Ayuh Ayah Ibu Pimpinlah Anakmu

Pupuk Rasa Hormat Antara Anda Dan Pasangan 

[Baca artikel ini dalam Bahasa Inggeris]

 

 

Tahukah anda, anak-anak berasa paling gembira apabila mereka melihat ibu dan ayah bersembang, bergurau, tersenyum antara satu sama lain? Salah faham berlaku dalam setiap perkahwinan. Namun, demi perkahwinan yang bahagia dan berkekalan, anda perlu tahu bagaimana caranya untuk menangani salah faham supaya ia tidak berpanjangan. Memulakan pertengkaran itu mudah. Tetapi keluar dari pertengkaran memerlukan kebijaksanaan dan sifat rendah diri.

Lebih baik lagi, fikirkan apa yang anda boleh katakan dan lakukan untuk mewujudkan persefahaman dan rasa hormat yang lebih mendalam antara anda dan pasangan anda. Elakkan bertikam lidah hanya untuk menang. Dalam pertengkaran yang tidak terkawal, tiada siapa yang menang, walaupun nampaknya pada masa itu satu pihak mengatasi yang lain.

Apabila dalam keadaan marah, tarik nafas dalam-dalam. Adakalanya, ini pun sudah memadai untuk meredakan ketegangan dan menahan anda daripada meluahkan kata-kata yang mencetuskan penyesalan tanpa kesudahan. Kemudian, katakan sesuatu yang membayangkan bahawa anda serius untuk menyelesaikan situasi tersebut, contohnya: “Apapun, yang penting kita tidak berputus asa untuk menangani hal ini.” Atau pilih untuk berhenti sejenak (“time-out“) jika nyata anda berdua masih belum bersedia untuk bekerjasama.


Tangani Sebelum Menjadi Lebih Buruk

Cara mudah untuk memikirkan konflik rumah tangga adalah dengan melihatnya seolah-olah anda sedang memandu kereta. Di sebalik semua insurans yang anda tahu boleh anda perolehi jika anda bertembung dengan kemalangan di jalanraya, anda pasti cuba mengelakkannya dalam apa jua cara, terutamanya jika seseorang yang anda sayangi akhirnya terluka. Perkara terburuk yang boleh berlaku ialah, anda kehilangan orang yang disayangi atau anda atau orang yang disayangi cacat seumur hidup akibat kemalangan itu. Memikirkan akibat terburuk boleh membuatkan anda lebih berhati-hati. Begitu juga dengan konflik rumahtangga. Peka dengan akibat terburuk yang mungkin berlaku apabila mengalami krisis besar boleh mendorong anda untuk bertindak lebih baik dan lebih bijak.

Konflik rumahtangga tidak semestinya meletus menjadi krisis besar serta-merta. Ia mungkin bermula dengan sesuatu yang kecil, kerengsaan atau ketidakselesaan mungkin, yang membuat anda atau pasangan merasakan, “ada sesuatu yang tidak kena”. Jika diabaikan, ia beransur-ansur menjadi sesuatu yang lebih besar. Anda tahu ia telah bertukar menjadi krisis apabila memikirkannya membuatkan anda tegang dan cemas.

 

Langkah Proaktif Untuk Mengekalkan Perkahwinan: Perhatian Tidak Berbelah Bahagi

Bilakah kali terakhir anda dan pasangan anda duduk bersembang dan bercakap tentang apa-apa sahaja, terutamanya apa yang anda impikan untuk dicapai bersama? Pasangan bijak akan meluangkan masa supaya mereka boleh saling memberi perhatian yang tidak berbelah bahagi kepada satu sama lain. Lakukan apa sahaja yang anda perlukan untuk mencipta masa keramat ini bersama.

Mungkin anda hanya berpegangan tangan atau menikmati secawan kopi atau teh di ruang tamu atau berjalan beriringan. Ia mungkin kelihatan kecil, seolah-olah tidak penting tetapi sebenarnya, boleh menyelamatkan perkahwinan anda untuk jangka masa panjang. Meluangkan masa bersama, tanpa diganggu oleh sesiapa, menumpukan perhatian fokus kepada sidia nampaknya mudah, tetapi boleh mencetuskan nafas baharu kepada perkahwinan anda. Jika tidak, kemungkinan suatu hari nanti, anda atau sidia akan terasa: “Saya tak pasti apa yang berlaku. Pasangan saya kini bagaikan orang asing bagi saya.”

Jangan hanya bercakap tentang anak anda atau perkara lain sepanjang masa! Tetapi sebutlah tentang impian anda dan impian sidia. Apakah yang anda ingin capai sebagai seorang individu yang unik dan berpotensi? Apakah yang anda ingin capai bersama sebagai suami dan isteri, dua insan yang lahir dalam keluarga berbeza, latarbelakang berbeza, namun dengan bakat yang ada, boleh merealisasi sesuatu yang membuatkan anda bahagia bersama? Apakah yang anda boleh lakukan untuk menyokong sidia mencapai impiannya? Bagaimana sidia boleh menyokong anda supaya anda boleh mencapai impian anda?

Tahukah anda, ramai pasangan merasa bosan dengan mahligai perkahwinan yang sekian lama dibina semata-mata kerana mereka tidak lagi melakar impian bersama? Yang pasti, impian bersama ini adalah tali pengikat yang akan merapatkan anda dan sidia sebagai pasangan hidup yang setia selagi hayat dikandung badan. Yang pasti, anak-anak yang nampak anda berdua seiring berusaha, akan terus merasa bahagia. Begitulah realiti hidup anak-anak, sentiasa memerhati setiap kata-kata, gerak-geri dan tindakan anda sebagai pemimpin yang bakal mereka teladani apabila mereka meningkat dewasa.

 

 

Gambar hiasan oleh: Victoria Rain

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top