Ayuh Ayah Ibu Pimpinlah Anakmu

Kanak-kanak Bising Di Masjid: Pendekatan Proaktif 

[Baca artikel dalam Bahasa Inggeris]

 

“Cucu lelaki saya yang berusia 4 tahun sangat takut untuk pergi ke masjid,” kata jiran saya.

“Kenapa?” saya bertanya.

“Dia mengikut ayahnya ke masjid minggu lalu. Dia berlari-lari di belakang masjid dengan kanak-kanak lain. Tiba-tiba seorang lelaki besar muncul dan mengherdik mereka: ‘Kamu ingat ini taman permainan?’ Lelaki itu bahkan mengangkat tangan dan mengancam akan memukul cucu saya dan kanak-kanak lain.”

“Oh begitu,” kata saya. “Di Mekah dan Madinah, ada ramai kanak-kanak kecil mengikut ibu bapa dan datuk nenek mereka ke masjid. Lazimnya ibu-ibu muda akan menggendong bayi mereka ke sana. Apabila iqamah kedengaran, mereka akan meletakkan anak-anak ini di sebelah sejurus sebelum mula bersolat. Memang agak bingit bila anak-anak ini mula menangis, tetapi bagaimana lagi kanak-kanak ini akan belajar mencintai masjid?”

Benar, kanak-kanak yang berkejaran dan tangisan bayi yang nyaring di masjid sewaktu kita solat boleh mengganggu dan menjejaskan kekhusyukan kita. Tetapi sejujurnya, jika kita merasa terganggu dengan “bunyi-bunyian” sedemikian, mungkin kita harus bertanya pada diri sendiri: Adakah itu masalah berkaitan kanak-kanak atau masalah kita kurang khusyuk? Adakah sesuatu yang kita boleh lakukan untuk meningkatkan kualiti solat kita? Hakikatnya, solat yang berkualiti bermakna kita semua begitu fokus (khusyuk), sehinggakan kita tidak akan menyedari bunyi, bau atau apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita.

Saya tidak mengatakan bahawa saya begitu fokus semasa solat sehingga “bunyi-bunyian” tersebut tidak mempengaruhi saya; jauh dari itu. Tetapi jika kita melihat isu ini untuk jangka panjang, setiap perkataan yang kita luahkan dan tingkah laku yang kita pamerkan akan terpahat dalam minda mereka. Lambat laun kanak-kanak yang pernah ke masjid akan terfikir samada: “Masjid adalah tempat yang selesa untuk aku.” ” atau “Masjid adalah tempat yang menakutkan. Aku tidak mau lagi ke sana.”

Maka timbullah suatu hari nanti remaja yang dahulunya pernah atau sering dibawa ke masjid oleh ibubapa yang enggan melangkahkan kaki lagi ke sana.

Untuk memastikan masjid tetap menjadi pusat komuniti Islam, kanak-kanak perlu merasa selesa dengannya. Kanak-kanak yang tidak pernah terdedah kepada masjid kemungkinan akan merasa terputus daripada agama dan komuniti Islam. Mengajak mereka ke masjid dan melibatkan mereka dalam aktiviti-aktiviti mesra kanak-kanak dan remaja di dalamnya akan memupuk rasa kecintaan terhadap masjid dan Islam itu sendiri. Mereka rasa bangga dengan institusi masjid dan pengaruhnya terhadap masyarakat.

Masjid dibina untuk mewujudkan komuniti Islam. Ramai kanak-kanak yang apabila meningkat dewasa merasa terasing dan terputus daripada komuniti mereka, terutamanya jika mereka tidak mempunyai rakan beragama Islam di sekolah. Dengan membawa mereka ke masjid, kita dapat membantu mereka menjalin persahabatan baru, berinteraksi dengan kanak-kanak Islam lain, dan merasa mereka adalah sebahagian daripada sesuatu yang lebih besar daripada diri mereka sendiri.

Pergi ke masjid dapat membantu mengajar anak-anak mengenai nilai-nilai dan etika Islam. Banyak masjid menawarkan program pendidikan untuk kanak-kanak kecil, yang dapat membantu mereka mempelajari asas-asas Islam yang kukuh sekaligus menerapkan iman di jiwa dan sanubari mereka. Sewaktu keluarga saya bermastautin di Port Dickson suatu ketika dahulu, anak sulung saya yang bersekolah rendah berkesempatan mengikuti kelas fardhu ‘ain di bawah bimbingan seorang ustazah di sebuah surau. Dia seronok belajar dengan guru tersebut yang pandai mendidik anak-anak murid di bawah bimbingannya. Kelasnya pun kecil; pelajar terdiri daripada anak-anak di kawasan kejiranan.

Dengan mendedahkan anak-anak kepada pengajaran-pengajaran Islam sejak usia muda, kita dapat membantu mereka membina kompas moral yang kuat dan tujuan hidup yang jelas. Malangnya sesetengah masjid dan surau kurang mesra kanak-kanak, menyebabkan ibu bapa berat hati untuk membawa mereka ke masjid dan surau. Benar, anak-anak yang berkelakuan kurang elok di surau atau masjid perlu ditegur. Tetapi bukan dengan mengherdik sehingga mereka serik untuk melangkah ke masjid di lain kali. Anak-anak yang dikasari di masjid atau surau kemungkinan tidak ingin kembali. Perasaan kurang senang ini akan bercambah dan boleh jadi kekal di memori ingatan. Inilah salah satu sebab sesetengah remaja menjauhkan diri dari masjid dan surau. Ketika meningkat dewasa, masjid dan surau hanya suatu tempat yang dipandang asing yang mereka lebih suka hindari.

Kesimpulannya, membawa kanak-kanak kecil dan remaja ke masjid dan surau adalah salah satu kaedah proaktif untuk memupuk ikatan mesra komuniti Islam. Dengan menyediakan persekitaran yang mesra kanak-kanak dan remaja di masjid dan surau, kita dapat membantu mencipta ruang di mana kanak-kanak dan remaja merasa selesa, dihargai serta dirai, di mana mereka dapat belajar tentang Islam, iman dan nilai-nilai hidup. Sebagai ibu bapa, orang tua, dan jemaah masjid dan surau, kita mempunyai tanggungjawab untuk menyokong keluarga yang membawa kanak-kanak kecil dan remaja ke masjid dan surau. Jika anda terdengar seseorang mengherdik kanak-kanak kecil atau remaja di masjid atau surau, suarakan pandangan anda yang lebih positif dan membina, agar masjid dan surau menjadi tempat yang disayangi oleh anak-anak kita semua.

Gambar hiasan oleh Ebahir

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top