Soal & Jawab

[Soal & Jawab]: Anak “Slow Learner”

SOALAN:

Assalamualaikum wbkth Puan Jamilah,

Saya ingin mendapatkan pendapat dan nasihat puan mengenai anak lelaki saya yang berusia 8 thn dan bakal naik ke darjah 3 tahun depan. Anak saya mungkin boleh dikategorikan mengalami sedikit masalah “slow learner” dan menunjukkan sedikit tanda2 ADD/ADHD. Ssaya telah mengambil langkah membawanya berjumpa doktor dan kaunselor di hospital dan sedang menunggu untuk screening test.

Di rumah, boleh dikatakan aktiviti yg disukainya adalah bermain bersama kawan dan menonton tv. Amat sukar untuk mengulangkaji pelajaran bersamanya kerana penumpuannya hanya sekitar 5-10minit. Namun demikian saya bersyukur kerana dia telah dapat membaca dengan lancar dalam bahasa Malaysia dan boleh membaca buku cerita Inggeris pendek (sekitar 1-2 ayat). Saya juga dapati dia agak lemah dalam kemahiran Matematik. Dia boleh membaca Al-Quran namun belum dengan tajwid yang betul.

Di sekolah, bagi darjah 1-2, kesemua cikgu mengatakan dia adalah seorang tidak boleh duduk diam, dan kurang konsentrasi. Dia agak sukar komunikasi dengan org dewasa. Walaupun dia mungkin tahu jawapan, namun dia seolah-olah menyimpannya sahaja.Seolah-olah dia mempunyai self-esteem yang agak rendah.

Namun apa yang lebih merisaukan saya, dia mudah dimanipulasi oleh rakan sebaya. Guru kaunselor ada menyatakan dia ada mencuri di sekolah tetapi bukan sendiri ttp secara berkumpulan.Bila ditanya anak saya mengatakan jika tidak berbuat demikian dia akan dipukul oleh pelajar senior(abg rakannya). ~ Puan Z.

Oleh itu apakah pendekatan yang patut saya ambil?

 

JAWAPAN:

Waalaikum salaam wbkth Puan Z:

Ada baiknya Puan bawa anak Puan ini untuk screen testing. Namun, apa saja screen testing yang dilakukan atas seorang kanak-kanak bukanlah terjamin 100% tepat (iaitu ada kemungkinan ”margin of error”). Ini kerana ia ciptaan manusia.

Bagaimanapun jika hasil testing ini benar, ia boleh membantu, sekurang-kurangnya untuk Puan memahami ”nature of the challenge”. Saya sendiri kenal seorang ibu yang anaknya disahkan ”slow learner” tetapi kerana kegigihan ibunya, anak ini sudah hafal beberapa juzuk AlQuran dan cemerlang dalam pelajaran.

Ada beberapa lagi kes saya tahu di mana anak-anak yang digelar ”tidak bijak” dsbnya menyerlah pencapaiannya sekurang-kurangnya dalam satu bidang. Boleh dikatakan dalam semua kes ini, ibu atau bapa anak tersebut tidak ”give up” dan terus berusaha dgn sabar serta tabah untuk mengajar anak mereka. Mereka sekali-kali tidak menyalahkan diri sendiri / anak tersebut. Ini kerana, ibu bapa ini sedar, Allah beri ganjaran berdasarkan usaha seseorang.

Setiap anak anugerah Ilahi; ada keistimewaannya. Begitu juga anak Puan.

Untuk bina self-esteem – Buat anak Puan rasa dihargai walau apapun pencapaiannya di sekolah. Jangan bandingkan dia dengan pencapaian orang lain, terutama adik-beradiknya. Cari satu bidang yang dia minat dan ada bakat serta bermanfaat. Galakkan dia berusaha dlm bidang ini, yang tak semestinya apa yang dipelajari di sekolah. Kejayaan seorang insan tidak bergantung sepenuhnya kepada prestasi sekolah, lebih-lebih lagi zaman sekarang di mana kreativiti & inovasi sangat penting.

Elok dia pandai berkawan sebab perkembangan sosial sangat penting bagi kanak-kanak. Berkawan dengan budak baik juga akan membantu membina self-esteem anak Puan. Malah, jika dia ada hobi, boleh cadangkan dia bawa kawan baiknya ke rumah dan mungkin mereka boleh sama-sama usahakan satu projek khas, umpamanya. Atau dia boleh ajar kawannya. Contohnya jika dia gemar melukis, galakkan dia ajar kawan baiknya melukis bila datang ke rumah Puan.

Boleh juga bawa dia ke tempat anak-anak istimewa / yatim di mana dia boleh membantu mereka dalam apa cara sekalipun. Aktiviti sebegini membuatkan anak Puan rasa dia bernilai kerana mampu menolong orang lain.

Hati-hati dengan kata-kata yang Puan gunakan untuknya – hanya gunakan kata-kata yang boleh membuat dia rasa ”boleh”, iaitu percaya dan yakin pada diri sendiri. Kata-kata Puan (& suami, jika ada) besar pengaruhnya, jauh lebih besar daripada orang lain.

Mencuri – Jika benar dia terdesak diugut oleh senior, ini kes buli, bincang bagaimana dia perlu bertindak jika perkara ini berulang. Mungkin elok jika berbincang dgn pihak sekolah juga.

Paling penting bimbing dia supaya bijak berfikir.

Banyakkan bercakap dengannya secara rasional, dengan suara dan wajah Puan yang CERIA, dalam cara yang membuatkan dia rasa diraikan dan difahami, bukan sebaliknya.

Sekian, wassalaam.

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top