Anak Lelaki

Anak Lelaki & Ibunya

Adalah tidak wajar, malah menjadi kesalahan, jika menganggap anak remaja lelaki tidak memerlukan ibunya. Ibu memainkan peranan yang besar dalam kehidupan anak lelaki, baik sewaktu kecil mahupun sudah remaja atau dewasa. Kajian di University Iowa mendapati bahawa lelaki muda memandang ibu mereka sebagai teladan sewaktu memilih calon isteri. Hampir 80 peratus lelaki yang ibunya adalah wanita berpendidikan tinggi berkahwin dengan wanita  yang latar belakang pendidikannya serupa.

Hubungan antara ibu dan anak lelaki istimewa. Ibu yang menuntut penghormatan dari anak lelaki mengasuh anak lelaki bagaimana menghormati wanita, bagaimana wanita yang terhormat membawa diri dan bagaimana anak perempuan wajar diperlakukan. Menuntut rasa hormat dapat dilakukan dengan pelbagai cara.

Contoh: Mengharapkan anak lelaki membersihkan bilik sendiri (bukannya ibu).

Contoh: Harapkan budak lelaki bercakap dengan nada hormat terhadap ibu (dan tidak melihat skrin komputer semasa menjawab ibu).

Anak lelaki memerlukan ibu sepenting si ayah demi kesejahteraan emosi mereka. Mereka memerlukan ibu yang bersedia mendengar dan memahami masalah mereka, menghargai siapa diri mereka dan menyokong mereka dalam usaha mencapai kehidupan yang bermakna. Tetapi mereka tidak memerlukan ibu yang terlalu melindungi dan sentiasa berusaha menyelesaikan masalah mereka. Seorang budak lelaki berusia lima tahun mungkin memerlukan ibunya untuk memeriksa kerja rumahnya secara berkala tetapi seorang anak remaja berusia enam belas tahun tidak semestinya!

Sekiranya anda seorang ibu yang tidak pernah mempunyai adik beradik lelaki, anda mungkin kurang bersedia dengan cara anak lelaki membawa diri, terutama pada tahun-tahun awal. Anak lelaki lazimnya perlukan ruang yang lebih besar; mereka perlu bergerak lebih banyak berbanding anak perempuan. Benar, tidak semua anak lelaki suka melompat atas kerusi atau berlari dari satu penjuru rumah ke penjuru yang lain. Tentu ada yang lebih gemar membaca buku daripada mencari siput di bawah batu!

Semakin besar anak lelaki anda, cari peluang untuk mengembangkan naluri ingin tahunya.  Apakah yang dia minati? Ini adalah kaedah yang bijak untuk menabur kasih sayang antara anda dan anak lelaki anda. Jemput rakan-rakannya ke rumah. Sebilangan budak lelaki agak pendiam dan kurang selesa untuk bercakap banyak. Jangan desak atau marahkan dia. Dia dapat merasakan kehadiran anda walaupun tiada kata-kata yang dituturkannya. Hormati privasinya. Semasa berusia empat tahun, anda mungkin letih menjawab setiap persoalannya. Tetapi pada usianya lima belas tahun, anda mungkin bingung bagaimana membuat dia bercakap!

Contoh: Oleh kerana anak anda semakin bijak, anda mungkin memerlukan pertolongannya pada masa tertentu. Sebagai contoh, anak lelaki anda mahir menggunakan komputer dan selalu membantu anda setiap kali laptop anda rosak. Tidak mengapa anda meminta pertolongan. Tetapi pastikan komunikasi anda tidak terhad hanya apabila anda memerlukan pertolongan. Jika tidak, dia mungkin berfikir bahawa satu-satunya masa yang dia penting untuk anda ialah bila laptop anda rosak!

Anak lelaki belajar tentang pandangan wanita mengenai lelaki daripada ibunya. Adakah insan bergelar lelaki baik atau buruk? Apakah perbezaan antara lelaki yang bertanggungjawab, boleh dipercayai dan lelaki yang tidak sopan? Dua perkara yang harus dielakkan adalah, menjadikan lelaki sebagai idola atau mencipta gambaran negatif tentang lelaki. Kata-kata yang diluahkan oleh ibu mengenai lelaki menghantar mesej kepada anak lelaki mengenai sama ada menjadi lelaki yang baik boleh dicapai ataupun tidak.

Anak lelaki mesti belajar bahawa manusia adalah makhluk yang kompleks. Daripada melukis lelaki tertentu sebagai “baik” dan yang lain sebagai “buruk”, anak lelaki perlu tahu bahawa setiap detik, seorang lelaki berada antara yang baik dan yang buruk. Kemampuan ibu seorang anak lelaki untuk menerima kekurangan ayahnya, selagi wajar, membuatnya menyedari bahawa anda tidak perlu sempurna untuk dihargai dan dicintai. Bagaimana seorang ibu berinteraksi dengan lelaki dalam hidupnya memberikan contoh yang menarik bagi seorang anak lelaki mengenai bagaimana menjalin hubungan positif antara lelaki dan wanita.

[Petikan dari Anak Lelaki Kool & Hebat]

Baca artikel Bahasa Inggeris [Mothers & Sons]

 

Imej: Stocksnap Pixabay

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top