Lindungi Anak

Lindungi & Bertindak: Peranan Komuniti Mencegah Jenayah Terhadap Kanak-Kanak

Pernah tak anda dengar berita tentang kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah, lalu terdetik di hati, “Kenapa perkara begini boleh berlaku?” Lebih menakutkan bila anda sedar, ia bukan berlaku jauh, kadang-kadang dekat dengan kawasan tempat tinggal anda sendiri.

Perasaan risau, sedih, atau marah itu sebenarnya satu isyarat penting. Ia menunjukkan anda peduli. Persoalannya, apa yang anda – kita semua – boleh buat sebagai komuniti?

Hakikatnya, anak-anak tidak hidup dalam dunia yang terasing. Mereka membesar di rumah, di sekolah, di taman permainan, dan di sekeliling jiran-jiran kita. Sebab itu komuniti memainkan peranan besar sebagai “perisai” yang melindungi mereka.

Menjadi komuniti yang peduli tidak semestinya bermula dengan tindakan besar. Kadang-kadang ia bermula dengan perkara kecil. Menyapa jiran. Bertanya khabar anak-anak mereka. Peka jika ada tingkah laku yang luar biasa. Keprihatinan kecil ini boleh menjadi langkah awal mencegah perkara yang lebih serius.

Ada masanya kita tertanya-tanya, “Macam mana nak tahu kalau seorang anak berada dalam risiko tanpa menakutkan atau mencampuri urusan keluarga lain?”

Jawapannya bukan dengan menuduh, tetapi dengan memerhati dan mendekati. Perubahan tingkah laku, anak yang tiba-tiba pendiam, atau sering mengelak aktiviti tertentu boleh menjadi tanda awal. Perbualan yang lembut dan penuh empati selalunya membuka ruang untuk anak berasa selamat.

Bila kita bercakap tentang “bertindak”, ia bukan sekadar melaporkan apabila sesuatu telah berlaku. Bertindak juga bermaksud mencegah dari awal. Memberi kesedaran kepada ibu bapa, mendidik anak tentang keselamatan diri, dan membina kerjasama antara komuniti, sekolah, serta pihak berkuasa.

Langkah proaktif tidak perlu rumit. Mengadakan sesi ringkas keselamatan untuk anak-anak, berkongsi maklumat dalam kumpulan komuniti, atau memastikan anak tahu siapa orang dewasa yang boleh dipercayai, semua ini memberi impak besar.

Yang penting, anak-anak juga perlu dilibatkan. Mereka perlu diperkasakan. Apabila anak diajar untuk berkata “tidak”, melaporkan perkara yang membuat mereka tidak selesa, dan mengenal pasti orang yang boleh membantu, mereka membesar dengan rasa yakin, bukan takut.

Sudah tentu, ada cabaran. Ada yang takut untuk bersuara. Ada yang risau dianggap menyibuk. Ada juga komuniti yang kurang kerjasama. Namun perubahan tidak berlaku serentak. Ia bermula dengan seorang, kemudian dua orang, dan akhirnya menjadi budaya bersama.

Kita tidak mahu nanti, “Aku ingat engkau buat”. Atau, “Engkau ingat aku buat.” Akhirnya, tiada sesiapa yang berbuat apa-apa!

Jika kita rasa tidak tahu nak mula dari mana, mulakan dengan langkah paling mudah. Sapa jiran. Berkongsi satu mesej keselamatan. Hadir ke perjumpaan komuniti. Jangan diam bila nampak sesuatu yang membimbangkan.

Jadilah orang dewasa yang peka. Keprihatinan kita hari ini mungkin menjadi perlindungan untuk seorang anak esok hari. Melindungi anak-anak bukan tugas ibu bapa sahaja. Ia adalah amanah bersama. Sebagai komuniti, kita boleh memilih untuk tidak berpaling dan memilih untuk melindungi dan bertindak.

About Jamilah Samian

Jamilah has written 577 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.

To Top