SOALAN: Bagaimana menangani budak 5 tahun yang hiperaktif? Dia pelajar kami sejak tahun lepas. Masalahnya tahun ini dia suka sebut perkataan yang tidak elok didengar, umpamanya “bodoh”. Bila ditegur, dia akan kata, “Tak boleh sebut ‘bodoh’ kan?” Tetapi perkataan itu juga yang dilemparkan. Rakan-rakan sekelas terikut-ikut. Ibu bapa lain sudah mula menyatakan kebimbangan anak-anak yang menyebut dan terikut-ikut dengan sebutan tidak baik. Anak ini juga suka merampas barang budak lain, selain menggigit dan memukul.
JAWAPAN: Perbuatan suka merampas, menggigit dan memukul dianggap tidak normal untuk anak berusia 5 tahun. Biasanya anak boleh mula memahami peraturan yang ditetapkan oleh ibubapa seawal usia sebelum 2 tahun dan berkelakuan baik selewat-lewatnya pada usia 5 tahun. Elok adakan perbincangan di antara pihak sekolah dan ibubapa, samada anak ini berkelakuan yang sama di rumah (merampas, memukul, menggigit). Mungkin ada kondisi tertentu yang mendorong anak ini berbuat demikian.
Berkenaan kata-kata: Kata-kata besar pengaruhnya dalam hidup insan. Kata-kata melambangkan ketulusan pekerti dan keperibadian seseorang. Kata-kata boleh menjernihkan atau mengeruhkan perhubungan sesama manusia, selain mewarnai “mood” kita atau suasana di mana kita berada. Kata-kata juga mencorakkan pemikiran dan sikap anda.
Mengasuh anak menggunakan kata-kata yang baik adalah salah satu tanggungjawab terpenting yang diamanahkan kepada ibubapa. Malah, ibubapa yang peka sentiasa memerhati kata-kata yang digunakan oleh setiap anak, kerana kematangan, corak pemikiran dan kepintaran anak berkait rapat dengan penggunaan bahasa anak tersebut.
Sebab itu, ibubapa bijak akan mencari-cari peluang di mana dia boleh memperkenalkan perkataan-perkataan yang boleh meningkatkan perbendaharaan kata anaknya (“vocabulary stretching“), sekaligus membuka ruang minda anak tersebut. Objektif ini dicapai melalui pelbagai cara: membaca buku pilihan kepada si anak, bercerita, berbual secara santai dsbnya.
Aktiviti-aktiviti ini tentunya perlukan masa dan komitmen dari ibubapa sendiri, terutama ketika anak masih kecil, tanpa terlalu bergantung kepada pihak guru dan sekolah.
Tentang penggunaan perkataan yang tidak elok (bodoh dll), perhatikan kekerapan penggunaan kata-kata tersebut. Apakah akibatnya bila kata-kata tersebut dilontarkan di dalam kelas? Apakah akibatnya bila kata-kata yang baik digunakan di dalam kelas?
Ada banyak cara untuk menangani tingkah laku ini. Satu cara, nasihatkan anak ini secara peribadi (“one-on-one”) jika dirasakan sesuai. Galakkan dia untuk menggunakan kata-kata yang elok. Berikan dia masa untuk berubah. Katakan padanya, “Allah tahu, Azim/Adam/Ahmad anak yang baik dan akan cakap yang baik-baik sahaja.” Behaviour change takes time.
Lazimnya tingkah laku tidak akan berubah 100% sekelip mata, sebaliknya memakan masa, berkurangan dan bertambah baik, lama kelamaan lenyap dan digantikan kelakuan yang lebih elok. Asalkan berkurangan, itu suatu peningkatan. Juga sebagai guru, pertingkatkan doa. InshaaAllah dengan izin Allah doa seorang guru yang ikhlas berpotensi untuk makbul.
Satu lagi cara: jadikan topik ini sebagai perbincangan dalam kelas. Contoh, mulakan dengan sebuah cerita (dalam bentuk cerita yang dimuatkan dalam buku atau dikongsi secara santai oleh guru), dan lontarkan soalan-soalan berkaitan, umpamanya:
– Perbezaan kata-kata yang baik dan tidak baik
– Contoh-contohnya
– Apa patut kita buat bila ada orang yang kita kenali meluahkan kata-kata yang tidak baik
Ini cara halus untuk mendidik akhlaq anak-anak, iaitu membuka ruang untuk mereka membezakan kata-kata yang baik/tidak baik, seterusnya mengapa perlu kita pilih kata-kata yang baik-baik sahaja apabila berkomunikasi dengan orang lain.
Pupuk kepercayaan “Aku budak baik/I’m a good boy” dalam diri anak ini. Paling penting, tanam sifat cintakan Allah dan keinginan kuat untuk berbuat baik demi Allah. Bukan sahaja untuk anak ini, tetapi untuk setiap anak dalam jagaan. Tujuannya supaya samada guru atau ibubapa ada atau tidak, hubungan mereka dengan Allah akan memandu mereka untuk memilih jalan kebaikan sepanjang hidup mereka.
Kesemua idea yang diberi di atas atau apa sahaja cara yang digunakan perlu dilakukan berulangkali sehingga sebati dalam diri anak-anak yang dididik.