Remaja

Remaja dan Tabiat Menyendiri

Soalan:

Bagaimanakah caranya untuk berkomunikasi dengan remaja yang suka menyendiri dan enggan berkongsi apa juga perkembangan diri mereka dengan ibu bapa? Bila ditanya sepatah, jawapannya pun sepatah juga.

Jawapan:

Kaedah terbaik untuk menggalakkan anak-anak berkongsi isi hati mereka dengan kita ialah dengan membina perhubungan yang rapat dengan mereka (“build RAPPORT”) supaya mereka mempercayai kita (“establish TRUST”). Kanak-kanak, khususnya golongan remaja, cenderung untuk menghormati dan mendengar kata sesiapa sahaja yang mereka percayai. Malah, kepercayaan (”trust”) adalah rahsia komunikasi secara terbuka dan telus di antara seorang remaja dan ibu bapanya. Semakin besar anak anda, semakin penting faktor kepercayaan dalam hidupnya. Malah, keteguhan hubungan antara si anak dan ibu bapa banyak bergantung kepada sejauh mana si anak mempercayai ibu bapanya. Begitu juga sebaliknya.

Beberapa tips untuk membina perhubungan yang rapat dengan anak remaja anda:

– Luangkan masa bersama. Remaja sukar bersikap terbuka jika merasa dirinya terdesak untuk mengatakan sesuatu atau jika dia merasa anda sedang kesuntukan waktu.

– Bijak memilih kata-kata. Sebaik mana pun niat anda, cara anda menyampaikan kata-kata adalah amat penting. Fikirkan dulu sebelum meluahkan isi hati anda.

– Kritikan lazimnya membantutkan perbualan. Terdapat lebih daripada satu cara untuk menyampaikan mesej yang sama. Cara kasar dan tidak berhemah biasanya kurang efektif.

– Berikan nasihat hanya jika benar-benar perlu. Jangan andaikan remaja anda perlukan nasihat bila dia membuka mulut. Adakalanya dia hanya ingin meluahkan apa yang yang terbuku di hati.

Sebenarnya tidak perlu anak-anak memberitahu kita semua yang berlaku dalam hidup mereka. Adalah penting untuk si anak belajar daripada keputusan dan kesalahan mereka sendiri. Seandainya mereka memaklumkan segalanya yang berlaku dalam hidup mereka, kemungkinan kita akan cuba menyelesaikan kesemua masalah yang mereka hadapi. Ini tentunya tidak membantu mereka untuk belajar menjadi lebih matang dalam hidup! Yang penting ialah, anak-anak menjadikan anda sebagai sumber rujukan untuk situasi-situasi penting yang besar pengaruhnya dalam hidup mereka. Malah, inilah sebabnya kepercayaan perlu dibina antara anak dan ibu bapa setiap masa.

Petikan daripada: Ibu Kool Bapa Hebat. 

Foto oleh Vanessa Loring dari Pexels.

About Jamilah Samian

Jamilah has written 546 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top