Mutiara Kata Hari Ini

Kasih Ibu dan Anak Perempuan

Setiap tahun, dunia meraikan Hari Ibu dengan manisan, jambangan dan ucapan, tidak kiralah jika sebahagian besarnya cuma dirakam di media sosial. Saya teringat komen seorang ibu. “Saya tidak pasti sama ada ia hanya berlaku pada diri saya,” ujarnya ragu-ragu. “Saya dan anak perempuan remaja saya sering berselisihan.” Ibu itu menyambung, dia pernah membincangkan perkara itu dengan beberapa orang rakan. Ada di kalangan mereka mengakui mengalami perkara yang serupa.

Setiap hubungan ibu dan anak perempuan adalah unik. Banyak faktor yang mempengaruhi hubungan ibu dan anak perempuan dari masa ke masa. Misalnya, si ibu mungkin mempunyai harapan tertentu untuk anak perempuannya, namun ia tidak dipenuhi. Si ibu juga mungkin mempunyai pengalaman yang tidak begitu positif dengan ibunya sendiri, yang secara tidak sedar, dilakonkannya semula umpama sebuah skrip. Ada juga ibu yang merasa bertanggungjawab memastikan anak gadisnya melaksanakan pelbagai peranan di sekolah dan rumah sesempurna mungkin yang mana ini boleh mencetuskan ketegangan.

Hubungan ibu dan anak perempuan merupakan salah satu misteri dalam kehidupan. Perasaan kompleks yang begitu mendalam bercampur baur, namun tidak bermakna anda tidak boleh memperbaikinya.

Sewaktu membesar, anda mungkin ada kenangan yang kurang manis dengan ibu sendiri. Anda sayang dan hormatkan ibu, tetapi ada kalanya kata-kata ibu menusuk kalbu.

Anda tidak mahu perkara yang sama berlaku kepada anak gadis anda.

Jika gadis remaja anda kerap menyakitkan hati anda, anda perlu maklum yang otak remaja melalui perubahan yang besar. Anak anda mungkin berubah, seakan menjadi orang lain dan menangis atau bersedih tanpa sebab yang jelas. Kajian menunjukkan remaja sering terkeliru ketika membaca raut muka orang lain, menyebabkan mereka menyalahtafsirkan beberapa ekspresi sebagai “marah”. Jadi, jika dahi anda berkerut sambil anda bertanya mengapa dia tidak menghadiri kelas tambahan, dia mungkin menyangka yang anda memarahinya. Tahu-tahu sahaja, sudah tercetus perbalahan antara anda sebagai ibu dan anak anda.

Tubuh badan seorang remaja yang sedang membesar, sistemnya masih dalam proses pembinaan, hampir siap, namun belum sempurna. Bersabarlah. Sampai bila? Setiap remaja mengalami pertumbuhan yang berbeza. Sesetengah daripada mereka mencapainya sebelum mencecah usia dua puluh tahun. Sesetengah yang lain, pertengahan dua puluhan. Ada juga yang mengalami kematangan personaliti selepas memasuki alam perkahwinan. Kita semua pernah mengalami perkara yang sama, cuma agak sukar untuk mengingatinya kerana ia sudah lama berlalu.

Jika tingkah laku anak gadis anda membuatkan anda tertanya-tanya mengapa anda memilih untuk menjadi ibu dan bukannya mengejar sesuatu yang lain dalam kehidupan, anggaplah perkara itu cuma sementara. Dengarkan bisikan hati anda, anda tahu apa yang anda lakukan. Bayangkan jika dia anak perempuan orang lain, apakah yang akan anda katakan padanya? Berbuat baik, tetapi kekal tegas jika perlu. Berikan anak anda sedikit ruang yang diperlukan, namun apa yang lebih penting, berikan peluang untuk menyegarkan semula hubungan antara anda dan dia setiap hari. Jangan biarkan hubungan terus tegang tanpa perubahan.

Kualiti hubungan antara ibu dan anak perempuan bergantung kepada pelbagai perkara, dan memupuknya adalah suatu usaha yang berbaloi.

Kepada ibu yang mengajukan soalan di atas, saya mencadangkan beliau membuka kembali album yang menyimpan foto anaknya ketika membesar, dari saat dia dilahirkan, hingga kini. Kenang kembali perasaan itu, keseronokan membawa pulang cahaya mata yang baru dilahirkan. Hakikatnya, ada seribu satu cara mengubat hati yang terluka.

**

Terjemahan oleh: Zatika Izati Puade [[email protected]]

Baca artikel asal di sini: Mothers and Daughters: “I love her, but . . .”

 

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top