Mendidik Generasi Digital

Wajarkah Anak Diberi Gajet Sewaktu Makan?

[Read article in English]

SKIP
Apakah yang diperlukan oleh otak anak yang sedang berkembang? Tahukah anda, membiasakan anak-anak sabar menunggu, mengajak mereka berbual, malah membiarkan mereka merasa bosan sekali-sekala sebenarnya bermanfaat?

Cuba bayangkan situasi yang biasa kita lihat di restoran hari ini.

Sebuah keluarga baru sahaja duduk dan memesan makanan. Belum pun lama menunggu, anak yang paling kecil sudah mula gelisah.

“Ibu, ayah, lambat lagi ke makanan nak sampai? Boleh pinjam telefon?”

Anak mula memanjat kerusi, membuat bising atau mengusik adik-beradiknya. Akhirnya, ibu atau ayah menghulurkan telefon atau tablet. Sekelip mata, anak terus diam. Matanya melekat pada skrin, jarinya sibuk menatal, seolah-olah tidak sedar apa yang berlaku di sekeliling. Legalah sedikit!

Bagi kebanyakan ibu bapa, keadaan itu terasa seperti satu kejayaan kecil. Tetapi pernahkah kita terfikir, apa yang terjadi apabila skrin sentiasa menjadi teman anak setiap kali makan? Yang lebih penting, adakah kita sekadar mahu anak duduk diam, atau kita mahu didik mereka agar berjaya mengurus diri sendiri di masa depan?

Persoalan inilah salah satu asas kepimpinan ibu bapa.

Mengapa Ibu Bapa Menghulurkan Gajet?

Sebelum kita bercakap tentang risikonya, ada satu perkara yang perlu kita fahami. Membesarkan anak sudah tentu mencabar dan memenatkan.

Kadangkala ibu bapa memberikan telefon kerana mereka sendiri perlukan sedikit ruang untuk berehat. Mungkin baru balik bekerja, perlu melayan beberapa orang anak serentak, atau sekadar mahu menikmati makanan tanpa gangguan. Apabila berada di tempat awam, tekanannya bertambah. Siapa yang mahu anak menangis atau menjerit di restoran, sedangkan orang di meja sebelah mula memandang dengan wajah kurang senang?

Dalam satu kajian di Australia pada tahun 2022, Mallawaarachchi dan rakan-rakan menemu bual 45 orang ibu bapa. Mereka mendapati bahawa beberapa faktor termasuk situasi keluarga dan tanggapan orang sekeliling turut mempengaruhi keputusan ibu bapa untuk memberi anak kecil peranti digital. Ada yang terasa dihakimi apabila anak membuat bising di tempat awam. Ada pula yang bimbang orang mengkritik mereka kerana membenarkan anak menggunakan telefon. Serba salah dibuatnya.

Sebab itulah nasihat “Jangan bagi anak telefon!” semata-mata tidak banyak membantu. Ibu bapa perlukan kefahaman, sokongan dan pilihan yang benar-benar praktikal. Apa yang lebih membimbangkan ialah apabila menghulurkan gajet menjadi tindak balas automatik setiap kali anak bosan, kecewa atau terpaksa menunggu.

Apa yang Berlaku kepada Otak Anak yang Sedang Berkembang?

Otak anak-anak masih berkembang, termasuk kemahiran untuk memberi tumpuan, mengawal emosi dan mengurus tingkah laku. Antara kemahiran ini ialah fungsi eksekutif (executive functions), yang merangkumi kebolehan mengingat maklumat, berfikir secara fleksibel dan mengawal dorongan diri. Kawalan dorongan diri inilah yang membantu anak menahan keinginan, menunggu giliran dan tidak terus bertindak mengikut apa sahaja yang mereka mahu. Semua kemahiran ini berkembang sedikit demi sedikit melalui pengalaman harian, hubungan dengan orang sekeliling dan latihan yang berulang.

Cuba bayangkan anak sedang menunggu makanan di restoran. Dia mula tidak sabar dan merungut kerana makanan masih belum sampai. Ibu atau ayah memahami perasaannya, kemudian mengajaknya bermain teka-teki, berbual atau memerhatikan sesuatu yang menarik di sekeliling. Nampak macam sekadar mengisi masa, bukan? Sebenarnya, dengan bimbingan ibu bapa, anak sedang mendapat peluang untuk belajar mengurus rasa tidak sabar dan kecewa.

Sekarang bayangkan pula, setiap kali anak mula gelisah kerana perlu menunggu, kita terus menghulurkan telefon. Memang anak cepat diam dan keadaan menjadi lebih tenang. Tetapi tanpa kita sedari, anak mungkin kehilangan peluang untuk belajar menghadapi perasaan tidak selesa dengan cara lain.

Satu kajian oleh Radesky dan rakan-rakan (2023) yang mengikuti perkembangan 422 kanak-kanak berusia tiga hingga lima tahun mendapati bahawa penggunaan peranti mudah alih dengan kerap untuk menenangkan anak dikaitkan dengan kecenderungan mereka memberikan reaksi emosi yang lebih kuat (tidak baik) dari semasa ke semasa. Hubungan ini lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak lelaki dan kanak-kanak yang mempunyai ciri perangai tertentu.

Dapatan ini menimbulkan satu persoalan penting untuk kita sebagai ibu bapa: Adakah kita sedang mengajar anak mengawal emosinya sendiri, atau kita terlalu kerap membiarkan gajet memainkan peranan itu?

Dalam pendekatan ibu bapa sebagai pemimpin, kita perlu melihat lebih jauh daripada tingkah laku anak pada ketika itu. Daripada hanya memikirkan bagaimana hendak menghentikan rungutan anak, kita perlu bertanya, “Apa sebenarnya yang anak perlu belajar daripada situasi ini?” Anak yang sukar menunggu tidak semestinya perlu dimarahi atau dileteri. Mungkin dia perlukan bimbingan, galakan dan peluang untuk berlatih bersabar, berkali-kali.

Mengapa Dua Tahun Pertama Kehidupan Sangat Penting?

Bagi bayi dan anak kecil yang belum berusia dua tahun, keperluan perkembangan mereka agak berbeza. Pada peringkat ini, otak sedang berkembang dengan sangat pesat. Mereka banyak belajar melalui pengalaman menggunakan deria, pergerakan dan interaksi dua hala dengan orang yang menjaga mereka.

Cuba perhatikan bagaimana bayi belajar. Dia memandang wajah ibu, mendengar suara ayah, cuba mencapai objek atau memerhatikan apa yang berlaku di sekelilingnya. Apabila kita tersenyum, membalas bunyi yang dibuatnya atau menunjukkan sesuatu yang menarik, interaksi yang nampak kecil ini sebenarnya membantu perkembangan komunikasi dan pembelajarannya.

Bayangkan begini. Sebagaimana makanan berkhasiat membantu tubuh bayi membesar, interaksi yang bermakna pula membantu menyuburkan otaknya. Berbual ialah makanan untuk otak, walaupun bayi itu belum pandai bercakap.

Apabila bayi mengagah dan kita membalas bunyinya, itu bukan sekadar bermain-main. Bayi sedang belajar mendengar bahasa, mengenali mimik muka dan memahami bagaimana komunikasi berlaku secara bergilir-gilir. Interaksi dua hala seperti ini membantu pembentukan hubungan antara sel-sel saraf dalam otak yang penting untuk pembelajaran dan komunikasi.

Kajian terkini turut menunjukkan betapa pentingnya kita memberi peluang anak untuk mendapat pengalaman seperti ini.

Satu kajian di Jepun oleh Takahashi dan rakan-rakan (2023) yang melibatkan 7,097 pasangan ibu dan anak mendapati bahawa bayi yang lebih banyak terdedah kepada skrin pada usia setahun mempunyai kebarangkalian lebih tinggi mengalami kelewatan perkembangan komunikasi dan kemahiran menyelesaikan masalah apabila berusia dua dan empat tahun. Dapatan ini menimbulkan kebimbangan tentang pendedahan skrin yang berlebihan sejak bayi.

Sementara itu, satu tinjauan sistematik dan meta-analisis oleh Mallawaarachchi dan rakan-rakan (2024) yang merangkumi 100 kajian melibatkan 176,742 peserta mendapati bahawa cara dan keadaan skrin digunakan juga memainkan peranan penting. Contohnya, televisyen yang sentiasa terpasang sebagai latar belakang serta tontonan yang lebih banyak dikaitkan dengan hasil perkembangan kognitif yang kurang baik. Penggunaan skrin oleh penjaga ketika menjalankan rutin bersama anak pula dikaitkan dengan hasil perkembangan psikososial yang kurang baik.

Jadi, kita perlu mengutamakan interaksi dalam dunia sebenar dan memahami bahawa keperluan bayi tidak sama dengan keperluan anak yang lebih besar.

Apabila membawa bayi ke restoran, persoalannya bukanlah bagaimana hendak memastikan bayi sentiasa terhibur sepanjang berada di situ. Sebaliknya, bagaimana kita boleh memenuhi keperluannya sambil memberi peluang untuk dia mengenali dunia di sekeliling?

Bayi belum cukup matang untuk belajar bersabar seperti kanak-kanak yang lebih besar. Kalau bayi menangis, mungkin dia lapar, mengantuk, terlalu banyak menyerap rangsangan daripada suasana sekeliling atau sekadar mahu didukung dan ditenangkan. Apa yang bayi perlukan ialah penjagaan yang peka terhadap keperluannya, bukannya latihan untuk bersabar menunggu terlalu lama.

Apabila Penggunaan Gajet Menjadi Tabiat: Fenomena “Brain Rot”

Pernah dengar istilah brain rot? Istilah ini semakin popular, terutama apabila kita bercakap tentang tabiat menonton video pendek dan menatal skrin tanpa henti. Para penyelidik kini mula mengkaji kaitan antara penggunaan kandungan digital secara berlebihan dengan masalah tumpuan, tingkah laku yang sukar dikawal serta kebergantungan terhadap rangsangan digital.

Satu meta-analisis oleh Nguyen dan rakan-rakan (2025) yang merangkumi 71 kajian melibatkan 98,299 peserta mendapati bahawa penggunaan video pendek yang lebih tinggi dikaitkan dengan prestasi kognitif yang lebih lemah, khususnya dari segi tumpuan dan kawalan dorongan diri. Hubungan ini ditemukan dalam kalangan remaja dan orang dewasa. Kalau dalam kalangan remaja dan orang dewasa pun sudah terdapat kaitan seperti ini, bagaimana pula dengan kanak-kanak yang lebih kecil, sedangkan otak mereka masih pesat berkembang? Persoalan ini wajar diberikan perhatian, walaupun kita tidak boleh terus menganggap kesannya sama bagi semua peringkat umur.

Satu lagi kajian oleh Telzer dan Burnell (2026) meneliti tabiat penggunaan telefon pintar dalam kalangan 79 remaja berusia 11 hingga 18 tahun. Puratanya, kumpulan remaja ini memeriksa telefon kira-kira 64 kali sepanjang waktu persekolahan! Remaja yang lebih kerap memeriksa telefon juga menunjukkan prestasi yang lebih lemah dalam tugasan yang menguji keupayaan mengawal perhatian dan tingkah laku.

Walaupun kajian ini berskala kecil dan berdasarkan pemerhatian, dapatan tersebut mengingatkan kita tentang satu perkara penting: Bukan sekadar berapa lama anak menggunakan gajet yang perlu kita perhatikan. Berapa kerap mereka menggunakannya dan sama ada penggunaan itu sudah menjadi tabiat yang sukar dikawal juga perlu diambil kira.

Pada tahun 2025, para penyelidik turut membangunkan satu instrumen yang dinamakan Brain Rot Scale untuk mengkaji penggunaan kandungan digital yang bermasalah dalam kalangan individu berusia 8 hingga 24 tahun. Instrumen ini menilai kesukaran mengawal tumpuan, dorongan untuk terus menggunakan peranti serta kebergantungan yang dirasakan terhadap kandungan digital. Walau bagaimanapun, bidang penyelidikan ini masih baharu dan sedang berkembang.

Sebagai ibu bapa, cuba kita fikirkan. Jika setiap kali anak merengek, bosan, atau tidak mempunyai sesuatu yang menarik untuk dilakukan, dia terus mencari telefon atau tablet, apakah yang sedang kita biasakan? Adakah kita membantu anak belajar mengisi masa dan mengurus rasa bosan sendiri, atau tanpa sedar, kita sedang membiasakan mereka bergantung pada skrin setiap kali mahu menghiburkan diri?

Berbual Itu Makanan untuk Otak

Bila kita makan bersama keluarga, sebenarnya banyak perkara yang boleh berlaku selain mengisi perut. Kita boleh berbual, bercerita, mendengar, memerhatikan cara orang lain berinteraksi dan mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga.

Makanan menyuburkan tubuh, manakala perbualan menyuburkan otak. Sebagaimana tubuh anak memerlukan pelbagai zat untuk membesar dengan sihat, otak mereka juga memerlukan pelbagai pengalaman untuk berkembang. Antaranya ialah mendengar bahasa, berinteraksi, meneroka dan belajar menyelesaikan masalah.

Cuba bayangkan kita menyediakan hidangan yang cukup berkhasiat untuk anak. Tetapi sepanjang waktu makan, matanya hanya tertumpu pada skrin. Perutnya mungkin kenyang, tetapi peluang untuk berbual dan berhubung dengan orang di sekelilingnya mungkin terlepas begitu sahaja.

Apabila anak bertanya soalan, mendengar penjelasan, berkongsi cerita atau memberi respons kepada percakapan orang lain, dia sebenarnya sedang belajar banyak perkara. Perbualan membantu perkembangan bahasa, pemikiran dan kemahiran sosial. Anak juga berpeluang belajar mendengar dengan teliti, menunggu giliran untuk bercakap dan memahami pandangan orang lain.

Perkara ini sangat penting terutama bagi anak kecil, kerana kemahiran bahasa berkembang melalui interaksi yang berulang dengan orang di sekeliling mereka.

Satu kajian di Australia oleh Brushe dan rakan-rakan (2024) melibatkan 220 keluarga dengan anak berusia 12 hingga 36 bulan. Melalui rakaman audio, penyelidik mendapati bahawa pendedahan skrin yang lebih tinggi dikaitkan dengan kurangnya perkataan yang didengar daripada orang dewasa, kurangnya bunyi atau pertuturan anak serta kurangnya perbualan dua hala.

Kajian ini bukan khusus tentang penggunaan skrin di restoran. Namun, dapatan tersebut mengingatkan kita bahawa apabila masa anak banyak diisi dengan skrin, peluang untuk berkomunikasi dengan ibu bapa juga berkurangan.

Yang menariknya, kita tidak perlu menyediakan aktiviti pembelajaran yang rumit untuk merangsang perkembangan otak anak. Berbual tentang makanan yang sedang dimakan, bertanya apa yang berlaku di sekolah, menjelaskan sesuatu yang menarik perhatian anak atau berkongsi cerita lucu pun sudah boleh membuka ruang untuk mereka belajar.

Tetapi ada satu perkara lagi yang perlu kita fikirkan. Bagaimana pula dengan tabiat kita sendiri sebagai ibu bapa?

Satu lagi kajian oleh Radesky dan rakan-rakan (2024) meneliti rakaman 47 waktu makan bersama keluarga. Mereka mendapati bahawa apabila ibu sibuk menghantar mesej atau menatal telefon, mereka cenderung kurang berbual dan kurang memberikan respons apabila anak cuba berkomunikasi.

Anak-anak memerhatikan apa yang kita lakukan. Kalau kita mahu mereka meletakkan telefon ketika makan, kita sendiri perlu menunjukkan bahawa perbualan bersama keluarga lebih penting daripada skrin.

Jadi, lain kali apabila kita duduk makan bersama anak, ingatlah bahawa kita sebenarnya berpeluang menyuburkan bukan sahaja tubuh mereka, tetapi juga minda mereka.

Kepimpinan Ibu Bapa Bermula dengan Memimpin Diri Sendiri

Apabila kita bercakap tentang kepimpinan ibu bapa, mungkin perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah menetapkan peraturan, menentukan batasan dan mengajar anak tentang perkara yang betul dan salah. Semua itu memang penting. Tetapi kepimpinan yang berkesan sebenarnya bermula dengan tingkah laku kita sendiri.

Cuba bayangkan seorang ayah berkata kepada anaknya, “Simpan telefon tu. Kita tengah makan.” Tetapi pada masa yang sama, ayah sendiri masih sibuk menatal mesej di telefon. Agaknya, apa yang anak belajar daripada situasi itu?

Anak-anak lebih banyak belajar melalui pemerhatian terhadap tingkah laku kita berbanding nasihat semata-mata. Apabila ibu bapa meletakkan telefon, mendengar dengan penuh perhatian dan mengambil bahagian dalam perbualan keluarga, kita sebenarnya sedang menunjukkan contoh tingkah laku yang kita mahu anak amalkan.

Kepimpinan ibu bapa bukan sekadar memastikan anak mendengar kata. Matlamatnya ialah membimbing anak supaya mereka mampu berfikir, membuat keputusan yang bijak dan mengurus tingkah laku sendiri.

Untuk mencapai matlamat ini, kita perlu membantu anak beralih secara beransur-ansur daripada bergantung pada kawalan ibu bapa kepada memiliki disiplin diri. Semasa kecil, anak mungkin memerlukan banyak peringatan, galakan dan bimbingan. Apabila mereka semakin matang, kita perlu memberi lebih banyak peluang untuk mereka bertanggungjawab terhadap pilihan sendiri.

Sudah tentu kita tidak boleh mengharapkan anak menjadi berdikari dalam sekelip mata. Tetapi kita boleh mula menyediakan mereka melalui pengalaman kecil dalam kehidupan seharian. Dan waktu makan bersama keluarga ialah salah satu peluang yang baik untuk kita bermula.

 

Apa yang Boleh Kita Berikan sebagai Ganti Skrin?

Sebenarnya, kita tidak perlu menyediakan aktiviti yang mahal, rumit atau memenatkan. Apa yang sesuai bergantung pada usia, minat dan tahap perkembangan anak.

Bayi bawah 12 bulan: Utamakan keselesaan, interaksi dan peluang untuk bayi meneroka menggunakan derianya. Berbuallah dengan bayi, tiru bunyi yang dibuatnya, berzikir, membisikkan ayat-ayat Al-Qur’an yang mudah, atau bermain cak-cak apabila sesuai dengan usianya. Kita juga boleh membawa buku kain, mainan berbunyi lembut atau alat gigitan bayi yang selamat. Kadangkala, melihat mimik muka ibu atau ayah pun sudah cukup menarik bagi bayi. Kalau bayi lapar, penat atau terlalu banyak menerima rangsangan, penuhi keperluannya dahulu.

Anak berusia 12–23 bulan: Cuba bawa buku bergambar yang tebal, permainan menunjuk objek, cawan susun bersaiz besar atau nyanyikan lagu yang disertai pergerakan. Tunjukkan benda di sekeliling restoran sambil bertanya, “Mana sudu?” atau “Nampak tak tingkap besar tu?” Pada usia ini, perhatian anak mungkin hanya bertahan beberapa minit. Jadi, bersedialah untuk menukar aktiviti atau membawanya berjalan sebentar. Pastikan mainan sesuai dengan usia, sentiasa diawasi dan tidak mempunyai bahagian kecil yang boleh menyebabkan anak tercekik.

Anak berusia 2–4 tahun: Bawa buku bergambar kecil, papan lukisan yang boleh dipadam atau patung jari. Kita juga boleh bermain permainan memerhati seperti “Cuba cari sesuatu yang berwarna merah” atau “Ada berapa lampu yang adik nampak?”

Anak berusia 5–7 tahun: Cuba aktiviti mewarna, pelekat yang boleh digunakan semula, permainan I Spy atau teka-teki. Ajak anak melukis makanan kegemarannya atau berimaginasi tentang restoran yang ingin dibukanya sendiri. “Kalau adik buka restoran, adik nak jual makanan apa?”

Anak berusia 8–12 tahun: Ajak mereka bermain teka perkataan, teka-teki, permainan menguji ingatan atau permainan “20 Soalan”. Kita juga boleh meminta mereka membaca menu, membandingkan harga makanan atau membantu mengira jumlah bil.

Anak remaja: Inilah peluang untuk kita berbual tentang perkara yang menarik minat mereka. Minta pendapat, bincangkan sesuatu isu, rancang aktiviti keluarga atau sekadar mendengar cerita mereka. Tak semua perbualan perlu ada unsur pengajaran. Kadangkala, bergelak ketawa tentang perkara yang lucu pun sudah cukup untuk mengeratkan hubungan.

Satu lagi idea yang praktikal ialah menyediakan beg kecil berisi aktiviti setiap kali keluar makan. Untuk anak yang lebih besar, isikan buku nota, pensel warna, teka-teki atau permainan kad bersaiz kecil. Untuk bayi dan anak kecil pula, pilih beberapa mainan yang selamat dan biasa digunakan. Tukar kandungannya sekali-sekala supaya anak tidak cepat bosan.

Tetapi ada satu perkara penting yang perlu kita ingat. Kita tidak semestinya perlu menggantikan setiap minit penggunaan skrin dengan hiburan lain. Anak yang lebih besar boleh belajar memerhatikan suasana sekeliling, mendengar perbualan atau duduk diam seketika. Matlamat kita bukan memastikan mereka sentiasa terhibur, tetapi membantu mereka membiasakan diri apabila tiada sesuatu yang menarik berlaku.

Seronok tanpa skrin. Persediaan kecil membawa kepada perbezaan besar.

Kalau ada yang tertanya-tanya sama ada aktiviti tanpa skrin benar-benar boleh dilakukan di restoran, gambar di atas membuktikan bahawa ia boleh dibuat. Beberapa hari lalu, saya ternampak dua orang kanak-kanak yang sedang asyik dengan aktiviti masing-masing sementara menunggu makanan. Seorang sibuk melukis di dalam buku lukisannya, manakala seorang lagi sedang membuat kapal terbang kertas. Langsung tidak kelihatan gajet! Apa yang menarik perhatian saya ialah ibu bapa mereka datang ke restoran dengan persediaan. Situasi ini mengingatkan kita bahawa menyediakan aktiviti untuk anak tidak semestinya rumit atau mahal. Kadangkala, sebuah buku nota, sebatang pen dan beberapa helai kertas pun sudah memadai.

Bagaimana Pula Kalau Anak Bosan?

Kadangkala, apabila anak mengadu bosan, kita rasa seolah-olah perlu segera mencari sesuatu untuk menghiburkannya. Tetapi rasa bosan tidak semestinya satu masalah yang perlu diselesaikan serta-merta. Kita boleh menggalakkan anak memikirkan sendiri apa yang boleh dilakukan, memerhatikan keadaan sekeliling atau berinteraksi dengan orang yang berada bersamanya.

Cuba bandingkan dua situasi ini. Anak merungut, “Bosannya!”

Seorang ibu terus menghulurkan telefon. Seorang lagi menjawab, “Ibu tahu menunggu ni memang membosankan. Agaknya, apa yang kita boleh buat sementara tunggu makanan sampai?”

Dalam situasi kedua, ibu bukan sekadar mencari cara untuk mengisi masa anak. Dia sebenarnya sedang mengajak anak berfikir, membuat pilihan dan mengambil sedikit tanggungjawab untuk mengurus keadaan.

Inilah contoh mudah kepimpinan ibu bapa dalam kehidupan seharian. Daripada sentiasa menyediakan penyelesaian untuk anak, kita secara beransur-ansur membimbing mereka supaya mampu mencari penyelesaian sendiri.

Sudah tentu, ini tidak bermaksud kita perlu membiarkan anak yang sedang tertekan atau mengharapkan anak kecil duduk diam selama sejam. Kemampuan kanak-kanak untuk bersabar dan mengawal emosi masih terhad. Mereka perlukan peluang bergerak, kata-kata yang menenangkan dan harapan yang sesuai dengan usia.

Anak yang terlalu lapar, penat atau tidak selesa mungkin lebih memerlukan makanan, rehat, berjalan sebentar di luar restoran atau pelukan daripada ibu bapa, bukannya satu lagi latihan untuk bersabar.

Bagi bayi pula, keutamaan kita ialah penjagaan yang peka terhadap keperluannya. Bayi berkomunikasi melalui tangisan, pergerakan, mimik muka dan bunyi. Apabila kita memberikan respons dengan penuh perhatian, bayi akan berasa lebih selamat dan mendapat sokongan untuk belajar mengawal emosinya secara beransur-ansur.

Kepimpinan ibu bapa yang baik menggabungkan hala tuju yang jelas dengan empati, kesabaran dan kefahaman tentang tahap perkembangan anak.

Mulakan Sedikit Demi Sedikit. Tak Perlu Sempurna.

Persediaan memainkan peranan penting. Sebelum keluar makan, beritahu anak apa yang boleh dijangkakan. Bawa satu atau dua aktiviti mudah dan beri mereka pilihan, sama ada mahu melukis atau bermain teka-teki. Ibu dan ayah juga perlu bersetuju untuk mengetepikan telefon ketika makan.

Bagi keluarga yang membawa bayi, sedikit perancangan boleh membantu. Kalau boleh, pilih waktu makan yang sesuai dengan jadual bayi, ambil kira waktu menyusu dan tidur, serta bersedia untuk berehat sebentar apabila perlu. Kadangkala bayi hanya perlu didukung, disusukan atau dibawa ke tempat yang lebih tenang.

Apa yang lebih penting ialah usaha yang konsisten, bukannya kesempurnaan. Kepimpinan ibu bapa tidak bermaksud kita perlu mengawal setiap detik kehidupan anak. Sebaliknya, kita perlu lebih sedar tentang tabiat yang sedang kita bentuk, contoh yang kita tunjukkan dan kemahiran yang kita bantu anak kembangkan.

Membesarkan Anak yang Mampu Memimpin Diri Sendiri

Akan tiba masanya apabila anak-anak berdepan dengan keadaan yang memerlukan mereka menunggu, membuat keputusan, mengawal dorongan dan mengurus emosi tanpa kita berada di sisi. Ketika itu, tiada siapa yang sentiasa bersedia untuk menghiburkan mereka, mengalihkan perhatian mereka atau menyelesaikan setiap masalah yang dihadapi.

Kemahiran ini tidak muncul secara tiba-tiba apabila anak meningkat remaja atau dewasa. Sebaliknya, ia berkembang sedikit demi sedikit melalui pelbagai pengalaman kecil sepanjang zaman kanak-kanak.

Bagi bayi, asasnya bermula dengan penjagaan yang peka dan interaksi yang bermakna. Apabila anak semakin membesar, kita boleh memberi lebih banyak peluang untuk mereka membuat pilihan, menyelesaikan masalah, berlatih bersabar dan bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri.

Beberapa minit menunggu makanan mungkin nampak seperti perkara kecil yang tidak penting. Tetapi dalam detik-detik biasa seperti inilah anak berpeluang belajar bersabar, berbual, memerhati dan mengawal diri.

Jadi, lain kali apabila anak meminta telefon sementara menunggu makanan, apa kata kita cuba mengajaknya berbual, menawarkan aktiviti ringkas atau menggalakkannya memerhatikan dunia di sekeliling?

Mendidik anak bukan bermaksud kita perlu membuat keputusan yang betul setiap masa. Apa yang penting ialah kita sedar bahawa kita mempunyai pilihan.

Akhirnya, kepimpinan ibu bapa bermaksud menyediakan anak supaya mereka mampu memimpin diri sendiri. Dengan itu, walaupun kita tidak sentiasa berada di sisi, mereka semakin berupaya membuat keputusan yang bijak dan mengurus tingkah laku sendiri. Matlamat kita bukan sekadar membesarkan anak yang tahu duduk diam. Kita mahu membesarkan anak yang semakin mampu mengawal tumpuan, emosi dan tingkah laku mereka. Dan kadangkala, semuanya bermula dengan perkara semudah menunggu makanan sampai.

 

Kajian dan Rujukan Terpilih (2022–2026)

  1. Mallawaarachchi, S. R., et al. (2022). “You’re damned if you do, you’re damned if you don’t”: A qualitative exploration of parent motives for provision of mobile screen devices in early childhood. BMC Public Health. https://doi.org/10.1186/s12889-022-14459-0
    SKIP
  2. Radesky, J. S., et al. (2023). Longitudinal associations between use of mobile devices for calming and emotional reactivity and executive functioning in children aged 3 to 5 years. JAMA Pediatrics. https://doi.org/10.1001/jamapediatrics.2022.4793
    SKIP
  3. Takahashi, I., et al. (2023). Screen time at age 1 year and communication and problem-solving developmental delay at 2 and 4 years. JAMA Pediatrics. https://doi.org/10.1001/jamapediatrics.2023.3057
    SKIP
  4. Brushe, M. E., et al. (2024). Screen time and parent-child talk when children are aged 12 to 36 months. JAMA Pediatrics. https://doi.org/10.1001/jamapediatrics.2023.6790
    SKIP
  5. Mallawaarachchi, S., et al. (2024). Early childhood screen use contexts and cognitive and psychosocial outcomes: A systematic review and meta-analysis. JAMA Pediatrics. https://doi.org/10.1001/jamapediatrics.2024.2620
    SKIP
  6. Radesky, J. S., et al. (2024). Maternal mobile device use and mealtime interactions with children. Journal of Developmental & Behavioral Pediatrics. https://doi.org/10.1097/DBP.0000000000001317
    SKIP
  7. Nguyen, L., et al. (2025). Feeds, feelings, and focus: A systematic review and meta-analysis examining the cognitive and mental health correlates of short-form video use. Psychological Bulletin. https://doi.org/10.1037/bul0000498
    SKIP
  8. Mostafa, M. M., et al. (2025). Development and psychometric validation of the Brain Rot Scale: Measuring digital content overconsumption among Generation Alpha and Generation Z. European Journal of Investigation in Health, Psychology and Education. https://doi.org/10.3390/ejihpe15120262
    SKIP
  9. Telzer, E. H., & Burnell, K. (2026). Smartphone use during school hours and association with cognitive control in youths aged 11 to 18 years. JAMA Network Open. https://doi.org/10.1001/jamanetworkopen.2026.1092
    SKIP
  10. American Academy of Pediatrics. (2026). Digital ecosystems, children, and adolescents: Policy statement. https://doi.org/10.1542/peds.2025-075320

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 587 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

To Top