Mutiara Kata Hari Ini

Didik Anak Jangan Taksub Dengan Harta Benda

Kanak-kanak dilahirkan untuk menyayangi. Lihatlah bayi dalam dakapan ibunya. Perhatikan bagaimana si anak merenung wajah ibunya sambil menggenggam jari si ibu ketika didakap dengan erat. Betapa kasihnya dia kepada ibu, sumber keselamatan dan keselesaan. Kehadiran, bau dan sentuhan ibu menjadi dambaan setiap anak. Suara ibu ibarat halwa telinga dan dia tahu ibunya amat sayang padanya.

Anak-anak memerhatikan apa yang kita suka, hargai dan sayangi melalui kata-kata, gerak geri dan tindakan kita. Adakah kita memberikan reaksi kurang seronok atau mesra apabila nama seseorang disebut-sebut? Adakah kita tersenyum atau mengerut dahi apabila mendengar nama tempat atau peristiwa tertentu? Sepanjang proses membesarkan anak-anak, kasih sayang kita menjadi contoh ikutan kepada kata-kata dan tindakan mereka. Pemimpin-pemimpin terbaik menjadi inspirasi dengan gaya hidup yang sederhana dan kurang rasa cinta kepada harta benda, suatu sikap yang perlu dipupuk sejak kecil. Fikirkan setiap hari, apakah mesej yang kita berikan kepada anak-anak, melalui gaya hidup dan hadiah yang kita belikan untuk mereka? Pemimpin jenis apakah yang sedang kita cuba lahirkan?

Kasih sayang mungkin emosi paling kuat yang digunakan sebagai contoh tauladan kepada anak-anak.

Saya bukanlah pakar tentang kasih sayang dan cinta, tetapi satu perkara yang saya pasti, saya tidak mahu kasih sayang anak-anak saya terikat pada harta benda mereka. Saya mahu anak-anak menilai dan menghargai barangan yang saya belikan untuk mereka, tetapi tidaklah sampai kepada tahap yang mana cinta mereka melangkaui kegilaan yang tidak rasional.

Contoh:

Kejadian berlaku di tempat letak kereta sekolah. Saya sedang berjalan dengan anak saya menuju ke arah pintu masuk utama apabila saya melihat Lisa, seorang sahabat, cuba keluar dari keretanya. Ruang parkir sempit. Pintu keretanya tergesel pada tepi kereta di sebelahnya.

Lisa belum lagi keluar daripada kereta apabila seorang wanita meluru ke arahnya. “Awak calarkan kereta saya!” bentak wanita itu, dengan postur badan ibarat seorang jeneral tentera seraya bercekak pinggang. Suaranya nyaring, kedengaran dengan jelas oleh semua yang berada di situ. Saya dan ibu bapa lain tergamam. Saya masih ingat kata-kata Lisa ketika saya menenangkannya. “Saya kasihan dengan perempuan itu”.

Saya kasihan dengan perempuan itu.

Seseorang yang terlampau sayang dan taksub pada harta benda pasti akan berakhir dengan dukacita. Sekiranya kebahagiaan kita bergantung pada harta benda, kita akan kecewa kerana harta tidak akan kekal selama-lamanya. Sofa kulit yang anda kagumi dalam bilik pameran perabot, kini tersergam di ruang tamu anda. Satu-satunya cara untuk membuatkannya tampak baru saban tahun adalah jika ada orang membersihkannya beberapa kali sebulan. Begitu juga kereta mewah idaman anda. Bolehkah anda bayangkan ia dikotori air liur anak saudara anda yang periang itu? Kereta bukanlah suatu benda yang murah. Bagi kebanyakan kita, wang yang dibelanjakan untuk memiliki sebuah kereta adalah kedua terbanyak selepas jumlah wang yang digunakan untuk membeli sebuah rumah.

Semua ibu bapa mahu membesarkan anak-anak mereka dengan betul. Sebahagian daripada proses ini mewajibkan kita mengajar mereka mencari kegembiraan dan makna hidup atas sebab-sebab yang betul. Anak-anak melihat apa yang membuat kita bahagia dan apa yang membuat kita berasa sebaliknya. Mereka memerhatikan gerak geri kita, membina “skala dan standard kebahagiaan” berdasarkan reaksi dan maklum balas kita kepada perkara sehari-hari. Semakin tebal perasaan taksub yang kita tunjukkan kepada harta benda, lebih besar kepentingan yang anak kita letakkan ke atasnya.

Anak-anak akan membesar dan mungkin menyangka harta benda adalah sumber kebahagiaan sebenar dan ia memerlukan sepenuh kasih sayang dan perhatian daripada mereka. Siapa peduli jika harta benda tidak boleh membalas kasih sayang mereka, tidak boleh melegakan kesakitan, tidak boleh menghulurkan bantuan apabila mereka jatuh, tidak boleh mendengar kebimbangan mereka, tidak boleh memeluk mereka apabila mereka bersedih, tidak boleh menguntum senyuman apabila dunia mengabaikan mereka, tidak boleh menghapuskan air mata atau memujuk ketika mereka dilanda kemurungan. Apabila meningkat dewasa mereka hanya merasai kemarahan yang tidak dapat dikawal jika dan apabila sesuatu berlaku kepada harta benda kesayangan mereka seperti wanita dalam kisah di atas. Pada ketika itu, fikiran mereka sudah pun dibentuk demikian rupa.

Dari mana datangnya nyalarasa untuk benda-benda tidak bernyawa ini?

Suatu kajian menunjukkan mereka yang terlalu dalam kasih sayangnya kepada harta benda seperti kereta, komputer dan sebagainya, sebenarnya kesunyian. Menurut satu kajian yang lain, jika kita lebih disayangi dan diterima oleh orang lain, kita akan kurang terikat kepada pemilikan harta benda.

Memiliki harta mungkin memberi gambaran terhadap tahap pendapatan, seterusnya status sosial kita. Memiliki sebuah kereta mewah mungkin menunjukkan yang kita sudah “berjaya”, mendapat pekerjaan yang kita dambakan di pejabat yang kita impikan, sekaligus memberikan mesej – pendapatan kita lebih tinggi daripada orang lain. Namun, di luar sana, akan sentiasa ada seseorang yang berpendapatan lebih tinggi daripada kita. Berapa tinggi lagi yang kita mahu?

Jika kita mengajar anak-anak memupuk kasih sayang dan kebahagiaan bersandarkan harta benda, ketahuilah bahawa ia suatu keinginan yang mustahil dipuaskan. Dia perlu bersedia untuk menghadapi kegagalan dan kesengsaraan. Tidak kira berapa banyak harta yang dimiliki; cincin berlian berkilauan yang disarung cantik pada jari, rumah mewah yang tersergam indah, kepuasan dan keseronokan kepada sesuatu yang baru itu akan hilang jua. Tidak lama nanti, si anak akan mendesak untuk mendapatkan lebih banyak benda, mengejar periuk emas di hujung pelangi, ibarat fatamorgana menyeru sang pengembara yang dahaga. Dari jauh ia melambai-lambai, “Datanglah dan dapatkan aku! Aku akan mengisi kekosongan dalam dirimu!” Namun sebaik sahaja dia berjaya mendapatkannya, hatinya kosong kembali dan kemahuannya perlu diisi sekali lagi, dengan harta benda yang lebih besar daripada sebelumnya.

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Baca artikel asal di sini:  Children and Excessive Love for Material Possessions

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top