sebanyak mungkin gambar menggunakan lima bentuk geometrik yang berbeza (“picture production”).

Keputusan ujian – anak disleksia berupaya gambarkan 30% lebih dari yang boleh digambarkan oleh anak bukan disleksia untuk ujian pertama dan 1/3 lebih gambar untuk ujian kedua.

Anak disleksia berkebolehan melihat perkaitan antara lisan dan konsep. Contoh dalam ujian yang diberikan – bila ditanya persamaan antara biru dan kelabu, jawapan yang biasa diterima adalah – kedua-duanya adalah warna. Anak disleksia akan berikan jawapan sebagai contoh – kedua-duanya adalah warna laut pada hari yang cerah dan pada hari ribut melanda.

Contoh lain bila seorang anak disleksia ditanya persamaan antara kucing dan tikus, jawapan yang diberikan – kedua-duanya adalah watak dalam Tom & Jerry.  ?

b) Mereka berupaya melihat fenomena/kejadian/pengalaman dari pelbagai perspektif

Bila berhadapan dengan masalah/melakukan sesuatu projek, anak disleksia lebih suka gabungkan pelbagai pendekatan dari menggunakan hanya satu cara tertentu. Ini menjadikan mereka “multiple specialists” yang berpengetahuan dalam beberapa bidang dan tidak “highly specialised” dalam satu bidang sahaja.

c) Mereka berupaya menggabungkan pelbagai maklumat/ilmu dalam “big picture” atau pandangan global atau intipati (gist)

Ini antara sebab anak disleksia lebih mudah memahami perenggan yang panjang terutama jika perenggan yang panjang ini beri petunjuk (clue) yang membantu pemahaman mereka. Petunjuk ini digabungkan menjadi intipati cerita yang kemudiannya membolehkan anak disleksia meneka perkataan-perkataan dalam perenggan tersebut.

3) Berfikir secara naratif (N-strength) – Narrative Reasoning

  • Short term memory – peranannya “keeping in mind” maklumat yang diguna pada waktu semasa
  • Long term memory – menyimpan maklumat yang digunakan kemudian
  • Procedural memory – menyimpan maklumat tentang prosedur/cara untuk kita melakukan sesuatu
  • Declarative memory – menyimpan “facts about the world” contoh – airmata masin. Contoh ini boleh juga termasuk dalam episodic/semantic memory jika pernah alami atau hanya tahu tentang fakta ini
  • Episodic memory (personal memory) – mengandungi memori dalam bentuk peristiwa, pemgalaman
  • Semantic memory – menyimpan fakta abstrak, bersifat peribadi

Kekuatan anak disleksia adalah pada episodic memory, manakala anak tanpa disleksia lebih kepada semantic memory. Bayangkan dalam pementasan teater, props utk pentas diasingkan dan disimpan di satu bilik/ruang dulu. Bila pementasan diadakan, props akan dikeluarkan dan disusun atas pentas menyerupai pengalaman/peristiwa asal. Props yang dimaksudkan adalah pengalaman/peristiwa yang pernah dilihat, didengar, bahasa yang digunakan, disentuh, kesan emosi (pengalaman/peristiwa) dan kemudian bila dikehendaki, pengalaman/peristiwa ini akan dikeluarkan dalam bentuk penceritaan bila diperlukan (dalam analogi tadi, dalam bentuk pementasan). Proses pementasan semula ini dari pengalaman/peristiwa yang berlaku adalah cara anak disleksia mengingati/mengeluarkan semula fakta/idea bila diperlukan.

Contoh yang boleh menerangkan fungsi episodic memory di atas – anak disleksia berjalan di taman yang cantik. Dia nampak sekuntum ros yang cantik; dia menghidu ros itu. Pengalaman ini akan disimpan sebagai komponen-komponen dalam memorinya. Nanti bila dia diminta mengingati semula peristiwa ini, dia akan “reconstruct/reassemble” komponen-komponen ini sebanyak mungkin serupa dengan peristiwa sebenar yang pernah dialaminya.

Fungsi episodic memory yang lebih besar – episodic simulation system – komponen-komponen yang disimpan dalam memori (pengalaman/peristiwa) digunakan secara kreatif. Anak disleksia akan menggunakan komponen-komponen ini bukan untuk “reconstruct” peristiwa/pengalaman lalu tapi gabungkan pengalaman/peristiwa ini dengan idea/fakta baru untuk membuat satu cerita/pengalaman/peristiwa yang baru. Proses sama seperti episodic memory tapi hasilnya berbeza. Episodic simulation ini penting dalam bidang ramalan kewangan, rekacipta permainan video, membuat adegan filem.

Kekuatan episodic memory anak disleksia menyebabkan mereka berfikir dalam bentuk “mentally simulating potential events or actions” (penceritaan berdasarkan pengalaman) dan bukan dalam bentuk definisi/formula konteks.

Menurut penulis buku ini, ujian yang diadakan untuk mendefinisikan terma/konsep, contoh “basikal”, ramai individu yang berikan definisi abstrak seperti – dua roda, digerakkan oleh manusia, jenis pengangkutan. Jawapan individu disleksia beri definisi – kelihatan seperti motosikal, anda perlu menggerakkannya atau deskripsi berikut – benda yang ada tempat duduk, dua roda, dua pemegang sisi, dua pedal yang anda pelu tolak untuk gerakkan basikal. Individu disleksia selalu beri jawapan gunakan contoh, ilustrasi, deskripsi kegunaan/ciri fizikal terma.

Kekuatan episodic memory dan semantic memory bergantung kepada hippocampus – tempat simpan pengalaman, pengetahuan lalu (long-term memory).

Episodic memory menjadi lebih kuat jika hippocampus terlibat dalam proses “pattern separation”. Katalah anda makan tengahari di tempat sama, bersama orang yang sama, waktu yang sama tiga hari berturut-turut. Anda ingin mengingati peristiwa ini sebagai memori berbeza. Hippocampus berfungsi menyimpan memori ini sebagai tiga memori yang berbeza, Ini yang menguatkan episodic memory.

Semantic memory menjadi kuat bila hippocampus terlibat dalam proses “pattern completion”. Katalah dalam satu pelajaran anda belajar Paris adalah ibukota Perancis. Dalam pelajaran yang lain anda juga diberitahu Paris adalah ibukota Perancis. Anda tak kisah tentang di mana, bila anda belajar, keadaan sekeliling. Yang penting anda ingat fakta ini – Paris adalah ibukota Perancis. Hippocampus berfungsi menggabungkan fakta yang dipelajari dan menyingkirkan elemen-elemen seperti pengalaman/tempat/masa anda anda belajar tentang ini. Hippocampus hanya menyimpan fakta sahaja.

Kekuatan/kecenderungan hippocampus disleksia kepada pattern separation memenuhkan minda individu disleksia dengan bilangan pengalaman/peristiwa/fakta yang berbeza. Ini menerangkan pemikiran kreatif dan kebolehan naratif mereka. Mereka cenderung berfikir, memberi dan menghasilkan maklumat dalam bentuk cerita.

4) D-Strength -Dynamic Reasoning

Kelebihan ini membolehkan individu disleksia meramal secara tepat fenomena masa lalu dan masa depan menggunakan pengalaman dan pengetahuan lalu (episodic simulation).

Contoh yang diberikan dalam buku ini adalah cerita mengenai Sarah, ahli geologi yang berjaya. Kelebihan melihat sesuatu benda/perkara dalam 3-D, Sarah mampu membayangkan/menggambarkan perubahan proses mukabumi yang berlaku, perubahan kandungan mineral, melakukan kerja membaca peta, navigasi dan sebagainya.

Kekuatan berfikir secara dinamik juga boleh dilihat dalam usahawan berjaya. Dr Julie Logan, profesor keusahawanan di Cass School of Business, City University London mendapati beberapa usahawan yang ditemui bentangkan bisnes yang mereka ingin mulakan dengan jelas dan meyakinkan. Bila diminta mereka menulis idea tersebut dalam pelan perniagaan, mereka keberatan. Ini tidak berlaku bila Dr Logan bekerja dengan pengurus syarikat. Senang bagi pengurus syarikat menulis idea mereka.

Kajian rasmi Dr Logan menunjukkan individu disleksia menunjukkan ciri-ciri berikut :

  1. Mempunyai visi perniagaan yang jelas

Usahawan disleksia tahu apa yang mereka buat, ke mana hala tuju perniagaan, mendorong orang lain menyokong visi tersebut.

2. Sikap yakin, cekal dan gigih

Usahawan disleksia selalunya telah melalui zaman persekolahan yang mencabar. Ketabahan, kecekalan, kesungguhan mereka menghadapi cabaran di sekolah mereka bawa ke dalam perniagaan. Individu disleksia mempunyai “can-do approach”. Mereka bukan sahaja tahu apa yang mereka ingin buat, mereka yakin mereka boleh buat dan berjaya.

3. Tidak segan meminta pertolongan/perkhidmatan orang lain

Usahawan disleksia selalunya mempunyai lebih ramai pekerja, cenderung serahkan tugas kerja operasi kepada staf dan beliau sendiri menumpukan perhatian kepada visi dan misi syarikat secara keseluruhan. Mereka tahu apa yang mampu dan apa yang tidak mampu mereka buat. Ayat yang selalu mereka gunakan

“I employ the best people I can find, even if they are cleverer than me”.

4. Komunikasi yang bagus

Usahawan disleksia mempunyai kebolehan komunikasi mereka untuk motivasi staf. Bila staf British Airways dan Virgin Atlantic mogok inginkan gaji naik, Richard Branson, CEO Virgin Atlantic, usahawan disleksia mengadakan persidangan bersama staf, memberitahu kenapa beliau tidak mampu naikkan gaji staf. Staf Virgin Atlantic kembali bekerja semula. CEO British Airways tidak menggunakan cara ini dan mogok diteruskan.

5. Gerak hati

Usahawan disleksia banyak gunakan gerak hati dalam membuat keputusan. Contoh – tidak membuat kajian pasaran. Mereka akan ke perniagaan yang mereka akan ambil alih, membuat pemerhatian dan sebagainya. Mereka lebih menggunakan “right-brain approach” dari “logical reasoning approach”.

Salah satu perkara penting perlu diingat oleh ibu bapa dan guru yang mendidik anak disleksia – kenalpasti dan fokus kepada kekuatan yang anak disleksia miliki. Terlalu banyak perhatian diberikan untuk membaiki apa yang kurang; kaburkan fokus untuk melihat kepada apa yang anak disleksia boleh lakukan dengan baik.

Baca artikel asal: Anak Disleksia – Tanggapan dan Harapan

Biodata Penulis:Nor Hemylia Mohd Nor meninggalkan kerjaya sebagai peguam untuk mendidik anak-anak prasekolah. Mengusahakan tadika Q-dees Saujana Utama sejak 10 tahun lalu. Beliau menulis di www.anakdisleksia.com/blog dan boleh dihubungi melalui [email protected].

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top