Rahsia Mendidik Anak Hebat

Indahnya Ikhlas

oleh Jamilah Samian

 

Sewaktu di sekolah menengah, seorang pelajar baru bernama Aminah pindah ke sekolah saya yang majoriti pelajarnya berbangsa Cina dan Melayu. Sepertimana di sekolah lain, setiap bulan kami menduduki ujian bulanan untuk setiap subjek. Pelajar Cina terkenal cemerlang dalam beberapa subjek tertentu, pelajar Melayu pula cemerlang dalam subjek lain, manakala yang India pula lain ceritanya.

Bagaimanapun, satu subjek di mana pelajar Cina dan India sentiasa menewaskan pelajar Melayu ialah Bahasa Inggeris. Ini kerana, ramai daripada pelajar Cina dan India ibubapanya berpendidikan tinggi dan bercakap dalam Bahasa Inggeris di rumah. Malah, ramai yang ada tutor persendirian pula.

Entah macam mana, dalam peperiksaan akhir tahun Tingkatan Lima, saya mendapat markah yang tinggi dalam Bahasa Inggeris. Saya pun apa lagi, terasa bangga dan menunjukkannya kepada Aminah. Namun reaksinya menghairankan saya. “Wow! Alhamdulillah, Jam. Awak kalahkan semua pelajar lain!” Saya terpegun sejenak dan terfikir, “Dia gembira kerana saya?” Tapi paling memeranjatkan saya ialah bila dia menunjukkan pula kepada saya kertas ujiannya sendiri. Markahnya lebih rendah daripada saya. Terpempan saya dibuatnya. Bagaimana boleh dia bergembira sedangkan yang mendapat markah tinggi saya, bukannya dia?

Saat itu saya sedar bahawa dialah kawan sejati yang amat sukar ditemui. Sejak itu, saya amat menyayangi dan menghormatinya sebagai seorang rakan. Buat diri saya, inilah pengajaran tentang pentingnya IKHLAS, bagaimana sepatutnya seorang insan yang ikhlas harus berkelakuan kepada orang lain. Ia sesuatu yang baru untuk diri saya. Selama ini saya menyangka, sikap dengki, iri hati dan cemburu bila orang lain melebihi diri kita adalah kelaziman di dunia ini. Alangkah bersyukurnya saya kerana dipertemukan dengan sahabat yang hatinya semulia dia.

KEIKHLASAN SUMBER KETENANGAN JIWA

Sebagai ibu bapa atau pendidik, tahukah anda bahawa angka remaja yang membunuh diri dan yang menderita pelbagai tekanan jiwa di seluruh dunia kini meningkat tinggi? Satu sebab utama ini berlaku kerana remaja ramai yang mencari makna dan ketenangan hidup dari sumber yang tidak wajar. Alkohol, dadah, perhubungan bebas luar nikah, merokok, dan bermacam lagi hanya membawa kepada tekanan jiwa, kehidupan yang penuh derita, kosong dan tiada makna.

Dalam Islam, keikhlasan adalah titik tolak setiap fikiran dan perbuatan kita. Ini bermakna, apa sahaja yang kita lakukan semata-mata bertujuan mencari keredhaan Allah Maha Pengasih. Cuba anda renung sejenak. Mengapa pula Allah menghendaki sedemikian sedangkan Dialah Yang Maha Berkuasa? Jawabnya: Kerana Allah Maha Pengasih tahu hanya keikhlasan yang boleh menjamin kesejahteraan hidup kita. Satu-satunya cara untuk kita gembira dalam hidup ialah apabila kita ikhlas berbuat apa sahaja semata-mata kerana Allah, tanpa mengharapkan pujian orang lain.

Tidak lama dulu, saya mengikuti seminat Heart Purification (Penyucian Hati) dianjurkan oleh Institut AlKauthar (http://www.alkauthar.org), diajar oleh Sheikh Abu Abdissalam. Keratan notanya, bila diterjemahkan, berbunyi begini:

“Bila anda mengharapkan cinta, kasih sayang, pujian, kejayaan, kegembiraan dan pengiktirafan daripada insan lain, anda akan putus asa. Satu-satunya cara untuk anda menikmati hidup yang tenang dan penuh makna ialah dengan meletakkan harapan semata-mata kepada Allah. Di dalam Al-Quran Allah berfirman: ‘Ingatlah, bahawa dengan mengingati Allah, hati menjadi tenteram.’ Surah Ar-Ra’d: 28.'”

Pada hemat saya, ayat di atas cukup menarik kerana ia memberi bukti yang kukuh mengapa kita mesti ikhlas. Ibu bapa dan pendidik perlu peka; jika inginkan anak-anak dan anak didik yang benar-benar gembira, tenang dan berjaya hidupnya, ajar mereka supaya ikhlas. Emosi negatif seperti dengki mendengki, cemburu dan iri hati tidak bertempat, tamak haloba dan benci akan lenyap dengan sendirinya bila kita ikhlas.

TIPS MENGAJAR ANAK SUPAYA IKHLAS

Ikhlas juga bermakna kita bersikap jujur dan tidak berpura-pura. Telus dengan diri sendiri dan orang lain serta mengakui kelemahan diri sendiri. Bayangkan jika diri tidak ikhlas. Ia hanya membuatkan anda pincang. Bagaimana mungkin anda boleh menjadi orang yang lebih baik jika tidak telus dengan diri sendiri? Bagaimana mungkin mengharapkan untuk mendidik anak menjadi ikhlas jika kita sendiri tidak ikhlas?

Cara-cara mudah untuk mendidik anak bersikap ikhlas:

  1. Terapkan dalam mindanya. Ulang dan ulang lagi. Bila anda menghantar anak ke sekolah atau sebelum dia melangkahkan kaki ke sekolah, ingatkan “Ajim, ikhlaslah dengan apa sahaja yang Ajim buat.” Tanya dia “Kenapa Ajim mesti ikhlas?” Katakan “Sebab, itulah satu-satunya cara untuk hati menjadi tenteram. Jika kita tidak ikhlas, semua usaha kita sia-sia kerana Allah tidak akan menerimanya.”Jika anda ulangi setiap hari, kata-kata ini akan tertanam di dalam kotak fikiran anak anda.
  2. Jangan salahkan orang lain. Meskipun orang lain tidak tahu kesilapan anda, akuilah jika anda yang bersalah.Jangan sekali-kali menganggap diri terlalu mulia untuk meminta maaf kepada suami atau isteri, anak, rakan, jiran atau ibu bapa sendiri.Tanyalah “Apa yang boleh aku lakukan untuk memperbaiki keadaan ini?”
  3. Jangan harapkan balasan untuk kebaikan yang anda lakukan. Ini penting, lebih-lebih lagi jika orang yang anda bantu langsung tidak menghargai usaha anda atau lebih teruk, membalasnya dengan kata-kata kesat.Yakinlah bahawa Allah akan memberi anda ganjaran bagi kebaikan yang anda lakukan.
  4. Bergembiralah jika orang lain lebih baik daripada anda. Seperti kawan baik saya, Aminah, tunjukkan kepada anak anda bahawa anda gembira bila sahabat, saudara-mara atau adik-beradik anda lebih senang hidupnya. Doakanlah untuk kesejahteraan mereka seperti anda mendoakan untuk diri anda dan keluarga sendiri.

Terbaru, saya menghadiri satu lagi seminar anjuran Institut AlMaghrib (http://almaghrib.org) berjudul A Heart Serene (Hati Yang Tenang) yang diajar oleh Sheikh Riad Ouarzazi. Petikan daripada notanya bila diterjemah berbunyi begini:

Beberapa tanda keikhlasan:

  • Niat yang murni sebelum memulakan sesuatu perbuatan
  • Menyempurnakan apa sahaja yang dibuat sama ada dilihat oleh orang lain atau sebaliknya
  • Mengalu-alukan nasihat daripada rakan taulan
  • Sentiasa insaf dengan kelemahan sendiri
  • Merasakan yang sumbangan anda kecil berbanding orang lain
  • Dan banyak lagi …

Saya kira anda mungkin tertanya-tanya apa yang terjadi kepada sahabat karib saya, Aminah. Kini beliau seorang pakar psikiatri pediatrik, iaitu doktor pakar penyakit mental kanak-kanak. Saya boleh bayangkan beliau sekarang, melayani semua kanak-kanak yang berjumpa dengannya dengan senyumannya yang mesra dan ikhlas. Tidak syak lagi, beliau menceriakan sesiapa sahaja yang menemuinya!

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top