Merujuk kepada laporan The Star: PDRM calls for greater parental vigilance as grooming by online predators leads victims to share more CSAM content
Ramai ibu bapa beranggapan jenayah seksual hanya berlaku di dunia nyata. Hakikatnya, dunia digital hari ini membuka ruang yang sangat luas kepada penjenayah untuk mendekati anak-anak dengan senyap, berperingkat dan sering kali tanpa disedari oleh orang dewasa.
Berikut antara faktor utama yang menjadikan anak-anak mudah terdedah kepada jenayah seksual “online”:
1 Keperluan emosi yang tidak dipenuhi
Apabila anak rasa sunyi, kurang perhatian atau tidak difahami, mereka cenderung mencari tempat meluah perasaan. Penjenayah bijak mengesan kelemahan ini dan tampil sebagai pendengar yang baik.
2 Mahu pengiktirafan dan penerimaan
Pujian, perhatian dan kata-kata manis membuatkan anak rasa dihargai. Apabila mereka tidak mendapat pengiktirafan di rumah atau sekolah, penerimaan palsu di alam maya terasa sangat bermakna.
3 Rasa ingin tahu tentang seksualiti
Soalan tentang tubuh dan perasaan adalah normal terutama di kalangan remaja. Namun apabila anak tidak tahu siapa yang wajar untuk ditanya, mereka mencari jawapan sendiri di Internet dan di situlah risiko bermula.
4 Kurang literasi digital
Ramai anak tidak sedar tentang penipuan identiti palsu atau niat tersembunyi di sebalik individu yang kelihatan mesra. Anak anda mudah percaya kerana tidak dilatih mengenali bahaya digital.
5 Otak anak belum matang sepenuhnya
Tempoh remaja adalah tempoh perubahan fizikal dan emosional. Keupayaan menilai risiko dan membuat keputusan masih berkembang. Anak lebih cenderung bertindak berdasarkan emosi, bukan pertimbangan jangka panjang.
6 Manipulasi emosi
Penjenayah sering menyamar sebagai rakan sebaya, mentor atau orang dewasa yang mahu membantu. Mereka menggunakan emosi empati, simpati dan kepercayaan untuk mempengaruhi anak sedikit demi sedikit.
7 Pengantunan seksual atau “sexual grooming” berperingkat
Ia jarang berlaku secara mendadak. Bermula dengan perbualan biasa, kemudian pujian, (mungkin) hadiah dan perhatian istimewa sehingga sempadan dan batasan dilanggar tanpa disedari.
8 Anak takut dihukum jika bertanya ibu bapa
Budaya mudah menyalahkan tanpa usul periksa (“blame culture” dalam keluarga) bila berlaku sesuatu tidak diingini, membuatkan anak takut mengadu kepada ibu bapa. Apabila anak takut dimarahi atau dimalukan, mereka memilih untuk berdiam diri. Ketakutan ini membuatkan mereka terus terperangkap dalam situasi berbahaya.
9 Hubungan yang lemah dengan ibu bapa
Anak yang tidak rasa selamat untuk berkongsi cerita tidak akan datang meminta bantuan. Jurang emosi ini membuka ruang luas kepada orang luar untuk mengambil alih peranan orang yang memahami.
10 Normalisasi seksual
Penjenayah mempengaruhi anak supaya menganggap perkara seksual sebagai sesuatu yang biasa, lucu atau rahsia istimewa. Apabila ini berlaku anak tidak lagi melihatnya sebagai bahaya.
Akhir kata
Perlindungan terbaik bukan sekadar kawalan gajet tetapi hubungan yang kuat, komunikasi terbuka dan didikan berterusan. Anak yang rasa disayangi, didengar dan dilindungi akan lebih berani bersuara dan lebih sukar dimanipulasi.
Pencegahan bermula di rumah sebelum ancaman sampai ke skrin anak-anak kita.




