Tangani Stres

Rasa Lucu Boleh Membantu

[Baca versi Bahasa Inggeris]

 

Seorang kenalan pernah berkata kepada saya, “Ada ada saja yang tidak kena dibuat oleh anak saya setiap hari!” Anda mungkin berpendapat pandangan mengenai anak-anak ini sesuatu yang sangat negatif dan ekstrem. Namun, setiap ibu bapa tahu bahawa menguruskan anak-anak sering meletakkan kita dalam situasi di luar dugaan.

Mari kita lihat apa yang berlaku semasa saya berjaya membuat kek mentega buat pertama kalinya. Kek tersebut masak dengan cantiknya. Rupa kek yang menarik dan baunya yang menyelerakan itu cukup membuat saya terliur ketika saya mengeluarkan kek tersebut dari dalam ketuhar. Saya baru sahaja mahu merasa hasil usaha saya itu apabila loceng pintu rumah berbunyi. Saya tinggalkan pisau di atas meja dan pergi membuka pintu di depan.

Apabila saya kembali ke meja sepuluh minit kemudian, saya dapati Saif, yang ketika itu berusia tiga tahun dan begitu meminati apa sahaja yang berkaitan dengan bintang dan bulan, telah memanjat ke atas kerusi dan mengukir beberapa bentuk bintang di atas kek saya yang cantik itu.

Patutkah saya menangis kerana kek saya telah rosak? Atau patutkah saya ketawa gembira kerana anak saya begitu bijak melukis gambar bintang? Saya akhirnya menghidangkan kek yang berbentuk bintang kepada ibu bapa mertua saya yang baru tiba.

Atau kita lihat pula apa yang berlaku waktu saya pergi membeli-belah dengan anak bongsu saya, Siraj, ketika dia berusia empat tahun. Ketika itu saya baru sahaja membeli beg tangan berwarna kuning air. Selalunya saya membeli beg berwarna gelap kerana warna gelap tidak menampakkan tanda-tanda dipijak dengan ketara. Maklumlah, saya suka meletakkan beg di atas lantai kereta setiap kali saya memandu. Beg tersebut sering tersepak ke sana ke mari oleh beberapa kaki kecil yang berebut-rebut untuk menaiki kereta.

Setelah beberapa lama berada dalam kereta, saya dapati Siraj tidak bersuara dan hanya membisu di tempat duduknya. Saya sangka dia tertidur. Sebaik saya memberhentikan kereta di pusat membeli-belah, Siraj menghulurkan beg tangan saya dan berkata, “Mama, tengok! Nama … mama!” Rupa-rupanya dia terjumpa sebatang pen hitam di bawah tempat duduknya dan telah menulis “j-a-m-i-l-a-h” dengan besarnya pada beg tersebut. Haruskah saya ketawa gembira kerana anak saya berjaya menulis nama saya dengan betul buat pertama kalinya? Atau haruskah saya menangis kerana beg tangan baru saya diconteng?

Saya memilih untuk ketawa apabila kedua-dua kejadian tersebut berlaku. Saya ketawa apabila melihat anak saya yang berusia enam tahun menampal pintu bilik saya penuh dengan cebisan-cebisan kertas, “Bilik Bekerja”, “Ketuk Sebelum Masuk”, “Bilik Mama Abah”.

Saya ketawa apabila melihat anak-anak saya menggantung perhiasan kertas pada kipas siling. Lagipun memang ianya kelihatan cantik dan berputar dengan baik sekali apabila digantung di situ.

Saya ketawa apabila melihat anak-anak saya mengikat kain besar dan mengikat hujung kain tersebut pada tiang-tiang katil untuk menghasilkan buaian unik.

Saya tertawa kerana tiada gunanya saya marah dan tertekan. Reaksi marah tidak akan menjelmakan semula beg tangan baru saya atau kek yang sempurna. Lebih baik saya anggap semua kejadian ini sebagai asam garam kehidupan daripada membiarkan ia mengganggu emosi saya.

Adaptasi dari: Ibu Kool Bapa Hebat.

.

About Jamilah Samian

Jamilah has written 548 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top