Soal & Jawab

Adik Berbohong & Mencuri Nak Beli Video Game

oleh Jamilah Samian

Photo by Shaymus 22 on Flickr

 

Soalan : Assalamualaikum Puan Jamilah. Adik lelaki saya berusia 13 tahun ditangkap mencuri wang ibu saya sebanyak RM250. Dia ketagih video game yang membabitkan perjudian. Kami baru sedar hal ini beberapa hari lalu kerana saya sendiri ternampak dia mencurinya. Saya syak dia sudah melakukannya untuk beberapa lama.

Bila disoal, dia cukup bijak membuat cerita. Pada mulanya katanya dia dibuli dan rakan sekelasnya memeras ugut di sekolah. Tapi bila didesak akhirnya dia mengaku mencuri.  Apakah yang patut kami lakukan sekarang? Bagaimana boleh kami sedarkan dia tentang betapa seriusnya kesalahan mencuri ini?

Jawapan : Waalaikumussalam warahmatullah. Ada beberapa prinsip yang perlu diambilkira.

1. Disiplin membabitkan PERUBAHAN. Adik Puan perlu tahu apa yang perlu diubah, mengapa dia perlu berubah dan bagaimana caranya untuk berubah. Perubahan terbaik jika tercetus dari hati nurani insan itu sendiri.

2. Bantu dia untuk MENDISIPLIN DIRI. Bantu dia untuk menggantikan tabiat buruk dengan yang baik. Kita perlu mendisiplinkan kanak-kanak sedemikian rupa sehingga dia sendiri memilih untuk berkelakuan baik umpamanya bersikap jujur dan amanah, meskipun tiada sesiapa yang memerhatikannya.

3. Bezakan PESALAH daripada KESALAHANNYA. Bila seorang kanak-kanak membuat salah dan didisiplin, dia perlu sedar yang kita tolak ialah kesalahannya, bukan dirinya.

4. Kanak-kanak semuda ini mudah belajar daripada AKIBAT PERBUATAN yang dilakukannya sendiri. Perbuatan baik akibatnya baik; begitu juga sebaliknya.

Soalannya sekarang: Apakah akibat perbuatan terbaik untuk mengajar anak ini belajar daripada kesilapannya?

Tindakan Yang Disyorkan

Berbohong dan mencuri adalah dua kesalahan serius, lebih-lebih lagi anak ini sudah remaja. Dia perlu sedar beratnya kesilapan ini, apatah lagi kegusaran dan kesusahan yang ditanggung oleh ibu bapa dan keluarganya akibat daripada perbuatannya ini.

Saya syorkan:

1. Berbincang dengannya dari hati ke hati. Perbincangan ini boleh dilakukan oleh Puan sendiri atau ibu atau bapa Puan atau seseorang yang diseganinya. Amat penting perbincangan ini dilakukan dalam suasana terkawal, tanpa ledakan emosi negatif.

2. Beritahu dia kesalahannya dan akibat kesalahan tersebut. Terangkan dua kesalahan yang dilakukan: berbohong dan mencuri. Jelaskan bahawa, sebagai penjaga, Puan perlu menunaikan amanah mendidiknya. Apa jua akibat yang perlu ditanggung olehnya mesti dilakukan kerana Puan sayangkan dia dan dia sudah pecah amanah. Apakah akibat yang adil? Terpulang kepada Puan dan keluarga. Tetapi jika ini anak saya, saya akan gunakan:

  • ROTAN. Merotan perlu dilakukan oleh orang yang diseganinya. Mungkin bapanya atau bapa saudara atau abang kandung. Bila merotan, pastikan dilakukan secara yang dituntut oleh Islam iaitu tidak mencacatkan, bukan di muka dan sebagainya.
  • KAUNSELING. Puan dan keluarga amat perlu membimbingnya selepas ini. Jangan biarkan dia begitu sahaja. Ada remaja yang lari dari rumah selepas didenda, mungkin kerana merasa dirinya tersisih atau tidak sanggup menanggung malu. Dia perlu sedar yang ditolak ialah perbuatannya, bukan dirinya.
  • DEKATI DIA. Untuk membantu dia insaf, Puan dan keluarga terutama ibu bapa perlu luangkan masa untuknya. Tanya dia jika dia ada masalah, bagaimana persekolahannya dan sebagainya. Untuk beberapa minggu seterusnya, berhati-hatilah dan perhatikan tingkah lakunya. Bila berkomunikasi dengannya, pastikan cara Puan mesra dan mudah diterima; elakkan berleter. Ceritakan bahawa kita perlu peraturan dalam dunia ini kerana tanpa peraturan, dunia akan kucar-kacir.
  • KONGSI KISAH-KISAH YANG BOLEH MENIMBULKAN KEINSAFAN. Umpamanya cerita seorang guru dengan anak-anak muridnya. (Mungkin Puan sudah tahu cerita ini). Kisahnya begini:

i.    Dahulu ada seorang guru yang sangat sayang kepada seorang anak muridnya sehingga anak-anak murid yang lain cemburu. Suatu hari, guru tersebut memberi seekor ayam kepada setiap anak muridnya. Dia menyuruh mereka membawa ayam masing-masing ke suatu tempat yang tersembunyi untuk menyembelih ayam tersebut. Seorang demi seorang anak muridnya kembali dengan ayam yang disembelih. Akhirnya, anak murid kesayangan guru ini muncul sewaktu hari lewat malam. Dia ditertawakan oleh murid-murid yang lain.

Apabila ditanya oleh gurunya mengapa ayamnya tidak disembelih, murid tersebut menjawab, “Puas saya mencari tempat yang tersembunyi namun ke ceruk mana pun saya pergi, Allah Maha Menyaksikan tetap nampak apa yang saya lakukan.” Guru tersebut bertanya kepada murid-murid lain, “Sekarang, tahukah kamu mengapa dia ini istimewa?” Cerita seperti ini perlu sentiasa dikongsi dengan anak-anak dari masa ke semasa contohnya lepas makan malam, lepas solat, sewaktu dalam perjalanan balik kampung … kerana di zaman ini adakalanya akhlak yang buruk tidak mendatangkan akibat yang buruk; manakala akhlak yang baik tidak dihargai.

  • BERTINDAK SECARA PROAKTIF. Dalam mendidik anak remaja, jangan tunggu sehingga timbul masalah. Berusahalah secara konsisten untuk menghidupkan jiwa mukmin dalam setiap anak di bawah amanah dan jagaan kita.
  • JANGAN DISEBUT KESILAPAN LALU. Paling penting pastikan adik Puan sedar dia mampu berubah menjadi insan yang baik. Benar, dia sudah pecah amanah. Biarkan dia belajar dari kesilapannya. Bantu dia untuk berubah dan membuka lembaran baru.  Apabila sudah didenda, jangan disebut-sebut lagi kesilapan silam.

About Jamilah Samian

Jamilah has written 547 articles.

Jamilah Samian is an author and speaker.

Discuss your thoughts below!

comments.

[banner group='ads-300x300']
To Top